IMG_6230

Ust Hj Hadiq Ismail bukanlah seorang yang asing di bumi Tambunan khususnya umat Islam yang minoriti di sini.

Seorang guru agama yang gigih, beliau datang ke daerah ini sejak 1974 lebih dahulu sedikit beberapa bulan berbanding Allahyarham Tuan Guru Ust Hj Ahmad Darbi Lubis.

Pagi ini, kami sembang-sembang santai sambil bersarapan soto di warung beliau yang terletak di hadapan rumah tepi jalan.

Saya walau sudah mengenali beliau agak lama, tetapi tidak pernah berbual panjang seperti tadi. Anak ketiga beliau, Sofiah adalah rakan sekelas saya di SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah.

Ust Hadiq ada menceritakan bahawa nama asalnya hanyalah Ismail sahaja. Seorang guru beliau menambah kalimah di awalnya dengan perkataan hadiq yang bermakna taman.

Sesuai pula dengan jiwanya kini, apabila melihat perkarangan rumah beliau yang dihiasi dengan bunga-bungaan dan kolam ikan.

Pendakwah yang berasal dari Timor ini pernah belajar di Pondok Moden Gontor dan IAIN di Jawa. Kedua-dua institusi ini banyak melahirkan ilmuan dan cendikiawan khususnya Indonesia bahkan Malaysia juga.

Saya seronok mendengar kisah Pondok Moden Gontor lantaran ramai rakan-rakan juga belajar di sana. Ust Saiful Mukharrom, Ust Firman Shah, Mustafa Kamal, Eko dan beberapa nama lagi.

Bersama Ust Hadiq, saya merancang untuk berziarah ke sana satu hari nanti.

Apabila saya tanya, apakah perkara paling manis hidup di Tambunan ini, beliau menjawab : “Melihat ramai pelajar saya berjaya”.

Beliau sejak datang, sudah bertugas pelbagai tempat di Tambunan dan Keningau. Sudah tentu catatan pendek ini tidak cukup menceritakan perjuangan hidup beliau. Anak-anak murid beliau, boleh tambah di bawah.

Dengan hayat beliau selama 59 tahun kini, saya mendoakan kesejahteraan dan kesihatan beliau bersama isteri dan anak seramai 9 orang, serta cucu-cucu yang mula berjuntun sekarang.

Tidak ketinggalan, pondok al-Kauthar yang sedang diusahakannya sekarang dengan 15 pelajar terbantut kerana dapurnya runtuh.

Terima kasih kerana beriya-iya menumpangkan kami bermalam di sini. Janji saya, dengan izin Allah saya akan datang lagi. Belum puas bercerita dengan beliau.

Rumah Anak Yatim (RAY), Tambunan.

IMG_6228

Rumah yang membesarkan 9 orang anak.