Tag Archive: Unit Amal


Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/39555-25-tahun-unit-amal-belahan-jiwa-kami

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | 19 Januari 2016.

PEJAM celik dengan masa yang bergulir pantas, kini Unit Amal mendakap umurnya yang ke-25 tahun. Badan beruniform ini tak pernah lelah menabur bakti di medan operasi masyarakat sehingga mengharumkan nama PAS, sebagai entiti yang tegak diatas fondasi siasah, dakwah dan tarbiah.

Jika anda memulakan langkah dalam jemaah bersama Dewan Pemuda, maka Unit Amal adalah segmen yang wajib disertai. Dalam organisasi ini, kita akan diajar bekerja dan mentaati arahan serta disiplin berjemaah. Aku juga memulakan langkah pertama dalam harakatul ummah ini melalui penglibatan dalam Unit Amal. Unit Amal Lembah Pantai, semuanya bermula di sini. Cinta dan pengorbanan.

Aku menoleh kiri dan kanan pada anak-anak muda yang berdesakan mengiringi Tuan Guru Haji Hadi Awang, Timbalan Presiden PAS yang juga ahli Parlimen Marang. Sosok ini seperti tarikan magnet kepada orang ramai terutama anak muda yang berfikrah Islam.

Senario ini pada tahun 1992, saat aku masih menyandang gelaran mahasiswa Universiti Malaya, masa terluang mengikuti Unit Amal Lembah Pantai yang dipimpin oleh Haji Uzir Ahmad. Seorang kontraktor landskap lulusan UiTM berjanggut panjang. Haji Uzir berasal dari Perak dan menjadi jemaah tetap Masjid Ar-Rahman.

Tidak ramai anak-anak kampus Universiti Malaya yang terlibat dengan Unit Amal kerana gerakan pelajar lebih mempunyai tarikan pesona berbanding gerakan kepermudaan di Kawasan Lembah Pantai.

Pada masa itu, Unit Amal masih lagi begitu baru di medan masyarakat, walaupun Pemuda PAS mempunyai gerakan kepanduan mereka sendiri semenjak era dekad 1960-an dan 1970-an.

Aku teringat Almarhum Ustaz Hasan Shukri yang menceritakan bagaimana gerakan pemuda Syuhada di zamannya yang mengadakan mukhaiyam, aktiviti berkawad, juga aktiviti seni silat. Apatah lagi pemuda Umno yang terkenal dengan pemuda tahan lasak, mengganggu aktiviti yang diadakan oleh PAS.

Kewujudan gerakan kepanduan Pemuda PAS ini dibuktikan dengan gambar-gambar kawad dan perbarisan setiap kali majlis besar yang diadakan oleh PAS.

Kewujudan gerakan kepanduan berteraskan khidmat kebajikan dan sukarela bagi gerakan Islam, bukanlah sesuatu yang baru atau hanya muncul di negara ini.

Gerakan fenomenal dunia seperti Ikhwanul Muslimin, jauh lebih awal mempunyai sayap kepanduan Syabab Ikhwan (Abdul Muiz: 2001). Begitu juga Jamiat Islami di belahan sub kontinen, mempunyai gerakan kepanduan yang berkhidmat untuk membantu masyarakat dan juga sayap gerakan yang penting.

Di Indonesia pula, Masyumi (Majlis Syura Muslimin Indonesia), mempunyai gerakan kepanduan yang menghimpunkan ramai anak muda, sehinggalah wadah politik Islam ini diharamkan oleh Soekarno, akhirnya memaksa sebahagian aktivis mengangkat senjata.

Unit Amal mengorak langkah menjuarai bidang kebajikan, membantu program PAS di semua peringkat, menghimpunkan anak muda yang cenderung dalam bidang kepanduan (pengakap), menarik anak muda kepada fikrah perjuangan Islam bahkan terlibat dengan misi-misi bantuan di seluruh dunia.

Bukan sedikit ujian melanda badan sukarela ini, termasuk cuba mengaitkan mereka dengan tujuan ketenteraan, namun Unit Amal membuktikan mereka hadir di tengah masyarakat untuk berbakti dan berbudi.

Apabila negara dilanda musibah banjir, mereka ‘beruniform merah’ ini berada di barisan hadapan, jauh lebih awal daripada agensi kerajaan sendiri.

Kelompok relawan berbaju merah ini berjaya memecahkan tembok kaca PAS dengan masyarakat, mengikis imej parti eksklusif pak lebai dan agamawan. Unit Amal dengan pelbagai kepakaran dan latar belakang keanggotaan, daripada buruh sehinggalah ahli akademik, usahawan, profesional muda.

Kepelbagaian latar belakang ini merencahkan Unit Amal menjadi pasukan yang kuat, disegani malah dihormati oleh pihak polis sendiri. Aku secara peribadi menemui pegawai-pegawai kanan polis dan mereka memuji Unit Amal berkerja tanpa mengharapkan habuan duniawi, berpanas terik serta bermandi hujan.

Mereka berkerja tanpa upah, mampu diarah, berdisiplin tinggi, menjaga reputasi sebagai barisan hadapan jemaah Islam, berembun dan berpanasan untuk program PAS dan masyarakat.

Negara ini tidak mampu berbohong tentang asas dan kepakaran Unit Amal, mereka mengawal peserta-peserta bantahan awam daripada bertindak liar, menjaga keselamatan peserta dan juga mendisiplinkan para demonstran.

Unit Amal membantu pihak keselamatan, bomba dan penyelamat jika berlaku kes kemalangan, hilang di hutan atau sungai, bencana kebakaran besar, malah turut menjadi aktiviti ko-kurikulum di sekolah-sekolah Islam. Unit ini dikenali sebagai kadet amal serta dilatih daripada awal untuk menjadi aktivis yang berorientasikan khidmat masyarakat.

Unit Amal tidak mudah digertak, aku teringatkan pada tahun 2002 apabila berlangsung Jambori Amal Peringkat Kebangsaan di Taman Templer, sekitar tapak jambori dikepung oleh FRU. Pada masa itu isu milintasi sangat mencuat, antaranya kes serangan WTC dan al-Maunah. Pihak kerajaan BN mengambil kesempatan untuk menyulitkan pergerakan anggota amal dalam berprogram.

Aku menjadi Pengarah Jambori tersebut, program berlangsung dengan berjaya walaupun digertak untuk ditahan semua peserta Jambori Amal oleh pihak polis. Lebih seribu peserta berhimpun termasuk Amal Nisa’. Ustaz Kapten (B) Jamsari Marsom adalah Pengarah Amal Malaysia dan beliau adalah pesara pegawai tentera yang hebat. Termasuk pernah terlibat bersama PBB dalam misi pengaman ke Bosnia Herzagovena. Beliau berhujah dengan OCPD tentang jambori dan kandungan jambori dengan hujah-hujah keselamatan.

Kepada pembenci-pembenci Unit Amal, abaikan mimpi kamu untuk melenyapkan Unit Amal bersama denyut nafas kami, seluruh ahli-ahli Parti Islam.

Mereka tidak menagih upah dan tanda jasa di atas khidmat bakti mereka, moto gerakan kepanduan PAS ini, “Di mana ada kesusahan, di situlah adanya kami”. Mereka akan berdiri tegap dalam majlis-majlis rasmi PAS, siap untuk diperiksa perbarisan oleh pimpinan utama PAS.

Tidak kurang anggota amal yang meninggal dunia saat sedang melakukan misi bantuan. Seorang anggota amal, Abang Mad yang sangat baik denganku, meninggal dunia ketika membantu mendirikan rumah mangsa banjir Kuala Krai. Beliau suka berkhidmat termasuk membantu kerja siak di Surau Muttaqun USJ 12, Selangor.

Seorang veteran amal yang juga bekas anggota komando tentera Malaysia, iaitu Abang Rahim dari Perak antara anggota Amal yang popular. Beliau jarang gagal untuk bertugas dan pernah terlibat mencari orang hilang. Beliau cekap seumpama belut, bahkan dengan tubuh tegap seperti berusia 20-an walaupun Abang Rahim Komando telah mencecah 60 tahun.

Selama tempoh 25 tahun ini, Amal telah melalui pelbagai pahit getir, asam manis perjuangan dan tak lekang ditohmah para pembencinya. Aku merasa beruntung menjadi sebahagian daripada anggota Amal, mengenali teman-teman aktivis Amal yang tekun dan istiqomah seperti Cikgu Husein Ismail, Pak Jamu, Kapten Jamsari, Cikgu Li Terengganu, arwah Zainuddin Kubur Maras, arwah Abdul Aziz Marang (meninggal 17 Januari 2016) dan ribuan yang lain. Selamat menuai bakti untuk dekad-dekad seterusnya, Amal Malaysia. –HARAKAHDAILY 19/1/2015

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi Lujnah Kesenian dan Kebudayaan PAS Pusat)

Tarikh : 24 Januari 2015

Lokasi : Membakut

Tahniah kepada mereka yang terlibat membawa bantuan kepada mangsa banjir di Membakut tempohari. Semoga usaha kecil ini mendapat ridha Allah SWT.

Membakut (1) Membakut (2) Membakut (3) Membakut (4)

Tarikh : 1 Mei 2014

Alhamdulillah, kerja-kerja membersihkan surau dapat dilakukan siang tadi dengan kehadiran jamaah surau serta keluarga masing-masing. Tidak ketinggalan Unit Amal yang turut serta bersama-sama dalam program kali ini.

Selain itu, aqiqah juga diadakan hari ini dan dijamu kepada peserta gotong royong dan sebahagiannya diedarkan kepada pengawal-pengawal keselamatan sekitar Putatan yang bekerja sempena cuti Hari Pekerja.

GotongRoyong Surau Austral (1) GotongRoyong Surau Austral (2) GotongRoyong Surau Austral (3) GotongRoyong Surau Austral (4) GotongRoyong Surau Austral (5) GotongRoyong Surau Austral (6)

IMG_6784

Hampir jam 8 pagi, bersama Aslam yang bertindak sebagai pemandu hilux, kami berdua bergerak ke Pitas untuk mengisi program yang telah ditetapkan.

Sebenarnya, saya sendiri belum pernah sampai ke sini apatah lagi untuk berprogram, walaupun hajat di hati untuk ke mari sudah tersimpan lama.

Selain mengisi program yang disusun bersama dengan PPTA JHEAINS Pitas, kami turut menyampaikan beberapa barang yang disumbangkan oleh ramai pihak.

Antaranya sumbangan telekung daripada JAKIM Sabah, pakaian terpakai yang dikumpul oleh Unit Amal Putatan, barangan dapur oleh beberapa korporat dan Yayasan Amal Malaysia, taqwim solat oleh JHEAINS, dan beberapa barangan lain oleh Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah.

IMG_6816

Setelah berehat dan bersarapan di Kota Marudu setengah jam, kami menyambung perjalanan dan selamat tiba di lokasi pertama, Masjid Kg Kalumpang hampir jam 11 pagi selepas melalui perjalanan hampir 200km.

Ketibaan kami disambut oleh sahabat saya PPTA JHEAINS Pitas, Ust Kamal Sindong yang saya nampak begitu bersungguh-sungguh berprogram di daerah ini.

Selain beliau terdapat beberapa orang staf JHEAINS yang turut bersama-sama mengajar di kelas ini. Antaranya ialah Tuan Imam Haris Lair, senior di SMAI TPHR dahulu. Tentang beliau akan saya cerita dalam artikel akan datang.

Di masjid ini kami bertemu dengan kira-kira 40 orang kebanyakannya muallaf berumur antara 12-67 tahun yang sedang mengikuti kelas pengajian mingguan mereka. Kelas mereka bermula pada jam 10 pagi dan berakhir setelah solat zuhur.

Sejam saya mengisi slot di hadapan mereka dengan sesi taaruf, serta menghuraikan sedikit sebanyak persoalan aqidah yang menjadi dasar agama ini.

Saya sempat berkenalan dengan ibu Sofiah Okodok yang memeluk Islam sendirian ketika berumur 11 tahun dan berumah tangga 2 tahun kemudian.

Puan Normah, 41 tahun pula dahulunya seorang pagan, memeluk Islam pada 2008. Sedikit pelik ceritanya, berkahwin secara Islam pada 1994.

Penghujung majlis, saya menyampaikan sedikit sumbangan untuk mereka. Telekung bagi mereka yang belum ada, kain pelikat untuk lelaki, serta 2 plastik besar pakaian terpakai. Semoga pahala untuk para penyumbang.

Orkid Lodge, Pekan Pitas

IMG_6801

IMG_6803

IMG_6805

IMG_6809

IMG_6813

IMG_1827

Bersebelahan dengan tempat letak kereta Hospital Queen Elizabeth, di jalan bypass selepas terowong terdapat sebuah perkampungan lereng bukit bernama Kg Kopungit.

Setahu saya majoriti penduduk kampung ini bukan beragama Islam khususnya kristian pelbagai mazhab. Statistik rasmi saya tidak miliki, tetapi saya pernah diberitahu bahawa penduduk Islam adalah minoriti.

Di kampung ini, terdapat beberapa gereja dan sebuah surau. Sangat mendukacitakan bahawa surau yang letaknya di lereng bukit benar-benar berhadapan bulatan QEH selalu lengang daripada kunjungan orang.

Ketika bertugas di Istana Negeri satu masa dulu, saya pernah menjemput wakil penduduk Islam di sana untuk hadir dalam program usrah istana, tujuannya untuk memujuk dan mengambil hati mereka agar mengimarahkan kembali surau mereka, tetapi tidak berhasil.

Ketika dua jiran mereka iaitu Masjid Negeri di sebelah kiri dan Surau Taman Austral di arah kanan bergerak aktif dengan pelbagai program, mereka kekal dengan keadaan kosong itu.

Bukan tidak pernah diikhtiarkan.

Beberapa sahabat pernah hadir ke surau khususnya malam jumaat beberapa kali, membaca yasin menggunakan corong pembesar suara yang dihalakan keluar, dengan harapan ada jamaah yang turun, tetapi nampaknya tiada yang berminat.

Rakan-rakan tidak pernah jemu.

Ahad lalu, rakan-rakan Unit Amal Putatan, Nisa dan Surau Austral dengan kekuatan 20 orang memujuk lagi. Kali ini dengan memberikan bantuan khususnya mencantikkan semula surau mereka dengan mengecat dan alas karpet yang baru.

Semuanya hasil sumbangan ramai pihak yang bermurah hati demi melihat agar Islam di kampung ini tidak terbiar dan merudum begitu sahaja.

Insya Allah, minggu ini mereka dijangka menyampaikan sumbangan barang dapur pula kepada 15 keluarga di sana. Mereka yang ingin terlibat sama sebagai penyumbang boleh menghubungi Ust Azman Mustafa 013-8572089.

Ada gambar-gambar menarik di sini.

%d bloggers like this: