Tag Archive: Tun Datu Mustapha


DUSUN BONGGI & ISLAM

Masyarakat Dusun Bonggi pernah terima syiar Islam 50 tahun lalu

Oleh Azrul Affandi Sobri

PAGAN adalah cara hidup atau pegangan masyarakat Dusun Bonggi sejak berabad lamanya. Hidup bebas tanpa pegangan agama itu sudah sebati di kalangan mereka yang menjadikan tempayan dan batu besar sebagai alat penyembahan atau tempat meminta pertolongan jika ditimpa bencana.

Namun, segala-galanya berubah apabila bekas tokoh utama Sabah, Allahyarham Tun Datu Mustapha Harun dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam menggerakkan kemasukan Islam ke Pulau Banggi dengan menyasarkan masyarakat Dusun Bonggi yang ketika itu masih begitu kuat dengan kepercayaan pagan.

Menurut ketua Kampung Limbuak Darat, Firdaus Abdullah, pada penghujung 1960-an, ketika Mustapha menjadi Ketua Menteri Sabah, sesi penyebaran Islam secara serius digerakkan di semua perkampungan etnik itu, bermula dengan sesi penerangan dan pengislaman beramai-ramai masyarakat Dusun Bonggi yang buat pertama kalinya diadakan di Sekolah Kebangsaan Limbuak Laut.

“Ketika itu, atas kata putus dan persetujuan beberapa ketua masyarakat Dusun Bonggi termasuk dari Limbuak Darat, Batu Layar, Mamang, Palak Darat dan Kalangkaman, ramai masyarakat memeluk Islam lantaran konsep keagamaan yang ditekankan dalam siri penerangan oleh Mustapha.

“Ketika itu, lebih 70 peratus masyarakat di Pulau Banggi memeluk Islam sekali gus menjadikan Islam agama utama di pulau terbesar di negara kita itu.

“Namun, segala-galanya berubah apabila pada awal 1980-an, sebahagian besar masyarakat Islam Dusun Bonggi memilih kembali kepada pegangan asal iaitu pagan dan ada pula yang menganut Kristian lantaran kurangnya dakwah untuk memperkukuhkan pegangan agama mereka,” katanya.

Katanya, alasan utama ialah jarak kerana bukan mudah untuk mencari pendakwah yang sanggup keluar masuk ke perkampungan mereka dan menjalankan aktiviti dakwah secara intensif.

Atas sebab kurangnya pendedahan agama, kebanyakan mereka merasakan tiada bezanya memeluk apa saja agama atau pegangan sekali gus menyebabkan ramai yang kembali murtad.

Kebanyakan masyarakat Dusun Bonggi yang tetap dengan Islam pula dikatakan kurang dalam aspek kefahaman serta pengetahuan agama yang menjadikan mereka hanya Islam pada nama.

Masih ramai golongan dewasa tidak tahu solat dengan sempurna dan kurang kanak-kanak Islam yang tahu mengaji. Senario itu menyebabkan Islam masyarakat Dusun Bonggi semakin goyah, tambahan pula dengan kemasukan pengaruh Kristian di Pulau Banggi.

Meskipun mereka Islam, kepercayaan kepada perkara tahyul dan menyesatkan tetap diteruskan. Masih ramai menjalankan aktiviti penyeruan kepada kuasa ghaib yang dikatakan mampu menyembuhkan penyakit. Upacara tarian Tamadak yang khusus untuk menyeru roh ghaib masih popular di kalangan masyarakat itu termasuk mereka yang Islam.

Firdaus berkata, tarian tradisi itu mula diamalkan masyarakat Dusun Bonggi sejak generasi kedua dan terus menjadi budaya rasmi masyarakat itu, malah sudah dipersembahkan untuk tontonan orang ramai.

“Mengikut kaedah sebenar, untuk memulakan tarian Tamadak, kami perlu menyediakan satu rumah khas dan tujuh bendera pelbagai warna.

“Tujuh genggam nasi pelbagai jenis dihantar ke beberapa objek yang dipercayai mempunyai kuasa seperti pokok atau batu puaka untuk dijadikan hidangan makhluk ghaib.

“Tarian ini akan diteruskan tujuh malam berturut-turut. Ia khusus untuk penyembuhan penyakit dan tidak boleh ditarikan sebarangan.

“Tidak boleh untuk dipersembahkan semasa perkahwinan atau apa saja tujuan. Apa yang kami pertontonkan kepada khalayak juga hanya sebahagian kecil daripada tarian ini.

“Tarian Tamadak asli hanya boleh ditarikan orang tertentu seperti bomoh atau mereka yang terpilih. Untuk dipersembahkan, sesiapa saja boleh menarikannya tetapi tidak boleh menunjukkan sesuatu yang asli,” katanya.

Tarian itu mempunyai pergerakan yang mudah. Penarinya kelihatan melangkah mengelilingi sesuatu dengan sedikit hentakan kaki sambil tangan memegang daun ubi kayu atau silabangun.

“Tarian mereka diiringi muzik dari tetogog (gong) dan alat ketukan kuntangan seperti cempuling. Turut digunakan, gendang, tin kosong yang dibalut dengan kain dan diketuk dengan kayu,” katanya.

Penari perempuan memakai banduong, sejenis baju tradisi seakan kebaya ringkas bersama sindaang iaitu sejenis kain batik berserta selampi (selendang yang diletak pada bahu kanan). Penari lelaki pula memakai sembit, kain yang diikat menjadi cawat.

Kebiasaannya, ia boleh ditarikan beramai-ramai apabila ada orang yang ‘begin’, iaitu dimasuki makhluk lain sehingga tidak sedar diri dan turut dalam tarian. Penarinya pula kebiasaannya berusia lebih 30 tahun.

Suatu ketika dulu, sebelum Pulau Banggi dibangunkan, ada beberapa lokasi utama yang dijadikan tempat penyembahan kepercayaan pagan dan kebanyakannya menggunakan tempayan besar sebagai alat perantara.

Tempayan itu bukan sebarangan dan tiada orang luar dibenar melihat atau mengunjungi kawasan itu dan ia kekal sehingga kini, meskipun tempayan berkenaan sudah dimusnahkan. Bagi mereka, kawasan itu mempunyai kuasanya tersendiri dan berpuaka.

Kini, kawasan itu yang berada di satu lokasi berbukit di pinggir Limbuak Darat masih dikawal ketat masyarakat Dusun Bonggi dan terhalang daripada pandangan.

Difahamkan, ada dua tempayan yang pernah menjadi alat utama penyembahan iaitu satu di Limbuak Darat dan satu lagi di Sabur.

Malah, meskipun Dusun Bonggi mempunyai beberapa perkampungan, satu sistem zon digunakan yang mengehadkan penduduk di luar sempadan mengunjungi kawasan tempayan yang bukan di bawah sempadannya.

Selepas kedua-dua tempayan itu dihapuskan kerana kemasukan Islam suatu ketika dulu, apa yang masih tinggal untuk dijadikan penyembahan masyarakat Dusun Bonggi ialah batu besar misteri yang ada di Mamang.

Ust Hj Mohd Iyen Atim

Pada zaman pemerintahan kerajaan USNO di Sabah, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun ada menghubungi pemerintah Indonesia bagi memohon jasa baik para pendakwah agar datang ke Sabah menyebarkan Islam.

Di antara panduan yang diberikan ialah para pendakwah itu mestilah berfahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dan bermazhab Imam asy-Syafii. Lalu dipilihlah sebuah institusi pendidikan yang terkenal di Medan Indonesia, iaitu al-Wasliyyah.

Diadakan temuduga, dan yang dipilih hanya seramai 18 orang. Diantara yang terpilih itu ialah Ust Hj Muhammad Iyen bin Atim, salah seorang bekas penuntut di sana.

Mungkin tidak ramai mengetahui bahawa nama sebenar tokoh pendakwah di Sabah ini ialah Syahrin Muhammad Yatim, kini berusia 76 tahun.

Berasal dari Kecamatan Tanjung Beringin Bedagau, Kabupaten Deli Serdang, Propinsi Sumatera Utara, Indonesia. Merupakan anak kedua dari empat beradik dan beliau adalah anak lelaki tunggal.

PENDIDIKAN

Pendidikan awalnya melalui dua sesi. Sebelah pagi, belajar di Sekolah Dasar, sementara pada sebelah petang bersekolah di Madrasah al-Jamiyatul Wasliyah peringkat ibtida’ie selama 6 tahun.

Di peringkat menengah, sebelah pagi beliau belajar di Sekolah Guru Islam selama dua tahun. Setelah sekolah tersebut diubahsuai menjadi Pendidikan Guru Agama (P.G.A) beliau terus belajar selama 3 tahun lagi.

Pada sebelah petang pula, beliau belajar selama 3 tahun di Madrasah Al Jam’iyyatul Wasliyah Kotapraja Tebing Tinggi Deli, sehingga tamat pengajian pada tahun 1954.

Ust Hj Md Iyen melanjutkan pendidikannya ke sekolah peringkat atas, iaitu Qismul ‘Ali, selama 3 tahun yang setaraf dengan ijazah sarjana muda.

Ust Hj Md Iyen melangkah ke Universiti Al Wasliyyah pada tahun 1957, malangnya beliau hanya sempat bertahan di universiti selama dua tahun kerana kedua orang tuanya tidak mampu membiayai kos sara pendidikannya.

Sejak itu, Ust Hj Iyen menanam semangat iltizam di dalam jiwanya agar memastikan semua anaknya nanti akan menjadi graduan universiti.

AKTIVITI

Rupanya Ust Hj Md Iyen adalah seorang yang aktif ketika zaman persekolahan dan awal kerjayanya.

Antaranya, pernah menjadi Ketua Umum Ikatan Pelajar al-Wasliyyah di Tebing Tinggi Deli dan Setiausaha 1 Gerakan Pemuda al-Wasliyyah Tebing Tinggi Deli.

Dalam siasah, al-fadhil ustaz pernah menjadi Setiausaha II Gerakan Pemuda Islam Indonesia Kecamatan Tanjung Beringin, dan turut menganggotai Partai Islam MASYUMI sehingga dibubarkan oleh kerajaan Indonesia.

BERANGKAT KE SABAH

Menceritakan detik ketibaan mereka secara berperingkat, al-Fadhil Ustaz Iyen datang pada 1 April 1974 bersama rakan-rakan lain.

Ust Iyen dihantar ke daerah Ranau, sebuah daerah pelancongan tempat beradanya gunung kinabalu yang tersergam indah.

Beliau berada di Ranau selama 2 tahun sebelum dipindahkan ke SM Islamiah Buang Sayang Papar yang baru dibuka ketika itu.

(Ada gambar istimewa tanpa tarikh saya perolehi dari pejabat kami di Bahagian Penyelidikan & Informasi JHEAINS, merakamkan detik Ust Hj Md Iyen sedang mengajar di SM Islamiah Papar antara 1977-1984. Gambar hitam putih ada di bawah).

Di sekolah ini, Ust Hj Md Iyen bertugas selama 8 tahun sebelum dipindahkan pula ke MUIS Kota Kinabalu khususnya di Bahagian Sebaran Am.

Meski di MUIS hingga ke JHEAINS ditempatkan sebagai pengarang, jemputan dan undangan turun ke masyarakat untuk berceramah ke seluruh pelusuk Sabah tetap diterima dan dipenuhinya.

Menurut ustaz, sehingga kini hanya daerah Pensiangan yang belum dimasukinya. Motto ‘Di mana bumi dipijak, di situ dakwah dijunjung’ sentiasa menjadi pegangan beliau.

Perkahwinan bahagia bersama Hjh Robiyatun Sekah, mereka dikurniakan 6 orang anak – 2 anak lelaki dan 4 anak perempuan, iaitu Shofriza Washlaini, (BA Pengajian Islam UKM Bangi dan Dip. Pendidikan), Laila Hijrah (BA Sains Industri USM dan Dip. Pendidikan), Dr. Mohd Iqbal (BA Perubatan), Intan Rasyida (sedang menuntut di universiti), Nurun Nazhifah (sedang menuntut), dan Badrul Ilmi (sedang menuntut).

Dalam usia 76 tahun kini, walaupun sudah bersara sebagai warga JHEAINS, ustaz masih aktif berceramah ke sana dan ke sini, mengisi program di masjid, surau dan pejabat-pejabat, menjadi hakim tilawah dan nasyid anjuran pelbagai pihak.

Bagi peribadi saya, saya mengenali lebih dekat dengan beliau ketika kami memulakan pengajian di Maahad Tahfiz al-Quran yang ketika itu berpusat di Masjid Negeri Sabah. Ust Iyen dijemput memberikan ceramah dan motivasi kepada kami sebagai perintis awal.

Sejak itu nama beliau saya ingati sehingga kini. Semoga Allah SWT memberi kesihatan kepada ustaz sekeluarga dan dapat menyampaikan Islam sehingga akhirnya.

(Maklumat ini saya kumpulkan antara lain melalui penceritaan Ust Hj Md Iyen sendiri, wawancara siswa DPI UMS bersama Ust Iyen dibawah seliaan Ust Azam dan pengalaman peribadi saya sendiri).

Ust Hj Md Iyen Atim 2

Ust Hj Md Iyen Atim ketika bertugas di SM Islamiah Papar lebih 30 tahun lalu

%d bloggers like this: