Tag Archive: Tilawah Interaktif


Sekali lagi saya mendapat pengalaman berharga apabila diundang hadir dan mengisi slot ‘Tilawah Interaktif’ di Sabah FM sempena Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Sabah yang diadakan pada 17 dan 18 Mei. Kalau tidak salah ini  pengalaman kali ketiga untuk tilawah interaktif selepas 2011 dan 2010. Tahun 2010 adalah sempena MTQ Kebangsaan yang diadakan di Kota Kinabalu.

Kalau mengikut perbincangan asal, Sabah FM menyediakan 10 malam berturut-turut untuk mengadakan program tilawah interaktif ini dengan tempoh masa 30 minit setiap kali ke udara. Tiga malam pertama dibimbing oleh Ybhg Datuk Haji Mokhtar Rapok dan saya pula sepatutnya mengendalikan hanya 3 malam kedua dan baki seterusnya dikendalikan oleh Ustaz Zulfauzi Ag Besar.

Walaubagaimanapun, setelah 3 malam giliran saya selesai, saya terpaksa menyambung lagi pada malam ke-7 dan ke-9 dan mengabaikan malam ke-8 dan malam ke-10. Rupanya malam ke-8 itu ada siaran langsung bola sepak dari Stadium Likas sementara malam terakhir adalah malam ini sudah bermula MTQ peringkat negeri walaupun tiada siaran langsung melalui Sabah FM.

Tentang kaedah program tilawah interaktif ini, ia dimulakan dengan saya membaca beberapa ayat al-Quran yang kemudiannya saya huraikan secara ringkas makna dan kesimpulannya, kemudian kami akan bermula menerima panggilan daripada pendengar. Setelah pemanggil selesai memperdengarkan bacaannya, barulah saya mengulas kesilapan-kesilapan yang berlaku sekiranya ada.

Dengan sokongan yang baik daripada para pemanggil, saya mengharapkan pihak bertanggungjawab iaitu JHEAINS dan Sabah FM akan memikirkan rancangan ini dapat diteruskan secara mingguan walaupun diluar musim Majlis Tilawah al-Quran. Ketika berada di konti atau di studio, saya melihat lampu telefon kerapkali berkelip untuk para pemanggil menghubungi studio walaupun ketika itu program baru bermula, sedang iklan atau program baru berakhir.

Harap-harap program ini boleh bermula apabila konti Sabah FM berpindah sepenuhnya ke kompleks bersepadu mereka di Jalan Lintas Kepayan.

FFoto lama RTM Sabah..

DJ Napsiah & DJ Saodah sedang melakukan persiapan sebelum keudara

Sebenarnya, sejak malam isnin saya sudah rasa tidak sedap badan. Pagi isnin, ketika saya singgah ke klinik di Putatan, doktor memberikan saya cuti sehari kerana suhu badan mula panas. Namun saya ke pejabat juga sebentar sebelum pulang menjelang tengahari.

Pada selasa, ketika merasa demam akan pulih, rupanya menjelang petang rasa lemah semakin kuat. Saya lawan juga kerana malam itu saya menjadi tamu di Sabah FM. Lagipun persiapan berkenaannya belum selesai kerana sehari sebelum itu saya tidur panjang di rumah.

Saya ke konti Sabah FM dalam keadaan kepala bertampal. Memang panas. Saya tiba 5 minit sebelum ke udara. Di sana  DJ Rais (DJ Perantara JHEAINS), Ust Pg Ismail (JHEAINS) serta DJ Hjh Napsiah menanti di luar bangunan.

Di studio ketika itu DJ Puan Saodah Hj Wahid sedang bertugas dan bertukar giliran dengan Hjh Napsiah yang kedua-duanya sudah saya kenali sebelum ini.

Tajuk yang dipersetujui ialah tentang ilmu qiraat yang merupakan satu cabang ilmu al-Quran yang sangat luas. Ilmu qiraat sendiri pun memang ilmu yang berkaitan langsung dengan al-Quran dan begitu hampir dengan umat Islam kerana qiraat itu sendiri bererti bacaan-bacaan.

Ada beberapa soalan pokok yang kami perbincangkan ketika itu, iaitu berkaitan takrif qiraat dan sejarah ringkasnya; makna 7 huruf, pengertian qiraat 7 dan qiraat 10, contoh-contoh dan bentuk khilaf dan akhirnya saya memberikan contoh bacaan al-Fatihah bagi riwayat Qunbul, qiraat Ibnu Kathir.

Sebenarnya saya dimaklumkan dalam tempoh tidak sampai 20 minit terakhir, penerbit menerima 8 panggilan kesemuanya. Namun, 4 daripada mereka terputus dan hanya 4 pemanggil dapat dilayan dan diperdengarkan Fatihah mereka dengan riwayat Qunbul.

Alhamdulillah, tanpa saya sedari apabila selesai program berkenaan, rasa panas badan itu sudah pun hilang. Insya Allah, segmen seterusnya pada selasa hadapan pada waktu yang sama, juga bersama Abu Nuha menyambung perbincangan ilmu qiraat.

DJ Hj Awang Shari Hj Ramli yang mengambil tugas pada jam 9.10 malam sesudah berita jam 9.00 malam.


Insya Allah, jika tiada aral melintang, saya akan ke udara di saluran radio Sabah FM secara langsung pada selasa hadapan jam 8.15 – 9.00 malam.

Rancangan ini diberi nama Tilawah Interaktif diadakan sempena Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di negeri Sabah pada akhir jun nanti. Ia diadakan secara kerjasama antara RTM dan JHEAINS.

Saya dimaklumkan rancangan ini sudah ke udara selama 3 minggu setiap selasa malam rabu. Pada minggu pertama, puan pengetua Maahad Tahfiz diundang sebagai pengenalan program ini.

Minggu lalu diisi oleh Datuk Hj Mokhtar Rapok sementara malam tadi oleh Ust Hj Ghazali Sulaiman – kedua-duanya bercerita tentang ilmu tarannum. Para pendengar juga diberi peluang untuk memperdengarkan bacaan mereka untuk disemak oleh tetamu rancangan.

Minggu akan datang, saya akan membicarakan tentang pengenalan ilmu qiraat, ulama-ulama’nya serta kaedah  pengamalannya. Kalau ada kesempatan, para pendengar juga berpeluang untuk mendail terus ke studio.


%d bloggers like this: