Tag Archive: Tokoh Pendakwah


Imam Haji Maarif

Alhamdulillah, hajat hati untuk berziarah dan menemuramah Tuan Haji Maarif Ansat tercapai jua akhirnya. Beliau seorang lagenda dan otai bagi tilawah al-Quran secara bertarannum di negeri Sabah. Bersama seorang sahabat Sdr Yusri Razali bergerak dari Kota Kinabalu jam 5.15 petang, solat maghrib dan rehat sebentar di Masjid Azizul Rahman Kimanis dan meneruskan perjalanan sehingga tiba di lokasi jam 8.00 malam.

Pertemuan itu kami dahului dengan solat isyak berjamaah dan ceramah sempena Israk wal Mikraj di surau bersebelahan rumah Tuan Haji Maarif. Ramai tetamunya, penduduk kampung berhampiran serta anak-anak tahfiz dari Bingkul. Kelihatan juga menyambut kami salah seorang anak beliau, Ustaz Ali Khairuddin yang pernah menyertai program Imam Muda Astro Oasis.

Hampir jam 11 malam baru temuramah itu berlangsung, kerana selepas ceramah kami dijamu lagi. Sungguh baik hati dan budi Tuan Haji Maarif menyantuni kami, beliau juga terdahulu merakam terima kasih kerana sudi memenuhi undangannya sekaligus sudi juga menemuramah dirinya yang dirasakannya bukan sesiapa pun.

***

Bertarikh 30 Mac 1942 di Kampung Takuli Beaufort, Haji Maarif dilahirkan. Pendidikan awalnya hanya di peringkat rendah iaitu di SK Mempagar pada 1954 sehingga 1958.

BELAJAR AL-QURAN

Selain itu beliau  belajar agama di kampung khususnya al-Quran al-Karim daripada bapanya sendiri Allahyarham Tuan Imam Ansat Bakir yang juga imam ketika itu. Salah seorang abangnya iaitu Imam Yusuf Ansat juga mengajarnya mengaji al-Quran.

Beliau juga sangat suka untuk menyebutkan beberapa guru al-Quran beliau yang lain yang sangat berjasa membentuk dirinya sehingga mampu menguasai ilmu tajwid dan tarannum dengan baik sehingga kini. Antaranya Allahyarham Tuan Imam Haji Tahir Kilong (Papar) yang pernah mewakili Sabah pada 1962 di MTQ peringkat Antarabangsa sebelum Sabah merdeka melalui Malaysia.

Selain itu Allahyarham Haji Awang Hashim, Allahyarham Haji Nawawi Abdul Latif (abang kepada Allahyarham Datuk Haji Awang Sahari Latif) yang ketika itu menjadi Penolong Pegawai Daerah Beaufort. Lebai Mohammad Yunus dari Kelantan, Allahyarham Ustaz Haji Umar Sidik, Ustaz Haji Ghazali Sulaiman dan ramai-ramai. Kesemuanya memberi pengaruh kepada dirinya menjadi seorang qari al-Quran, barzanji, marhaban dan berqasidah.

Minat belajar agama ini sentiasa diterapkan dalam dirinya walaupun kemudiannya beliau menjadi imam di Masjid Negeri Sabah, beliau turut duduk mendengar dan menadah kitab daripada guru-guru yang datang mengajar. Tidak terbatas dengan al-Quran dan fardhu ain, beliau juga mempelajari gendang, rebana, kompang dan sebagainya.

KERJAYA

Peringkat awal beliau hanya bekerja sendiri di sekitar Beaufort ini seperti menoreh getah, menanam padi, menggarus rumbia dan sebagainya. Beliau juga pernah makan gaji sebagai buruh membina jalanraya, menanam landasan keretapi dan membuka ladang estet sebelum Sabah merdeka. Semua kerja-kerja ini menjadi pengalaman hidup yang sangat berharga kepada dirinya.

Pada tahun 1962, beliau dipelawa mengajar mengaji al-Quran di Sekolah Agama Rakyat Kampung Takuli yang didirikan atas anjuran Persatuan Islam Sabah. Antara pelajaran yang dicurahkan ialah berkaitan al-Quran dan fardhu ain. Antara yang menjadi rujukan beliau ialah sahabat beliau bernama Ustaz Haji Jais Alias, seorang guru agama yang berasal dari Melaka, dan ketika itu bertugas di Kampung Brunei Membakut.

Selepas tahun 1969, apabila Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) ditubuhkan, beliau bersama rakan-rakannya diambil oleh USIA sebagai guru agama. Kemudian beliau bertukar tempat bertugas beberapa kali antaranya ke Sipitang, Likas Kota Kinabalu dan Kuala Penyu.

Pada tahun 1977, dengan berat hati beliau menggalas amanah sebagai Penolong 1 Imam Besar Masjid Negeri Sabah, ketika itu di bawah pimpinan Datuk Imam Haji Pandin. Selama 10 tahun di Masjid Negeri Sabah, beliau mengutip banyak pengalaman berharga. Peluang mengajar al-Quran kepada masyarakat pelbagai peringkat umur di Kota Kinabalu akan sentiasa dalam ingatan beliau.

Secara jujurnya beliau memberitahu bahawa walaupun 10 tahun berkhidmat di Masjid Negeri Sabah, beliau kurang berminat kerana tidak banyak bergerak ke merata tempat. Tidak seperti sebelum dan selepas bertugas di Masjid Negeri Sabah, beliau banyak keluar masuk ke kampung-kampung untuk berdakwah dan mengajar al-Quran khususnya.

Pernah suatu ketika pemerintahan kerajaan BERJAYA, ketika beliau bertugas sebagai khatib hari raya memikirkan untuk membuat teguran kepada penguasa. Ini kerana melihat suasana ketika itu berlaku pertembungan dan tekan menekan sesama umat Islam yang dilihat beliau tidak menguntungkan umat Islam. Beberapa hari kemudian beliau dipanggil ke pihak atasan untuk memberi keterangan.

KEMBALI KE BEAUFORT

Peristiwa itu menjadi asbab untuk dihantar balik ke tempat kelahirannya di Beaufort bertugas di Masjid Daerah. Dengan senang hatinya beliau kembali kerana beliau lebih bebas mengajar al-Quran sama ada di rumah atau di masjid dan surau. Di rumahnya sendiri, ratusan pelajar sudah khatam al-Quran.

Ketika tubuh masih cergas, beliau mengajar al-Quran sehingga jam 1-2 pagi. Beliau juga punya jadual berkala dan tidak berkala di pelbagai kampung lain di seluruh Beaufort, Kuala Penyu, Sipitang, WP Labuan dan lain-lain. Usia semakin lanjut menyebabkan aktiviti mengajar al-Quran terpaksa dihadkan.

Pernah beberapa tahun lepas, sekitar 2010-2011 beliau diundang mengajar di daerah Kota Marudu buat beberapa hari. Ketika hari pertama, hanya beberapa orang yang datang. Apabila kehadirannya diketahui ramai, pada jadual hari kedua, kehadiran melonjak sehingga lebih 100 orang termasuk kalangan muallaf, orang tua dan sebagainya. Hanya empat kali beliau ke sana kerana keuzuran yang menimpa.

TERKENANG NASIHAT GURU

Secara keseluruhan, saya melihat beliau mendambakan dirinya mengajar al-Quran kepada masyarakat sejak tahun 1962 hingga kini. Beliau sering terkenangkan pesanan para gurunya sejak kecil yang sering menyebut hadith keutamaan belajar dan mengajar al-Quran.

Nasihat para guru beliau agar banyak membaca al-Quran kerana al-Quran adalah sebaik-baik ucapan yang dilafazkan oleh lidah. Mengajar dan menyebarkan al-Quran adalah antara cara beliau memanjang dan meluaskan ilmu al-Quran yang telah diperolehinya daripada para guru.

Kepada mereka yang pernah menuntut ilmu tilawah al-Quran daripadanya juga sering dikatakannya demikian. Menyeru mereka agar sentiasa bersungguh-sungguh mempelajari ilmu al-Quran dan kemudian mempraktikkan dalam kehidupan seharian. Mengenang zaman kegemilangan qari dan qariah dari daerah Beaufort ini satu ketika dahulu yang sering berada di pentas negeri dan kebangsaan. Katanya, kata kunci kepada kejayaan mereka ialah ‘kesungguhan’.

Tuan Haji Maarif, pertama kali mewakili Sabah ke Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan 1965, 1967, 1976, 1977 dan 1978. Ketika itu beliau sezaman dengan legenda qari Allahyarham Haji Ismail Hashim (Kedah), Tuan Haji Asmawi Duet (Sarawak), Allahyarham Ustaz Saidin Abdul Rahman (Pulau Pinang), Faridah Saman (Kelantan), Rugayah Solong (Terengganu) dan ramai lagi.

KELUARGA BESAR

Berkahwin pada 4 Disember 1966 ketika berumur 25 tahun, suatu usia yang dianggap lambat ketika itu. Isterinya yang juga salah seorang murid mengajinya, Hjh Rosdiah Ejim ketika perkahwinan baru berumur 15 tahun.

Pasangan ini dikurniakan 17 orang anak. Semua anak lelaki seramai 9 orang didahului dengan nama Ali dan semua anak perempuan seramai 8 orang didahului dengan nama Kalsum. Ketika catatan ini dibuat, umur anak sulung berumur 43 tahun  sementara yang bungsu berumur 18 tahun. Imam Muda Ali Khairuddin adalah anak ke 13.

PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)

Sebenarnya beliau mula bersahabat dengan orang PAS semasa anak-anaknya bersekolah di Terengganu dan Kelantan pada tahun 90an. Ada anaknya yang menjadi anak angkat kepada ahli-ahli PAS dan beliau melihat akhlak luhur ahli PAS apabila sesekali berkunjung ke sana.

Perhubungan itu tetap berterusan hingga kini apabila ada kalangan pimpinan PAS negeri-negeri di Semenanjung dan nasional yang datang ke Sabah kemudian berkunjung ke Beaufort khususnya ke rumahnya sejak beberapa tahun kebelakangan.

Antara yang mengesankan hati beliau apabila Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS yang sudi datang dan menjamu selera di rumahnya sempena kunjungan beliau dalam program Himpunan Hijau Peringkat Negeri Sabah di perkarangan rumah Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin.

Beliau juga berkesempatan pada 15 tahun lalu berziarah ke rumah dan masjid Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Pulau Melaka, Kelantan. Ia diikuti dengan ziarah kali kedua pada tahun 2011 dan 2012. Berdebar hatinya apabila kepada tuan guru yang beliau diperkenalkan sebagai orang kuat PAS Beaufort, sedangkan beliau hanya baru menjadi ahli setahun dua ini.

NASIHAT

Kepada pendamba al-Quran, beliau mengingatkan hadith yang masyhur iaitu “Sebaik-baik kamu ialah mereka yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya”. Beliau menasihatkan agar tidak jemu mempelajari al-Quran, bukan setakat bacaan, bahkan sehingga kepada memahami, mengamal dan menyebarkannya pula.

LEPAK DENGAN HAJI AYUB

Selalu juga mengajak Tuan Haji Ayub Abdul Rahman Abdullah ke Sabah untuk mengisi program dakwah. Bagi yang belum kenal, beliau adalah mantan paderi @ pengampun dosa antarabangsa ketika beliau dalam kristian di Jerman Barat pada tahun-tahun 70an. Memeluk islam di Sarawak meski beliau berasal dari Pulau Pinang. Kesempatan yang ada selepas solat jumaat di Masjid Negeri Sabah tempohari, kami berehat seketika dan makan tengahari di restoran D’Lengkuas Sembulan bersama rakan-rakan lain.

Barangkali ia menjadi kenangan terindah juga khususnya kepada Tuan Haji Ruslin Abdul Samad, Abang Ribbang Haji Ampong dan anaknya Mohd Amin yang pertama kali makan tengahari bersama-sama beliau. Tuan Haji Ayub bukan calang-calang orang, berdakwah ke merata negara berkenaan perbandingan agama tambahan lagi beliau ditakdirkan menjadi orang besar dalam kristian satu ketika dahulu, dan menjadi antara penuntut ilmu dakwah dan perbandingan agama bersama Dr Zakir Naik sesudah memeluk Islam. Terima kasih juga atas kesempatan Tuan Haji Mohd Pozi Awang dan Sdr Fanshuri yang hadir sama.

TUAN GURU DATO’ DR HARON DIN

Sumber : http://www.darussyifa.org/

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron bin Din dilahirkan pada hari Ahad, 18 Ogos 1940 bersamaan 14 Rajab 1359 (tarikh Hijrah ini mengikut kiraan komputer) di Bohor Mali, Kangar, Perlis. Berkahwin dengan seorang isteri dan dianugerahkan Allah dua orang anak lelaki dan tiga perempuan. Beliau dibesarkan dikalangan keluarga yang kuat mengamalkan ajaran agama Islam. Ibu bapa beliau adalah guru al-Quran yang mengajar bacaan al-Quran kepada masyarakat setempat.

Beliau adalah anak yang ketiga daripada 10 orang adik beradik. Mempunyai seorang abang dan kakak dan seorang adik lelaki menakala enam adik perempuan. Dua orang saudara lelaki beliau juga tokoh agama terkenal iaitu abang beliau Ustaz Ishak bin Din dan adik beliau Ustaz Abu Hassan bin Din. Ayahanda beliau dikenali sebagai sebagai Lebai Din, yang juga seorang perawat yang mengamalkan rawatan pengubatan Islam.

Lebai Din juga seorang guru silat yang mengamalkan Silat Gayung Petani, bagaimanapun ilmu silat ini tidak langsung diturunkan kepada anak-anaknya. Berkenaan ilmu pengubatan Islam, Lebai Din hanya menurunkan ilmunya kepada seorang anaknya sahaja iaitu kepada Ustaz Haron Din. Lebai Din hanya mengijazahkan ilmunya dan memberi buku catatan pengubatan kepada Ustaz Haron Din sahaja.

Ustaz Haron Din menerima pendidikan awal di tangan ayah dan ibunya sendiri. Kemudian dimasukkan ke Madrasah al-Islahiah al-Wataniah Bohor Mali. Seterusnya ke Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah dan al-Kuliah al-Islamiah, Kelang Selangor. Kemudian melanjutkan pelajaran di Kolej Islam Malaya (1962-1965). Di kolej ini beliau memperolehi Sijil Tertinggi Kolej dengan cemerlang kemudian telah memenangi hadiah Biasiswa Persekutuan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat “Master Degree” di Universiti Al-Azhar, Cairo (1966-1968). Dalam masa tidak sampai dua tahun beliau telah berjaya memperolehi dua degree serentak iaitu M.A (Ijazah Sarjana) Syariah daripada Universiti Al-Azhar dan Diploma Pendidikan dari ‘Ain Shams, Universiti Cairo.

Setelah memperolehi Ijazah Sarjana Syariah, beliau kembali ke tanah air dan berkhidmat sebagai guru agama di Kementerian Pelajaran. Beberapa tahun kemudian beliau kembali semula ke Mesir untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Doktor Falsafah. Beliau memperolehi Ph.D Syariah dengan cermerlang daripada Universiti Darul-Ulum Qahirah (1972-1974).

Pulang ke tanah air dan berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Akademik adalah bidang kerjayanya. Kekeluargaan Islam adalah jurusannya. Sebagai satu pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademiknya, UKM menganugerahkan pangkat “Profesor” kepadanya sejak tahun 1986.

LATAR BELAKANG TUAN GURU DATO’ DR. HARON DIN DALAM BIDANG PENGUBATAN ISLAM

Ayahanda Ustaz Haron Din berasal dari Patani dan menetap di Kampung Bohor Mali Perlis. Dia merupakan seorang perawat yang melibatkan diri dalam dunia perubatan dengan menggunakan ayat-ayat suci al-Qur’an, hadith dan doa-doa. Daripada 10 orang adik beradik, hanya Ustaz Haron Din yang menunjukkan minat dalam bidang rawatan Islam ini, menyebabkan ayahandanya sering membawanya ketika merawat.

Pengalaman yang dilalui oleh orang tuanya ketika merawat sama ada di rumah atau dijemput merawat pesakit secara tidak langsung melibatkan diri Ustaz Haron Din dalam dunia perubatan walaupun umumya ketika itu masih terlalu muda lagi. Ayahanda beliau merupakan perawat yang disegani di kampung juga di kawasan sekitarnya. Sebagai tanda hormat, orang kampung mengelarnya Lebai Din.

Ustaz Haron Din amat mengkagumi kejayaan ayahnya merawat orang gila, dirasuk dan juga penyakit kronik yang lain. Kekaguman melihat kejayaan ayahnya telah melahirkan keinginan beliau untuk mengikuti jejak langkahnya. Setelah meningkat dewasa beliau memujuk ayahnya supaya menurunkan ilmu yang dimilikinya. Ketika itu umur beliau baru dalam lingkungan belasan tahun dan masih menuntut di Sekolah Arab Alawiyah.

Walaupun beliau sering mengikut bapanya merawat pesakit tetapi ayahnya tidak begitu mudah menurunkan ilmu yang dimilikinya. Ayahnya berpesan agar beliau mendalami ilmu agama terlebih dahulu. Belaiu hanya diajar ilmu perubatan ketika berada pada akhir pengajlan sekolah menengah. Ilmu yang diajar hanyalah asas pengubatan sahaja.

Sebagai seorang murid, Ustaz Haron Din yakin tentang dirinya walaupun menyedari bahawa untuk mempelajari ilmu seumpama itu bukanlah mudah. Beliau juga berkeyakinan bahawa beliau dapat memberi khidmat pertolongan dengan baik kepada mereka yang memerlukan. Oleh sebab itu, di samping belajar daripada ayahnya, beliau berazam untuk terus mempelajari ilmu yang berkaitan dengannya. Selain bapanya, ahli keluarga beliau yang lain juga mahir dalam bidang perubatan Islam. Antaranya ialah bapa saudara beliau sendiri iaitu Ustaz Said bin Ali.

Keluarga Ustaz Haron Din memiliki banyak khazanah ilmu perubatan. Kunjung mengunjung antara keluarga di Perlis dan Patani terus berlaku dan mereka sering berbincang tentang kaedah dan petua perubatan. Beliau selalu mendampingi ayahnya dan secara tidak langsung ia memberi pendedahan kepada beliau tentang ilmu perubatan.

Ketika belajar di Mesir, Ustaz Haron Din tertarik dengan kaedah rawatan yang diguna oleh Dr. Kamal yang dikenali sebagai hypnotism. Setelah kembali ke tanah air beliau berpeluang belajar dengan seorang perawat dari Sarawak iaitu Tuan Haji Mursidi. Kaedah Haji Mursidi hampir sama dengan kaedah yang dimiliki oleh Dr. Kamal.

Selain belajar melalui kitab dan pengalaman, Ustaz Haron Din juga mendalami ilmunya daripada ‘alim ulama yang menggunakan kaedah rawatan Islam. Di antaranya ialah al-marhum Dr. al-Sheikh Muhammad Idris al-Marbawi seorang ulama’ dari Malaysia yang menetap di Mesir. Pemergian Ustaz Haron Din kali kedua ke Mesir untuk mendapat ljazah Doktor Falsafah (1971-74) telah memberi peluang kepadanya untuk berdampingan dengan Dr. al-Sheikh Muhammad Idris al-Marbawi. Antara doa yang dipelajari ialah doa penerang hati. Latar belakang doa ini ada kaitan dengan sunnah Rasulullah s.a.w.. Selain itu beliau juga berguru dengan al-Syeikh Muhammad Bayumi, seorang yang ‘alim dan sering berada dan mengajar di Masjid al-Azhar.

Ketika di Mesir pada awal 70-an, Ustaz Haron Din sempat berkenalan dengan Bapak Mokhtar Lintang. Pak Mokhtar adalah perawat yang menggunakan kaedah Islam. Kesempatan tersebut telah diguna oleh beliau untuk menimba ilmu perubatan seberapa banyak yang boleh.

Sekembalinya ke Malaysia, ketika tinggal di Taman Bangi Kajang, Ustaz Haron Din dikunjungi oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Pak Leh. Beliau mengaku sebagal seorang perawat yang terkenal di Langkawi. Beliau telah mengajar beberapa kaedah rawatan kepada Ustaz Haron Din. Antaranya ilmu berkaitan dengan penyakit barah, ketumbuhan, kayap, demam panas, penyakit kulit dan sebagainya. Beliau telah tinggal bersama dengan Ustaz Haron Din beberapa ketika.

Perlis tempat kelahiran Ustaz Haron Din sememangnya mempunyai ramai orang yang arif tentang ilmu perubatan. Terdapat seorang perawat bernama Tok Omar yang banyak menggunakan bahan-bahan dari tumbuh-tumbuhan di samping ayat-ayat al-Qur’an. Ustaz Haron Din telah berkesempatan mempelajari ilmu yang berkaitan dengan tumbuh-tumbuhan daripada beliau. Selain itu Ustaz Haron Din juga berpeluang belajar dengan Tahir Abdullah. Beliau yang digelar dengan nama Tok Lang Kiang dintaranya telah mengajar Ustaz Haron Din cara mengeluarkan sampah dari mata.

Perawat-perawat lain yang pernah mengajar Ustaz Haron Din alah Pak Andak Noh dan Haji Husin atau dikenali sebagai Tuk Chin. Pak Andak Noh telah menurunkan ilmu mengeluarkan benda tajam dari badan manusia seperti besi, serpihan kaca, terkena racun dan sebagainya. Ilmu yang diamalkan oleh Tuk Chin pula adalah ilmu yang dinamakan Laduni iaitu ilmu yang dianugerahkan oleh Allah SWT khusus kepada orang yang tertentu.

Perubatan Islam adalah berdasarkan syariat. Ilmu ini mempunyai dua cabang iaitu fizikal dan spritual. Penekanan yang menjadi keutamaan Ustaz Haron Din ialah rawatan dengan menggunakan doa-doa yang berdasarkan al-Qur’an, hadith Rasulullah s.a.w. dan doa-doa’ lain yang jelas maknanya yang tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Sungguhpun telah lama berkecimpung dalam bidang perubatan Islam, namun Ustaz Haron Din masih lagi mencari ilmu baru dalam merawat pesakit. Beliau sentiasa bertanya mereka yang arif dalam bidang ini di samping membaca pelbagai buku untuk menambahkan pengetahuan. Tidak semua kaedah yang dipelajari itu dipratikkan, hanya yang bertepatan dengan syariat sahaja akan diamalkan.

RINGKASAN BIODATA TUAN GURU DATO’ DR. HARON DIN

Pendidikan

• Madrasah al-Islahiah al-Wataniah, Bohor Mali

• Madrasah al-‘Alawiyah al-Diniah dan al-Kuliah al-Islamiah, Kelang Selangor

• Sijil Tertinggi Kolej – Kolej Islam Malaya (1962-1965)

• Ijazah Sarjana (M.A.) Syariah – University Al-Azhar (1966-1968)

• Diploma Pendidikan – ‘Ain Shams, Universiti Cairo (1966-1968)

• Ph.D Syariah – Universiti Darul – Ulum Qahirah (1972-1974)

Kerjaya

• Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1975 – 1976)

• Timbalan Dekan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (1977-1985)

• Profesor di UKM sejak tahun 1986 hingga bersara

• Ahli Majlis Penasihat Syariah, CIMB

• Ahli Majlis Penasihat, Bank Negara Malaysia

• Majlis Penasihat Syariah, Suruhanjaya Sekuriti

• Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor

• Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Bank Pembangunan

• Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, RHB Bank

• Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah, Public Bank Bhd

• Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis

• Ahli Majlis Penasihat Syariah, Muamalah Financial Consulting

Politik

• Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1975-1983)

• Ketua Penerangan PAS Pusat

• Ahli Majlis Syura Ulamak PAS

• Timbalan Mursyidul Am PAS

BERSAMA DR FAUZI DERAMAN

Bagi yang belum kenal, Prof Madya Dr Fauzi adalah pensyarah Jabatan Al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) dan juga NaibYDP 2 Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM). Beliau orang lama dalam dunia dakwah dan sering menerima undangan dari seluruh negara.

Pernah belajar antaranya di Maahad Muhammadi Kelantan, Maahad Syamsul Maarif Machang, Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan, Universiti Malaya, dan Universiti Riyadh. Dalam dunia akademik dan dakwah yang disertainya, sudah tentu beliau mempunyai ribuan anak murid dari seluruh pelusuk negara.

Petang isnin lalu beliau tiba di Kota Kinabalu untuk mengisi program utama sebagai penceramah Maulidur Rasul peringkat Negeri Sabah di Dewan Saadah Wisma MUIS. Sebelum itu, pada malam selasa beliau diundang berceramah di Masjid Nurul Iman Kg Pasir Putih Putatan. Saya sendiri kurang bernasib baik tidak dapat hadir kerana masih dalam perut kapal terbang dari KLIA ke Kota Kinabalu ketika itu.

Saat kapal terbang mendarat jam 8.20 malam, mereka baru menunaikan solat di Masjid Kg Pasir Putih Putatan. Selepas disambut isteri dan anak-anak dan menghantar mereka pulang, saya terus bertemu Dr Fauzi dan kawan-kawan dalam PUM Sabah di Restoran Sinar Mustika  Putatan untuk pertemuan santai. Alhamdulillah pertemuan berjalan lancar dan kami gembira dapat beramah mesra lebih rapat dengan beliau.

Barangkali nasihat beliau yang mengesankan kepada saya ialah berkenaan gangguan pihak-pihak tertentu yang suka mengintip dan melapor pergerakan kita kepada pihak atasan atau pihak tertentu. Katanya mudah, mereka biar buat kerja mereka, kita buat kerja kita. Ya memang banyak sedemikian diutarakan namun apabila yang bercakap sendiri itu pun pernah mengalami situasi berkenaan, ia sudah tentu lebih menyentuh perasaan saya.

Pagi selasa beliau mempunyai slot ceramah di Dewan Saadah sebelum dibawa bersiar-siar oleh Ustaz Mohammad Suaid, Hj Pozi Awang dan Cikgu Hj Borhan sekitar Kota Kinabalu, seterusnya ke KKIA pada jam 4 petang. Terima kasih atas kehadiran Dr ke Sabah, semoga bertemu lagi. Tulisan beliau boleh dilayari di blog berikut : http://drfauzee.blogspot.com/.

USTAZ HAJI AZHARI HAJI OTHMAN

Beliau adalah satu nama besar dalam dunia tahfiz al-Quran di Malaysia.

Ustaz Haji Azhari Haji Othman al-Hafiz dilahirkan pada 30 Mei 1953 di Kampung Tegayung, Melor Kelantan. Mendapat pendidikan awal di SRK Tegayung sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Shamsul Ma’arif Pulai Condong (1963-1968) dan  Maahad Muhammadi antara tahun 1968 hingga 1971. Beliau kemudiannya meneruskan pengajian di Institut Tahfiz yang ketika itu beroperasi di Masjid Negara pada 1973 hingga 1976.

Mengimbas kembali pengajian tahfiz di Masjid Negara, beliau menceritakan bahawa mereka seramai 12 orang adalah kumpulan yang ketiga dari seluruh Malaysia yang mendalami ilmu tahfiz al-Quran. Meskipun sudah berlalu  lebih 35 tahun, beliau masing mengingati rakan-rakan sekelas beliau iaitu Ustaz Datuk Haji Idris Talib, Ustaz Haji Salleh Sani Harun, Ustaz Datuk Haji Mokhtar Rapok, Ustaz Basri Khalil, Ustaz Mohd Ma’ruf Nasruni, Ustaz Abdullah Haji Anis, Ustaz Raihal Anis, Ustaz Yusuf Mohammad, Ustaz Abdul Aziz Mohd Noor, Ustaz Salleh Yaakub dan Ustaz Muhsin.

Seterusnya, Ustaz Haji Azhari melanjutkan pengajian ke Mesir, khususnya di Maahad Qiraat al-Azhar Shoubra selama enam tahun bermula dengan kelas Aliyah dan kemudian Takhassus Qiraat antara tahun 1978 hingga 1984. Dalam tempoh itu beliau sempat bertalaqqi al-Quran dengan tiga orang masyaikh iaitu Shaikh Said al-Khaidri dengan talaqqi qiraat tujuh, Shaikh Fathi Daud dengan talaqqi qiraat sepuluh dan Shaikh Abdul Rauf juga talaqqi qiraat sepuluh.

Sekembali ke tanahair, bermulalah kerjaya beliau dengan bertugas sebagai imam di Masjid al-Akram Datuk Keramat pada awal 1985. Beberapa bulan kemudian, beliau mula bertugas sebagai Pegawai Penasihat Agama di Institut Teknologi MARA (ITM) Shah Alam antara Julai 1985 sehingga Mac 1990. Bermula Mac 1990 itulah beliau mula melapor diri bertugas di Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) Jabatan Perdana Menteri yang kini dikenali sebagai JAKIM.

Di BAHEIS, beliau ditempatkan di Pusat Islam sebagai pensyarah di Institut Pengajian Tahfiz al-Quran (IPTQ). Lokasi IPTQ seringkali berubah antaranya di Pinggir Taman Tun Dr Ismail dan Hulu Langat sebelum kampus tetapnya kini di Kuala Kubu Baru dengan nama Darul Quran. Sehingga kini, meski masih bertugas sebagai warga JAKIM, beliau pernah bertugas sebagai imam di Masjid Negara pada tahun 2000-2004, kembali ke Darul Quran pada 2004, berpindah ke Masjid Wilayah Jalan Duta pada 2005 dan kembali sekali lagi ke Darul Quran pada 2007 sehingga kini.

Kepakaran beliau dalam ilmu-ilmu al-Quran menyebabkan beliau seringkali diundang ke pelbagai majlis dan acara berkaitan. Antaranya sebagai hakim Majlis Tilawah al-Quran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Kebangsaan sejak 1985, MTQ PDRM Kebangsaan sejak 1988, MTQ Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak 1996, dan hakim Majlis Menghafaz al-Quran Kebangsaan sejak 1993. Beliau turut pernah diundang sebagai hakim Majlis Menghafaz al-Quran anjuran negara Arab Saudi pada 2009.

Selain sering menyampaikan ceramah di seluruh negara berkaitan ilmu-ilmu al-Quran seperti tajwid, fasahah, suara dan lain-lain, beliau juga adalah ahli Lajnah Tashih al-Quran Kementerian Dalam Negeri sejak 1992 dan pernah diberi peranan sebagai pengerusi pada tahun 1994-2002. Kini beliau adalah timbalan pengerusi di bawah kepimpinan Datuk Shaikh Haji Mohammad Nor Mansor al-Hafiz yang juga Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP).

Berkenaan keluarga bahagianya, beliau mendirikan rumahtangga dengan Ustazah Hajah Rosnani Tumijo yang berasal dari Selangor pada tahun 1978 dan dikurniakan dengan enam orang anak. Raihani, 30; Hannan, 26; Siti Marahaini, 23; Ruhi Najihah, 19; Ismah Azirah, 15; dan Nur Aqilah, 11 tahun. Anak sulung beliau, Raihani telahpun berumahtangga dan sehingga kini mempunyai dua orang cahayamata.

Beliau turut bercerita berkenaan rezeki dan ilmu yang Allah SWT kurniakan dalam dunia tahfiz al-Quran sehingga beliau berpeluang melawat negara-negara asing seperti Mesir, Arab Saudi, Syria, China, Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand selain undangan dari negeri-negeri di seluruh pelusuk Malaysia.

Antara peristiwa yang menjadi kenangan beliau ialah apabila terjatuh dari keretapi di Mesir (dipanggil metro) ketika beliau baru tiba beberapa bulan di sana semasa pengajian di Maahad Qiraat al-Azhar. Selain itu, pengalaman manis beliau apabila pertama kali dijemput mengajar al-Quran pada 1974 (ketika masih belajar di tahfiz) di rumah Datuk Abdullah Ahmad ketika itu Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Di hujung perbualan kami, beliau sempat menasihatkan guru-guru al-Quran terutama ribuan mereka yang pernah berguru dengannya agar beramal dengan al-Quran kerana Allah SWT, mengajarkan ilmu al-Quran kepada masyarakat tanpa bermegah-megah dengan ilmu yang dimiliki. Selain itu beliau turut menasihatkan guru-guru al-Quran agar tidak meletakkan harga tertentu kepada masyarakat. Kepada mereka yang menghafaz al-Quran beliau bersama-sama mengingatkan agar menjaga hafalan dengan selalu mengulang-ulang hafalan mereka.

Temuramah dan bual bicara diadakan pada 2 November 2010 di Hotel Holiday Villa, Alor Star Kedah sempena Mesyuarat Lajnah Tashih al-Quran Kementerian Dalam Negeri.

%d bloggers like this: