Sumber : http://silverheritage.blogspot.com/2014/04/usamah-morsi-cerita-detik-pertemuan.html

Putera kepada Presiden Mesir yang sah, Dr.Mohammed Morsi, Usamah Morsi menceritakan detik-detik pertemuan beliau dengan ayahandanya Dr.Morsi yang berlangsung pada 16 April lalu. Usamah menceritakannya di laman sosial Facebook milik beliau dan berkata, ayahandanya berada dalam keadaan kesihatan yang baik dan tidak putus-putus penggantungannya dengan Allah.

Kata Usamah, “Pertemuan pada hari Rabu itu berlangsung di Akademi Polis iaitu lokasi perbicaraan mahkamah Presiden Morsi yang terletak di Tajammu’ Khomis, timur Kaherah. Saya masuk bertemu dengan Tuan Presiden dalam pertemuan khas yang berlangsung selama 10 minit.”

Jelas Usamah lagi, “Tatkala saya memasuki bilik yang menempatkan Tuan Presiden, saya melihat wajah beliau berseri-seri dan kelihatan janggutnya masih basah dengan air wudhuk. Dalam pertemuan itu turut bersama kami ialah Tuan Rifa’at Tohtowi, seorang yang berketurunan mulia dan cucu kepada ulamak (beliau merupakan Ketua Turus Pejabat Presiden Mesir ketika pemerintahan Dr.Morsi) selain 7 orang pegawai polis tetapi pandangan saya hanya memandang Tuan Presiden.”

Menurut Usamah Morsi lagi, “Saya mengucup tangan dan kepala Tuan Presiden, lantas beliau berkata kepada saya: “Sila bertenang dan jangan risau..Saya berada dalam keadaan kesihatan yang amat baik. Penggantungan saya kepada Allah, ia menguatkan saya bersama saudara saya ini, Rifa’at dan beliau merupakan sebaik-baik lelaki.”

Presiden Morsi juga turut prihatin apa yang menimpa seorang tokoh revolusi Islam Mesir, Syeikh Hazim Abu Ismail yang turut diheret ke mahkamah pada hari yang sama maka Usamah memaklumkan beliau dijatuhkan hukuman zalim lantas Presiden Morsi mendoakan agar saudaranya, Hazim itu dibebaskan.

Usamah Morsi mengakhiri tulisannya di Facebook dengan berkata, “Presiden menyampaikan salam kepada semua maka tamatlah waktu yang diberikan maka saya keluar dari bilik tersebut.”

Sumber: Halaman rasmi FJP