Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Stesen televisyen definisi tinggi percuma, TV Al-Hijrah akan memulakan operasinya Disember ini dengan peruntukan awal kerajaan RM60 juta manakala Felda dijangka menyalurkan tambahan RM100 juta. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, peruntukan awal kerajaan bagi saluran gaya hidup Islam itu adalah sebanyak RM60 juta dan kos itu dijangka mengalami peningkatan.

“Keseluruhan pembiayaan datang daripada kerajaan tetapi kami berharap pulangan daripada iklan akan berupaya untuk menampung kos operasi stesen ini. Pada peringkat awal, kerajaan telah memperuntukkan RM60 juta,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Operasi stesen ini akan bermula 1 November manakala siaran pula 1 Disember. Stesen itu dimiliki oleh Alhijrah Media Corporation, syarikat yang diperbadankan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Operasinya diterajui bekas ketua pegawai operasi TV9 Bukhari Che Muda. Pengerusi Felda Tan Sri Yusoff Nor dilantik sebagai pengerusinya Oktober tahun lalu.

Jamil juga berkata, pihaknya masih mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk mendapatkan lebih banyak spektrum siaran ke seluruh negara. Peringkat awal stesen ini akan menyiarkan programnya ke seluruh Lembah Klang, Terengganu, Wilayah utara dan timur Johor, Sabah dan Sarawak.

“Kawasan ini sudah memperoleh spektrum daripada suruhanjaya komunikasi,” kata beliau lagi.

TV Al-Hijrah merupakan saluran televisyen Islam pertama negara Malaysia. Kini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga memiliki radio hal ehwal Islam Salam FM. Menurut maklumat diperoleh dari laman webnya, Al-Hijrah merupakan era baru evolusi maklumat hibur yang menawarkan pengetahuan dan pemahaman dunia Islam.

“Kami merupakan satu keluarga besar yang komited di dalam berkongsi maklumat pendidikan, hiburan dan penyatuan penonton Islam di Malaysia serta di masa yang sama, mendekatkan kepercayaan yang menyatukan kita bersama. Kami membawakan anda pertunjukan kreatif di seluruh dunia, program dan rancangan temu bual, siri filem dan drama yang memenangi anugerah, maklumat terbaru secara langsung dan komedi terbaik. Dengan teknologi penyiaran terkini, kualiti adalah keutamaan kami, sama ada dari segi visual atau kandungan,” katanya lagi.