Tag Archive: Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim


Siri kedua ini mendapat sambutan yang lebih hangat dengan sejumlah hampir 200 peserta mengikuti kursus pengurusan janazah siri 2 anjuran Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah pada 25 Disember lalu. Ia dibimbing oleh Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim, sementara ketika sesi praktikal turut disertai oleh isteri beliau Ustazah Hajah Elfi yang membimbing peserta muslimat.

Seringkali apabila berlaku kematian, pihak masjid dan surau dicari. Bukan semata-mata kerana penghormatan kepada JK Masjid atau surau, tetapi kerana dalam keluarga si mati, tiada siapa yang mengetahui cara dan kaifiat mengurus janazah, bermula daripada mandi, kafan, solat dan tanam. Pendeknya pengurusan janazah sudah seperti diswastakan, sedangkan orang yang lebih utama memandikan ialah ahli keluarga si mati.

Sayang sekali saya tidak dapat menyertai daripada awal sehingga akhir sedangkan saya hanya hadir sebentar di tengah-tengah program, bahkan dipinta Ustaz Haji Muchlish pula untuk bercerita pengalaman menarik mengurus janazah muallaf yang awalnya diurus secara Kristian oleh keluarganya. Saya tiba dari Tawau sekitar jam 10.30 pagi, balik sebentar ke rumah dan terus ke Masjid Negeri.  Selepas zuhur pula saya ada dua undangan yang sudah saya janji untuk hadir.

Saya berharap akan dapat hadir penuh pada program yang akan datang dan saya ada cadangan untuk menambahbaik program ini khususnya dalam soal praktikal mandi, kafan, solat dan tanam. Alangkah baiknya kalau tukang-tukang gali kubur dapat dikumpul dan dikursuskan semula apatah lagi terdapat kubur yang tidak menepati ukuran kiblat. Meski dipanggil ustaz, saya hanya berpeluang sesekali mengurus janazah apatah lagi turut memandi dan mengkafankan. Pengalaman soal itu sangat sedikit dan cetek sekali walaupun saya boleh.

Foto-foto di bawah saya salin dari FB Aliamat Amran.

Tempat : Masjid Negeri Sabah

Khatib : Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim

Khatib memulakan isi khutbah berasaskan kepada ayat Allah SWT dari surah as-Saff ayat 1-2 :

“Wahai orang beriman, mahukah kamu Aku beritahu akan suatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari api neraka? Iaitu kamu beriman kepada Allah, kamu berjihad di jalan Allah dengan harta dan diri kamu; yang demikian itu adalah lebih baik bagi kamu sekiranya kamu mengetahui”.

Khatib memberi fokus berkenaan ‘berjihad dengan harta kamu’ yang didahulukan berbanding diri atau nyawa. Beliau memberi contoh yang sangat mudah iaitu berapa jumlah yang disumbangkan ke tabung-tabung masjid apabila kita hadir terutamanya pada hari jumaat.

Katanya, apabila tabungan masjid banyak ia boleh dimanfaatkan bukan sahaja untuk pengimarahan masjid tetapi membantu umat Islam secara keseluruhan, misalnya tajaan pengajian ke universiti, bantuan perubatan dan seumpamanya. Sangat menyedihkan katanya, kalau jamaah jumaat masjid melebihi seribu orang (sebagai contoh), tetapi kutipannya tidak sampai seribu ringgit.

Saya tertarik dengan saranan beliau agar umat Islam berlumba-lumba memanfaatkan harta ke jalan kebaikan. Kereta yang mewah dan mahal patut dibawa ke masjid dan surau bukan terperap di dalam rumah. Pilihan yang ada sama ada kita menjadi pengawal kepada harta atau harta yang mengawal kita.

KURSUS IBADAH QURBAN

 

Tarikh : 6 November 2010 (Sabtu)

Masa : 8 pagi – 12 tengahari

Tempat : Masjid Negeri Sabah

Pembimbing : Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim

Yuran : RM10.00 Sahaja

Wakil-wakil masjid, surau, NGO, badan kebajikan di jabatan-jabatan kerajaan dan swasta, siswa di IPTA & IPTS serta umat Islam sekitar Kota Kinabalu dan Pantai Barat Sabah dijemput hadir.

TINTA ILMU

Sedikit masa yang terluang ketika waktu rehat tengahari kami isi dengan berkunjung ke kedai buku Tinta Ilmu milik Encik Baharom Kassim yang juga Bendahari Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM). Tinta Ilmu terletak di Kompleks Ole-Ole, Seksyen 18 Shah Alam, sekitar 10 minit dari lokasi program kami di Seksyen 7.

Menurutnya, Tinta Ilmu mula beroperasi pertengahan 2007 dan dirasmikan setahun kemudian – 18 Julai 2008 oleh Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Ketika perasmian itu katanya, kompleks ini penuh sesak dengan kehadiran ramai orang yang ingin melihat secara dekat sosok dan wajah MB Kelantan. Jualan kedai buku beliau juga melonjak mulai hari itu berbanding sebelum kedatangan tuan guru.

Masa terbatas di sini kerana kami perlu kembali ke Seksyen 7. Hanya sekitar 40 minit, saya  sebenarnya tidak puas membelek buku-buku di sana. Saya hanya dapat memilih lebih 10 buah buku sebagai ole-ole untuk dibawa balik ke Sabah. Terima kasih Encik Baharom memperkenalkan kami kedai bukunya sekaligus diskaun harga buku yang berbaloi. Insya Allah ada masa kami borong lagi.

%d bloggers like this: