Sejak pagi jumaat hingga petang hari ini, kami menerima kunjungan dan ziarah beberapa sahabat baik diketuai oleh Ustaz Haji Abdullah Din, Che’gu Jamil Dayan dan Ustaz Mohd Khaidir Ishak ke Sabah. Turut serta ialah Ustaz Mohd Sofi Ibrahim al-Hafiz dari Perak. Mereka dalam rangka program dakwah di Sabah khususnya di Kota Kinabalu, Ranau dan Kota Marudu, mengisi beberapa program yang telah disusun atur bersama pelbagai pihak.

Ustaz Sofi Ibrahim telah menyampaikan khutbah di Masjid Kg Bangka-Bangka Likas sementara Ustaz Mohd Khaidir di Masjid Nurul Hikmah Bukit Padang. (Ustaz Abdullah Din hanya tiba di LTAKK pada jam 1 tengahari. Sebelah petang rombongan berangkat ke SMKA Mohammad Ali Ranau, mengisi program pemantapan aqidah bersama pelajar-pelajar di sana. Sambil itu, mereka juga mengisi slot kuliah-kuliah subuh dan tazkirah di masjid-masjid Ranau serta menyampaikan sumbangan di kampung-kampung terpilih. Turut serta ke Ranau ialah Ustaz Hamir Hamzah dan Ustaz Yaharuddin Jaafar.

Sementara petang ahad mereka berangkat ke Kota Marudu menyampaikan sumbangan beras ke beberapa buah kampung sebelum berangkat balik ke Kota Kinabalu. Menjelang sahur, mereka menyertai program qiyamullail di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral, kuliah subuh oleh Ustaz Abdullah Din di surau yang sama dan mengadakan pertemuan dengan Ustaz Haji Muchlish di Masjid Negeri Sabah selepas kuliah subuh. Program lain ialah majlis ramah mesra di Kg Lobou dan penyampaian sumbangan beras di kelas ar-Raudhah saudara kita di Kepayan, dan yang terakhir tazkirah zuhur Ramadhan oleh Ustaz Sofi di Masjid Negeri Sabah.

Bagi pihak sahabat-sahabat di sini merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih tidak terhingga atas kesudian mereka berkunjung dan berprogram dakwah ke Sabah. Kalau boleh pindah balik Sabah lagi bagus!