Tag Archive: Turki


Sumber : http://ulamasedunia.org/2016/08/08/dasar-luar-baru-turki-pasca-era-kebangkitan/

Tempoh sejak Januari 2011 hingga ke hari ini, bulan Ogos 2016, ialah satu tempoh yang sangat panjang dalam politik Asia Barat dan Afrika Utara; satu bahagian besar dan rancak dalam dunia Islam selain Asia Tenggara.

Pada awal 2011, kebangkitan rakyat di Tunisia dan Mesir dianggap sebagai tanda aras penting; dan dilihat hampir keseluruhannya daripada sudut demokrasi dan hak asasi, akibat daripada pemerintahan diktator yang telah berlangsung selama puluhan tahun.

Tetapi kebangkitan ini tidak dapat mengelak daripada memberi kesan kepada kuasa-kuasa berpengaruh serantau, yang sentiasa mempunyai kepentingan melibatkan negara-negara sekeliling.

Satu tajuk yang paling awal diangkat, terutama oleh media dan pembuat dasar Barat, ialah perlaksanaan demokrasi dan sekularisme dalam politik dan pemerintahan yang dikenali sebagai ‘model Turki’, diambil daripada contoh Turki sebagai sebuah republik yang sekular tetapi beridentiti Islam yang kuat.

Sebelum populariti dan imej positif Turki di bawah pemerintahan Presiden Recep Tayyip Erdogan terjejas akibat pelbagai isu dalaman dan serantau, model Turki diangkat sebagai satu contoh yang unggul di dunia Arab, yang hampir kesemuanya penduduk majoriti Muslim dan mempunyai gerakan Islam yang berpotensi menguasai politik.

Turki dianggap sebagai sebuah negara Islam yang demokratik dan progresif menurut perspektif Barat; dan negara-negara dilanda kebangkitan disaran mengikut contoh Turki itu, yang dikuasai sebuah parti sejak 2002 dengan kemenangan dalam pilihan raya yang selesa.

Satu persoalan yang dibincangkan ialah mampukah model Turki ditiru oleh negara-negara Arab, dengan meletakkan pendemokrasian dan sekularisasi sebagai faktor yang paling penting?

Model Turki yang disebut pada masa ini mengulangi episod-episod sebelum ini, iaitu sewaktu penubuhan republik oleh Mustafa Kamal Ataturk yang menamatkan pemerintahan Daulah Uthmaniyah, dan kemudian selepas kejatuhan Kesatuan Soviet, apabila model Turki disarankan kepada negara-negara republik pasca-Soviet majoriti Muslim di Asia Tengah.

Turki ialah sebuah negara penting dalam kebangkitan rakyat yang digelar ‘Arab Spring’ ini, disebabkan peranannya sebagai sebuah model pemerintahan dan bentuk parti politik Muslim; dan juga disebabkan kepentingannya dalam kebangkitan sejak 2011.

Pada awal kebangkitan, Turki masih berimej amat positif dan prospek perluasan pengaruhnya melalui hasil kebangkitan rakyat kelihatan hampir tercapai, disebabkan sokongannya kepada gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir dan kemudian di Syria.

Selepas Ikhwan dilihat berjaya memulakan penguasaan dalam pentadbiran Mesir, Turki kelihatan semakin mengukuhkan pengaruhnya di sebuah negara penting, iaitu Mesir yang secara tradisi merupakan sebuah negara Arab yang berpengaruh dari segi politik dan budaya.

Kemudian, Turki melalui peranan dan perancangan gandingan Erdogan dan Menteri Luar Ahmet Davutoglu cuba meluaskan lagi pengaruh ke Syria melalui bantuan dan sokongan kepada kumpulan penentang pemerintah di negara Syam itu.

Sepanjang 2011 hingga 2012 dan kemudian 2013, Turki kelihatan hampir dapat meluaskan pengaruh di Syria melalui kumpulan yang disokongnya. Selama tempoh itu, Presiden Bashar Al-Assad dianggap sudah hampir di penghujung hayat pemerintahannya dan bakal jatuh bila-bila masa.

Tetapi tempoh ‘bila-bila masa’ itu berlanjutan hingga mencapai empat tahun dan kemudian memasuki tahun 2016, dengan kos ekonomi dan politik kepada Turki yang terus meningkat tanpa menampakkan prospek kejatuhan Assad dengan jelas.

Pada masa sama, Qatar, negara sekutu rapat Turki mengalami perubahan drastik apabila berlaku peralihan kuasa pada tahun 2013; apabila emir yang berkuasa menyerahkan kuasa kepada anaknya, sekaligus mengubah dasar luar aktif negara pendukung paling kuat Ikhwanul Muslimin itu.

Sekitar masa yang sama, trajektori kebangkitan Qatar yang menjadi berita besar antarabangsa sejak sekurang-kurangnya tahun 2011 itu mula berubah dan semakin perlahan.

Pada 2016, kebangkitan pantas Turki – dan sekutunya Qatar – mula tersekat, walaupun halangan-halangan telah muncul semakin banyak sejak tahun-tahun sebelumnya lagi, melibatkan konflik di Syria dan hal-hal berkaitannya termasuk isu pelarian.

Bermula tahun sebelumnya, 2015, imej Turki juga mula diserang hebat di media Barat terutamanya, dan tajuk berita dan rencana ‘The End of the Turkish Model’ muncul di beberapa media dan menjadi tajuk perbincangan kalangan akademik dan pembuat dasar.

Kemudian, pada Jun 2016, selepas berbulan berunding, Ankara mencapai normalisasi hubungan dengan Israel, yang terjejas teruk ekoran episod serangan maut tentera negara Zionis itu ke atas aktivis Turki yang membawa bantuan ke Gaza, Palestin.

Turki juga pada masa yang sama mahu memulihkan hubungan dengan Mesir, negara yang mempunyai kepentingan bertentangan dengannya melibatkan kebangkitan ‘Arab spring’. Turki bersama Qatar ialah penyokong kuat Ikhwanul Muslimin manakala Mesir ialah musuh ketat Ikhwan, bersama-sama dengan negara yang berkongsi sikap yang sama; Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu dan Kuwait.

Pada masa sama, Turki berusaha memulihkan hubungan dengan Rusia, yang pengaruhnya makin mengukuh dalam menentukan perkembangan di Syria, satu medan yang Ankara mempunyai kepentingan dan tidak mahu disingkir daripada menjadi salah satu penentu.

Selepas cubaan rampasan kuasa, satu perubahan melibatkan geopolitik Turki mula kelihatan, apabila hubungan dengan Barat terutama Amerika Syarikat kelihatan terjejas dan hubungan dengan Rusia mula pulih.

Perubahan ini dijangka tidak akan berlaku dengan mudah dan tidak berlaku secara drastik, dengan Turki meninggalkan terus AS dan Nato, dan menjarakkan diri daripada Kesatuan Eropah, EU.

Turki masih mempunyai kepentingan yang kompleks, yang menjelaskan pemulihan hubungan dengan Israel dan Rusia; dua negara yang berpotensi menjadikan Turki sebagai hab bekalan gas ke Eropah dan rakan perdagangan penting, selain kepentingan politik untuk menjaga hubungan dengan negara berpengaruh tersebut.

Apapun, perkembangan terkini Turki, sekutunya dan negara-negara Arab serantau telah menampakkan dengan jelas lagi kepentingan dan sikap kuasa-kuasa di rantau Asia Barat dan sekitarnya, memberikan penjelasan lebih mendalam tentang kebangkitan Arab dan perkembangan serantau sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Oleh : Haris Zalkapli

lajnahalquds-e1472544181145

Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/42331-kesatuan-ulamak-islam-sedunia-galas-isu-baitul-maqdis

IMRAN AL-MALIZI | 30 Ogos 2016.

Pada 25 Ogos 2016 Kesatuan Ulamak Islam Sedunia telah menganjurkan “Himpunan Pentas Ummah Selamatkan Al-Quds” bertempat di Plaj Resort, Istanbul.

Sebagai sebuah pertubuhan yang berpengaruh, Kesatuan Ulamak Islam Sedunia melalui salah satu sayapnya Lajnah Al-Quds telah menghimpunkan para ulamak dan pendakwah dalam dunia Islam untuk kembali mengangkat isu-isu Baitul Maqdis yang semakin dilupakan umat Islam.

Dalam ucapan alu-aluannya, Pengerusi Lajnah Al-Quds, Al-Syeikh Ahmad Al-Omari telah menegaskan kepentingan Masjid al-Aqsa sebagai ‘kiblat’ utama perjuangan umat Islam.

“Sebagaimana Mekah adalah kiblat bagi orang-orang yang rukuk dan sujud, maka Masjid al-Aqsa adalah kiblat bagi orang-orang yang berjihad dan melakukan ribat (mengawal sempadan tanah air),” katanya.

Menurutnya lagi, Kesatuan Ulamak Islam Sedunia di bawah pimpinan Al-Syeikh Dr.Yusuf al-Qaradhawi, pentadbiran organisasinya di bawah seliaan Setiausaha Agung, Al-Syeikh Dr.Ali Al-Qurrah Daghi dan Jawatankuasa Pemegang Amanah telah lama menganjurkan para ulama berbincang untuk mendokong usaha mempertahankan kesucian Masjid al-Aqsa dan kota Al-Quds.

Hasil daripada perbincangan kira-kira 800 orang ulamak pada tahun 2014, tertubuhlah Lajnah Al-Quds di bawah Kesatuan Ulamak Islam Sedunia.

Dr.Ali Al-Qurrah Daghi dalam ucapannya pula menelusuri sejarah kepincangan dan perselisihan umat Islam dari kalangan para pemerintah, ulamak dan kaum muslimin yang tiada kesatuan hati, mengikut hawa nafsu dan melanggar perintah Allah sehingga menyebabkan kemasukan tentera Salib menguasai bumi Syam lebih 170 tahun.

Umat Islam sibuk dengan pertelingkahan falsafah, berdepan dengan fahaman-fahaman yang menyesatkan, penyelewengan dan kefasadan dalam pemerintahan dan kelemahan para ulamak sehingga membawa kepada keruntuhan.

Katanya, “Sesungguhnya sejarah itu berulang kembali”  Para ulamak silam telah menjalankan peranan untuk memperbaiki segala kerosakan umat Islam sebelum mereka dapat mengalahkan musuh-musuh mereka.

Para ulamak pada zaman ini perlu memainkan peranan yang sama untuk membina semula kekuatan umat dengan menggabungkan ilmu dan perjuangan.

Antara tokoh-tokoh ulamak yang membentangkan kertas kerja ialah Dr.Ahmad Said Hawwa yang membahaskan model mimbar dan khutbah Rasulullah S.A.W yang perlu dijadikan contoh oleh para khatib dan pendakwah pada zaman ini.

Para ulamak perlu menjadi rujukan umat dan tidak boleh membiarkan golongan “ruwaibidhoh” (yang tiada kelayakan) untuk berbicara mewakili mereka.

Mengakhiri ucapannya, beliau menyebut kata-kata Sultan Salahuddin al-Ayyubi, “Sesungguhnya aku tidak membuka sesebuah negara dengan pedang-pedang tentera, namun aku membukanya dengan ilmu.”

Menurutnya lagi, kita perlu melahirkan para khatib yang berpotensi untuk menggerakkan umat sehingga tercapai cita-cita pembebasan Al-Quds.

Dr.Salman al-`Audah pula meluaskan lagi idea tersebut dalam kertas kerjanya berkenaan peranan mimbar masjid ke arah isu Baitul Maqdis.

Beliau menyatakan bahawa kita sedang hidup dalam suasana perpecahan umat dan permasalahan yang datang silih berganti.

“Namun, kita yakin semakin pekat kegelapan malam menandakan semakin dekat cahaya subuh,” ujarnya.
Manakala Dr.Jamal Abdul Sattar pula membicarakan tentang mimbar masjid yang juga berperanan untuk mempertahankan Masjid al-Aqsa dalam pembentangan kertas kerjanya.

Persidangan ini turut mengambil inisiatif untuk merangka gerak kerja yang perlu dilaksanakan di medan amali.

Dalam rangka memperjuangkan isu Palestin, al-Quds dan Masjid al-Aqsa secara khusus, para ulamak di setiap negara perlu berperanan di bidang akademik, dakwah, politik dan sebagainya agar isu-isu ini dapat mendasari kehidupan umat Islam di seluruh peringkat.

Di antara objektif diadakan himpunan ini adalah bertujuan memberi maklumat dan kefahaman berkaitan kota suci al-Quds dari aspek sejarah, kepentingan dan kewajipan memperjuangkannya.

Antara lain, menggilap bakat para khatib dan pendakwah untuk menyampaikan khutbah, pidato dan ceramah berkaitan isu-isu al-Quds di samping meningkatkan keberkesanan usaha-usaha pembelaan negara Palestin yang bermaruah.

Kira-kira 100 orang peserta dari kalangan para ulamak dan pendakwah lelaki dan wanita dari pelbagai negara telah menyertai persidangan selama dua hari iaitu pada 25-26 Ogos 2016 mewakili institusi dan pertubuhan di negara masing-masing.

Delegasi Malaysia diwakili oleh Ustaz Muhammad Ismi bin Mat Taib (Timbalan Pengerusi Lajnah Al-Quds Malaysia) dan Ustaz Imran bin Selamat, (AJK Lajnah Al-Quds Malaysia).

Manakala perwakilan daripada badan politik diwakili oleh Dr.Abu Bakar bin Abdullah (AJK Dewan Ulamak PAS Pusat) dan Ustaz Zulkifli bin Ismail (AJK Dewan Ulamak PAS Pusat).

Di antara peranan yang perlu dimainkan oleh golongan ilmuan dan pendakwah di Malaysia ialah menyebarkan maklumat dan kefahaman berkaitan isu al-Quds dan kepentingan Masjid al-Aqsa dari aspek sejarah, kepentingan dan kewajipan memperjuangkannya.

Di samping itu, program dan aktiviti yang dapat meningkatkan kesedaran masyarakat Malaysia tentang keperluan dan kewajipan membela Al-Quds perlu ditingkatkan dan dianjurkan secara berkala.

Antara yang dibincangkan juga dalam himpunan ini, para ulamak perlu terlibat secara langsung meneruskan usaha dan menghulurkan sumbangan dalam pelbagai bentuk untuk mempertahankan kedudukan Al-Quds sebagai kota suci bagi umat Islam khasnya di Palestin dan dunia Islam secara am.

Dalam majlis penutup pada hari Jumaat, 26 Ogos lalu dua orang tokoh jemputan iaitu Dr.Abu Bakar al-Zahabi dan Dr.Ibrahim Boudukhah menekankan peri pentingnya pembinaan ikon atau tokoh perjuangan membebaskan al-Quds.

Ini kerana setiap tokoh dalam sejarah Islam seperti Sultan Muhammad al-Fateh dan Sultan Salahuddin al-Ayyubi yang menjadi simbol pembukaan Konstantinopel dan pembebasan Baitul Maqdis bukanlah lahir secara kebetulan.

Namun di belakang mereka terdapat para ulamak dan ilmuwan yang mempersiapkan tokoh-tokoh pejuang itu dengan sifat-sifat rabbani yang melayakkan mereka mendapat kemenangan daripada Allah Ta’ala.

Penulis merupakan anggota Lajnah Al-Quds Kesatuan Ulamak Islam Sedunia.
Rencana ini dipetik daripada laman web Kesatuan Ulamak Islam Sedunia – Asia.

Tarikh : 24 Ogos 2016

Lokasi : Bukit Uhud, Surau Flet Gelung Bilal, Kuala Terengganu

 

 

Tarikh : 9 Ogos 2016

Lokasi : Hotel Ansar, Kota Bharu, Kelantan

Panel : Prof. Kamaruzaman Yusoff, Kapten Mohd Asri Abdul Khalek

Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/kesatuan-fikrah/42173-catatan-khas-turki-permata-yang-sedang-berkilau

SYED AHMAD FADHLI | 16 Ogos 2016.

ALHAMDULILLAH, semalam telah berlangsungnya program ceramah perdana yang bertajuk Senario Politik Asia Tengah Pasca Cubaan Rampasan Kuasa Turki yang disampaikan oleh Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Apabila diberikan tugasan sebagai Program Coordinator, misi utama yang perlu saya laksanakan ialah memastikan majlis berjalan dengan lancar daripada awal sehinggalah ia melabuhkan tirai dengan jayanya.

Pada asalnya, pihak kami telah pun menyediakan meja kuliah dan kerusi agar Tuan Guru dapat berucap sambil duduk sahaja memandangkan beliau kurang sihat dan keletihan pulang dari Turki masih belum hilang dek kerana kepadatan jadual tugasan.
Namun, beliau sendiri pula yang meminta untuk berucap sambil berdiri seperti biasa. Beliau berucap selama 1 jam 15 minit di pentas Dataran KUIZM, Taman Melewar.

Bagi sesiapa yang hadir di situ mahupun mendengar melalui Radio Hijau FM ataupun menonton melalui FB live pasti akan terpukau dengan syarahan yang Tuan Guru Presiden sampaikan. Bagaikan berada dalam kuliah subjek Tamadun Islam di universiti, pada lewat malam kita dihidangkan dengan sejarah, pengalaman dan fakta yang agak berat untuk kita hadam. Sempat juga saya buat catatan ringkas, tetapi mana mungkin selembar kertas cukup untuk saya catatkan kesemua isi penting syarahan tersebut yang jauh lebih bernilai daripada Fitnah RM 90 Juta.

Nota: Diperingatkan agar para pembaca menarik nafas yang panjang dan keadaan yang tenang untuk membaca catatan di bawah ini yang panjangnya sebanyak 3100 patah perkataan.

Tuan Guru memulakan ucapan dengan membaca Al Quran, ayat 10-13 Surah As Sof, ayat ini berkisar mengenai kepentingan dan kelebihan memperjuangkan agama Allah. Ayat ini ayat yang sama dibacakan oleh Qari ketika Himpunan Raksasa yang dihadiri 5 Juta orang di Turki baru-baru ini. Suasana yang tidak pernah berlaku pada zaman pemerintahan Kamal Attarturk dahulu.

Tuan Guru memetik kata-kata Saidina Umar Al Khattab bahawa kita adalah ummat yang diberikan kemuliaan oleh Allah dengan Islam, sekiranya kita meninggalkan Islam (mencari cara lain untuk menang) Allah akan hukum kita menjadi umat yang hina.

Bangsa Turki adalah salah satu kaum yang dipilih untuk menegakkan Islam. Islam yang bagaimana.?
Islam yang sempurna sepertimana dalam Al Quran ayat 3 Surah Al Maidah yang diturunkan di Padang Arafah ketika Hajjatul Wada’.

Beratnya ayat ini diturunkan sehinggakan unta yang ditunggang oleh Rasulullah S.A.W ketika itu terduduk.

Generasi para Sahabat ditarbiah mengikut Islam acuan Allah ini yang diturunkan di bumi yang kosong tidak ada hasil, telah berjaya menyebarkan Islam ke seluruh penjuru dunia. Hanya dalam masa 80 tahun ia sampai ke perbatasan negeri China, melalui Asia Tengah, menguasai Utara Afrika, menyeberangi ke Eropah, menguasai Andalusia-Sepanyol.

Mereka berjaya membina tamadun Islam dengan petunjuk hidayah Allah, mengumpulkan ilmu-ilmu dunia yang digabungkan dengan ilmu wahyu. Tamadun Barat hanyalah ciplak dan serpihan sahaja daripada Tamadun Islam kerana ia meninggalkan aspek hidayah Allah sehingga menyebabkan berlakunya kemusnahan yang kita saksikan sendiri.

Apabila kaum Arab meninggalkan Islam, Allah gantikan kaum lain bersilih-ganti yang memimpin Islam. Di antaranya ialah kaum Turki yang berasal dari Asia Tengah, bangsa ini bertempat dari Anadol sehingga Siberia dan perbatasan China. Mereka diislamkan sepenuhnya pada zaman Kerajaan Abbasiyyah, dididik oleh para ulama Asia Tengah seperti Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Tirmizi, Imam Ibnu Majah dan para ilmuwan Islam yang lain.

Dalam suatu peristiwa, Baghdad jatuh ke tangan kaum Tartar yang terkenal dengan ganas, dipimpin oleh Genghis Khan disambung oleh Hulagu Khan yang telah menakluk China dan India. Allah memunculkan Kerajaan Mamalik di Mesir yang dipimpin oleh Sultan Zahir Baybars berketurunan Turki yang memimpin bala tentera Islam yang setia.

Sultan Zahir dengan panduan ulama seperti Imam Nawawi dan Imam Izzuddin Abdus Salam, yang juga merupakan tokoh Mazhab As-Syafie yang terkenal. Mereka menanamkan semangat Islam, memperbetulkan kerajaan yang rasuah dan yang suka bermewah itu diubah untuk berhadapan dengan Tentera Tartar.

Dikisahkan Sultan Zahir Baybars meminta fatwa ulama supaya dipungut cukai yang sebanyak-banyaknya daripada rakyat untuk sumbangan jihad menentang kemaraan Tartar. Kebanyakan ulama mengatakan dibolehkan kerana negara dalam keadaan darurat kecuali Imam Nawawi dan Imam Izzuddin Abdus Salam.

Imam Izzuddin ini diberikan gelaran Sultonul Ulama’, bukannya Ulama’ul Sulton, ini ada bezanya seperti Islam Hadhari berbeza dengan Hadhoroh Islam. Syeikh Imam Izzuddin ini ada mengarang kitab khusus berkenaan Maqasid Syariah, sesiapa yang nak belajar bab ini kena baca kitab ini, jangan ambil tengah jalan.

Beliau digelar Sultonul Ulama’ kerana di dalam satu majlis yang dihadiri Sultan, beliau berkata adalah haram bagi Tuanku mengambil cukai daripada rakyat selagi Tuanku tidak membelanjakan dahulu kemewahan yang ada di dalam istana ini termasuk diri Tuanku sendiri yang pernah menjadi hamba tawanan Kerajaan Abbasiyyah, Tuanku kena jual diri dahulu, sekiranya masih tidak cukup, barulah dikutip cukai daripada rakyat.

Para ulama lain yang turut hadir bagaikan sudah mahu mengangkat kain jubbah mereka kerana takut percikan darah sekiranya kepala Syeikh Imam Izzuddin dipancung, rupanya beliau tidak dipancung. Nasihat beliau telah diterima dan dilaksana oleh Sultan.

Berlakulah peristiwa Ain Jalut, pada 25 Ramadhan 658 Hijrah bersamaan 3 September 1260. Tentera Sultan Zahir dan Qutuz Mesir telah berjaya mengalahkan Tentera Tartar. Ini jasa kaum Turki. Mengikut pandangan Ibnu Khaldun dalam Kitabnya al-Muqaddimah, bahawa secara tabiinya bangsa yang dijajah akan terpengaruh dengan penjajah yang berkuasa dan kuat.

Tetapi, ketika Tartar memerintah dengan undang-undang yang mencampurkan Islam, Yahudi, Kristian dan akal fikiran, para ulama menolak undang-undang sebegini. Rakyat memilih untuk bersama para ulama. Selepas Tartar dikalahkan, mereka pula yang memeluk Islam. Syeikh Hassan an-Nadawi menyebut, hanya dalam sejarah Islam berlakunya keadaan penjajah memeluk agama rakyat yang dijajah. Kerajaan ini lah juga yang berjaya membina tamadun tersendiri ketika menjadi Kerajaan Mogul di India.

Kerajaan yang dipimpin oleh Tartar yang memeluk Islam ini ditadbir bukannya mengikut Islam yang sebenar, mereka membunuh rakyat yang tidak mahu memeluk Islam. Lalu, mereka ditundukkan oleh Kerajaan Saljuk yang berpusat di Konya, Turki.

Berkebetulan Kesatuan Ulamak Islam Sedunia memilih Bandar Konya yang bersejarah itu sebagai tempat untuk persidangan 2016, keputusan itu dibuat sebelum berlakunya peristiwa rampasan kuasa yang gagal.

Kerajaan Saljuk ini tidak dapat bertahan lama, ia diganti dengan Kerajaan Uthmaniyyah yang ditubuhkan oleh Uthman Razi Urtugul pada 1299. Kerajaan Uthmaniyyah ini memimpin Islam daripada Tahun 1299 sehingga 1924.

Ada rekod yang mengatakan ia telah berakhir pada 1923 apabila berlakunya Perjanjian Lausanne di Switzerland yang melibatkan British, Perancis, Itali, Rusia dan Jepun yang membatalkan Kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Turki memimpin Islam selama 6 abad iaitu 600 tahun, Islam masuk ke Eropah sehingga ke Bulgaria, Yugoslavia, dan sekitarnya. Dahulunya, Kerajaan Melaka berbaiah kepada Kerajaan Turki Uthmaniyyah dan begitu juga dengan Kerajaan Acheh yang menguasai rantau alam Melayu ini berbaiah yang sama.

Berlakunya kejatuhan Kerajaan Turki Uthmaniyyah kerana orang Islam tidak lagi berpegang kepada Islam. Kerajaan itu menguasai Laut Mediterranean, Laut Hitam, sebahagian Laut Arab dan Utara Lautan Hindi, menyebabkan berlakunya pengembaraan Vasco Da Gama dan Marco Polo.

Beliau belajar mengenai ini, rupanya pengembara ini merancang untuk mengepung dunia Islam. Itulah berlakunya kejatuhan Kerajaan Melaka pada 1511 selepas Kerajaan Islam Sepanyol pada 1492. Seorang ilmuwan Filipina mendedahkan kejatuhan Kerajaan Melaka dirayakan di Vatican City.

Kemudian, berlakunya serangan pemikiran melalui penanaman semangat kebangsaan nasionalisme, yang diambil kesempatan daripada kelemahan kerajaan Turki Uthmaniyyah yang ratusan tahun memerintah. Negara-negara Arab mula bangkit menentang kerajaan Turki Uthmaniyyah dengan kaedah menyokong kuasa penjajah seperti Inggeris dan Perancis.

Selepas tumbangnya Kerajaan Turki Uthmaniyyah, berlaku pula Perjanjian Sykes-Picot yang melibatkan Inggeris, Perancis dan Rusia yang membahagikan negeri-negeri yang berada di bawah penguasaan Khilafah sebelum ini.

Mereka melagakan umat Islam melalui perbezaan kaum dan mazhab. Apabila Iran dikuasai Syiah, Yaman dikuasai oleh Mazhab Zaidiyyah, Oman dikuasai oleh Mazhab Ibadi-Khawarij, disemangatkan untuk menentang Kerajaan Turki Uthmaniyyah yang bermazhab Sunni.

Di Semenanjung Arab yang dikuasai oleh golongan Wahabbi yang menentang Mazhab As Syairah dan Maturidiah, dan Kaum Arab menentang Turki di atas nama kebangsaan Arab. Mereka menyokong kuasa Barat kerana syok dengan janji untuk dinaikkan sebagai khalifah yang baru. Secara rasminya, pada tahun 1924 jatuhlah Kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Cuba semak di internet, bila hari kebangsaan bagi negara Arab? Kita di Malaysia, menyambut Hari Kebangsaan pada hari British keluar sedangkan Negara Arab menyambut Hari Kebangsaan pada hari Uthmaniyyah keluar.

Walaupun diusahakan oleh Syeikh Muhammad Abduh dan Jamaluddin al-Afghani yang mencadangkan projek perpaduan ummat Islam, dan projek mega rel landasan keretapi dari Turki melalui Mekah, Madinah sehingga ke India. Ini bagi membolehkan orang Islam di Asia Tenggara pergi Haji naik keretapi berjumpa orang Islam di tempat lain dan mengeratkan perpaduan sesama ummat Islam.

Projek fasa pertama dari Turki, Syiria ke Madinah yang masih ada kesan sejarah rel keretapi itu sekarang yang mana projek ini dibiayai oleh wakaf ummat Islam. Namun, ia diletupkan oleh Revolusi Arab di atas semangat kebangsaan dengan nasihat Lawrence of Arabia.

Kerajaan sekular di Turki bermula selepas tumbangnya Kerajaan Uthmaniyyah. Sekularisme ini diteguhkan melalui Perlembagaan Turki dengan kawalan negara Barat, dan gerakan Zionis dan Freemason.

Ketika Tuan Guru belajar di Madinah pada tahun 1969, beliau membaca satu buku dalam yang bertajuk “Asraul Masuniyyah” dalam Bahasa Arab yang dikarang oleh Jeneral Javad Rafaat Aatalkhan.

Jeneral Tentera Turki ini pernah menangkap ejen-ejen Yahudi yang dibawa oleh British ke Israel yang mendedahkan gerakan Freemason di samping Zionis untuk menakluk dunia setelah jatuhnya Kerajaan Uthmaniyyah. Oleh sebab Turki ini bangsa yang kuat mempertahankan Islam maka Islam dihalang begitu kuat di Turki berbanding tempat –tempat lain.

Sekiranya kemenangan Islam di Indonesia pada tahun 1955 yang dipimpin oleh Parti Masyumi,      gabungan Nahdatul Ulamak dan Muhammadiyyah serta kumpulan lain, ia hanya mampu bertahan selama 1 tahun lalu dijatuhkan.

Begitulah juga dengan kemenangan Front Islamic Salvation (FIS) di Algeria pada tahun 1991 dan sama juga dengan kemenangan Ikhwanul Muslimin pada tahun 2012 baru-baru ini. Di Turki, Perlembagaannya menyebut Sekularisme sebagai akidah mereka, Tentera sebagai pengawal Sekularisme melalui perlembagaan tidak bertulis.

Mana-mana pemerintahan yang cuba mengembalikan pemerintahan Islam, Tentera wajib mengambilalih kuasa tersebut dengan sokongan kuasa Barat.

Walaupun demikian, mereka tidak dapat memadamkan cahaya Islam. Pada tahun 1956, Adnan Manderes yang memimpin Parti Demokrat menang pilihan raya dan menjadi Perdana Menteri Turki.

Beliau berusaha mengembalikan Islam di Turki, dengan hanya menubuhkan kembali Sekolah Imam Khotib (Sekolah Agama) untuk melatih imam dan bilal. Presiden Erdogan pernah bersekolah di sini. PM Adnan Manderes juga membuka peluang kepada rakyat Turki menunaikan Haji, memajukan bidang pertanian sehingga berjaya mengeksport hasilnya ke pasaran Eropah.

Hanya dengan usaha ini tanpa menyentuh pun aspek sekular dalam perlembagaan, Tentera Turki menggulingkan PM Adnan Manderes dengan menangkapnya bersama tiga Menteri yang lain dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Pada tahun 1970-an muncul pula Profesor Najmudin Erbakan, seorang jurutera terkenal di Jerman yang mencipta jentera berat termasuk yang menggunakan diesel. Jentera yang dibanggakan oleh Jerman itu dicipta oleh jurutera Islam.

Beliau pulang ke Turki, membuka fakulti kejuruteraan yang melahirkan ribuan jurutera baru. Beliau masuk politik dengan menubuhkan parti yang hanya bertahan selama 4 bulan sebelum diharamkan kerana beliau orang yang kuat berpegang kepada Islam.

Lalu, beliau menubuhkan lagi parti baru kerana di sana mudah diluluskan tubuh parti. Parti ini bertahalluf siyasi dengan parti Kamal Ataturk dan mencapai kemenangan. Beliau dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1972, dan berjaya memajukan industri yang menghasilkan 30,000 jentera berat diesel setahun.

Pada ketika itu berlaku juga rusuhan kaum di Cyprus iaitu umat Islam Turki di situ bergaduh dengan etnik Greece yang dihantar oleh British. Dengan pengaruh Erbakan, Tentera Turki datang menyelamatkan nyawa umat Islam Turki di Cyprus.

Namun, tidak lama kemudian kerajaan tersebut digulingkan dengan Erbakan dipenjarakan dan dikenakan larangan berpolitik. Pada tahun 1980-an, beliau menubuhkan pula Parti Refah, dan seterusnya pada tahun 1998 menang pilihan raya hasil kerjasama dengan parti-parti lain.

Erbakan dilantik menjadi Perdana Menteri Turki, yang mana beliau membina gabungan G8 Negara umat Islam; Turki, Malaysia, Pakistan, Bangladesh, Mesir, Indonesia, Nigeria dan Iran bagi menjana ekonomi dunia Islam.

Lalu, kerajaan beliau digulingkan lagi oleh Tentera Turki dan dikenakan larangan berpolitik. Kemudian, tubuh pula Parti Saadat, namun Erdogan yang asalnya dari parti yang sama telah membawa pendekatan yang baru. Erdogan menubuhkan Parti Keadilan (AKP) yang berasaskan politik liberal.

Tuan Guru Presiden menceritakan pengalaman beliau yang pernah diminta menjadi pendamai ketika berlakunya krisis antara Erdogan dan gurunya, Erbakan. Hal ini kerana Tuan Guru Presiden mempunyai hubungan yang erat dengan Erbakan, beliau menasihati Erbakan untuk berbaik dan bersatu dengan Erdogan.

Lalu, beliau dimarahi selama 6 jam oleh Erbakan dalam bahasa Turki dan dijawab dengan hujah melalui khidmat jurubahasa. Tuan Guru Presiden tidak mampu untuk menjawab apabila Erbakan mendedahkan perjanjian Erdogan dengan jeneral Tentera Turki untuk tidak melaksanakan Islam.

Siapa pula Fethullah Gulen? Pemimpin yang menaja gerakan Sufi, politiknya liberal, Islam untuk Bangsa Turki sahaja, tegakkan Islam dengan nasionalisme Turki, perlu berbaik dengan Israel, Eropah, Yahudi dan Kristian supaya tiga agama ini bersatu.

Oleh sebab Erdogan mengambil pendekatan yang liberal juga, maka Fethullah Gulen menyokongnya dan berjaya menang besar dalam pilihan raya. Erdogan mendedahkan kesemua PM Turki termasuk dirinya sendiri pernah masuk ke dalam gerakan Gulen kecuali Erbakan.

Apabila Erdogan menggerakkan Kapal bantuan Mavi Marmara ke Gaza, Gulen tidak bersetuju kerana akan bermusuh dengan Israel. Gulen pergi ke Vatican City, melawat Israel, berjumpa dengan rabai Israel.

Dia mempunyai dana yang begitu besar mencecah billion atau trillion. Dia menyumbang kepada Sekolah Missionary sebanyak 2 Billion. Di Malaysia ini pun ada rangkaian sekolah Tahfiz di bawah Gulen. Dengan pendekatan ini, kuasa Barat Eropah boleh menerima Gulen.

Hubungan Gulen dan Erdogan kian tegang apabila Turki gagal menjadi ahli European Union (EU). Antara syarat kemasukannya tidak boleh melaksanakan syariat Islam, kerajaan mestilah dipilih melalui demokrasi.

Erdogan berkata demokrasi ini bukan sahaja untuk Kristian tetapi termasuk juga untuk Islam. Maka, berlakulah sebaran dakwah, masjid diimarahkan dan gerakan Islam tidak dihalang di Turki. Pemimpin gerakan Islam dari negara lain boleh bernaung dan mendapat suaka politik di Turki.

Segala tuntutan EU telah ditunaikan tetapi tetap mereka menghalang Turki daripada menjadi ahli EU. Mereka tahu bahawa sekiranya Turki masuk EU akan menyebabkan pasaran Turki jauh lebih besar daripada pasaran EU. Mereka bimbang dengan kebangkitan Islam melalui Turki.

Maka, berlakulah usaha merampas kuasa dengan mempengaruhi sebahagian Tentera Turki yang rapat dengan Gulen. Tuan Guru Presiden mendapat maklumat daripada beberapa orang diplomat kedutaan bahawa Duta Amerika dan pegawai kanannya sudah 5 hari lebih awal keluar dari Turki sebelum berlakunya rampasan kuasa, wartawan CNN sudah datang 2 hari lebih awal untuk membuat liputan.

Rancangan ini diatur di negara yang berhampiran dengan Jerman oleh kumpulan Zionis dan Freemason dengan kerjasama perisik Barat bagi menyekat kebangkitan Islam di Turki.

Sebelum itu, berlakunya provokasi iaitu Jet Turki menembak jatuh Jet Rusia, Turki diheret ke dalam kancah pertempuran di Syria, dan mereka mahu Turki terlibat dengan peperangan secara langsung tanpa keterlibatan mereka. Rupanya, ada ‘batu di sebalik udang’. Rusia memberikan maklumat perisikannya kepada Turki berkenaan provokasi ini.

Antara tokoh penting yang berjaya menggagalkan rampasan kuasa ini ialah Presiden Erdogan, PM Binali Yildirim, dan Ketua Perisik Hakan Fidan. Hakan Fidan ini telah pun mengambil langkah awal beberapa tahun dulu dengan memutuskan hubungan dengan perisikan Israel.

Turki mendapat maklumat bahawa Israel menghantar ejennya ke Iran bagi menggagalkan program nuklear dan sistem pertahanan Iran. Turki berkerjasama dengan Iran dan hasilnya banyak ejen Israel berjaya ditangkap di Iran. Ini adalah perkara yang tersirat.

Pada perancangan awalnya, rampasan kuasa akan dilancarkan pada jam 4.00 pagi ketika orang lena tidur. Pihak perisikan Presiden Erdogan sudah mendapat maklumat berkenaan rampasan kuasa ini.

Ketua Perisik, Hakan Fidan terus pergi ke markas tentera bertanya kepada Panglima Soluhi Akar mendapat maklumat? Panglima dan jeneral lain tidak tahu mengenai hal ini. Apabila pihak yang merancang tahu maklumat sudah bocor, mereka segerakan pelaksanaan awal 4 jam. Ini adalah pertolongan Allah. Rampasan tidak jadi berlaku pada saat orang tidur.

Panglima Tentera Darat segera memaklumkan kepada Presiden Erdogan agar meninggalkan hotel tempat percutiannya itu kerana pengkhianat sudah bergerak. Kesemua pesawat dan helicopter dilarang terbang melainkan pesawat Erdogan dan 4 jet yang ditugaskan untuk menyelamatkan Erdogan.

Panglima Tentera Udara yang mengetuai rampasan kuasa telah mengarahkan jet dan pesawat yang dikuasainya turut terbang sehingga keluar pula arahan dari Panglima Tentera Darat dan PM agar kesemua jet dan pesawat ini ditembak.

Berlakulah pertempuran di Ankara, Istanbul termasuklah serangan di Parlimen dan Markaz Tentera. Pasukan Komando dan Polis yang setia digerakkan. Ketua Perisik Hakan Fidan meminta Presiden Erdogan membuat ucapan menyeru rakyat keluar ke jalan raya beramai-ramai dan Hakan sendiri akan memimpin operasi dan dia sanggup mati.

Stesen TV penting ditawan oleh pengkhianat, namun dalam masa 10 minit rakyat berjaya merampasnya kembali. Rakyat Turki keluar secara spontan, masjid diarahkan azan sehingga kesemua sama ada yang solat atau tak solat, yang bertudung atau yang tak bertudung, kesemuanya keluar menyekat kemaraan Tentera yang merampas kuasa.

Bekas Panglima Tentera U.S, Jeneral Wesley Clark mengatakan kegagalan rampasan kuasa ini kerana empat sebab:
1.Gagal menangkap dan membunuh Presiden Erdogan
2.Media sosial tidak dapat dikawal
3.Tentera tidak mencukupi
4.Rakyat tidak bersama tentera

Parti pembangkang turut bersama mempertahankan Kerajaan Erdogan dengan mengerahkan penyokong mereka turun ke jalan raya kerana mereka sudah muak dengan rampasan kuasa tentera. Lori majlis bandaraya digunakan untuk menyekat kemaraan tentera. Tidak lama kemudian, serangan ini berjaya ditumpaskan dengan tertangkapnya perancang utama.

Kebanyakan negara hanya menunggu dan lihat siapa yang menang? Apabila rampasan kuasa gagal, barulah mereka kononnya mendokong kerajaan demokrasi di Turki. Tuan Guru ketika ditemuramah oleh TV Turki ditanya apa harapan kita orang Islam?

Tuan Guru menjawab harapan kami untuk melihat Turki kembali memimpin kebangkitan dunia Islam. Kita perlu menerima hakikat bahawa negara Iran bermazhab Syiah yang telah bebas melalui revolusinya itu tidak dapat menguasai dunia umat Islam yang sebanyak 90 peratus bermajoriti Sunni.

Iran sudah mula buat pembaharuan dengan mengadakan solat Jumaat, solat tidak dijamakkan, tidak membina hubungan dengan Israel. Tuan Guru Presiden menegaskan sepertimana nasihat Almarhum Erbakan bahawa Turki dan Iran perlu kerjasama dengan negara yang bermusuh dengan kuasa-kuasa Barat.

Kuasa Barat yang pernah mengisytiharkan Orde Baru Dunia hendak memimpin dunia seluruhnya dengan menjadikan Islam sebagai pencabar kepada mereka. Merekalah yang memburukkan Islam dengan menyebarkan fitnah Islam yang melampau dan ganas. Mereka mendesak agar para perampas kuasa ini tidak dibunuh sedangkan mereka juga yang membunuh jutaan nyawa umat Islam di Iraq, Afghanistan dan lain-lain.

Pengajaran yang paling baik ialah semangat Islam kembali di Turki. Tuan Guru memetik kata-kata seorang pemuda yang lumpuh kerana tercedera akibat pertempuran rampasan kuasa yang berucap di himpunan raksasa di Turki berkata, “Saya sanggup mati kerana hendak balik kepada Islam dan kami lebih rela ditanam di dalam tanah kerana mati yang mulia menegakkan Islam daripada hidup di atas bumi, hidup yang hina. Kita bukan hendak menggalakan kekerasan tetapi kita mahu mengajar kepada musuh jangan anggap orang Islam ini lemah. Cahaya agama Allah tidak akan dapat dipadamkan oleh sesiapa sahaja walau dengan apa jua cara sekalipun.

Nah, lihatlah lautan ilmu Tuan Guru Presiden PAS.

Beliau boleh bersyarah selama 1 jam berkenaan tajuk ini dengan hanya sesekali sahaja merujuk nota ringkas fakta penting. Beliau berjaya mengadunkan ilmu, kefahaman, dan pengalamannya dalam konteks realiti semasa. Sungguh, umat Islam di Malaysia patut merasa bertuah memiliki tokoh hebat ini yang kita harapkan akan memimpin kebangkitan Islam di Malaysia dan dunia amnya. – HARAKAHDAILY 16/8/2016

Penulis ialah Pegawai Pusat Penyelidikan PAS

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/presiden/41923-turki-berselindung-di-sebalik-topeng-yang-koyak

Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran:

وَلَن تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡيَهُودُ وَلَا ٱلنَّصَٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمۡۗ قُلۡ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ هُوَ ٱلۡهُدَىٰۗ وَلَئِنِ ٱتَّبَعۡتَ أَهۡوَآءَهُم بَعۡدَ ٱلَّذِي جَآءَكَ مِنَ ٱلۡعِلۡمِ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِيّٖ وَلَا نَصِيرٍ (١٢٠ البقرة)

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikut agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikut kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.” (Surah Al-Baqarah: ayat 120)

Sebaik sahaja gagalnya rampasan kuasa di Turki oleh segelintir tentera yang mengaturnya, keseluruhan negara barat, termasuk negara Islam yang berada di bawah ketiaknya yang busuk itu membuat kenyataan menyokong kerajaan Turki yang dipilih secara demokrasi, dengan peringatan supaya menghormati undang-undang dan hak asasi manusia, termasuk tidak menjatuhkan hukuman bunuh terhadap mereka yang nyata terlibat dengan rampasan kuasa yang telah terkorban dibunuh dan cedera ditembak.

Beberapa minggu dan bulan sebelum rampasan kuasa, beberapa media barat menyiarkan penulisan yang menyatakan kebimbangan dan keraguan terhadap Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang dianggap melakukan perubahan yang dikira ancaman dan bahaya oleh mereka khususnya kembali kepada Islam dan mengubah kiblat politiknya dalam hubungan antarabangsa.

(merujuk kepada Foreign Afairs 30 Mei, Foreign Policy 15 Jun, New Yorks Times 5 Julai)

Perlu diketahui senario dahulu yang diulang lakonannya, betapa kuasa besar barat yang berjaya menumbangkan kerajaan Uthmaniyyah di awal abad yang lalu, setelah berjaya mengkhadamkan pemerintah umat Islam yang berpeluang mendapat kerusi berkuasa memerintah negara tanpa hala tuju Islamnya, di samping Kerajaan Uthmaniyyah yang sangat uzur itu berjaya ditumbangkan, sehingga tanah air umat Islam dijajah, dipecah dan diperintah, rakyatnya diabdikan, hartanya rompak.

Setelah berjaya meletakkan Kamal Atartuk yang ditabalkan sebagai “Bapa Turki” moden dengan menyingkirkan Islam dan melanyaknya habis-habisan, sehingga dimasukkan ke dalam buku teks di seluruh negara jajahan termasuk negara kita supaya mengagungkan Kamal Atarturk.

Kamal Atartuk seorang ketua tentera diktator disanjung oleh barat sebagai seorang yang paling demokrasi dengan perlindungan istimewa melalui perlembagaan Turki yang dipilih anggotanya secara pilihan raya bebas dan demokratik, telah meletakkan di dalam perlembagaan Turki, prinsip dan konsep sekularisme yang mengharamkan politik Islam dengan apa cara sekalipun.

Sesiapa sahaja pemimpin yang hanya mencuba untuk memasukkan agenda Islam dalam kerajaannya mewajibkan tentera mengambil alih kuasa dengan perlindungan perlembagaan, inilah demokrasi ala Turki. Maka, sesiapa yang mahu memakai jenama Erdogan di Malaysia mesti membaca dan memahaminya.

Di  awal tahun 50-an, Ali Adnan Menderes, seorang tokoh ilmuan Turki (peguam) keluar daripada Parti Kamal Atarturk (Parti Republik Rakyat) dan menubuhkan Parti Demokrat berdasarkan sekularisme mengikut undang-undang Turki.

Parti ini mencapai majoriti besar dalam Pilihanraya Umum 1954 dan Adnan dilantik menjadi Perdana Menteri, beliau berjaya meningkatkan ekonomi Turki dalam aspek pertanian sehingga menjadi negara pengeksport pertanian besar ke pasaran Eropah, dengan mendapat sokongan besar daripada rakyat.

Tiba-tiba tentera dipimpin oleh General Jamal Jorsel merampas kuasa Adnan bersama Menteri Luar Potin Rusydi Zoghlo dan Menteri Kewangan Hasan Pulatkan dijatuhkan hukuman bunuh, kerana dituduh mengheret Turki kepada Islam. Semua negara barat berdiam diri apabila Islam menjadi mangsanya.

Selepasnya, muncul pula  Profesor Najmuddin Erbakan tokoh jurutera, pencipta jentera berat di Jerman, khususnya menggunakan diesel. Beliau pulang ke Turki pada tahun 1960, sehingga berjaya melahirkan 300 orang pakar jentera dan Turki dapat mengeluarkan 30,000 buah jentera diesel setahun, menjadikannya tokoh yang sangat dihormati di Turki.

Seterusnya, beliau masuk ke alam politik menubuhkan Parti Kebangsaan Turki. Selepas sembilan bulan parti ini diharamkan kerana amaran panglima tentera General Muhsin Batur disebabkan lantangnya bersuara Islam.

Tahun 1972, Profesor Erbakan menubuhkan Parti Selamat Negara dan berkerjasama dengan Parti Artaturk, sehingga dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri, sehingga juga berjaya mengheret Turki menyerang Cyprus bagi menyelamatkan umat Islam yang dibunuh oleh Kristian Ortodok Greece dan memulihkan hubungan Turki dengan negara Islam, serta berjaya mengharamkan Pertubuhan Fremasson yang mendukung perjuangan yahudi, seterusnya menyokong perjuangan Rakyat Palestin. Akhirnya, Jeneral Kanan Ivreen merampas kuasa kerana menyelamatkan sekularisme Turki. Profesor Erbakan ditahan dan diharamkan berpolitik.

Ketika beliau masih dikenakan tahanan rumah pada tahun 1983, saya berkesempatan berkunjung ke rumahnya dan mengenali Profesor Erbakan, selepasnya terjalin hubungan yang sangat akrab dan sering kali mengajak saya mengiringinya dalam lawatan antarabangsa.

Pada tahun 1992, Profesor Erbakan yang masih diharamkan berpolitik menubuhkan Parti Refah (kemakmuran) dengan dipimpin oleh Profesor Ahmad Tekdal.

Pada tahun 1996, Parti Refah mencapai kemenangan bersama Parti Toreliq Qawim (Jalan Betul). Kerjasama yang mencapai kemenangan menubuhkan Kerajaan Campuran, akhirnya Profesor Erbakan dilantik menjadi Perdana Menteri.

Beliau mengambil langkah menubuhkan D-8, iaitu gabungan lapan buah negara umat Islam bersama Iran, Mesir, Pakistan, Nigeria, Indonesia, Malaysia dan Bangladesh. Mewujudkan kerjasama ekonomi dan lain-lain.

Adapun Recep Tayyip Erdogan berjaya menang sebagai Datuk Bandar Istanbul, dan akhirnya tentera memaksa Profesor Erbakan meletakkan jawatan dan Parti Refah diharamkan juga, akibatnya juga Profesor Erbakan dan beberapa pemimpin termasuk Erdogan dipenjarakan. Setelah dibebaskan, Profesor Arbakan tidak dibenarkan berpolitik sehingga meninggal dunia pada 27 Februari 2011.

Pengikut tegar Profesor Erbakan menubuhkan Parti Saadat dengan meneruskan pendekatannya. Adapun Recep Tayyip Erdogan dan Abdullah Gol menubuhkan Parti Adalat dengan dasar yang lebih ekstrem berterus-terang sekularnya sehingga mengadakan perjanjian tidak melaksanakan Islam di hadapan para jeneral tentera, meneruskan hubungan dengan Israel dan barat, sehingga memenuhi segala syarat untuk menjadi anggota Kesatuan Eropah (EU) namun tidak diluluskan juga.

Langkah yang dimarahi oleh gurunya Profesor Erbakan, namun Erdogan memekakkan telinga terhadap gurunya tanpa menjawab. Langkah Erdogan membebaskan dakwah dan kegiatan masjid, serta berterus-terang menyokong Palestin, dalam masa yang sama mencipta keadaan memulihkan hubungan dengan Israel, sehingga mendedahkan diri kepada kritikan yang keras daripada dalam dan luar, tetapi tidak mendapat kepercayaan barat dan sekutu-sekutunya.

Bahkan, polisi barat mengepung Turki terlibat dengan krisis negara jirannya, dan sekutu barat menguatkan ancaman pemberontak komunis Kurdis, dan mencipta tembakan Turki ke arah pesawat Rusia dan lain-lain.

Barang kali kerana Erdogan dan rakan-rakan yang akrab dengannya tetap bersolat dan beramal dengan cara hidup seorang Islam, isteri-isteri mereka berjilbab dalam majlis rasmi pun tetap menjadi teguran yang keras daripada golongan sekular, walaupun di atas konsep demokrasi dan hak-hak asasi manusia terhadap masing-masing.

Akhirnya merobekkan topeng barat yang menipu dan berpura-pura terhadap umat Islam di sepanjang masa, menunjukkan  prejudis, oportunis, “double-standard”, hasad dan lain-lain sifat lagi yang sangat negatif terhadap Islam, walaupun Islam dan penganutnya sangat berbudi dan berbahasa terhadap mereka, sejak zaman keemasan tamadun Islam sehinggalah zaman menjadi sasaran kezaliman mereka, dengan penjajahan, perhambaan, sehinggalah dijadikan mangsa pembunuhan perebutan kuasa dan ujian senjata.

Umat Islam terus menjadi sasaran fitnah kerana agamanya. Demokrasi, hak asasi manusia, kebebasan yang sebenar, keadilan yang saksama hanya ungkapan manis yang tidak dirasa kalau berbau Islam sahaja. Semua kemenangan parti yang berteraskan Islam atau ada tanda-tanda menuju ke arah Islam tanpa mengira bangsa dan mazhab tetap dinafikan.

Sejarah kemenangan Masyumi di Indonesia di tahun 50-an diguling dan diharamkan, kemenangan Mujahidin Afghanistan menghalau Soviet dikacaubilaukan sehingga mencetuskan huru-hara yang tidak padam sehingga kini, begitu juga kemenangan Parti Islam FIS di Algeria hanya dalam pilihan raya Majlis Perbandaran dirampas kuasa dan diharamkan secara terbuka, menjatuhkan Presiden Mursi di Mesir dengan dramanya yang tersendiri, sikap barat terhadap Revolusi Islam bermazhab Syiah di Iran juga dipulau dengan fatwa negara barat sehingga menyekat segala usahanya menyatukan umat menentang Israel dan lain-lain.

Kini giliran Turki dengan pendekatan Erdogan yang dinafikan Islamnya secara undang-undang yang merumitkan, dilakukan rampasan kuasa tentera yang diulang senarionya tiba-tiba menemui kagagalan. Sebaik sahaja beritanya tersebar, dapat disaksikan betapa negara penjajah dan sekutunya menunggu dan lihat siapa yang menang.

Kecuali Mesir yang menyokong rampasan kuasa gagal itu secara berani kerana mengikut sunnahnya, sehingga lebih ke hadapan daripada Israel yang membisu.

Semua negara barat terkini mendesak supaya Turki menghormati undang-undang tidak menjatuhkan hukuman mati oleh mahkamahnya nanti ke atas mereka yang nyata terlibat dalam rampasan kuasa yang gagal itu, sedangkan mereka boleh melakukan pembunuhan kerana perbezaan warna kulit membunuh beramai-ramai menyerang Afghanistan dan Iraq kerana khabar angin adanya senjata merbahaya atau adanya seorang sahaja yang diburu seperti Osama bin Laden, Saddam Hussin, Muammar Ghadafi atau Ayatullah Khomeini dan sebagainya, sebaliknya melindungi Salman Rusydi dan rakan-rakannya tanpa mahkamah dan bukti yang kukuh.

Mereka juga memejam mata terhadap pembunuhan rakyat Palestin, Rohingya dan terakhirnya hukuman mati ke atas para pemimpin Jamaat Islami di Bangladesh kerana kesalahan tidak menyokong perpecahannya daripada Pakistan setelah berlalunya masa lebih empat puluh tahun.

Perlu diperkenalkan tiga tokoh yang menggagalkan rampasan kuasa Turki, mereka bersama Erdogan, mereka ialah, Perdana Menterinya Binali Yildirim, Pemangku Penglima tentera yang memimpin operasi menentang pemberontakan, Jeneral Omet Dawardar dan Ketua Perisikan, Jeneral Dr Hakan Fidan.

Kali ini diharapkan jeratnya tidak mengena, laksana ayamnya terlepas, tangan berbau najis.

Benarlah firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 109:

وَدَّ كَثِيرٞ مِّنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَٰبِ لَوۡ يَرُدُّونَكُم مِّنۢ بَعۡدِ إِيمَٰنِكُمۡ كُفَّارًا حَسَدٗا مِّنۡ عِندِ أَنفُسِهِم مِّنۢ بَعۡدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ ٱلۡحَقُّۖ فَٱعۡفُواْ وَٱصۡفَحُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ  (١٠٩البقرة.)

“Banyak di antara ahli kitab menginginkan sekiranya mereka dapat mengembalikan kamu kepada kekafiran setelah kamu beriman, kerana rasa dengki dalam diri mereka, setelah kebenaran jelas bagi mereka. Maka maafkanlah dan biarkanlah mereka, sampai Allah mendatangkan perintah-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.”

“BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
16 Syawal 1437 / 21 Julai 2016 – HARAKAHDAILY 21/7/2016

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/38706-catatan-dari-turki-ummah-kita-tanggungjawab-kita

MUHTAR SUHAILI | 28 November 2015.

Alhamdulillah, puji dan sanjungan kepada Allah Azza Wajalla Tuhan seluruh alam kerana masih beroleh kesempatan untuk meneruskan penghidupan dan mensyukuri rahmat kasih sayangNya. Semoga selawat dan salam sentiasa tercurah buat kekasih Allah dan Rasul yang paling mulia, Nabi Muhammad SAW, keluarganya, para sahabatnya, para tabi’in, para tabi’at-tabi’in dan sesiapa sahaja yang mengikuti jalan yang lurus berpaksi kepada kebenaran Islam sehingga hari Kiamat.

Catatan ini ditulis pada jam 3.00 pagi di Istanbul, Turki (jam 9.00 pagi di Malaysia), kini musim sejuk dengan suhu sekitar 18degC. Di musim sejuk waktu siang lebih pendek, dengan waktu Subuh 5.29 pagi dan Maghrib masuk pada jam 4.39 petang.

Alhamdulillah, hari ini sehari suntuk mengikuti Persidangan Antarabangsa Belia Islam di Wow Convention Center, Istanbul, Turki yang dihadiri sekitar 200 perwakilan dari pelbagai gerakan Islam dari seluruh dunia.

Prof. Dr. Mustafa Kamalak, Presiden Parti Saadet telah merasmikan persidangan ini semalam dan in shaa Allah kemuncak kepada persidangan 26-28 November ini ialah program Pidato Umum yang mana salah seorang jemputan khasnya untuk memberi Ucapan Penggulungan ialah Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Naib Ketua Kesatuan ‘Ulamak Sedunia merangkap Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang dalam Bahasa Turkinya Malezya Islam Partisi (PAS) Lideri. Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia juga telah diberi penghormatan menyampaikan ucapan berkenaan Politik Antarabangsa.

Persidangan ini diadakan dalam keadaan pelbagai propaganda yang memusuhi Islam dicanang di seluruh dunia dan Muslim cuba dipersepsi bahkan disinonimkan dengan keganasan. Negara-negara Islam pula seakan-akan terus bangga untuk berpecah-belah dan tidak bersatu-padu serta majoriti selesa dan rela (atau paksa rela) ditarik telinga sesuka hati oleh kuasa-kuasa besar dunia.

Justeru tema persidangan yang dipilih iaitu “Unity Of Islam, Unity Of Ummah”, atau “Kesatuan Islam, Kesatuan Ummah” adalah amat tepat pada waktunya. Turki pula menjadi salah satu negara yang terus berani menganjurkan persidangan Diskusi Islam di saat negara-negara Timur Tengah terus bergolak dan menjadi bacul bila berhadapan dengan Amerika Syarikat dan sekutunya (namun menyinga bila berberantakan dan berperang sesama mereka) dan negara-negara Islam lain terus dibelenggu pelbagai masalah tersendiri.

Peranan Turki dan persidangan-persidangan antarabangsa yang berterusan diadakan di bumi yang dulunya tertegak Khilafah Uthmaniyah ini bagi saya adalah petanda positif ke arah masa depan ummah yang lebih baik. Meski ramai yang skeptikal sejauhmana dapatan persidangan ini mampu menghasilkan tindakan yang konkrit, namun saya kekal positif bahawa ini adalah api-api kecil kebangkitan yang sekiranya diteruskan dengan berstrategi mampu memarakkan usaha mengembalikan Daulah Islamiyah yang diimpikan.

Persidangan ini mengumpulkan delegasi dari pelbagai benua, dari New Zealand di Lautan Pasifik sampailah ke Maghribi di Lautan Atlantik. Perwakilan dihidangkan dengan pelbagai ucapan dan pembentangan yang memperihalkan kondisi semasa yang dihadapi. Kita diberitahu tentang Palestin dan Al-Aqsa yang terus bermandi darah dan saban hari dilanyak oleh Zionis laknatullah, isu hak asasi manusia yang parah di Bangladesh yang tanpa berhati perut terus memangsakan ahli-ahli gerakan Islam, isu pemerkosaan demokrasi di Mesir yang mana sehingga kini Presiden pertama yang dipilih secara pilihanraya terbuka meringkuk di penjara, isu negara Tanzania yang banyak fakta disembunyikan untuk memastikan umat Islam di sana yang dikatakan merangkumi 50% penduduk terus merempat di bumi sendiri dan dianggap rakyat kelas kedua, isu kemanusiaan masyarakat minoriti Muslim seperti Rohingya, Uygur, Moro dan lain sebagainya, pertembungan dan percaturan NATO vs Rusia di Timur Tengah yang semakin berselirat, dan rencam isu serta pelbagai lagi kisah-kisah yang boleh dibukukan untuk menggambarkan parahnya kondisi umat saat ini.

Atas segalanya, saya terinspirasi dengan ucapan perasmian oleh Prof. Dr. Mustafa Kamalak, Presiden Parti Saadet yang meneruskan barton perjuangan yang dimulai oleh Necmetin Erbakan. Beliau mengajak seluruh hadirin agar umat Islam terus meribatkan tangan, bahu-membahu dan bersatu-padu untuk Islam. Gerakan Islam dengan dasar perjuangan Islam perlu memimpin dan memandu ummah serta istiqamah terus mara dengan jalan yang lurus.

Dengan jumlah penganut Islam seramai 2 Billion di seluruh dunia dan 78% dari sumber tenaga dunia (minyak, gas dan bahan galian lain) berada di bumi umat Islam, maka kita sebenarnya mampu menjadi kuasa besar dunia, bahkan inilah keyakinan kita bahawa masa depan di tangan Islam.

Prof. Dr. Mustafa Kamalak menyebut bahawa kita perlu bertindak dalam berhadapan dengan 3 jenis imperialisme yakni penjajahan alaf baru:

1. Imperialisme Ketenteraan.
2. Imperialisme Ekonomi.
3. Imperialisme Budaya.

Kita lemah dari segi ketenteraan bahkan lebih lemah lagi dari segi penyatuan amal. Kita berbangga menaiki kapal terbang yang semakin canggih, merasa tinggi diri dengan kenderaan hebat yang kita miliki dan sebagainya, sedangkan semuanya buatan import dan teknologi orang lain. Kita bangga dengan budaya Barat sedangkan kita umat Islam sebenarnyalah pemilik kebudayaan terunggul yang dijana dari sumber terhebat yakni Al-Qur’an dan Al-Hadith.

Secara rumusannya, kita lemah kerana meninggalkan Islam. Sedang itulah sebenarnya sumber kekuatan kita! Kita memakai baju Islam tetapi tiada roh Islam! Kita berpolitik tetapi mengkesampingkan siasah Islamiyah! Kita berekonomi tetapi tidak menggunakan sistem muamalat Islam! Dan kita kononnya berbudaya sedang sebenarnya hanya ciplakan dari dunia Barat yang semakin celaru dan keliru!

Masih ada sinar di hadapan? Ya, masih ada lagi! Renungilah jua sabda Baginda Rasulullah SAW: Dari ‘Amru bin ‘Auf Al-Anshary, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda kepada orang-orang Anshar pada suatu hari: “Bergembiralah kamu sekalian, nescaya kamu akan mendapati apa yang kamu inginkan; Demi Allah, bukanlah kefakiran yang lebih aku takuti (menimpa) kamu, tetapi aku takut (kalau) dunia ini dibentangkan ke atas kamu (diberi kekayaan dan dimurahkan rezeki) sebagaimana ia telah dibentangkan ke atas orang-orang sebelum kamu; maka kamupun berlumba-lumba (mencari) nya (dunia) sebagaimana mereka berlumba-lumba dengannya, lalu duniapun memusnahkan kamu sebagaimana dia memusnahkan mereka.” (Muttafaq ‘Alaihi).

Atas segalanya, dalam menghadapi mehnah dan tribulasi umat saat ini, kita perlu melaksanakan peranan kita masing-masing. Kita perlu terus menjadi penggerak kepada perubahan, pelaksana kepada kebangkitan dan menjadi abnaul harakah mata rantai perjuangan ini. Ummah Kita Tanggungjawab Kita, maka kitalah yang perlu memikul amanah mencemerlangkan ummah dalam usaha megembalikan kegemilangan Islam. Nampak sukar, tapi pasti ada jalannya in shaa Allah..

Saya ingin mengajak kita semua untuk mencontohi seorang sahabat bernama Khalid ibn Zayd ibn Kulayb. Anda kenal siapa Khalid ibn Zayd ibn Kulayb? Mungkin nama ini tidak familiar dengan ramai dalam kalangan kita. Namun sekiranya saya menyebut nama Abu Ayyub al-Anshari ra, siapakah di antara kita kaum Muslimin yang tidak mengenal nama besar ini? Pusaranya ada di bumi Istanbul ini berhampiran Masjid Eyyub.

Abu Ayyub al-Anshari ra atau nama sebenarnya Khalid ibn Zayd ibn Kulayb dari Bani Najjar merupakan seorang sahabat yang mulia dan terkenal dengan keindahan budi pekerti. Beliau merupakan salah seorang sahabat yang sangat akrab dengan Rasulullah SAW dan bersama Baginda di dalam semua peperangan. Malah Allah telah memuliakan penduduk Timur dan Barat yang me­nyebutnya, manusia yang paling tinggi darjatnya yang mana rumah­nya telah dipilih di antara rumah kaum Muslimin lainnya untuk persinggahan Nabi Muhammad SAW ketika Baginda tiba di Madinah dalam peristiwa Hijrah. Ini merupakan kemuliaan terbesar bagi Abu Ayyub al-Anshari ra.

Apakah motto hidup anda? Adakah sekadar Que Sera Sera (apa nak jadi, jadilah)? Anda ingin mengetahui motivasi unggul yang digenggam utuh oleh Abu Ayyub al-Anshari ra? Mari kita hayati motto hidup sahabat yang hebat ini. Beliau sentiasa membawa motto diri yang mana sepanjang hari Abu Ayyub al-Anshari ra sering mengulang-ulang suatu ungkapan yang diangkat menjadi motto kepada dirinya.

Saya juga telah menjadikan kata-kata ini sebagai salah satu motto hidup dan ingin mengajak sahabat dan kenalan sekalian untuk sama-sama kita menilai dan mengaplikasikannya dalam kehidupan. Pasti ada khairnya dunia dan Akhirat, in shaa Allah.

Inilah motto hidup beliau yang sangat tinggi nilainya:

Infiru khifafan wa tsiqalan! …Berjuanglah kamu, sama ada senang mahupun susah… (Surah At-Taubah, ayat 41)

Sungguh, sekiranya kita mampu menjadikan “Infiru khifafan wa tsiqalan! …Berjuanglah kamu, sama ada senang mahupun susah…” sebagai motto hidup, pasti hidup akan bahagia. Musibah yang menimpa terasa nikmat dan tenang kerana ia adalah ujian dari Allah SWT buat hambaNya. Mehnah yang tiba dihadapi dengan redha dan sabar. Tribulasi yang melanda disungguhi dengan keyakinan.

Musibah, mehnah dan tribulasi bukan alasan untuk kita berhenti berjuang. Malah kita akan sentiasa berjuang sama ada susah mahupun senang demi redha Allah sehinggalah kita beroleh kemenangan atau syahid di jalanNya. Inilah motto hidup terunggul. ‘Isy ‘azizan aumut syahidan!

Selain itu, ada satu lagi motivasi hebat yang kita boleh pelajari dari kisah kehidupan Abu Ayyub al-Anshari ra ini. Anak muda wajar tercabar dengan kisah ini. Bagi orang tua pula, jangan pernah berhenti dalam perjuangan!

Abu Ayyub al-Anshari ra terlibat secara langsung di dalam usaha dakwah menawan dan membebaskan kota Konstantinople pada tahun 44H/ 666M di dalam satu ketumbukan tentera yang diketuai oleh Yazid bin Muawiyah bagi merealisasikan Motivasi Nabawi berdasarkan hadith:

“Konstantinople itu pasti akan dibebaskan. Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpin (penawanan)nya dan sebaik-baik tentera adalah tentera (yang menawan)nya” (Hakim, 4.422; Bukhari, Tarikh al-Saghir, 139; I. Hanbal, 4.335)

Tahukah anda bahawa Abu Ayyub al-Anshari pada ketika itu usianya sudah mencecah lebih 80 tahun! Ya, beliau sudah cukup tua. Namun beliau membuktikan bahawa tokoh lanjut usia yang penuh uban di kepalanya juga mampu memberi sumbangan dan berprestasi besar dalam perjuangan Islam!

Maka sebagaimana yang diceritakan dalam perkisahan sejarah, tentera Islam telah bertembung dengan Tentera Byzantine di Konstantinople dan terjadilah perang yang berkecamuk. Saat jatuh sakit menjelang wafat di antara pasukan Muslimin yang tengah dalam perjalanan berperang, Yazid bin Muawiyah telah bertanya kepadanya apa permintaan terakhir beliau. Maka dengan semangat juang, Abu Ayyub al-Anshari menjawab dalam keadaan nazak:

“Bawakan tubuhku dan teruskan perjuangan bersama-sama dengan tubuhku di tengah musuh. Dan sekiranya aku syahid meninggal dunia.. Kau kebumikanlah aku di Konstantinople.. Supaya pada suatu hari nanti apabila tentera Islam berjaya menawan Konstantinople.. Maka aku akan mendengar bunyi tapak-tapak kaki kuda tentera Islam di atas kuburku… Dan pada hari itu tahulah aku bahawa janji Nabi SAW sudah terlaksana!”

Sebahagian riwayat menyatakan Abu Ayyub al-Anshari dengan sepenuh keyakinan mengatakan; “Jika aku mati maka bawalah jenazahku. Jika kalian bertemu dengan musuh, kuburkanlah jasadku di sana. Aku ingin jasadku dikubur di tengah medan pertempuran atau yang dekat dengannya, sehingga rohku bergerak di atas medan tempur.”

Itulah permintaan Abu Ayyub al-Anshari dan ditunaikan oleh Yazid bin Muawiyah. Beliau menginginkan kehidupan Akhiratnya dalam keadaan berjihad sebagaimana semasa hidupnya di dunia. Akhirnya di jantung Konstantinople, ketika pasukan Islam berperang melawan pasukan musuh, di sanalah jasad Abu Ayyub al-Anshari yang mulia itu dimakamkan.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, lebih 800 tahun kemudian, tentera Islam pimpinan Muhammad bin Murad yang lebih dikenali sebagai Muhammad Al-Fateh pada tahun 857H/ 1453M berjaya menawan Konstantinople dan menukar namanya kepada Islam Bul yang bermaksud Kota Islam (kini dikenali sebagai Istanbul). Maka Abu Ayyub al-Anshari pastinya gembira mendengar bunyi tapak-tapak kaki kuda tentera Islam di atas kuburnya pada ketika itu. Dan benarlah bahawa janji Nabi SAW pasti terlaksana!

Akhirul kalam.. Infiru khifafan wa tsiqalan!

Wallahu a’la wa a’lam.

Catatan Muhtar Suhaili As-Sarawaki
27 November 2015, 4.57am
Wow Hotel, Istanbul, Turki

Sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/27814-turki-sejarah-sebuah-republik

Syafiq Shafii | 12 Mei 2014

SETELAH kekalahan Pakatan German dan Ottoman-Turki di dalam peperangan dunia pertama, kerajaan Osman Turki dipaksa untuk melepaskan beberapa tanah kepada  British (Istanbul, Barat Laut Hitam, Mosul dan Kirkuk), Perancis (Şanliurfa, Gaziantep, Kahramanmaraş), Itali dan Greece (Kawasan Laut Ege) dan Itali (Adana).

Namun  Mustafa Kemal pada masa itu adalah panglima tentera bersama kawan-kawannya telah memutuskan untuk melawan kuasa besar ini setelah membuat perbincangan di Ankara.

Dengan kemenangan besar Mustafa Kemal sebagai ketua panglima dalam peperangan Pembebasan Turki (İstiklal Harbi) 1919-1923 ini, Turki berjaya mempertahankan sebahagian besar tanah Anatolia daripada dijajah oleh barat.

Ahmad Shawqi, seorang penyair terkenal arab-Mesir pada ketika itu telah menggelarkan Mustafa Kemal sebagai Khalid of theTurk, dinisbahkan kepada Khalid Al-Walid sahabat Nabi Muhammad SAW. Ketika itu Mustafa Kemal dilihat sebagai hero kerana telah menyelamatkan tanah Turki-Anatolia daripada barat.

Terbentuknya Republik Turki dan Legasi Kemalis

Setelah tamat peperangan, berlaku konflik dan pertembungan politik, budaya dan sosial, yang berakhir dengan penghapusan sistem Khalifah dan lahirnya sistem Republik. Republik Turki yang dipimpin oleh Mustafa Kemal sebagai Presiden dan Ismet inönü sebagai Perdana Menteri di bawah satu parti iaitu Parti Republik Rakyat (Cumhuriyyet Halk Partisi) telah menggunakan kuasa tentera untuk menjalankan sistem sekular dengan menghapuskan semua unsur-unsur agama daripada negara.

Pada 30 tahun pertama Republik, Kemalis telah berjaya menguasai pentadbiran kerajaan dan tentera, kehakiman, media dan diplomatik. Beliau juga mengetuai syarikat-syarikat kewangan yang penting di dalam industri dan perniagaan, juga telah menubuhkan kelab persendirian dan kumpulan pemikir sama ada secara terang-terangan atau rahsia.

Golongan Kemalis percaya bahawa hanya mereka yang mampu memerintah Republik Turki, hanya anak-anak mereka yang akan menyambung legasi ini dan menentukan apa yang rakyat perlukan. Anak-anak mereka dihantar ke pengajian tinggi yang berbeza dengan rakyat biasa dan menggunakan bahasa yang berbeza dengan rakyat biasa.

Pada 1945, selepas tamat perang dunia kedua dan setelah Turki menjadi anggota Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu, kerajaan Turki telah mengumumkan untuk lebih terbuka dan demokrasi dengan politik yang lebih terbuka dan kepelbagaian parti politik. Oleh sebab masa yang pendek di antara pengumuman itu dan pilihan raya, Republik Rakyat Parti (CHP) telah memenangi pilihan raya itu dan tidak berlaku perubahan yang ketara di dalam landskap politik Turki.

Sehinggalah pada tahun 1950 Demokrasi Parti yang dipimpin oleh Adnan Menderes memenangi pilihan raya. Menariknya, selepas pilihanraya 1950, CHP tidak pernah memenangi satu pun pilihan raya sehingga sekarang, kecuali hanya dengan rampasan kuasa tentera mereka mampu menjadi kerajaan.

Adnan Menderes dan Kudeta

Adnan Menderes dengan satu politik baru yang lebih bebas dan demokrasi telah berjaya menaikkan ekonomi Turki. Beliau juga telah mengubah kembali azan daripada bahasa Turki kepada bahasa Arab.

Namun setelah 10 tahun pemerintahannya, setelah pelbagai cubaan untuk menjatuhkan kerajaan Adnan Menderes, tentera yang dikuasai oleh Kemalis telah berjaya membuat satu rampasan kuasa yang pertama dalam sejarah Republik Turki. Adnan Menderes akhirnya dihukum gantung setelah disabit bersalah di mahkamah. Pemerintahan dikembalikan kepada Ismet Inönü oleh tentera.

Rampasan kuasa (kudeta) oleh tentera telah berlaku 4 kali di dalam sejarah Turki termasuk cubaan membunuh Perdana Menteri seperti Turgut Ozal yang akhirnya mati diracun. Pada tahun 1997 sekali lagi berlaku rampasan kuasa tentera daripada Perdana Menteri Necmettin Erbakan yang dikatakan menceroboh perlembagaan sekular Republik Turki dengan memasukkan unsur Islam di dalam sistem pemerintahan.

Recep Tayyip Erdoğan dan AKP
Pada tahun 2002, Recep Tayyip Erdoğan mengetuai Parti Keadilan dan Pembangunan (Adalet ve Kalkınma Partisi) telah berjaya memenangi pilihan raya dan memegang tampuk pemerintahan.  Recep Tayyip Erdoğan dilihat mengambil pendekatan yang berbeza dengan gurunya, Necmettin Erbakan yakni AKP bukanlah mendokong mana-mana ideologi.

Namun, pada masa yang sama tidak bermusuh dengan mana-mana ideologi. Programnya jelas untuk membawa Turki ke negara yang lebih demokrasi, bebas, sistem ekonomi pasaran terbuka, dan menamatkan monopoli kuasa, kekayaandan pengaruh oleh satu kumpulan sahaja. Langkah pertama yang AKP ambil ialah menjatuhkan dan menghadkan pergerakan ketenteraan, keselamatan dan kehakiman.

Walaupun sudah lebih satu dekad pemerintahan, Erdoğan dan kerajaannya masih berjuang untuk membersihkan semua kuasa-kuasa ghaib di dalam negaranya yang disebut ‘devlet içinde devlet atau negara di dalam negara’. Tanggal 17 Disember 2014, sekali lagi kerajaan Erdoğan diuji dengan serangan yang disifatkan serangan kalah mati Erdoğan. Apakah Erdoğan akan berakhir seperti Adnan Menderes atau lebih berkuasa daripada sebelum ini?

17 Disember dan Pilihan Raya Tempatan 2014

Setelah serangan Gezi Park tidak berjaya, gerakan untuk menjatuhkan Erdoğan ini telah mengatur satu lagi serangan dengan membuka satu persatu rahsia kerajaan dan kes-kes rasuah. Serangan ini juga diketuai oleh satu kumpulan dakwah yang dilihat begitu berpengaruh di Turki yang dikenali sebagai Hizmet atau Jemaat diketuai oleh Fethullah Gülen.

Bermula dengan kes rasuah oleh ahli perniagaan dan bank yang rapat dengan AKP dan juga beberapa ahli parlimen AKP. Erdoğan segera bertindak dengan memecat semua orang yang terlibat dengan menggantikan dengan wajah baru. Kes itu masih di dalam perbicaraan mahkamah.

Serangan itu diteruskan dengan rakaman telefon Erdoğan dengan anaknya yang berkaitan dengan duit berjumlah besar yang disimpan di dalam rumahnya, telah tersebar di youtube dan media sosial yang lain.

Dan yang terakhir, rakaman mesyuarat tertutup Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoğlu bersama ketua tentera di dalam isu Syria yang dianggap satu rahsia negara tersebar di Youtube. Isu ini telah memaksa kerajaan untuk menutup Youtube di seluruh Turki.

Menariknya, serangan yang dilakukan ini adalah tiga bulan sebelum Pilihan Raya Tempatan Turki. Jemaat atau Hizmet ini yang dahulunya menyokong penuh AKP kini telah mengambil keputusan untuk memilih parti selain AKP di dalam pillihan raya tempatan pada kali ini.

Menurut beberapa penganilisis politik Turki, kumpulan dakwah ini mempunyai ahli sebanyak 8 peratus daripada penduduk Turki dan mampu mempengaruhi undi sebanyak 16 peratus. Namun ada juga penganalisis mengatakan kumpulan ini hanya mewakili 3 peratus daripada jumlah pengundi.

Keputusan pilihan raya tempatan pada 30 April 2014 telah berpihak Erdoğan dan partinya. AKP telah memenangi pilihanraya dengan 46 peratus berbanding hanya 39 peratus pada pilihan raya 2008. Semenjak 1950, belum ada satu parti yang mampu mencapai jumlah 40 peratus daripada undi kecuali AKP yang telah memenangi 49 bandar daripada 81 bandar yang ada di Turkey.

Jumlah keluar mengundi juga mencatat satu angka yang tinggi iaitu 80 peratus atau 52 Juta penduduk. Dengan kemenangan besar ini, sekali lagi membuka pintu kepada Erdoğan bersama kerajaannya untuk terus berkhidmat membangunkan negaranya.

Pilihan Raya Presiden dan Visi 2023

Recep Tayyip Erdoğan telah mengorak satu lagi langkah bergaya dengan mengadakan pilihan raya Presiden pertama di negara republik ini. Jikalau sebelum ini Presiden Turki dipilih melalui parlimen dan parti yang menguasainya, kini Presiden akan ditentukan oleh rakyat. Ada apa dengan Pilihan raya Presiden ini?

Di dalam menjayakan visi 2023 yang digariskan oleh AKP, Erdoğan memerlukan kuasa yang mampu untuk mengubah perlembagaan Turki. Beliau ingin membentuk negara Turki yang lebih bebas terutamanya bebas daripada kuasa tentera, memberi keadilan kepada semua rakyat termasuk golongan minoriti dan lebih bebas untuk mengamalkan agama di negara ini. Ini juga adalah antara syarat untuk memasuki Kesatuan Eropah iaitu salah satu visi 2023.

*Penulis merupakan pelajar di Necmettin Erbakan University (Master of Islamic Philosphy) dan telah menetap di Turki selama 2 tahun.

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/25322-ekonomi-islam-malaysia-boleh-belajar-dari-turki

Oleh YB Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi

1.Saya amat tertarik dengan perkembangan di Turki. Di dalam ijtihad pemerintah, kadar faedah sebenar Turki diturunkan secara beransur-ansur sehingga menjadi “kosong” manakala kadar faedah nominalnya mengikut kadar inflasi. Memandangkan inflasi adalah fenomena “semulajadi” maka terdapat kelonggaran mengikat kadar faedah kepada kadar inflasi. Para penganalisis dari pemodal kewangan antarabangsa sejak dari akhir 2010 menjangkakan nilai lira akan jatuh, defisit akan berkembang dan inflasi akan meningkat hasil dari pendekatan ini.

2.Namun sehingga ini, Turki masih merupakan antara pasaran menyinar di dalam ekonomi Eropah yang rata-ratanya merudum. Pengalaman Turki ini, saya percaya risiko-risiko yang dibangkitkan ada benarnya dan sebarang usaha untuk mewujudkan ekonomi tanpa kadar faedah perlu dilakukan dengan penuh berhati-hati, apatah lagi apabila komuniti kewangan antarabangsa mula berkonspirasi menyuntik keraguan di dalam pasaran. Begitu pun komitmen Perdana Menteri Turki yang mahu melihat orang-orang Turki “mendapat untung dengan berkerja, dan bukannya melalui kadar faedah” merupakan satu komitmen yang berani.

3.Visi pemerintah Turki ini membuka ruang ijtihad yang sepatutnya diteladani pemerintah Malaysia sekiranya kita benar-benar beriman kepada larangan Riba’.

Agenda Kedua – Program Pengurusan Hutang Negara

Pembentangan Bajet 2014 saya kira kerajaan tidak mengumumkan langkah konkrit untuk menangani hutang negara selain dari meletakkan beban kelangsungan biaya kerajaan ke atas rakyat melalui program percukaian GST. Masalah ini ibarat gajah di dalam bilik yang tidak diendahkan.

4.Menurut Islam, hukum hutang adalah harus malah ulama menafsirkan memberi hutang itu lebih utama dari bersadaqah. Sekalipun hutang itu dibenarkan tetapi apabila menjadi berlebihan dan bertransformasi pula menjadi suatu ketagihan, ia akan menjadi punca ketidakstabilan, punca keresahan dan hilangnya keberkatan di dalam muamalah. Hakikatnya, inilah yang sedang berlaku di dalam negara kita ini dan ia menghalang keberkatan dalam muamalah kenegaraan dan bermasyarakat.

5.Buktinya, hutang fiskal kita terus meningkat, dan dalam kadar yang membimbangkan. Sepanjang tempoh 1970 hingga tahun 2000, hutang kita meningkat sehingga lebih sedikit dari 100 bilion ringgit. Dari tahun 2000 sehingga 2012, yakni tempoh 12 tahun sahaja, hutang kita meningkat mendadak dari 100 bilion sehingga 420 bilion ringgit. Perdana Menteri pernah berkata rakyat ketagih subsidi, tetapi nampaknya kerajaan sendiri pun ketagih berhutang.

6.Mengikut rekod sejak 1970, Malaysia mengamalkan bajet defisit setiap tahun kecuali untuk sebahagian kecil tahun-tahun 90-an. Tidak cukup setakat itu, saban tahun termasuklah untuk 2013, kerajaan memohon peruntukan tambahan secara puratanya dalam lingkungan 7 hingga 10 billion ringgit setahun. Bukankah ini satu bentuk ketagihan kepada hutang?

7. Peringatan Nabi SAW mengenai hutang adalah jelas, ertinya:

“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya : Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang, wahai Rasulullah? ; Baginda menjawab : “Jika seseorang berhutang, apabila berbicara ia dusta, apabila berjanji ia mengingkari.” ( Riwayat Al-Bukhari, 1/214 )

8.Bila membaca hadis ini, saya terimbau kembali kenyataan-kenyataan kerajaan mengenai hutang negara. Tahun 2009, Datuk Idris Jala yang bertanggungjawab terhadap program-program PEMANDU memeranjatkan negara dengan mengatakan Malaysia akan bangkrap. Tahun 2012, Datuk Idris Jala menegaskan program transformasi negara telah berjaya menjauhkan Malaysia dari kebangkrapan.

9.Perdana Menteri pun terus melukis gambar-gambar indah mengenai ekonomi negara biar pun hutang bertambah dan kos sara hidup meningkat. Hanya apabila Fitch Ratings menurun taraf piawai fiskal kita, barulah pemerintah tersentak. Kerajaan pun panik, memotong subsidi petrol biarpun harga petrokarbon global pada dasarnya stabil. Sudah terkena baru terngadah lalu rakyat dimangsakan.  Maaf jika saya katakan, bukankah perilaku pemerintah ini satu pendustaan?  Benarlah kata-kata Rasullulah saw.

10.Terdapat satu hadis lain pula, Nabi SAW diriwayatkan berkata, ertinya:

“Ya Allah, aku berlindung daripada kekufuran dan hutang, Mendengar itu seseorang bertanya,” Apakah engkau menyamakan kekufuran dengan hutang wahai Rasulullah?; “Benar” Jawab Rasulullah.” (Riwayat An-Nasaie, 2/316 ; Ahmad , 3/38 ; Al-Hakim berkata Sohih dan disepakati oleh Az-Zahabi; Menurut Albani : Dhoif)

Nasrudin bin Hassan

Timbalan Pengerusi 1 Lajnah Dakwah PAS Pusat

Mencorak Masa Depan

turki

Sumber : https://www.facebook.com/photo.php?fbid=713280498705017&set=a.206131722753233.56019.185412838158455&type=1

Halaman rasmi Kesatuan Ulamak Islam Sedunia :

Gambar pertama kali tentera Turki menunaikan solat secara berjemaah di zaman PM Tayyip Erdorgan selepas beliau memansuhkan larangan menunaikan solat jemaah kepada tentera yang dikuatkuasakan di zaman Kamal Attaturk.

%d bloggers like this: