Tag Archive: Ulamak Pelapis


Takiri

Sumber : di sini

Gombak: Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr. Khairudin Aman Razali Attakiri menggesa Ulama Pelapis membina keterampilan diri pada usia muda ini kerana para ulama terkemuka telah menjadi terkenal sebelum mencapai usia 40 tahun. Segala ilmu yang dikuasai ialah berdasarkan kepada pembacaan dan penguasaan ketika usia muda.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Tajnid al-Judud, program perkaderan Ulamak Pelapis Pusat yang diadakan di KUIZM pada Hari Sabtu yang lalu. Program ini telah mendapatkan sambutan yang baik dengan kehadiran dari peserta yang mencecah 200 orang dari kalangan graduan pengajian Islam, sejak 5 tahun kebelakangan. Ia merupakan program yang dirancang untuk menyusun tenaga baru di kalangan graduan muda untuk membantu Dewan Ulama khasnya dan PAS amnya.

Menurut Dr. Khairudin lagi, Tuan Guru Presiden telah menjadi popular dengan “Amanat Haji Hadi” ketika usia beliau 38 tahun. Ini menandakan usaha menjadi ulama yang terkemuka perlu dibina pada usia yang muda. Ketika usia muda, sementara tanggungjawab masih tidak banyak, banyak masa boleh dihabiskan untuk membaca, menulis dan sebagainya. Justeru, graduan dalam pengajian Islam perlu memanfaatkan masa dan ruang yang ada dalam membina kemampuan peribadi dari sudut akademik dan membina ketrampilan diri sebelum menjadi sibuk dengan tanggungjawab yang banyak akan dipundakkan kepada mereka apabila mencecah usia matang nanti.

Beliau menasihatkan para Ulamak Pelapis, khasnya graduan yang baru agar meminta kerja, bukan menanti kerja datang. Bukan mencari jawatan, tetapi mencari kerja untuk membantu gerak kerja Islam. Beliau memberikan beberapa contoh peribadi beliau dalam menjalankan kegiatan parti sehingga jawatan yang disandang oleh beliau sekarang.

Dalam majlis yang sama, Ketua Ulamak Pelapis PAS Pusat, menasihatkan semua Ulamak Pelapis agar membantu Dewan Ulama khasnya dalam berhadapan dengan pilihanraya 13 ini. Beliau menyarankan agar peluang ini diambil untuk meneguhkan saf ulama pelapis di semua peringkat agar usaha memperkasa kepimpinan Ulama mencapai sasarannya.

tn_azharyahya_03
Oleh: Ustaz Haji Azhar bin Yahya
Timbalan Pengerusi Ulamak Pelapis PAS (Pusat)

Hukum asal untuk melantik pemimpin dalam Islam adalah alim dalam ilmu syarak, mengetahui dan mampu mengeluarkan hukum sehingga ke tahap ijtihad. Khulafa’ ar-Rasyidin adalah mereka yang alim dan mampu berijtihad. Bahkan para Nabi dan Rasul yang memimpin manusia adalah alim dalam selok belok agama.

Oleh kerana itu, para fuqaha’ bersepakat bahawa kemampuan berijtihad dan mengeluarkan hukum adalah menjadi syarat untuk dilantik menjadi pemimpin. Mereka tidak menerima untuk dibuang syarat ini kecuali dalam keadaan dhorurat (Lihat Dr. Qaradhawi, Min Fiqhi ad-Daulah, 1997).

Justeru, para ulamak mampu memenuhi syarat tersebut kerana kemampuan mereka merujuk al-Quran dan as-Sunnah. Kepimpinan Ulamak bukan pengaruh Syiah sebagaimana yang diamalkan di negara Iran hari ini, tetapi ia bersumberkan kepada hukum yang dikeluarkan oleh para Fuqaha’ Islam.

Melantik pemimpin di kalangan Ulamak adalah sangat penting kerana sesetengah isu kadang-kadang perlu diselesaikan dan dibuat keputusan dengan segera tanpa sempat diadakan perbincangan dan mesyuarat. Golongan Ulamak dapat memenuhi tuntutan tersebut kerana mampu membuat keputusan berlandaskan Islam. Mereka mampu untuk menangani permasalahan rakyat dan isu semasa bersumberkan kepada al-Quran dan as-Sunnah.

Pemimpin ibarat penyuluh untuk rakyat melalui jalan kebenaran. Jalan kebenaran tersebut pastinya adalah bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah. Golongan yang paling layak untuk menjadi penyuluh jalan kebenaran ini adalah para Ulamak yang mewarisi amanah ilmu daripada para Nabi dan Rasul untuk melaksanakan tugas tersebut.

Syarat yang ditetapkan ini tidak bermakna para Ulamak meminta agar mereka dihormati dan dilantik menjadi pemimpin. Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Umar al-Khattab dan beberapa orang sahabat yang lain bergegas ke Thaqifah Bani Saadah bukanlah untuk meminta agar mereka dilantik menjadi khalifah tetapi meminta agar syarat yang ditetapkan oleh Rasulullah s.a.w. dipenuhi dan dipatuhi. Saidina Abu Bakar tidak pernah mencalonkan dirinya sendiri sebagai khalifah bahkan mencadangkan Saidina Umar terlebih dahulu tetapi akhirnya beliau yang dilantik.

Begitu juga para Ulamak, tidak ada atas nama individu daripada golongan tersebut meminta agar dilantik diri sendiri menjadi pemimpin tetapi mereka meminta agar syarat mempunyai ilmu agama mesti dipenuhi kerana ia adalah hukum yang ditetapkan oleh para fuqaha’.

Memanglah agak sukar untuk memahami perkara ini kerana apabila ada individu daripada kalangan Ulamak menyebut tentang syarat tersebut seolah-olah dia meminta untuk dirinya dilantik menjadi pemimpin. Hakikatnya ia bukan demikian tetapi dia hanya meminta untuk syarat tersebut dipenuhi, bukan untuk dirinya sendiri.

Ia umpama dalam bidang perubatan. Syarat untuk melakukan pembedahan mesti mempunyai ilmu berkaitan dengannya. Apabila para doktor menyebut tentang syarat tersebut, bukan bermakna doktor yang menyebut tentangnya meminta agar diberikan kepadanya untuk melakukan pembedahan tetapi apa yang diminta agar syarat dipenuhi dan pembedahan dilakukan oleh golongan doktor, bukan orang lain.

Jawatan dalam Islam bukanlah tasyrif tetapi adalah taklifan daripada Allah s.w.t. Oleh kerana itulah seorang pemimpin yang baik ialah mereka yang takut kepada Allah dan orang yang paling takut kepada Allah adalah para Ulamak.

Bimbang dan takut kepada taklifan tidak bermakna para Ulamak mesti mengelak untuk menerima jawatan. Mengelak menerima taklifan akan membawa mudharat dan bencana yang lebih besar kepada umat kerana dipimpin oleh mereka yang tidak mengetahui  dan tidak mampu mengeluarkan hukum hakam syarak untuk mentadbir negara.

Dalam masa yang sama, peranan yang dimainkan oleh golongan profesional dan aktivis Islam untuk memberikan sumbangan bagi menegakkan agama Allah di atas muka bumi ini tidak boleh dinafikan. Mereka mesti berbangga untuk menjadi para ‘Ansar’ yang membantu para Ulamak untuk memerintah dan mentadbir negara. Para Ulamak tidak pernah berbangga untuk mengangkat diri sendiri menjadi pemimpin tetapi atas dasar memenuhi syarat kepimpinan, mereka memikulnya.

Lihatlah contoh tauladan yang ditunjukkan oleh golongan Ansar dalam isu perlantikan saidina Abu Bakar r.a. sebagai khalifah dan pemerintah selepas Rasulullah s.a.w. Mereka menerima bahawa mereka tidak menepati syarat untuk menjadi khalifah.

Golongan Ansar tidak pernah merasai bahawa mereka telah dikesampingkan dan menjadi masyarakat kelas kedua kerana tidak mencukupi syarat. Menjadi pemimpin ada syaratnya dan mereka redha dengan syarat tersebut.

Perlu dijelaskan bahawa melantik pemimpin di kalangan Ulamak tidak bermaksud akan lahirnya negara teokrasi yang memerintah atas nama tuhan, tanpa ada ruang untuk rakyat mengemukakan pandangan. Ia juga tidak bermakna akan lahirnya negara Mullah yang hanya ingin menguatkuasakan undang-undang dan menjatuhkan hukuman tanpa diambil kira tahap kesalahan rakyat dan keadaan sekitar atau negara Ayatullah yang memerintah tanpa boleh ditegur.

Bahkan ia adalah negara yang menjadikan Islam sebagai rujukan, negara yang berdiri di atas baiah dan syura. Pandangan dan teguran sentiasa dialu-alukan selagi mana tidak bercanggah dengan Islam. Ia adalah negara yang mempunyai hubungan dengan Allah dan juga manusia serta melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar.

Sumber : di sini

tn_khirulmuntanazar_02Oleh: Ustaz Haji Khirul Muntanazar bin Ismail.

Muktamar kali ke 58 yang diadakan oleh PAS baru-baru ini telah mencatatkan sejarahnya yang tersendiri. Pelbagai isu telah dibangkitkan oleh perwakilan sebagai muhasabah kepada seluruh ahli dan kepimpinan bagi memantapkan parti, apatah lagi dalam persiapan untuk mendepani Pilihanraya Umum yang boleh berlaku bila-bila masa daripada sekarang.

Syabas dan tahniah kepada semua pembahas yang telah berjaya menjadikan muktamar kali ini hidup dan segar. Cadangan, usul dan teguran menjadi rempah ratus yang mengenakkan telinga apabila mendengarnya. Garam dan gula diletakkan secukup rasa bagi memastikan perjalanan PAS pada masa akan datang tidak terhalang dengan pelbagai cabaran dalaman dan luaran.

Pun begitu, masih ada lagi pengkritik seumpama Pak Shukur yang menyatakan bahawa pembahas ucapan dasar Presiden belum sampai ke tahap yang tinggi dan diharapkan. Mungkin beliau hanya ingin memenuhi seleranya dan fikrah yang dibawa tanpa memperdulikan apa kehendak perwakilan. Para perwakilan sangat teruja mendengar ucapan perbahasan yang dibuat. Bahkan apabila mereka diminta bangun memberikan sokongan, mereka bangkit tanpa lengah menunjukkan tanda sokongan terhadap perbahasan yang dibuat.

Read More Nampaknya pengkritik lebih rela menongkah arus berbanding untuk melihat secara positif setiap tutur kata yang dikeluarkan oleh para pembahas. Apa pun, kritikan yang diberi tidaklah ditolak mentah-mentah. Ia akan tetap dinilai oleh khalayak pembaca sama ada untuk menerimanya atau pun tidak.

Antara isu yang dibangkitkan dalam muktamar baru-baru ini ialah isu cadangan perlantikan Perdana Menteri oleh perwakilan Dewan Ulamak PAS Pusat jika Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum akan datang. Presiden PAS dicadangkan untuk memegang jawatan tersebut atas dasar kredibiliti dan karisma yang ditunjukkan untuk memerintah Malaysia. Usaha perlu dibuat untuk meyakinkan masyarakat dan pimpinan Pakatan Rakyat agar cadangan ini diterima. Sebagai seorang yang alim dalam agama dan mempunyai pengalaman yang banyak,  sudah pasti hasrat untuk membawa Malaysia ke arah kegemilangan dan kecemerlangan dapat dicapai.

Apa yang pelik ialah Pak Shukur sendiri yang memandang sinis terhadap cadangan tersebut. Ia dikatakan akan memberikan implikasi negatif kepada Pakatan Rakyat yang sedang giat bersiap untuk berdepan dengan UMNO-BN dalam pilihanraya akan datang. Ia dilihat akan menjejaskan sokongan pelbagai kaum yang akan memberikan undi mereka dalam pilihanraya akan datang.

Atas tujuan apakah kritikan negatif ini diberikan apatah lagi datang daripada seorang ahli PAS sendiri. Kenyataan seperti ini tidak patut keluar daripada mulut seorang ahli PAS. Walaupun dinyatakan bahawa semua ahli PAS menyayangi Presidennya tetapi kenyataan seumpama ini jelas menggambarkan keraguan terhadap kewibawaan Presiden.

Tidak ada asas yang konkrit untuk mengaitkan sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat akan berkurangan dengan cadangan untuk melantik Presiden PAS sebagai Perdana Menteri. Ini kerana tidak ada kenyataan rasmi daripada Pakatan Rakyat bahawa mereka telah sepakat untuk melantik mana-mana pimpinan sebagai Perdana Menteri. Jika ada pun, ia hanyalah pandangan peribadi, bukannya kenyataan rasmi. Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri dalam reaksinya terhadap cadangan tersebut mengatakan bahawa ia boleh dibincang.

Bagi pihak PAS sendiri pula sama ada Jawatankuasa Kerja mahupun Majlis Syura Ulamak tidak pernah mengeluarkan kenyataan tentang perkara ini walaupun ada orang yang mendakwa demikian.

Ini membawa maksud bahawa calon Perdana Menteri selepas pilihanraya umum nanti jika dimenangi oleh Pakatan Rakyat masih terbuka kepada semua. Justeru, tidak salah untuk dicadangkan Presiden PAS untuk memegang jawatan tersebut.

Walaubagaimana pun, sama ada cadangan ini diterima atau tidak akan diputuskan selepas pilihan raya nanti. Sekurang-kurangnya cadangan ini akan memberi mesej yang jelas kepada rakyat bahawa PAS menawarkan Presidennya sebagaimana juga parti yang lain. Ada pun jika PAS tidak berjaya memenangi kerusi yang banyak dan majoriti sehingga tidak mampu melantik Presidennya, maka ia perlu diterima kerana kita menerima konsep demokrasi berparlimen di negara ini.

Sebenarnya, cadangan ini tidak ada apa yang merugikan Pakatan Rakyat kerana ia akan menaikkan moral dan semangat petugas PAS untuk bekerja lebih keras bagi memenangkan gabungan tersebut dalam pilihanraya akan datang. Ini kerana para petugas yang sayangkan PAS mengetahui bahawa Presidennya juga adalah antara calon untuk memegang jawatan Perdana Menteri. Ia adalah impian ahli PAS yang sejati. Tetapi jika sebaliknya, ia akan melemahkan motivasi mereka. Kemungkinan ada yang beranggapan bahawa tidak perlu bekerja kuat dalam pilihan raya kerana yang akan akan memegang jawatan itu nanti adalah orang lain, bukannya daripada PAS. Presiden PAS tak termasuk dalam calon untuk memegang jawatan tersebut.

Ada pun media yang dikuasai UMNO-BN mengeksploitasikan isu ini, ia adalah perkara yang tidak pelik. UMNO-BN memang sentiasa daripada dahulu lagi berusaha untuk melagakan antara pimpinan Pakatan Rakyat. Kalu bukan kerana isu ini, isu-isu yang lain akan digunakan untuk tujuan tersebut. Mereka akan sentiasa mencari isu untuk membina persepsi yang buruk walaupun perkara itu adalah baik untuk Pakatan Rakyat.

Apa yang pelik sebenarnya ialah ahli PAS sendiri yang tidak yakin terhadap pimpinannya dan memandang negatif tentang perkara yang baik ini. Ahli yang sangsi terhadap Presidennya seperti Pak Shukur tak layak untuk menulis dan menjadi kolumnis bagi lidah rasmi PAS iaitu Harakah.

Penulis adalah Pengerusi Ulamak Pelapis PAS (Pusat).

%d bloggers like this: