Tag Archive: Ustaz Haji Nahar Haji Mantamin


SETAHUN PEMERGIANNYA

Terima kasih video klip yang diusahakan oleh Sdr Azman Talib.

Malam tadi kami berkumpul di rumah Kak Norsidah dan anak-anaknya untuk membacakan yasin, tahlil dan doa, memperingati setahun pemergian Allahyarham Ustaz Haji Nahar Haji Mantamin, mantan Imam Besar Masjid Negeri Sabah. Untuk rekod beliau juga adalah pemegang jawatan YDP PAS Sepanggar dan sebelum itu pernah diamanahkan sebagai Ketua Dewan Ulama’ PAS Negeri Sabah.

Kalau tidak salah, saya pertama kali menemuinya di bumi Makkah al-Mukarramah ketika kami sama-sama menunaikan fardhu haji pada tahun 2002. Saya bersama rakan-rakan Sabahan seramai 18 orang dari Mesir merentas Laut Merah melayari sebuah kapal besar selama 2 hari 2 malam. Bertemu dengan Allahyarham Ustaz Nahar ketika itu yang juga membawa serombongan jamaah haji dari Sabah. Barangkali itulah detik pertama yang saya ingat, kami bertegur sapa di luar Masjidil Haram, walaupun mungkin ada pertemuan sebelum itu yang saya tidak ingati.

Persahabatan itu berlanjutan apatah lagi kami sama-sama dalam seusrah sejak akhir tahun 2004 atau awal tahun 2005 yang mengumpulkan ramai rakan-rakan lain. Perbincangan kami banyak tertumpu dalam membincangkan hadith-hadith Rasulullah SAW dan tafsir al-Quran yang ketika itu pada awalnya naqib yang diamanahkan ialah Ustaz Haji Abdullah Din (kini berhijrah ke Kedah). Tempoh awal itu ada cadangan menjadikan Ustaz Nahar sebagai naqib tetapi kehadiran beliau sendiri tenggelam timbul barangkali kesibukan beliau dalam memenuhi undangan ceramah dan kuliah di pelbagai tempat. Namun sesekali bila berkelapangan, beliau turut hadir bersama-sama.

Kami bertambah akrab apabila beliau ditugaskan di Masjid Negeri Sabah sebagai imam besar sementara saya penolongnya. Saya sememangnya sudah ditugaskan di situ lebih awal sejak akhir 2004 sebelum menyertai perkhidmatan awam negeri dan Ustaz Nahar mula bertugas kalau tidak salah pada bulan mac tahun 2006. Saya sempat bersama-samanya membantu urusan pentadbiran dan aktiviti dakwah secara aktif sekitar 8 bulan sebelum saya dipindahkan ke Istana Negeri.

Meski saya sudah bertugas di Istana Negeri, saya turut menyumbang tenaga di dalam Syukbah Dakwah Masjid Negeri dan beliau sangat agresif dalam menganjurkan aktiviti bersama rakan-rakan di luar yang banyak membantu. Saya teringat projek ceramah bulanan cadangan beliau, mengundang penceramah dan pendakwah terkenal untuk program pengimarahan masjid negeri. Antara tokoh yang pernah diundang ialah Ustaz Zulkifli Ismail (Melaka), Shaikh Nuruddin Marbu al-Banjari, Dr Azhar Yaakob (KL), Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman, Dr Jamnul Azhar Mulkan, Tan Sri Harussani Zakaria dan ramai lagi.

Aktiviti Masjid Negeri juga merentasi sempadan dan kawasan masjid. Banyak aktiviti kebajikan dan dakwah anjuran bersama masjid dan ngo lain seperti Yayasan Amal dan Persatuan Ulama diadakan. Masjid Negeri membuka ruang kepada umat Islam menghulurkan sumbangan duit, beras, pakaian untuk mangsa-mangsa kebakaran di Sembulan dan Inanam, mangsa tanah runtuh di Sepanggar dan lain-lain. Aktiviti mingguan ziarah pesakit hospital Queen Elizabeth juga bermula dari Masjid Negeri. Kebanyakannya beliau sendiri turut serta dalam program ini.

Saya terkenang keberkatan program pengimarahan masjid, apabila melihat meskipun program banyak diatur dan memerlukan bajet yang tidak sedikit, nampaknya sumbangan umat Islam khususnya jamaah masjid semakin bertambah. Duit keluar pun banyak dan duit masuk lebih banyak berbanding sebelumnya. Keakraban beliau selaku imam besar dengan seluruh JK Masjid khususnya Ybhg Pengerusi Datuk Haji Ismail Awang Besar tidak dapat dinafikan lagi. Demikian juga persahabatan beliau dengan Ustaz Haji Muchlish, keakraban dengan Tuan Haji Khairan terbukti sehingga ke hari pemergiannya.

Kami mengenalinya sebagai daie yang sibuk memenuhi undangan kuliah dan ceramah di pelbagai tempat, baik atas nama JHEAINS, Persatuan Ulama’, Yayasan Amal atau atas kapasiti peribadinya sendiri yang memang dikenali ramai. Jumaat terakhir (beliau meninggal pagi isnin), beliau berkuliah subuh di surau Tabung Haji, kemudian hadir ke pejabat, berkhutbah jumaat di Kg Muhibbah Petagas dan lewat petangnya bergerak ke Kundasang. Khabarnya program yang padat di Kundasang sebelum pulang ke Kota Kinabalu pada petang ahad.

Kali terakhir, beliau mengimamkan solat isyak di Masjid Kg Likas (berhadapan rumahnya) dan selepas itu terus masuk ke Hospital Likas dan bermalam di sana. Pagi isnin beliau kembali ke rumah dan disahkan meninggal dunia pada sekitar jam 10 pagi di Hospital Queen 2. Saya terkenang meskipun sesudah berbulan-bulan pemergiannya, saat saya sesekali terserempak dengan Ybhg Datuk Ismail di masjid negeri selesai solat jumaat, beliau sering menyebut-nyebut kebaikan Allahyarham Ustaz Haji Nahar Mantamin.

Persahabatan kami terjalin sehingga hari pengkebumiannya dan hubungan akrab sahabat-sahabat dengan keluarga beliau tetap kami teruskan sehingga kini. Kebaikannya tetap diingati dan itu terbukti dengan kehadiran ramainya rakan taulan dan kenalan yang hadir membanjiri perkarangan rumah dan taman perkuburan sejak mengetahui pemergiannya pagi isnin sehinggalah hari pengkebumiannya pada pagi selasa. Hari ini, airmata saya mengalir mengenangkan beliau. Berikan sedikit masa untuk membacakan ummul kitab, al-Fatihah.

p/s. Anak sulung beliau Nasyraf Ideen kini menuntut di Darul Quran Kuala Kubu Baru. Saya sempat bercakap dengannya semalam dan beliau sudah menghafaz 4 juzu’. Doakan kejayaan Nasyraf.

TIDAK KESAMPAIAN

Jadual Khatib Jumaat di Masjid al-Mahabbah, Kg Muhibbah Petagas


Dua malam terakhir tadarrus di rumah Allahyarham Ustaz Haji Nahar dihadiri ramai sahabat-sahabat dan kenalan. Ada rakan-rakan guru membawa pelajar sekolah masing-masing.

Saya turut membawa siswa-siswi Maahad Tahfiz untuk membantu tadarrus dan menziarahi keluarga Allahyarham. Malam terakhir saya bawa 5 orang pelajar akhawat sedangkan malam sebelumnya lima orang pelajar ikhwah.

Malam kedua terakhir, setelah tadarrus saya diminta menyampaikan tazkirah berkenaan Allahyarham. Terkedu seketika kerana sebahagiannya sudah saya luahkan melalui blog ini. Hanya beberapa hadith dan ibrah daripada kisah Imam Ahmad bin Hambal yang menjadi pengajaran semua agar semua yang hadir dapat mempertahankan kebenaran walau digugat oleh musuh di kiri dan kanan.

Malam terakhir tazkirah ringkas disampaikan oleh Tuan Haji Khairan Untoh selaku Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah, di mana Allahyarham adalah Naib Pengerusinya di Sabah. Tidak dapat dinafikan Ustaz Nahar antara aktivis yang memeriahkan gerak kerja Yayasan Amal di Sabah.

Di hujung majlis, pihak Yayasan Amal Malaysia menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham yang diterima oleh anak sulung, Nasyraf Ideen bagi pihak keluarganya.

Sahabat-sahabat yang berkelebihan dan bersimpati juga boleh menyampaikan sumbangan terus ke akaun bersama Bank Islam Malaysia Berhad atas nama  Nashraf Ideen bin Nahar dan Norsidah binti Daris di nombor akaun : 100 160 202 535 15



Malam ini berlangsung Majlis Tilawah al-Quran Kontinjen Sabah anjuran PDRM di Masjid Nur Islam, Kepayan. Saya hadir sebagai salah seorang hakim dalam MTQ berkenaan bersama Ustaz Haji Abd Rahman Talipuddin, Datuk Haji Mokhtar Rapok dan Ustaz Haji Ghazali Sulaiman.

Jemputan bermula dengan solat maghrib berjamaah. Makan malam sesudahnya  dan majlis bermula selepas solat isyak. Tidak ramai peserta cuma 7 orang. Namun kehadiran agak memberangsangkan. Maklumlah mereka boleh mengerahkan pelatih-pelatih mereka untuk hadir bersama.

Alhamdulillah, saya juga bertemu ramai sahabat-sahabat lama di sini. Antaranya DSP Haji Malek Dolisin dan C/I Tuan Ag Lamat Haji Taman yang kedua-duanya pernah bertugas di Istana Negeri. Juga bertemu dengan Supt Haji Latif Ibrahim, ADC TYT sekarang, Sarjan Nasip Sarudin, ASP Misron Panan (SB) yang bertindak selaku pengacara majlis. Rupanya kalau dikira pertemuan tadi, ramai juga kenalan saya yang bertugas di PDRM ini sama ada pegawai atau anggota biasa.

Seronok juga mendengar ucapan dan celoteh Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Noor Rashid Ibrahim. Ucapan berteks sesekali ditambah-tambahnya secara bebas. Beliau menyebut dan membacakan beberapa ayat al-Quran dengan baik sekali. Begitu juga istilah-istilah tajwid diceritakannya, kami rasa beliau mempunyai asas yang baik dalam ilmu tajwid ini.

Sesekali di bilik hakim kami tersengih dan tersenyum mendengar bacaan peserta. Tambah lagi sesama hakim sememangnya sudah saling mengenali. Saya merasa seronok khususnya dapat bertugas bersama-sama dua orang hakim MTQ bertaraf negeri yang sarat pengalaman seperti Datuk Mokhtar dan Ustaz Haji Ghazali. Namun saya terkenang, bahawa salah seorang hakim yang bertugas malam ini menurut jadual asal ialah Allahyarham Ustaz Haji Nahar Haji Mantamin.

MTQ selesai sekitar 10.30 malam tadi. Bersalam menerima cenderamata daripada Pesuruhjaya Polis Sabah, beliau tersenyum dan sempat berkata : “Ustaz, lama kita tak jumpa”. Ya, dahulu masa bertugas di Istana Negeri, kami selalu bersembang dan bertegur sapa apabila terdapat acara-acara rasmi.

Saya tidak dapat mengambil gambar malam ini kerana tugasan hakim, bahkan saya sengaja meninggalkan kamera di dalam kereta. Namun saya  akan menanti emel foto-foto MTQ berkenaan daripada sahabat-sahabat di sana.

Saat babahnya disemadikan, Naufal, 4 tahun (baju kuning) bertanya kepada umminya : “Ummi, KENAPA Allah ambil babah?”

“Kita mesti redha nak..” jawab umminya.

Allahyarham Ustaz Nahar meninggalkan anak-anak yang soleh dan solehah. Seumur 4 tahun sudah tahu bertanya ‘kenapa’, dan memahami Allah yang berkuasa mengambil nyawa babahnya.

Mudah-mudahan menjadi pengajaran semua.


Mulai semalam diadakan majlis tahlil selepas solat maghrib, sementara selepas solat isyak diadakan majlis tadarrus al-Quran sempena pemergian Ustaz Haji Nahar Haji Mantamin yang mengadap ilahi pada isnin lalu.

Pada malam tadi, sahabat-sahabat yang hadir sempat mengkhatamkan al-Quran sebanyak dua kali (60 juzu’). Antara yang hadir ialah rakan-rakan sepengajian beliau di Jordan, guru-guru, sahabat-sahabat seusrah dan jamaah masjid kg Likas.

Insya Allah, majlis tahlil selepas maghrib dan tadarrus al-Quran selepas isyak akan diteruskan sehingga hujung minggu ini. Solat maghrib dan isyak berjamaah di Masjid Jamek Kg Likas. Sahabat-sahabat dipelawa untuk hadir majlis berkenaan bersama pasangan masing-masing.

Sementara itu majlis yang khusus untuk tetamu muslimat juga akan diadakan bacaan Yasin dan tahlil di rumah Allahyarham pada 18 Julai (ahad) jam 2 petang anjuran Dewan Muslimat Sepanggar.

Majlis terakhir dijangka akan diadakan pada petang ahad berkenaan selepas solat asar bersama Ustaz Taib Azamuddin Mohammad Taib, Ahli Parlimen Baling Kedah yang juga bekas Imam Besar Masjid Negara Kuala Lumpur. Semua  dijemput hadir.

Di pihak JHEAINS juga akan mengadakan majlis tahlil pada pagi Jumaat 16 Julai 2010 di tingkat 10 Wisma MUIS di pejabat Bahagian Pentadbiran Masjid, Wilayah dan Daerah, tempat Allahyarham Ustaz Nahar bertugas sebelum ini.


Perjalanan terakhir seorang hamba Allah

Selepas solat subuh di Masjid Jamek Kg Likas dan bersarapan di Likas Plaza bersama rakan-rakan yang berjaga malam, saya kembali ke masjid. Baru jam 6 pagi, ada sedikit masa untuk berehat. Fikiran masih berkecamuk setelah kehilangan Ustaz Nahar yang dikasihi.

Rehat dan lena tidak sampai sejam sedikit sebanyak terusik dengan kenangan lama. Lagi pun beberapa rakan membuat panggilan masuk dan sms ke telefon, bertanyakan urusan penyelenggaraan jenazah, bila mandi, bila solat, bila kebumi dan seumpamanya.

Hampir jam 8 pagi, kami yang hanya berada di luar rumah dimaklumkan jenazah ustaz sudah bersedia untuk disolatkan. Maklumlah keluarga dan sanak saudara beliau yang besar, ahli jamaah masjid serta rakan-rakan ramai dan sedia membantu urusan mandi dan kafan.

Solat janazah didirikan di Masjid Jamek Kg Likas yang terletak berhadapan dengan rumah ustaz dengan diimamkan oleh Imam Abd Ghani Hj Nawawi disertai kira-kira 500 jamaah. Sesudah solat pertama, muncul lagi kumpulan kedua yang terlewat sampai diimamkan oleh Ustaz Shahrul Nizam, rakan beliau yang sama-sama belajar di Jordan yang tiba dari Pahang malam tadi.

Sekitar 8.25 pagi, jenazah bersiap sedia untuk diusung ke Taman Perkuburan yang terletak tidak jauh, hanya berjalan kaki sekitar 5-10 minit. Saya melihat deretan orang ramai sama ada saudara mara, sahabat, guru-guru agama, para pendakwah terus berkunjung ke taman perkuburan, tidak sempat menyertai solat janazah dan terus ke majlis pengkebumian ustaz walaupun majlis hampir ke penghujung.

Kami jangkakan tidak kurang tiga ribu umat Islam yang mengikuti dan memberikan penghormatan terakhir buat ustaz yang dikasihi. Oleh kerana tempat persemadian ustaz berada di lereng anak bukit, masih ramai berdiri dan duduk jauh kerana keadaan tersebut tambahan keadaan tanah yang licin akibat hujan lebat semalam.

Imam Abd. Ghani dan Imam Wahid bersilih ganti memimpin talqin dan tahlil. Hati begitu sedih dan sebak sekali berpisah dengan ustaz. Saya melihat setiap sahabat-sahabat seusrah, rakan-rakan seperjuangan yang hadir semuanya sugul dan mengalirkan air mata.

Imam Wahid turut sebak saat memimpin tahlil. Teringat kebaikan ustaz yang suka membantu muallaf dan pekerjanya, santunnya kepada anak muda, kasih sayangnya kepada sahabat, pemurah kepada tetamu, juga hormatnya kepada pemimpin. Alhamdulillah, beliau pergi meninggalkan isteri yang baik dan anak yang soleh. Mudah-mudahan Nasyraf menjadi pemimpin dan pengganti yang baik dalam keluarga.

Semoga Ustaz Haji Nahar tenang dan bergembira menerima nikmat dari Allah SWT di alam barzakh. Marilah kita meneruskan perjuangan Islam yang ditinggalkan oleh para pendakwah terdahulu termasuk oleh Ustaz Nahar. Beliau telah mendahului kita semua.

Ya Allah ampuni Ustaz Nahar, kasihani dia, afiatkan dia, maafkan dia, muliakan dia, luaskan tempat semadinya, sucikan dia dengan air, salju lagi sejuk dan nyaman. Gantikan dia dengan kehidupan yang lebih baik berbanding yang sudah dialaminya di dunia. Jauhkan dia daripada azab kubur dan fitnahnya, juga daripada azab api neraka. Masukkan dia ke dalam syurga bersama orang-orang yang baik. Allahumma amin.


Malam tadi kami sahabat-sahabat akrab Allahyarham Ustaz Haji Nahar berziarah ke rumah beliau di Kg Likas. Saya sudah berpesan kepada sahabat-sahabat agar membawa sekali isteri masing-masing bagi mengucap tazkiah kepada Kak Shida.

Orang yang datang begitu ramai sekali. Bertali arus. Antaranya mantan mufti Datuk Haji Ismail Abbas bersama-sama jamaah Masjid Kg Likas yang baru menunaikan solat isyak. Datuk Sanin Pandin, mantan Ahli Suruhanjaya Cobbold juga kelihatan sama.

Sebelah siangnya, juga tidak kurang ramainya jamaah yang datang. Antaranya Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (SPANS) Datuk Haji Ismail Ag Besar, mantan Imam Besar Datuk Haji Mokhtar Rapok, Pengerusi Yayasan Amal Malaysia (Sabah) Haji Khairan Untoh, Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Sabah Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim, mantan Pengerusi MUIS Datuk Haji Matusin Ag Damit, ADUN Pantai Manis Datuk Rahim Ismail, Ahli MPT PKR Haji Ansari Abdullah dan ramai lagi.

Hujan lebat beberapa jam petang itu di sekitar Kota Kinabalu telah menenggelamkan beberapa lokasi. Demikian kami dimaklumkan. Namun jenazah Ustaz Nahar tidak putus dikunjungi orang. Rakan-rakan sekerja dari JHEAINS, guru agama,  pengawai tinggi kerajaan, orang-orang politik hadir silih berganti. Asalnya kami dimaklumkan jenazah mahu diselenggarakan secepat mungkin, namun hujan lebat itu menjadi salah satu halangannya. Tambahan lagi pihak waris masih menanti beberapa ahli keluarga yang hanya tiba ke Kota Kinabalu lewat petang.

Hampir 10 malam, kami mula meminta diri untuk pulang. Saya bersalam erat dengan Nasyraf, 17 tahun, anak sulung Ustaz Nahar. Saya menyabarkan beliau dan mengatakan bahawa kini amanah ketua keluarga berada di pundaknya. Kami sebagai rakan-rakan seusrah babahnya bersedia membantu sekadar yang termampu.

Rupanya Kak Shida ada permintaan lanjut. “Bolehkah ahli usrah bermalam di sini malam ni?” “Ya”, jawab saya. Kami berunding dengan rakan-rakan akan datang semula pada tengah malam. Saya juga balik sebentar untuk menghantar isteri dan anak.

Jam 1 pagi kami datang berkumpul. Ketika itu, keadaan sudah sunyi sepi kecuali suara bacaan al-Quran. Yang lain sudah mulai melelapkan mata. Banyak cerita kenang-kenangan bersama Allahyarham kami luahkan. Kisah saat-saat akhir hayatnya juga kami kongsikan bersama. Saudara Amir, pembantu Ustaz Nahar banyak bercerita tentang detik pemergian ustaz. “Ustaz Nahar sempat mengucap dua kalimah syahadah”, katanya, sebelum Allahyarham terlentok di bahunya.

Di rumah, anak-anak dari SMKA Tun Ahmadshah Inanam membacakan al-Quran sejak tengah malam sehingga ke jam 4.30 pagi. Kami pula mengambil saat akhir sebelum subuh untuk membacakan Yasin dan doa untuk Allahyarham. Sebelum berangkat ke masjid, saya buka lagi kain yang menutup wajahnya. Demi Allah, kami melihat wajah beliau dengan bibirnya yang tersenyum.

%d bloggers like this: