Tag Archive: Universiti al-Azhar


RAYA KE-7

1. Hj Abu Aslam Abdullah di Taman Ujana Kingfisher Likas.

Seingat saya, hampir tiap kali Tuan Hj Akriah @ Abu Aslam mengundang ke rumah terbukanya, biasanya kami sekeluarga hadir bukan pada masanya.

Sama ada datang sehari awal, datang lambat atau langsung tidak hadir. Memang kunjungan ke rumah terbuka pada hujung minggu perlu disusun sebaiknya kerana biasanya banyak rakan taulan yang menjemput hadir pada hari yang sama.

Kali ini kami hadir pada lingkungan masa jemputan. Pengusaha dan pemilik Farmasi Aslam ini seorang yang pemurah. Sumbangan beliau pada program dakwah bukannya sedikit.

Sepanjang yang saya kenal sejak zaman sekolah dahulu ketika beliau memulakan farmasinya di deretan kedai Sembulan pada pertengahan 90an, perniagaan beliau semakin maju dan sehingga kini cawangan farmasinya ada di Putatan, Likas, Inanam, Indah Permai dan Tuaran.

Beliau juga ada pasar mini, sementara isteri beliau Dr Khatijah membuka klinik perubatan kedua-duanya di Salut Sepanggar, berdekatan kompleks Politeknik Sepanggar.

Dalam jamuan mereka, tidak ketinggalan udang salai dan sudah tentu, siager yang menjadi tradisinya.

2. Along di Taman Indah Permai, Sepanggar.

Ini rumah wajib kami hadiri, khususnya kalau tidak balik kampung. Abang paling sulung yang sudah bermastautin di sini sejak akhir 90an.

Tahun ini kami sama-sama tidak balik kampung. Mereka di sini dan di Sembulan Tengah (tempat mertua) sementara kami di Putatan saja.

Anak-anak buah di sini sudah besar-besar. Alif di Sekolah Teknik Keningau, Abd Aziz di SMKA Inanam, Natasya di SM Shan Tao Likas dan Alia di SK Tebobon.

Ketika di sana, kehadiran abang ke-3, PP dan keluarganya yang baru datang dari Beaufort tambah memeriahkan suasana khususnya sesama anak masing-masing.

3. Abang Md Shafee di Taman Mesra Kepayan.

Letih ke rumah mereka, kerana dua anak tidur sejak pulang dari Indah Permai. Hero saya yang sudah 18kg walau baru hampir 3 tahun terpaksa dipikul bersama adiknya dari kereta yang parkir sedikit jauh.

Tuan rumah, Abang Md Shafee adalah jamaah surau Austral, dan kerap menjadi bilalnya.

Dalam kuliah tajwid saya pada setiap rabu malam khamis, beliau juga salah satu peminatnya. Bukan beliau seorang, bahkan dengan anaknya juga.

Saya suka keluarga ini.

4. Tuan Hj Fauzi How.

Seringkali beliau menjemput ke rumah untuk kenduri kendara, saya gagal hadir.

Saya baru tahu rumah beliau saling berhadapan dengan Abg Md Shefee, jadi saya tidak mahu menghampakan beliau lagi, biarpun hanya sebentar.

Tuan Hj Fauzi orang lama di taman ini. Beliau sudah membeli rumah ini sejak ia mula dibuka lagi, dan tidak berganjak atau bertukar ke tempat lain. Tetapi yang bertukar ialah orang rumahnya.

Setelah isteri beliau kembali kerahmatullah, Hj Fauzi kini tidak keseorangan. Sudah ditemani oleh orang baru. Sejuk hati memandang mereka sering berdua ke surau setiap hari bersama-sama.

5. Ust Hj Md Zamree Abdullah di Kg Buang Sayang Papar.

Ust Zamri digelar Sibawaih Sabah ketika zaman belajarnya. Ini kerana kemahiran ilmu nahu yang dimiliki beliau serta menjadi pakar rujuk kepada rakan-rakan sepengajian.

Di Mesir pada 1997-2002, Ust Zamri berada di Dumyat, perjalanan 3 jam menuju utara Mesir ,mengaji kuliah usuluddin (tafsir). Tidak ramai pelajar Sabah di sana, bahkan rakyat Malaysia pun.

Ust Zamri konsisten dengan bahasa arab fushah (rasmi) dalam pertuturan arabnya, ketika orang lain merasa siuk dengan dialog arab ‘ammi (kampung).

Sudah berumahtangga dengan Kak Nanim yang mengaji syariah juga di Mesir tapi di Iskandariah pada 1997-2001. Dua puteri comel mereka Azyani Umaira (3 tahun) dan Batrisya Ufairah (1 tahun) menghiasi hidup mereka kini.

Ust Zamri bertugas di SK Putatan sementara Kak Nanim di SK Surati Papar.

 IMG_8897

IMG_8900

IMG_8903

IMG_8918

IMG_8924

IMG_8933

IMG_8943

MENJEJAKI AZHARIYYUN

Al-AzharMosqueCairo

Khamis 24 Sept, ziarah raya kami menjejaki rumah pelajar dan lepasan Universiti al-Azhar khususnya di Papar. Tidak semua sempat diziarahi, tetapi inilah antaranya.

1. Rumah Ust Amiruddin dan Masri Md Rosdi di Kg Gadong Kimanis.

Walaupun mereka tiada di sana kerana kini berada di bumi Mesir, ia menjadi kenangan berharga dan bernilai khusus buat anak-anak rombongan yang hadir bahkan kepada kami semua.

Maslinah – adik kepada Amiruddin dan kakak kepada Masri bakal menjejaki abang dan adiknya pada 6 oktober nanti ke Mesir.

Saya mengenali Masri ketika berkunjung ke rumah ini ramadhan tahun lalu.

Sementara Amiruddin tidak pernah saya temui kerana beliau di Mesir sejak beberapa tahun lalu. Tetapi sebenarnya saya gemar membaca tulisan Amiruddin lewat blognya di http://elmandari.blogspot.com/.

Sesetengah catatan itu menggamit kenangan ketika saya di sana. Meski tidak pernah bertemu, melalui tulisannya saya merasa rapat dengannya. Catatan di dalam blognya menunjukkan Amir seorang yang berbakat.

Amir, teruskan menulis.

2. Rumah Ust Hj Lukman Said di Kg Melagui, Kelatuan Papar.

Seperti rumah pertama, Ust Hj Lukman juga kini berada di Mesir, tinggal setahun menamatkan pengajian sarjana di Universiti al-Azhar dalam bidang lughah (bahasa Arab).

Kehadiran kami sekeluarga disambut oleh Ust Fakhruddin – abang Ust Lukman dan ibunya Ustazah Hjh Maryam Kassim.

Dua jam di rumah beliau, banyak kami sembangkan khususnya sejarah perjalanan dakwah Ustazah Hjh Maryam dan suaminya Allahyarham Ust Hj Said. Mereka datang ke Sabah pada 1969 dan bertahan sehingga kini.

Allahyarham Ust Hj Said telah kembali kerahmatullah beberapa tahun lalu dan dikebumikan di sini juga. Sempat juga saya mengambil dan mencatat beberapa nama guru agama serta pendakwah yang sezaman dengan ustaz & ustazah.

Ketika hayatnya, Ust Hj Said pernah dinobat sebagai tokoh guru JHEAINS Negeri Sabah, sementara Ustazah Hjh Maryam pernah dua kali dianugerahkan tokoh Sayyidah Khadijah 2007 & 2009 dalam sambutan Maal Hijrah peringkat daerah Papar.

Mengisi ruang hidupnya kini, Ustazah Mariam ada membela 2 ekor biri-biri dan kebun buah-buahan seluas 4 ekar di belakang rumah. Puas juga kami makan durian petang tu.

3. Yang Arif Ust Wan Azharan Wan Suhaimi di Perumahan Kuala Papar.

Ust Wan Azharan lebih kami kenali dan panggil dengan nama Kenet. Seorang yang santai orangnya semasa zaman belajar tetapi cekap dan mahir menghafal dalil-dalil agama.

Di Kaherah dahulu, Ust Kenet datang setahun lebih awal berbanding saya dan mengaji dalam bidang syariah. Alhamdulillah, kini beliau berkhidmat dengan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah sebagai hakim mahkamah syariah.

Walaupun beliau ditempatkan di Mahkamah Syariah Kudat, kerap juga Ust Kenet turun ke KK membantu menghakimi kes-kes yang berlambak di ibu negeri berbanding di Kudat.

Saya sempat bertanya tarikh hari bahagianya, Ust Kenet menjawab : “Taqriban”.

4. Ust Hj Abidin Omar di Perumahan Kuala Papar.

Beliau sarat dengan pengalaman. Berada di Universiti al-Azhar 1982-1987 dalam bidang Usuluddin (Tafsir).

Dalam perkhidmatan awamnya, pernah menjadi pengetua di SMAI Tawau, SMAI Papar, Ketua Nazir Pendidikan JHEAINS, PTA JHEAINS Sandakan dan Pengetua SMAI Beaufort.

Kini beliau kembali dan memilih sebagai guru agama biasa saja atas beberapa alasan kesihatan dan kesibukan tugas.

Beliau juga adalah hakim MTQ Negeri Sabah dan Fertival Kompang, Barzanji dan Marhaban Negeri Sabah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Jangan lupa, beliau juga adalah pengendali blog terkenal : http://ambuyatel-binangkit.blogspot.com/. Statistik menunjukkan lebih 600 ribu pengunjung sejak november 2007.

Isi kandungan blog beliau bukan setakat berita terkini tetapi juga koleksi bahan-bahan yang boleh menjadi rujukan semua.

5. Ust Hamdani Omar di SMAI Papar.

Ust Hamdani adalah pengetua di sekolah berkenaan. Sebelum ini beliau pernah berkhidmat sebagai pengetua di SMAI Kunak dan SMAI TPHR, nazir di pendidikan JHEAINS, juga menjadi pengawas asrama SMAI TPHR pada zaman kami menjadi pelajarnya.

Ust Hamdani berada di Mesir antara 1985-1989 dalam bidang Usuluddin (Hadith).

Banyak kami sembangkan bersama khususnya hal ehwal semasa dan kisah-kisah zaman belajar dahulu.

Satu jasa yang tidak mungkin saya lupakan, Ust Hamdani adalah orang yang bertanggungjawab mengubah pendirian saya yang pada mulanya enggan memasuki Maahad Tahfiz al-Quran dan kemudian berebut pula.

Hidayah daripada Allah dan salah satu ikhtiarnya daripada beliau.

Tidak lupa, antara kemahiran mengambil fotografi yang sedikit saya punyai kini juga hasil tunjuk ajar beliau. Zaman sekolah dahulu, saya adalah jurugambar sekolah sementara Ust Hamdani adalah penasihat dalam JK majalah sekolah.

6. Ustazah Hamidah Amat di Kg Kelanahan Papar.

Kak Midah panggilan mesra kami kepadanya. Di Mesir, beliau ditempatkan di Mansoura pada 1997-2004 dalam bidang syariah.

Ketika di Mansoura, sifat keibuannya terserlah. Kak Midah antara rakan-rakan isteri yang turut sama tinggal di rumah kami ketika Nuha dilahirkan.

Bukan saja keperluan ibu dan bayi mereka tolong aturkan, bahkan makan saya turut disediakan, pakaian saya mereka basuhkan sekali. Rasanya seminggu pertama kelahiran Nuha, saya tidak perlu masuk ke dapur.

Jasa Kak Midah dan rakan-rakannya tidak kami lupakan. Mudah-mudahan Allah memudahkan jodoh Kak Midah.

Kini Kak Midah bertugas di SK Pinggan-Pinggan, Pitas sebuah daerah termiskin di Sabah. Allah pelihara Kak Midah.

7. Ustazah Jumayyah Memun di Kg Kelanahan Papar.

Sudah tiga tahun Kak Jum berkhidmat di bumi Tawau, khususnya di SK Tg Batu. Bunyi cakapnya pun sesekali terkeluar juga bunyi ketawauan.

Ketika di Mesir pada 1996-2004, Kak  Jum yang mengaji bidang usuluddin di Universiti al-Azhar Kaherah pernah memimpin HEWI BKPSM.

Banyak juga program HEWI yang diatur bersama JKnya ketika itu.

Rumah beliau adalah lokasi terakhir kami malam itu. Sembang kami banyak tertumpu dalam program pemantapan aqidah, khususnya mengajar hal-hal perbandingan agama Islam-Kristian. Maklumlah Kak Jum orang Usuluddin.

IMG_8763

IMG_8807

IMG_8818

IMG_8822

IMG_8828

IMG_8831

IMG_8835

IMG_7072

“Apabila tiba Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga, dikunci pintu-pintu neraka, manakala syaitan-syaitan diikat”.

Demikian hadith yang menjadi pilihan Ust Ahmad Izzat Shauki dalam tazkirah beliau di Surau Taman Limauan malam isnin lalu. Beliau menamatkan pengajian di Universiti al-Azhar, Damanhur Mesir pada 2002.

Ceramahnya bersemangat, suara pula akan-akan Ust Shamsuri Ahmad. Jamaah yang hadir nampaknya gemar dan suka dengan huraian ceramah ustaz.

Semoga Ramadhan kita tahun ini lebih baik daripada Ramadhan lalu.

IMG_7071

IMG_7073

IMG_7074

IMG_7077

SyeikhRidha

Sumber : http://mymaqaz92.blogspot.com/

SHOUBRA, Kaherah Mesir 18 Julai – Seluruh warga Maahad Qiraat Al-Azhar Shoubra telah dikejutkan dengan berita pemergian Syeikh Redha Salim. Syeikh Redha merupakan syeikh dan qurra’ di Maahad Qiraat Al-Azhar Shoubra.

S6303492Beliau kembali ke rahmatullah pada pagi ini di kediaman beliau di Mumbiyadhah, Shoubra.

Berita pemergian beliau amat mengejutkan ramai pihak lebih-lebih lagi para pelajar Maahad Qiraat Al-Azhar Shoubra.

Ini berikutan keadaan beliau yang kelihatan masih sihat dan mampu berjalan ke sini sana tanpa menunjukkan tanda-tanda yang beliau tidak sihat.

Difahamkan beliau meninggal akibat diserang penyakit lelah. Beliau meninggal ketika berusia 56 tahun.

Kehilangannya amat dirasai oleh warga Maahad lebih-lebih lagi beliau merupakan salah seorang syeikh yang mempunyai sanad yang tinggi dalam periwayatan Al-Quran.

Satu kelebihan yang dikurniakan Allah kepada beliau adalah walaupun beliau buta, tetapi hatinya tetap ‘celik’ dan mampu mengingati 30 juzuk Al-Quran.

Jenazah almarhum disemadikan di kampung halamannya di Qalyubiah. Semoga Allah memberkati dan merahmati Sheikh Redha Salim Rahmatullahi ‘alaihi wasia’ah.

Sesungguhnya pemergian beliau merupakan satu kehilangan yang amat besar dalam bidang ilmu Qiraat.

Tarikh 18 Julai 2009 masehi bersamaan 25 Rejab 1430 hijrah pasti akan menjadi ingatan yang terpahat kukuh di hati para pelajar beliau.

Allahummaghfirlahu warhamhu wa’aafihi wa’fu’anhu.

KENDURI LUKMAN & HADIBAH

Menggenggam erat janji bersatu sehingga ke akhir hayat

Menggenggam erat janji bersatu sehingga ke akhir hayat

Kendurinya berlangsung selesai solat fardhu Jumaat di rumah mereka di Kg Kelatuan Papar.

Ustazah Siti Hadibah Abd Hajar adalah guru JQAF di Alor Setar. Dulu mengaji kuliah Lughah di Universiti al-Azhar Mansoura dan tamat pada 2007.

Lukman pula bakal kembali menyambung sarjananya yang berbaki setahun di Mesir dan cita-citanya untuk PhD masih belum padam lagi.

 Tak apalah, berjauhan sekejap. Lagipun undang-undang JQAF melarang ustazahnya daripada mengandung dalam beberapa tempoh tertentu. Sabarlah.

Apapun, doa selamat dan kesyukuran dirafa’kan, semoga jodoh pasangan ini berpanjangan. Hadibah, tolong jaga sahabat kami ni baik-baik.

IMG_5306

IMG_5311

IMG_5303

ILMAM

IMG_3699Malam sabtu, 5hb Jun lalu ada satu pertemuan dengan lepasan dari Mesir.

Kehadiran saya asalnya di Masjid Negeri Shah Alam itu bukan dirancang daripada awal, saya hanya diberitahu sehari sebelumnya. Kebetulan saya ada di KL, saya dipelawa hadir. Tambahan yang menjemput itu pun sahabat semasa di Kaherah juga.

Pertemuan itu bagi menemukan lepasan Mesir dalam satu wadah NGO yang dinamakan Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM). Nama persatuan itu pun baru saya ketahui pada malam itu. ILMAM ini pada pengetahuan saya masih di peringkat penaja lagi, walaupun sudah bergerak lebih kurang 2 tahun.

IMG_3673Malam itu lebih kurang 100 peserta hadir, kebanyakannya lepasan baru khususnya tamatan 10 tahun terakhir. Orang-orang lama tidak ramai yang hadir, mungkin masalah komunikasi dan kesibukan agaknya.

Saya melihat ada keperluan kesatuan seumpama ini diwujud dan diperkukuhkan. Menghimpun lepasan al-Azhariyyun, atau mana-mana lepasan seperti Universiti Ain Syam, Universiti Kaherah, Universiti Maftuh dan lain-lain bukan semata-mata untuk menemu dan bersilaturrahim sahaja.

IMG_3683Sebagaimana pandangan yang diberikan oleh Ust Nasrudin Hasan malam itu, betapa ILMAM boleh menjadi pasukan yang memberi input-input dan respon berguna dalam menyelesaikan masalah-masalah ummah.

Input dan respon pula hendaklah berdasarkan kajian ilmiah melalui pandangan sarjana Islam terdahulu dan sekarang.

Memang benar, ramai cari-cari jawapan berkenaan hukum itu dan ini, terutama isu-isu besar yang dibangkitkan dalam media dan sebagainya.

IMG_3688Saya berharap ILMAM walaupun masih sebagai penaja boleh mewujudkan terlebih dahulu pasukan penyelidik seperti MANHAL dalam PMRAM di Mesir dahulu.

Jawapan hasil kajian mereka boleh dibentangkan dalam jawatankuasa yang berkenaan dan seterusnya dihebah kepada umum dengan seberapa segera.

Kepada pimpinan ILMAM khususnya Ustaz Azizul Hisham Zulkifli dari Terengganu yang merupakan sahabat sekelas di Shoubra dahulu bersama pasukan JKnya, saya mengucapkan selamat berkhidmat.

IMG_3696

IMG_2797Tanpa diduga, semasa di Tawau saya bertemu dengan sahabat lama ketika mengambil diploma tahfiz JAKIM di Darul Quran Kuala Kubu Baru 10 tahun lalu.

Walaupun perkenalannya hanya sekitar sebulan, ia tetap manis kerana buat pertama kalinya ketika itu saya punya sahabat baru khususnya dari Kelantan.

Ust Ahmad Fadhli Shaari, menamatkan pengajian di Mesir pada 2004, mengambil jurusan dakwah. Kini beliau bertugas di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) sebagai Ketua Jabatan Dakwah.

Dalam masa yang sama kini beliau juga sedang menyiapkan ijazahnya di UKM dalam bidang dakwah. Sudah berkeluarga dan punya dua anak.

Hadirnya beliau menyertai rombongan PASTI Kelantan seramai 40 orang dalam sambutan hari guru PASTI Malaysia. Beliau adalah AJK DPP Negeri Kelantan. Tulisan dalam blog beliau pun boleh tahan juga. Boleh klik di sini.

Kepada semua guru, sama ada bergelar cikgu, ustaz, ustazah, muallim, pensyarah, doktor, dan sebagainya semoga Allah SWT memberkati hidup mereka kesemua.

Secara khususnya, saya dedikasikan kepada guru-guru yang pernah mendidik saya sejak mula bersekolah. Sekiranya mereka masih hidup, saya doakan mereka bahagia dunia dan akhirat.

Jika mereka telah kembali kerahmatullah, semoga Allah mengampunkan dosa mereka serta menempatkan mereka bersama orang yang soleh.

Jika mereka adalah guru-guru yang bukan Islam, mudah-mudahan mereka mendapat hidayah daripada Allah SWT satu hari nanti.

Hendak ditulis satu persatu, terlalu ramai jumlahnya. Ada diantara mereka masih diingati dan dihubungi. Sementara sebahagian besar mereka khususnya zaman sekolah rendah saya kurang ingat nama mereka lagi walaupun wajah mereka tidak luput daripada ingatan.

1984-1985 : Tadika Kemas Kg Lubok Temiang WP Labuan

1986-1988 : SK Lubok Temiang & SUI Lubok Temiang WP Labuan

1989-1991 : SK Pekan 2 & SUI Membedai WP Labuan

1992-1996 : SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah Kota Kinabalu

1995-1999 : Maahad Tahfiz al-Quran Wal-Qiraat Negeri Sabah, Kota Kinabalu

2000-2003 : Maahad Qiraat al-Azhar Shoubra, Kaherah Mesir

Selain itu, doa ini dituju juga buat para guru yang menyampaikan ilmu di masjid-masjid dan surau, dalam ceramah, tazkirah, seminar, kursus dan wacana ilmu, yang membawa kepada kebaikan dunia dan akhirat.

“Orang yang menunjukkan kebaikan, mereka mendapat pahala seperti orang yang melakukannya..”

img_2172Ketika berprogram di Pusat Latihan Islam (PLI) Kundasang, saya bertemu dengan dua sahabat isteri saya ketika sama-sama di Mesir dahulu.

Terserempak dengan mereka berdua ini, saya terlupa langsung nama mereka. Namun muka mereka saya ingati kerana kerap kali juga bertemu di Rumah Sabah, Kaherah dahulu.

Ustazah Hafizah Hj Abd Gapar, (kiri) 29 tahun orang Beaufort, dan Ustazah Sitti Sahrah Md Arip, 28 tahun orang Tawau.

Ketika di Mesir, Hafizah mengaji dalam kuliah Usuluddin-Tafsir di Universiti al-Azhar Kaherah, sementara Sahrah pula dalam kuliah Bahasa Arab di Universiti al-Azhar, Iskandariah. Kedua-dua mereka kembali ke Sabah September tahun lalu. 

Kedua-dua mereka kini secara sambilan bertugas di Pusat Latihan Dakwah Keningau. Sebenarnya mereka sedang menanti pengambilan guru JQAF menjelang jun akan datang.

Semoga berjaya dalam kerjaya dan kehidupan masing-masing. Insya Allah.

KALI INI UST BAKHTIAR HUD PULA

Khusus rakan-rakan alumni al-azhari Sabah dan mereka yang mengenalinya.

Insya Allah, Ust Bakhtiar Hud yang kita kasihi dan hormati akan mengadakan majlis pernikahan dengan pasangannya iaitu saudari Aisyah Hj Hamzah, 29 tahun,  pada 13 Jamadil Awwal bersamaan 8 Mei 2009 (Jumaat). Tempatnya ialah di dewan Masjid Pg Galpam Batu 7 Sandakan.

Menurut maklumat daripada Ust Bakhtiar sendiri, majlis akad nikah dijangka diadakan pada sebelah pagi sekitar jam 9, sementara jamuan ringkas diadakan selepas solat Jumaat.

Mohon sahabat-sahabat yang berkelapangan, terutama yang hampir agar dapat hadir seterusnya memberikan sokongan  serta doa buat kedua pengantin.

%d bloggers like this: