Tag Archive: USNO


Ust Hj Mohd Iyen Atim

Pada zaman pemerintahan kerajaan USNO di Sabah, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun ada menghubungi pemerintah Indonesia bagi memohon jasa baik para pendakwah agar datang ke Sabah menyebarkan Islam.

Di antara panduan yang diberikan ialah para pendakwah itu mestilah berfahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dan bermazhab Imam asy-Syafii. Lalu dipilihlah sebuah institusi pendidikan yang terkenal di Medan Indonesia, iaitu al-Wasliyyah.

Diadakan temuduga, dan yang dipilih hanya seramai 18 orang. Diantara yang terpilih itu ialah Ust Hj Muhammad Iyen bin Atim, salah seorang bekas penuntut di sana.

Mungkin tidak ramai mengetahui bahawa nama sebenar tokoh pendakwah di Sabah ini ialah Syahrin Muhammad Yatim, kini berusia 76 tahun.

Berasal dari Kecamatan Tanjung Beringin Bedagau, Kabupaten Deli Serdang, Propinsi Sumatera Utara, Indonesia. Merupakan anak kedua dari empat beradik dan beliau adalah anak lelaki tunggal.

PENDIDIKAN

Pendidikan awalnya melalui dua sesi. Sebelah pagi, belajar di Sekolah Dasar, sementara pada sebelah petang bersekolah di Madrasah al-Jamiyatul Wasliyah peringkat ibtida’ie selama 6 tahun.

Di peringkat menengah, sebelah pagi beliau belajar di Sekolah Guru Islam selama dua tahun. Setelah sekolah tersebut diubahsuai menjadi Pendidikan Guru Agama (P.G.A) beliau terus belajar selama 3 tahun lagi.

Pada sebelah petang pula, beliau belajar selama 3 tahun di Madrasah Al Jam’iyyatul Wasliyah Kotapraja Tebing Tinggi Deli, sehingga tamat pengajian pada tahun 1954.

Ust Hj Md Iyen melanjutkan pendidikannya ke sekolah peringkat atas, iaitu Qismul ‘Ali, selama 3 tahun yang setaraf dengan ijazah sarjana muda.

Ust Hj Md Iyen melangkah ke Universiti Al Wasliyyah pada tahun 1957, malangnya beliau hanya sempat bertahan di universiti selama dua tahun kerana kedua orang tuanya tidak mampu membiayai kos sara pendidikannya.

Sejak itu, Ust Hj Iyen menanam semangat iltizam di dalam jiwanya agar memastikan semua anaknya nanti akan menjadi graduan universiti.

AKTIVITI

Rupanya Ust Hj Md Iyen adalah seorang yang aktif ketika zaman persekolahan dan awal kerjayanya.

Antaranya, pernah menjadi Ketua Umum Ikatan Pelajar al-Wasliyyah di Tebing Tinggi Deli dan Setiausaha 1 Gerakan Pemuda al-Wasliyyah Tebing Tinggi Deli.

Dalam siasah, al-fadhil ustaz pernah menjadi Setiausaha II Gerakan Pemuda Islam Indonesia Kecamatan Tanjung Beringin, dan turut menganggotai Partai Islam MASYUMI sehingga dibubarkan oleh kerajaan Indonesia.

BERANGKAT KE SABAH

Menceritakan detik ketibaan mereka secara berperingkat, al-Fadhil Ustaz Iyen datang pada 1 April 1974 bersama rakan-rakan lain.

Ust Iyen dihantar ke daerah Ranau, sebuah daerah pelancongan tempat beradanya gunung kinabalu yang tersergam indah.

Beliau berada di Ranau selama 2 tahun sebelum dipindahkan ke SM Islamiah Buang Sayang Papar yang baru dibuka ketika itu.

(Ada gambar istimewa tanpa tarikh saya perolehi dari pejabat kami di Bahagian Penyelidikan & Informasi JHEAINS, merakamkan detik Ust Hj Md Iyen sedang mengajar di SM Islamiah Papar antara 1977-1984. Gambar hitam putih ada di bawah).

Di sekolah ini, Ust Hj Md Iyen bertugas selama 8 tahun sebelum dipindahkan pula ke MUIS Kota Kinabalu khususnya di Bahagian Sebaran Am.

Meski di MUIS hingga ke JHEAINS ditempatkan sebagai pengarang, jemputan dan undangan turun ke masyarakat untuk berceramah ke seluruh pelusuk Sabah tetap diterima dan dipenuhinya.

Menurut ustaz, sehingga kini hanya daerah Pensiangan yang belum dimasukinya. Motto ‘Di mana bumi dipijak, di situ dakwah dijunjung’ sentiasa menjadi pegangan beliau.

Perkahwinan bahagia bersama Hjh Robiyatun Sekah, mereka dikurniakan 6 orang anak – 2 anak lelaki dan 4 anak perempuan, iaitu Shofriza Washlaini, (BA Pengajian Islam UKM Bangi dan Dip. Pendidikan), Laila Hijrah (BA Sains Industri USM dan Dip. Pendidikan), Dr. Mohd Iqbal (BA Perubatan), Intan Rasyida (sedang menuntut di universiti), Nurun Nazhifah (sedang menuntut), dan Badrul Ilmi (sedang menuntut).

Dalam usia 76 tahun kini, walaupun sudah bersara sebagai warga JHEAINS, ustaz masih aktif berceramah ke sana dan ke sini, mengisi program di masjid, surau dan pejabat-pejabat, menjadi hakim tilawah dan nasyid anjuran pelbagai pihak.

Bagi peribadi saya, saya mengenali lebih dekat dengan beliau ketika kami memulakan pengajian di Maahad Tahfiz al-Quran yang ketika itu berpusat di Masjid Negeri Sabah. Ust Iyen dijemput memberikan ceramah dan motivasi kepada kami sebagai perintis awal.

Sejak itu nama beliau saya ingati sehingga kini. Semoga Allah SWT memberi kesihatan kepada ustaz sekeluarga dan dapat menyampaikan Islam sehingga akhirnya.

(Maklumat ini saya kumpulkan antara lain melalui penceritaan Ust Hj Md Iyen sendiri, wawancara siswa DPI UMS bersama Ust Iyen dibawah seliaan Ust Azam dan pengalaman peribadi saya sendiri).

Ust Hj Md Iyen Atim 2

Ust Hj Md Iyen Atim ketika bertugas di SM Islamiah Papar lebih 30 tahun lalu

    IMG_2114Ada satu kesempatan kami bersama, berziarah ke sebuah masjid di Kg Bundu Tuhan, Kundasang.
    Khabarnya, masjid ini dibina sejak zaman pemerintahan USNO dan pernah dijadikan pusat pengislaman beramai-ramai satu ketika dulu.
    IMG_2118Walaubagaimana pun, masa berubah dan ramai di kalangan penduduk beragama Islam berhijrah ke Pekan Ranau dan ke daerah-daerah lain.
    Keadaan itu menyebabkan majoriti penduduk kampung ini kembali dikuasai oleh penduduk bukan Islam.
    Sebenarnya, menurut pemerhatian, penduduk beragama Islam berada di seberang selepas jambatan.
    Di sebelah itu, khususnya kampung Himbaan dan Tagudon mempunyai masjid @ surau sendiri.
    Melihat kepada struktur masjid Kg Bundu Tuhan tadi, nampaknya ia masih elok dan seperti baru diperbaiki.
    Zink atapnya baru diganti manakala keseluruhan bangunan dicat semula. Hanya sanya masjid yang masih elok ini nampaknya terbiar tanpa diimarahkan.
    Saya ada mendengar cadangan masjid ini hendak dirobohkan memandangkan ia sudah tidak dimanfaatkan.IMG_2081
    Saya berpendapat jika itu berlaku, adalah sangat malang, tambahan tidak jauh sebelum bertemu masjid berkenaan, terdapat sebuah bangunan untuk menjaga anak-anak yatim (gambar kiri) dan retreat centre milik orang Kristian. 
    Sekiranya bangunan masjid dirobohkan, secara moralnya umat Islam dilihat gagal dan kalah.
    Dalam tempoh terdekat ini, saya sangat berharap pihak berkaitan agar duduk berbincang untuk memanfaatkan masjid itu semula dalam bentuk yang lebih baik.
    Jika ia sukar diimarahkan dalam bentuk masjid lagi kerana di kampung ini orang Islam tiada langsung (?) atau sangat sedikit, bolehlah diikhtiarkan agar ia menjadi pusat pengajian atau penempatan muallaf atau seumpamanya.
    Alangkah moleknya jika Yayasan Amal Malaysia Negeri Sabah dan Persatuan Siswazah Sabah boleh memulakan projek memuliakan semula masjid ini bersama-sama JHEAINS Ranau.
%d bloggers like this: