Tag Archive: TYT


img_1240Salah seorang peserta yang menarik perhatian kami ialah anak ini – Mohammad Faris bin Mohammad. Bersekolah di SAN Bongawan. Mewakili Pantai Barat Selatan dalam pertandingan bercerita peringkat rendah.

Penampilan sebegini amat jarang lagi dilihat khusus di sekolah agama sekalipun. Melihatnya saja pun sudah terasa janggal, walaupun itu sebahagian pakaian anjuran Rasul SAW.

Benar sabda junjungan bahawa Islam itu bermula asing dan ganjil, dan nanti akan kembali kelihatan ganjil lantaran orang mula meninggalkan ajaran agama.

Satu masa dahulu, ketika di maahad, kami dibiasakan dengan berkopiah dan berserban. 

Sebelum kami berenam hendak ke Kuala Kubu Baru untuk menduduki peperiksaan akhir diploma, kami membuat kunjungan hormat ke atas TYT ketika itu Tun Sakaran Dandai. Semuanya tampil berserban dan berjubah putih.

img_1242Kini sunnah itu sudah diubah kepada sunnah songkok hitam. Saya antara orang yang sedih apabila pemakaian itu dirubah.

Tidakkah terdetik secubit rasa bersalah? Songkok tidak salah. Tetapi kita telah meninggalkan sesuatu yang lebih baik.

Tidak mustahil, satu masa nanti anak-anak tidak lagi kenal serban dan kopiah hanya kerana kita mahu memartabatkan songkok hitam sebagai lambang bangsa dan negara.

Serban hanya dipakai oleh orang yang balik daripada haji. Itu pun mungkin dipakainya setahun sekali, sempena solat hari raya haji.

Anak yang berjubah dan berserban ini walaupun hanya mendapat saguhati, sepatutnya membuka mata dan hati kita. Melihatnya pun sudah menyejukkan mata.

KOPIAH PUTIH

dato1Sepatutnya, kisah yang saya catatkan ini tidak lagi berlaku pada zaman begini. Ia sepatutnya bukan isu atau sesuatu yang perlu dibawa ke tengah perbincangan. Tetapi inilah namanya kedangkalan.

Beberapa sahabat saya ditegur oleh beberapa pegawai kanan, hanya kerana semata-mata memakai kopiah putih ketika waktu bekerja. Apabila cerita berkenaan sampai ke telinga saya, saya mengucap panjang.

Menutup kepala bagi perempuan adalah satu kewajiban kerana kepala termasuk aurat. Sementara menutup kepala bagi lelaki adalah satu sunnah yang baik, kerana ia adalah amalan dan anjuran Nabi SAW.

Masih ramai wanita Islam belum menutup aurat, sementara lelaki tidak ramai yang menutup kepala sama ada dengan kopiah atau songkok. Jadi, apa masalahnya?

Masalahnya ialah sepatutnya tumpuan diberikan kepada orang yang belum menutup aurat, atau membetulkan staf wanita yang belum sempurna penutupan auratnya, begitu juga galakan kepada lelaki agar menutup kepala. Bukannya sibuk menyiasat kenapa pakai kopiah putih.

Saya telah membuktikan ketika belajar di Maahad Tahfiz, bertugas di Masjid Negeri, di Maahad Tahfiz, di Istana Negeri dan kini di BPI tidak ada sebarang masalah pun dengan memakai kopiah. Tidak pernah pun ditegur apa-apa. Tak taulah kalau ada yang sinis dan berbulu dengan kopiah putih itu.

Di Istana Negeri dahulu, hanya acara rasmi saja saya memakai songkok hitam, terutama melibatkan acara di bilik kunjungan dan istiadat pengurniaan darjah kebesaran. 

Manakala acara lain melibatkan TYT, atau ketika di pejabat saya konsisten memakai kopiah putih, dan TYT Tun tidak pernah sekali pun bising atau mempertikaikan kopiah itu. Bahkan SU Sulit beliau pun pakai kopiah yang sama. Apa mau kecoh. Sebab itu saya kata ia bukan isu.

5Kita fahamlah ini zaman kebangkitan PR khususnya Parti Islam yang sinonim dengan kopiah putih itu. Sebenarnya, tak ada masalah dengan kopiah putih dengan songkok hitam.

Tetapi apalah salahnya dengan kopiah putih dan PAS itu, PAS bukan ajaran sesat, bukannya pertubuhan yang haram, ia pertubuhan yang sah dan berdaftar di dalam negara demokrasi ini.

Bahkan ia adalah parti yang memperjuangkan Islam di dalam negara ini. Teringat seloroh seorang sahabat, juga pegawai kerajaan apabila dia selalu dijolok sebagai orang PAS, dia pun menjawab : “Saya tak mau fail. Saya mau PAS!”

munajat_perdanaSebenarnya, jika dilarang pun memakai kopiah putih, itu hanyalah sekadar menyedapkan mata mereka yang membenci dan fobiakan PAS sahaja.

Sahabat saya yang ditegur itu, longlai dan langsung memakai songkok hitam. Tetapi memakai songkok hitam tidaklah dapat mengubah minda seseorang PAS untuk tidak PAS lagi. Sebab ramai juga orang PAS pakai songkok hitam. Yang tidak pakai pun ada.

Jangan pula nanti sesudah sibuk dengan soal jawab hal kopiah putih, sibuk pula dengan lambang bulan.

Bayar gaji ikut bulan, bukan ikut dacing. Mau puasa tengok bulan, bukan tengok dacing. Mau raya, tengok bulan, bukan tengok dacing. Perempuan yang baligh datang bulan, bukan datang dacing.

Bini kita mengandung pun orang tanya : “Berapa bulan?” Entahlah kalau ada yang tanya : “Berapa dacing?”

DOA BUAT SONIA & PUAN RINDAU

1. Sonia binti Seni

Anak gadis berumur 17 tahun dan bakal menduduki SPM di MRSM Kota Kinabalu hujung tahun ini kini terlantar di ICU Hospital Queen Elizabeth.

Dua minggu lalu, saya sempat berziarah bersama sahabat-sahabat ditemani oleh kedua orang tuanya, Seni Sibun dan Ku Chin. Seni merupakan pemandu utama kepada TYT Yang DiPertua Negeri Sabah Tun Ahmadshah Abdullah sementara isterinya seorang muallaf juga bertugas sebagai pelayan Istana.

Kisahnya, Sonia tiba-tiba histeria di asrama sebulan lepas dan setelah 3 hari pihak sekolah berikhtiar, baru ibu bapanya dimaklumkan. Keadaan Sonia sangat menyedihkan. Mulutnya hanya bergerak-gerak tanpa dapat bercakap.

Kepada kedua orang tuanya, saya harap mereka bersabar dan mengingati ujian Allah SWT. Banyakkan berdoa dan bersolat hajat.

2. Puan Rindau Hj Landi

Puan Rindau adalah isteri kepada Sdr Ribbang Hj Ampong. Ribbang merupakan staf di Jabatan Pelajaran Sabah, Rumah Persekutuan, Sembulan yang juga pengerusi JK Surau an-Nur Taman Limauan Kinarut.

Sejak jumaat lepas, Puan Rindau dikhabarkan mendapat angin ahmar dan sebelah kanan badannya lemah, manakala tuturkatanya sangat perlahan.

Ahad lepas, selepas kuliah di Surau Taman Limauan saya bersama beberapa jamaah sempat berziarah ke rumah beliau.

Menurut Sdr Ribbang, ini kali kedua isterinya mendapat penyakit yang sama tetapi di sebelah kiri. Kini badan di sebelah kiri sudah sembuh, sementara kini sebelah kanan pula ditimpa penyakit yang sama.

Semoga cepat sembuh dan kepada Sdr Ribbang sekeluarga agar tabah menerima ujian Allah SWT.

Saudara yang bersolat di masjid yang selalu dihadiri oleh pembesar dan pemimpin negeri dan negara terutama solat jumaat atau sempena hari-hari kebesaran mungkin pernah melihat keadaan ini. Atau setidak-tidaknya melihat di kaca tv atau gambar dipapar di suratkhabar.

Melihat para pemimpin dan pembesar bersolat dengan setiap seorang mereka mempunyai sejadah yang ruangnya lebih besar dari yang diperlukan. Ajaran siapa ini?

Sedari kecil kita diajar bahawa susunan saf solat berjamaah itu mesti rapat, dan bertemu bahu. Solat berjamaah mengajar kita erti persaudaraan, persamaan dan hubungan erat yang dijalin sesama jamaah yang hadir. Dalam masa yang sama, jika kita renggangkan saf, kita memberi peluang syaitan masuk dan menyelit di ruangan itu.

Bila begitu yang kita fahami, apa ertinya lagi kita masih berkeinginan bersajadah sendirian?

Pada tahun lepas, ketika itu saya masih bertugas di Istana Negeri, mengiringi Tuan Yang Terutama (TYT) ke Sandakan sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Sabah.

Selepas menunaikan solat jumaat di Masjid Daerah Sandakan, TYT memanggil beberapa orang, menunjuk-nunjuk ke arah sejadah yang diguna tadi. Saya yang ketika itu sedikit jauh dari kedudukannya, lantas bergegas menghampirinya.

“Kenapa sejadah besar ni? Untuk apa?” Kata Tun.

“Kalau sejadah besar begini, orang tidak mahu rapat sama aku! Sembahyang ni saf mesti rapat!” Tegasnya.

“Malam ni aku mau sejadah ni ditukar! Jangan terlalu besar!” Beberapa pegawai yang ada bersama di situ terpinga-pinga. TYT berlalu, sementara pegawai-pegawai lain pula tunjuk-menunjuk.

Malam itu ada sambutan Maulidur Rasul di masjid yang sama, ada bacaan barzanji, marhaban dan sebagainya, dan sejadah itu saya lihat sudah ditukar yang lain. 

Bukan susah sangat.

%d bloggers like this: