Tag Archive: Tuan Ibrahim Tuan Man


Tarikh : 25 Ogos 2015

Lokasi : KKIA

20150825_100911 20150825_102547 20150825_102600 20150825_102613 20150825_103601
IMG-20150825-WA0093IMG-20150825-WA0076 IMG-20150825-WA0080IMG-20150825-WA0075

Sumber :http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/35703-pemilihan-pas-satu-pandangan

TUAN IBRAHIM TUAN MAN | 29 Mei 2015.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa ke atas tiap-tiap sesuatu.” (Al-Baqarah: 148)

Sewaktu Nabi mengiklankan satu jawatan untuk diisi oleh para sahabat, lalu datanglah Abu Zar al-Ghifari memohon jawatan tersebut, melihat yang memohon itu Abu Zar, lalu Nabi s.a.w. menyatakan: “Wahai Abu Zar, sesungguhnya engkau lemah, sedangkan jawatan ini satu amanah, kelak nanti di hari akhirat engkau akan akan dukacita dan menyesal; melainkan engkau ambil dengan selayaknya dan engkau tunai pula amanahnya.”

Firman Allah dan hadis di atas seharusnya menjadi dasar pegangan setiap kita agar kita tidak memandang berat dan berkira terhadap keputusan menang kalah di dalam perlumbaan di setiap kali muktamar. Menang dan kalah di tangan Allah. Yang terpilih sepatutnya bimbang akan beratnya bebanan yang terpaksa ditanggung nanti. Yang tidak terpilih pula harus bergembira kerana Allah meringankan beban di akhirat.

Di dalam pemilihan parti Islam, pemilihan hanyalah adalah satu perlumbaan berganding tangan menentukan siapa duduk di barisan depan untuk memenangkan perjuangan Islam. Yang terpilih akan mendukung amanah dan yang tidak terpilih akan membantu dalam bahtera perjuangan agama Allah.

Umpama sebuah rumah, kayu terpilih diberi keutamaan menjadi pintu, manakala kayu-kayu lain dijadikan bahagian rumah yang lain-lain. Jangan pula kerana kedudukan pintu itu, kita mengganggap kerjanya yang mudah kerana ia di tempat lebih tinggi berbanding kaki rumah.

Tugas pintu sebenarnya amatlah besar daripada melindungi penghuni rumah sehinggalah menghalang pencuri, binatang, air hujan dan angin masuk ke rumah dari siang ke malam sepanjang masa tanpa rehat. Namun, pintu tidak akan dapat melaksanakan tugasnya dengan baik tanpa kayu-kayu lain yang membentuk bahagian rumah yang lain. Jangan pula kamu pandang hina pada tugas kaki rumah yang terpaksa memikul beban berat rumah dan memastikan rumah lasak meskipun dilanda banjir.

Oleh itu, di dalam pemilihan parti Islam tiada istilah gugur dalam perjuangan hanya kerana seseorang tidak terpilih melainkan seseorang itu memilih jalan tersebut. Yang ada hanyalah pertukaran tanggungjawab.

Namun, dalam kebimbangan dan ketakutan untuk menerima amanah ini, kita juga diberi amaran oleh Rasulullah s.a.w. antara lain Baginda mengingatkan sesiapa yang ummah/orang ramai mengharapkan kepadanya untuk menjaga maslahah mereka, lalu dia melarikan diri (enggan menerima) maka aku tak ingin berjumpa dengannya nanti di padang mahsyar. (Nauzubillah).

Oleh itu, pertimbangan yang wajar ialah berada di antara takut dan harap. Takut Rasulullah s.a.w. murka, dan harap Allah bantu dengan amanah ini. Oleh itu, ia menjadi tanggungjawab perwakilan yang menerima amanah ahli bawahan parti untuk meneliti calon-calon dengan keilmuan, menolak sentimen dan emosi dan meletakkan kepentingan jamaah di hadapan agar membuat pilihan yang sebaik-baiknya bagi menerajui kepimpinan jamaah kita.

Kemungkinan pilihan kita bertepatan dengan pilihan ramai, lalu yang kita mencadang menerima amanah; atau mungkin juga berlaku sebaliknya. Kita harus sedar, setelah diputus oleh jamaah maka kita mesti wala’ kepada kepimpinan yang dipilih. Pelantikan sebagai pimpinan menuntut kita taat dan wala’ kepadanya ‘walaupun dari hamba berkulit hitam, berbangsa Habashi sekalipun’.

Ini lebih penting dari pemilihan, kerana soal pemilihan boleh selesai dalam sehari, tetapi soal wala’ akan berpanjangan sehingga muktamar akan datang.

Rasulullah s.a.w. pernah memberi amaran antara lain mafhumnya ‘jangan kamu mendesak untuk mendapatkan jawatan, kerana sesiapa yang mendapatkannya sedang orang ramai tidak meredhainya, maka Allah tidak akan membantunya’.

Saya berharap semangat keimanan ini terus tersemat kukuh dalam jamaah kita, sehingga setiap kita merasa berat untuk menerima jawatan tersebut.

Hentikanlah bermain saraf menggunakan pelbagai cara termasuklah penggunaan media sosial tidak bernama mahupun bernama yang merosakkan jamaah. Di dalam Islam, helah ke atas musuh memang dibolehkan ketika perang, tapi bukan pemilihan sesama jamaah sendiri hanya demi mendapatkan undi.

Sebagai seorang ahli parti, saya menaruh harapan tinggi bahawa ahli-ahli PAS dapat kembali ke zaman di mana kemanisan dan keseronokan dapat dirasai bilamana kita boleh menyumbangkan sesuatu kepada jamaah, walaupun kita tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti pun.

Jamaah kita didukungi oleh ahli yang ikhlas, kepimpinan yang wibawa dan kemantapan jamaah yang hebat. Kita sedar musuh amat cemburu dengan muafakat jamaah yang kita ada.

Oleh itu, ingatlah pada golongan yang ikhlas dalam perjuangan ini yang sanggup korbankan harta, masa dan tenaga untuk kemenangan Islam, walau mereka tidak memegang apa-apa jawatan dan jauh dari dipilih sebagai calon dalam pilihan raya.

Jangan hampakan mereka kerana perkelahian kita semata-mata jawatan. Musuh cuba memecahkan perpaduan kita, mereka cuba laga-lagakan antara kita, kerana itu kita harus sedar agar tidak jadi jurucakap bagi pihak musuh.

Kepada yang terpilih menerajui kepimpinan kawasan, dewan dan akan terpilih dalam muktamar pusat, ingatlah akan doa Saidina Umar al Khattab: “Ya Allah, engkau telah bebankan aku dengan bebanan yang berat di dunia, maka janganlah engkau bebankan pula aku dengan bebanan yang berat di akhirat”.

Ingatlah kita sebenarnya belum diuji oleh Allah dengan kemenangan besar yang menanti kita. Semoga Allah tidak menguji kita sebagaimana Allah menguji umat sebelum kita. – HARAKAHDAILY 29/5/2015

titm

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/35575-tuan-ibrahim-boleh-kecewakan-penyokong

SUBKY LATIF | 22 Mei 2015.

HANYA persepsi saya. Jika seseorang yang dicalonkan untuk menjadi calon pencabar sebagai Presiden PAS bersetuju supaya tidak menghampakan sesiapa yang mencalonkannya, maka yang mula-mula menghampakan penyokongnya dalam pemilihan sekarang ialah Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mula-mula seorang lain selain dari Presiden sekarang, TG Haji Abdul Hadi Awang, Tuan Ibrahimlah dicalonkan oleh PAS Kawasan Kota Bharu. Masa itu kira-kira orang-orang yang mahukan muka baru sedang mencari-cari siapa yang sanggup menjadi calon.

Memang Tuan Ibrahim disebut-sebut dan ditonjol-tonjolkan. Ketika pencarian itu, tiada yang jelas sebagai calon yang terbaik. Tuan Ibrahim dikira yang terbaik dalam kekosongan itu.

Jika dia menerima dan melayan golongan yang mengaku mahukan pembaharuan, maka rasanya sekian yang dicalonkan selain daripadanya tidak akan dicalonkan. Dialah calon tunggal itu.

Amat besar harapan penyokongnya di Kota Bharu mahu dia menerima. Tetapi secepat kilat Tuan Ibrahim menolak pencalonan itu hingga menyebab undi orang Kota Bharu sia-sia.

Hak Tuan Ibrahim untuk menerima atau tidak menerimanya. Hak itu diberi oleh demokrasi. Hak itu juga dibenarkan oleh Islam. Saidina Umar al-Khatab dicalonkan oleh Saidina Abu Bakar untuk menjadi khalifah Islam yang pertama. Seperti sikap Tuan Ibrahim juga 1,400 kemudian, Saidina Umar menolak selagi Saidina Abu Bakar ada.

Kiranya istilah kecewa ada dalam kamus siasah syariyah, maka Saidina Abu Bakar boleh kecewa harapannya ditolak oleh calonnya. Tetapi kekecewaan tidak berbangkit dalam proses mencari pimpinan yang terbaik, baik dalam demokrasi dan Islam. Calon mengukur baju di badannya sendiri.

Tetapi bagi setengah keadaan kekecewaan itu ada. Ada orang kecewa kerana tidak dicalonkan dan ada yang kecewa kerana calonnya tidak melayan pencalonan mereka.

Tidak dipastikan apakah keengganan TG Nik Aziz menerima cadangannya menjadi Pesuruhjaya PAS Kelantan menggantikan Datuk Asri awal 80-an dulu justeru Islam atau demokrasi atau kedua-duanya? Kemahuan awal setengah orang itu ditolaknya. Tidak difikirkannya rasa kecewa orang yang hendakkannya.

Kira-kira itulah adab yang baik. Tetapi desakan terus-menerus dari banyak pihak mahukan beliau bersedia, beliau mengalah atas tekanan ramai. Apabila kehendak popular menentukan seseorang itu diberi amanah, tidak lagi wajar seseorang lari dari amanah. Akan tetapi pantang seseorang yang dicalon itu merasa dialah yang terbaik.

Banyak wahyu al-Quran menyokong pandangan Saidina Umar. Semua sahabat tahu, tetapi Umar r.a. mendahulukan Saidina Abu Bakar.

Saya tidak mahu memihak kepada Tuan Ibrahim. Kiranya keenggannya menerima pencalonan itu mengecewakan banyak orang, ramai yang kecewa dengan penolakannya. Jika TG Haji Hadi yang dicalonkan semula oleh sebab bahagian besar Kawasan, maka lebih ramailah lagi yang kecewa. Demikian juga sesudah banyak Kawasan mencalonkan Tuan Ibahim sebagai Timbalan Presiden menolak pula pencalonan itu ramai lagilah yang kecewa dengannya.

Tetapi yang terbaik bagi siasah syariyah yang sihat, usah berpegang kepada kamus kekecewaan itu, kerana kekecewaan itu jika tidak terurus mendekatkan kepada putus asa. Orang Islam tidak boleh putus asa dan jangan dilihat sebagai orang yang berputus asa. – HARAKAHDAILY 22/5/2015

NADWAH FIQH IKHTILAF

Tarikh : 11 April 2015

Lokasi : Auditorium Daeng Chelak, Shah Alam Selangor

Penganjur : Dewan Pemuda PAS Malaysia

 

Tahniah kepada semua petugas yang terlibat. Semoga Allah SWT membalas penat lelah yang kalian curahkan sehingga ijtimk ini berlangsung dengan jayanya.

Tarikh : 19 Mac 2015

Lokasi : Masjid Rusila Marang Terengganu

Panel : TG Dr Haron Din, Ust Tuan Ibrahim Tuan Man, Ustaz Azhar Idrus & IM Fakhrul

Santai Anak Muda (1) Santai Anak Muda (2) Santai Anak Muda (3)

Santai Anak Muda (4) Santai Anak Muda (5) Santai Anak Muda (6)

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/34329-belajarlah-menghargai-orang-lain

TUAN IBRAHIM TUAN MAN | 14 Mac 2015.

SEMUA orang ada sumbangan dalam perjuangan Islam. Sumbangan tersebut tentulah berbeza antara satu sama lain, mengikut kemampuan dan kepakaran mereka.

Jangan pula seorang peguam mengkritik ahli ekonomi yang tidak bercakap bab undang-undang sebagai bodoh dan tidak menyumbang kepada perjuangan Islam, hanya kerana ia tidak berbicara soal undang-undang.

Jangan kita rasa ujub dengan apa yang kita tahu lalu membodohkan orang lain.

Di dalam segenggam lidi, semuanya berguna hatta lidi yang pendek sekalipun, walau tidak terkena sampah waktu menyapu, tetapi ia berperanan menguatkan ikatan lidi itu. Andai lidi pendek ini dibuang, ia akan meloggarkan semua ikatan lidi itu.

Begitulah kita dalam sebuah jamaah. Allah mengibaratkan ia bagai sebuah bangunan. Bangunan itu asalnya hanya bata, pasir, batu, simen, besi dan air. Namun bila digaul dan disusun, ikatan menjadi sangat kuat hasil kerjasama tersebut yang boleh bertahan berkurun lamanya.

Pendeknya, setiap orang ada bidang dan kebolehan masing-masing. Semua menyumbang kepada kemenangan Islam. Sumbangan lebih besar boleh dicapai jika semua erti saling menghormati kelebihan masing-masing.

Ahli agama ada bidang dan medannya. Ahli ekonomi ada kepakaran dan medannya demikian ahli doktor, jurutera, sains dan lain lain – mereka juga ada kepakaran dan medannya untuk memyumbang.

Kita tidak mungkin minta pakar sains berbicara tentang kaedah istinbat hukum yang menjadi kepakaran bagi ahli agama. Tapi ini tidak bermakna pakar sains tidak boleh mengeluarkan pandangannya. Cuma jangan pula pakar sains bersifat ujub sehingga menghina pandangan dan memandang remeh sumbangan orang lain.

Jangan kita kita perbodohkan orang lain semata-mata merasakan kitalah yang hebat itu, atau hanya kita sahaja yang membuat kerja Islam ini bagaikan orang lain tidak bekerja.

Buanglah ego dalam diri kerana mungkin kita rasa hebat tetapi orang lain rasa meluat dengan kenyataan kita.

Musuh ingin melihat perpecahan di kalangan kita dengan menimbulkan buruk sangka dan hilangnya hormat antara satu sama lain. Mereka gembira apabila kita hilang adab dalam memberi pandangan. Di kala itu, segala pandangan baik tidak lagi menjadi kebaikan. Kerana kebaikan hanya akan lahir bila kita mengerti berkasih sayang serta menghormati seseorang. Bilamana hilang hormat kita pada mereka, maka hilanglah hormat mereka kepada kita.

Belajarlah untuk thiqah pada orang lain, dan tawadduklah (merendah dirilah), kerana keegoanlah yang menjerumuskan syaitan ke lembah kehinaan. –HARAKAHDAILY 13/3/2015

Naib Presiden PAS
13 Mac 2015

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/34203-tidak-gaduh-dengan-musuh-tetapi-lawan-sama-sendiri

07 Mac 2015

PAS sebuah parti politik Islam maka pastinya kita berbeza dengan parti politik yang lain. Matlamat kita bukanlah hanya untuk menang dan mendapat kuasa, tetapi kita ingin melaksanakan Islam dengan kuasa yang diperoleh.

Tidaklah boleh setelah meruntuhkan Jahilliyyah lama kemudian diganti dengan jahiliyyah baru.

Sasaran kita ada tiga kategori:

a) Ummatud Dakwah- semua orang yang perlu diseru kepada Islam termasuklah orang UMNO, DAP dan lain-lain

b) Ummatul Ijabah- Orang yang sudah menerima seruan Islam, perlu diprogramkan

c) Ummatut Tarbiyyah- Orang yang ditarbiyyah daripada menjadi penyokong kepada pekerja kemudian menjadi kepimpinan.

Kita diberikan ganjaran pahala oleh Allah atas apa gerak kerja yang kita lakukan bukan hasil daripada kerja itu. Buah atau bukti tarbiyah berjaya ialah lahirnya pengorbanan, sanggup berkorban jiwa, tenaga, harta dan segalanya untuk perjuangan.

Jikalau orang yang mati syahid, kuat bertahajud, bersedeqah boleh berbangga dengan amalan mereka di akhirat kelak, moga-moga kerja kita untuk memenangkan Islam ini boleh dinilai walaupun amatlah sedikit untuk dibandingkan dengan yang sebenar.

PAS membawa jenama Islam pada namanya, maka besar cabaran kita yang menggalasnya apatah lagi musuh akan sentiasa berusaha untuk memecah-belahkan kita.

Atas apa suasana hangat yang berlaku kebelakangan ini, ia adalah lumrah dalam politik yang sering berkocak, tidak berkesudahan dan bersifat jangkaan spekulasi. Apatah lagi poltik ini melibatkan menguruskan manusia yang pelbagai ragamnya sehingga kadang kala kita tidak bergaduh dengan musuh tetapi berlawan pula sesama sendiri.

Di dalam organisasi ini, Presiden diibaratkan sebagai nakhoda kapal yang nampak jauh hala tuju yang ingin dibawa, cabaran yang ada di hadapan berbanding anak kapal di bawah. Ada perkara yang pimpinan di atas lebih mengetahui berbanding pimpinan dan ahli di peringkat negeri, kawasan dan cawangan.

Dalam keadaan sebegini, kita seperti krew penerbangan perlu lebih tenang berbanding penumpang yang berada di dalam pesawat yang sedang dilanda masalah. Usahlah pula kita masuk campur hal politiking dalaman atau membocorkan rahsia parti.

Pada zaman media sosial ini lagi besar dugaannya kerana masing-masing ingin menyatakan luahan, pandangan dan kritikan. Walaupun penegasan sudah dibuat banyak kali oleh pimpinan bahawa PAS tidak keluar Pakatan Rakyat, PAS tidak akan bergabung dengan Umno tetapi khabar ini tetap disebarkan dalam media.

Ibarat sebuah pohon yang bergoyang kerana angin, daun-daun kering akan gugur tetapi masih ada lagi daun yang kekal di pohon. Ujian Istiqamah amatlah berat. Sejarah telah membuktikan ada pimpinan yang begitu hebat tetapi dia keluar dari parti. Maka, usahlah kita mendabik dada mengatakan aku ini kuat, akan terus hidup mati dengan perjuangan.

Bagaikan sebuah rumah yang ada atap, tiang, dinding, dan tangga. Kesemuanya ada peranan penting masing-masing yang perlu dibuat, begitulah kita di dalam gerakerja parti ini.

Dalam menghadapi ujian kini, kita perlu menjaga tiga perkara:

a) Jaga hubungan kita dengan Allah agar terus Istiqamah di jalan-Nya

b) Jaga ukhwah sesama kita kerana ikatan Silaturrahim ini amatlah penting

c) Perbanyakkan berdoa agar dikurniakan kekuatan, kesabaran dan rezeki

Rezeki itu maknanya amat luas, ia bukan sahaja bermakna duit, pendapatan bertambah bahkan perlindungan dari bala dan perbelanjaan dapat dikurangkan juga itu rezeki.

Kita boleh beli makanan sedap tetapi kita tidak boleh beli selera untuk memakannya. Kita boleh tinggal di rumah yang besar tetapi kita tidak boleh beli kebahagiaan di dalamnya. Kita boleh punyai tilam yang empuk tetapi kita tidak boleh beli kelenaan untuk tidur di atasnya.

Orang bandar mungkin kasihan melihat kanak-kanak di kampung yang bermain tidak sehebat dan secanggih permainan di bandar tetapi hakikatnya kanak-kanak itu mendapat matlamat kegembiraan. Usahlah hanya melihat pada alat itu, tetapi lihatlah matlamat yang ingin digapai.

Tulisan di atas adalah perkongsian Kuliah Zohor yang disampaikan oleh Naib Presiden PAS, Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man di Surau Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pada 4 Mac lalu.

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/34135-lihat-kebaikan-daripada-fokus-pada-keburukan-orang

TUAN IBRAHIM TUAN MAN | 03 Mac 2015.

Alkisah pokok balak

Di dalam satu kawasan lapang, jauh di dalam hutan, para pokok sedang mengadakan mesyuarat subuh.

“Binatang-binatang semua datang berehat dan berteduh di bawah kita tapi mereka sering meninggalkan kekotoran,” kata Cengal, salah sebatang pokok. “Bau itu kadang-kalanya tidak dapat di tahan.”

“Mereka tidak mempedulikan perasaan kita sebab kita tak bersuara,” kata Meranti, pokok yang berjiran dengan dengan Cengal.

“Aku dah tak tahan. Dah cukup! Aku dah buat keputusan untuk menghalau semua binatang yang datang ke tempat kita.”

“Tapi itu mungkin satu tindakan yang kurang bijak,” kata Ramin, pokok tertua dan terbesar di antara mereka.

“Binatang itu mungkin membawa sikit masalah pada kita, aku setuju, tapi mereka ada kebaikan juga. Semua benda di dunia ini saling bergantung – pokok, binatang dan manusia,” tambahnya lagi.

“Maafkan saya,” kata Meranti. “Saya amat menghormati pandangan Tuan, tapi dalam hal ini saya tidak akan mendengar kata-kata sesiapa. Saya tidak akan membenarkan sebarang binatang datang ke sini lagi.”

Meranti melakukan apa yang dijanjinya. Apabila seekor kucing hutan datang berteduh, Meranti menggoyangkan batangnya dengan ganas kiri-kanan sehingga kucing hutan tersebut lari ketakutan. Meranti menakutkan semua binatang yang datang pada hari itu dan hari-hari seterusnya.

Setelah beberapa ketika, tiadalah lagi binatang yang datang mendekati kawasan lapang tersebut.

Satu hari, dua pemotong balak datang ke kawasan lapang tersebut. “Manusia!” jerit Meranti. “Mengapa mereka datang? Mereka tak pernah berani datang sini.”

“Jika mereka tidak pernah datang sebelum ini, ini adalah kerana mereka takut pada binatang buas yang sering berteduh di sini,” kata Ramin.

“Sekarang kucing hutan, harimau semua tiada maka manusia tiba-tiba menjadi berani untuk datang ke sini. Aku dah bagitahu jangan halau sahabat-sahabat kita tu. Kita semua tumbuh tinggi ini pun sedikit sebanyak kerana zat dalam najis mereka juga,” kata Ramin dengan kesal.

Meranti mula menggigil – tapi bukan tak bersebab. Meranti adalah pokok pertama pilihan pemotong kayu balak untuk ditebangkan…

Wahai anakku,

Janganlah engkau selalu pandang pada kelemahan orang lain seperti najis yang ditinggalkan binatang seperti cerita yang dinukilkan di atas.

Ingatlah pada kebaikan yang dibawa orang lain selama ini pada kamu, walaupun sedikit ataupun secara tidak langsung. Janganlah menjadi seperti pokok Meranti yang tidak mengerti ketenangan hasil daripada kehadiran binatang-binatang liar yang menakutkan manusia.

Wahai anakku,

Susah-susah kamu mengasingkan orang-orang yang tidak disukaimu dan hanya mengekalkan orang-orang yang disukaimu di sisimu di dalam kehidupan seharianmu, lebih baik jika engkau belajar melihat kebaikan daripada membiarkan mata kamu fokus pada keburukan pada orang-orang di sekelilingmu.

Dengan ini, semua orang boleh menjadi orang-orang yang disukaimu dan hatimu lega kerana tidak perlu dihuni perasaan benci.

Senyum…

HARAKAHDAILY 3/3/2015

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/33972-fahami-dan-perteguhkan-kepimpinan-ulamak

DATUK TUAN IBRAHIM TUAN MAN | 22 Februari 2015.

Di dalam PAS, penerimaan kepimpinan ulamak bukan bermakna mengenepikan golongan profesional.

Semua pihak mesti bersama dalam gagasan besar ini bagi memperjuangkan Islam. Semua pihak mempunyai tanggungjawab akidah untuk bersama menyumbang kepada kemenangan Islam.

Kemenangan Islam bukan hanya diukur dari keputusan dalam pilihan raya sahaja. Sebaliknya kemenangan dakwah dan tarbiyyah di kalangan manusia adalah gagasan besar gerakan Islam.

Ia adalah satu kesalahan untuk mengenepikan mana-mana individu yang ingin bersama memperjungkan Islam, sebagaimana juga satu kesalahan menentang kepimpinan Islam yang telah dipilih oleh ahli.

PAS, dari satu sudut sebagai parti politik, tentulah ukuran kejayaannya ialah kemenangan dalam pilihanraya.

Dari sudut yang lebih luas pula, PAS adalah sebuah gerakan dakwah di mana ukuran kemenangannya ialah sejauh mana dakwah dapat disebarkan kepada ummah dan masyarakat, dan tahap penerimaan masyarakat pada Islam sebagai cara hidup mereka.

Pada sudut ukuran tarbiyyah pula, ia dilihat kepada sejauh mana mereka yang berada dalam jamaah dapat ditingkatkan peranan menjadi amilin kepada perjuangan Islam.

Jangan kerana ukuran kejayaan setiap bahagian berbeza, ada pihak yang mengambil kesempatan dengan menjadikan ia alasan untuk saling bertembung antara satu sama lain.

Di hadapan kita ada sirah Rasulullah SAW. Baginda pernah ditawar menjadi raja, namun Baginda menolaknya.

Walaupun pada perkiraan kita, andainya Baginda menerima dahulu jawatan tersebut, kemudian Baginda menggunakan kuasa sebagai raja untuk menyebarkan dakwah dan memperkasakan Islam, lojiknya, ia tentulah lebih baik dan berjaya. Namun, itu bukan kaedah yang diambil oleh Baginda.

Kisah itu mengajar kita bahawa gagasan Islam mesti berjalan serentak dengan usaha mendapatkan kuasa politik.

Oleh kerana gagasan Islam adalah gagasan ‘Rahmat-ul-lil Alimin’ maka ia tidak sepatutnya ditakuti. Tetapi kebimbangan akan tetap ada di kalangan bukan muslim atau mereka yang terpengaruh dengan Islamophia.

Maka proses membina keyakinan terhadap Islam mestilah dibuktikan melalui beberapa dasar Islam yang adil dan berkebajikan. PAS di Kelantan dilihat dan mesti dilihat mendepani usaha ini.

Gagasan kepimpinan ulamak telah ditegas puluhan kali oleh Presiden PAS sama ada di era Tuan Guru Yusof Rawa, Datuk Fadzil Noor dan kini Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Gagasan ini bukanlah usaha mengenepikan professional dan hanya mengambil ulamak sahaja sebagai pemimpin. Kerana di PAS, kita mengulamakkan profesional dan memprofesionalkan ulamak.

Gagasan ini sangat besar ertinya kerana dasar dan sumber tertinggi rujukannya parti ialah al-Quran, Hadis, Ijmak Ulamak dan Qias, maka kepimpinan tertinggi mestilah terdiri dari mereka yang boleh meletakkan sumber ini dalam memperkukuhkan hujah dan pandangannya, bukan semata-mata menggunakan akal fikiran yang bersifat nisbi ini.

Inilah keistimewaan PAS sebagai parti Islam yang semua pihak telah menerima kepimpinan ulamak sebagai dasar dan gagasan parti.

Tidak timbul ada pihak yang menolak atau menentangnya kerana inilah keputusan kita dalam Muktamar, sebagaimana gagasan kita bersetuju bersama PR dan tidak bersama Umno, juga adalah keputusan dalam Muktamar.

Maka jangan ada pihak yang cuba melaga-lagakan pimpinan dan ahli dengan pelbagai tuduhan, dan menimbulkan persepsi buruk pada pimpinan, yang akhirnya hanya mengembirakan musuh dan merugikan parti. – HARAKAHDAILY 21/2/2015

Tuan Ibrahim Tuan Man
Naib Presiden PAS
21 Februari 2015

%d bloggers like this: