Tag Archive: Ust Hj Nahar Mantamin


Usrah kami yang ada sekarang ditubuhkan pada 2005 di Kg Likas. Saya ketika itu adalah penyelarasnya. Naqib asal seingat saya yang dicadangkan adalah Allahyarham Ustaz Haji Nahar Haji Mantamin, namun pengisian tarbiyyah dan lain-lain biasanya dipimpin oleh Ustaz Haji Abdullah Din. Akhirnya Ustaz Abdullah Din menjadi naqib sehingga beliau berpindah ke Kedah dua tahun lalu.

Dalam tempoh itu hingga sekarang, ahli usrah ada yang bertukar ganti. Ada yang menarik diri daripada perjuangan ini, ada yang futur, ada yang berpindah dan ada yang mendiamkan diri. Namun dalam masa yang sama kami turut menerima sahabat-sahabat baru yang banyak mengenalkan kami erti persahabatan. Sehingga kini tidak kurang 15 orang ahli yang aktif dan mengisi program setiap minggu.

Dalam usrah kami membaca untaian hadith-hadith  Rasulullah SAW daripada pelbagai kitab antaranya buku penawar hati, riyadhus solihin dan kini syamail muhammadiyyah SAW. Kami juga pernah dididik dengan ilmu tafsir beberapa surah seperti az-Zariyat, an-Nur, Yasin, asy-Syu’araa’ dan kini al-Baqarah. Ia diselitkan dengan program luaran sebagai aktiviti praktikal termasuk program ziarah, bantuan kepada yang memerlukan dan seumpamanya.

Kehadiran ke Kota Kinabalu tiga sahabat baik kami, Ustaz Haji Abdullah Din, Cikgu Jamil dan Ustaz Khidir menimbulkan idea untuk kami bertemu semula walaupun sebentar untuk berusrah dengan pengisian tadarrus, sungkai bersama sehingga solat tarawih. Hampir semua ahli kami hadir bersama keluarga masing-masing kecuali seorang dua yang sudah memaklumkan keuzuran mereka.

Alhamdulillah, walaupun ada yang sudah berpindah namun ukhuwwah tidak pernah terputus. Ia sentiasa dipelihara dan perkembangan sesama kami sentiasa diambil maklum dan diberi perhatian. Semoga Allah SWT menjaga kami dan kita semua.


Sahabat, rakan, guru yang dikasihi Ustaz Haji Nahar Haji Mantamin, 43 tahun, mantan Imam Besar Masjid Negeri meninggal dunia pagi tadi.

Janazah beliau baru sahaja dibawa pulang dari Bangunan Sabah Medical Centre (SMC) jam 1 tengahari tadi dan kini berada di rumahnya di Kampung Likas.

Saat tadi (dan sekarang), ribuan sahabat handai, pegawai-pegawai kerajaan, rakan-rakan sekerja di JHEAINS, jamaah Masjid Negeri Sabah, Masjid Bandaraya dan Masjid Kg Likas, pendukung dan penyokong PAS dan UMNO menziarahi Allahyarham.

Allahyarham adalah lulusan Universiti Jordan Amman dengan mengambil Kuliah Syariah Pengkhususan Fiqh dan Usul sekitar tahun 1995 – 2001. Terdahulu beliau juga pernah belajar di Syria dan kembali ketika Perang Teluk.

Di JHEAINS, beliau pernah bertugas di Bahagian Dakwah, sebelum dipindahkan ke Masjid Negeri Sabah sebagai Imam Besar antara tahun hingga Mei 2006 Oktober 2008. Jawatan terakhir beliau ialah Penolong Pengarah Bahagian Pentadbiran Wilayah & Masjid.

Beliau seorang yang sangat aktif dalam dunia dakwah khususnya di Sabah. Pelbagai usaha telah dijalankan beliau sepanjang hayatnya. Tidak keterlaluan saya menyebut bahawa umat Islam di Sabah kehilangan sebutir permata yang bernilai.

Insya Allah Allahyarham akan dikebumikan di Taman Perkuburan Islam Kg Likas pagi esok. Umat Islam dijemput hadir. Dari Allah kita datang, kepada-Nya kita kembali. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ruh Allahyarham. Al-Fatihah.

Nota : Dengarlah suara beliau membaca doa melalui corong radio Sabah FM setiap kali selesai azan dikumandangkan.

Catatan lanjut menyusul.

USTAZ HJ ABDULLAH DIN

Ust Abdullah menerima cenderakenangan daripada Imam Besar Masjid Negeri, Hj Nahar

Petang sabtu 5 Julai, seorang sahabat, guru, abang, naqib kembali ke Kedah setelah menabur bakti di bumi Sabah lebih 10 tahun. Pernah bertugas di beaufort, penampang dan k.kinabalu.

Tapi bagi kami, dia bukan setakat guru biasa. ia meluangkan hampir seluruh masanya untuk dakwah. Dakwah kepada non muslim, kepada remaja, masyarakat umum, NGO dan bermacam-macam. Dia begitu bersemangat dan pantas apabila mengatur program. TIdak sedikit NGO dan agensi kerajaan yang dibantu dalam program dakwahnya. ABIM, JIM, PUM, PAS, Yayasan Amal, JAKIM, Teratak Fitrah.

Saya amat mengkagumi Ust Lah. Lebih lagi kepada isterinya yang begitu tabah. Dengan anak 6 orang tanpa pembantu rumah, saya memahami kesibukan Ust Lah dan kesabaran isterinya. Kami mendengar kisah rumahnya yang pernah dibaling dengan telur, kerana membuat program kuliah fardhu ain rumahnya. Selepas itu, ust Lah berpindah ke taman lain.

Di rumah baru, sebulan dua lepas, atap rumahnya dihumban dengan pasir. Bahkan isterinya sendiri pernah dimaki orang kerana kerajinan ust Lah membuat program dakwah. Lebih dari itu, Ust Lah sendiri pernah disihir. Begitulah cerita yang kami dengar.

Topik yang paling menjadi kegemarannya ialah dakwah kepada remaja, dimana remaja menjadi audiennya kerana dia bertugas sebagai guru sekolah menengah di SMK Tebobon sebelum berpindah ke Kedah.

Beberapa pelajarnya yang bukan Islam, jatuh ditangannya mengucap syahadah tunduk kepada Allah. Program usrah pelajar, perkhemahan dan banyak lagi sentiasa mencuri perhatian pelajarnya.

2-3 tahun terakhir di Sabah, dia menambah koleksi minat dakwahnya dengan mempelajari bible dan mendedahkan hakikat ajaran kristian kepada masyarakat terutama golongan pelajar.  Dalam majlis perpisahannya pada minggu lepas, saya menggelar kumpulannya yang giat mempelajari bible dengan panggilan ‘sahabat bible’.

Di LTAKK, agak saya ramai juga yang menghantar Ust Lah. Mungkin 2-3 ratus. Tidak kurang juga yang menitiskan air mata menangisi perpisahan itu. Akhir perpisahan itu, secebis doa kami panjatkan bersama-sama dan diakhiri dengan laungan takbir.

Ust Lah, terima kasih budi dan jasamu di Sabah. Selamat berjuang di laman sendiri. Kami benar-benar kehilangan.

(Artikel ringkas ini tidak mungkin dapat menceritakan seluruh jasa-jasa dakwahnya di bumi Sabah)

Firman Allah : “Siapakah yang terlebih baik kata-katanya, berbanding orang yang menyeru dakwah kepada Allah dan berbuat baik dan berkata : sesungguhnya aku termasuk orang Islam”

%d bloggers like this: