Tag Archive: Teratak Fitrah


AQIDAH DAN AKHLAK

Ada 3 perkara yang saya sebut dalam kuliah siang tadi bersama pelajar saudara kita di Kelas Bimbingan Teratak Fitrah, Sembulan dalam tempoh 40 minit :

1) Maha Mengetahuinya Allah SWT akan segala perbuatan makhluk, baik atau jahat dalam gelap dan terang, sendirian atau ramai, zahir atau batin;

2) Malaikat Raqib Atid yang berada di kanan dan kiri manusia, mencatat segala perbuatan manusia tanpa satu pun yang tinggal;

3) Hari Pembalasan, saat ketika semua amalan manusia ditayang dan dinilai; mulut dikunci, tangan bercakap, kaki serta seluruh anggota menjadi saksi; buku catatan amal sebagai bukti.

Justeru, banyak melakukan kebaikan di mana sahaja berada kerana Allah SWT Maha Mengetahui dan meninggalkan kejahatan kerana Allah SWT jua Maha Mengetahui. Aqidah yang mantap akan melahirkan akhlak yang mulia.

Hari sabtu, saya ada 5 undangan ke majlis yang berkaitan dengan sambutan Idul Adha. Masanya pula hampir serentak. Mana mungkin saya dapat memenuhi kesemuanya.

Pertubuhan Kebajikan Saudara Kita (SAHABAT) buat Majlis Sambutan Idul Adha di markas  mereka di Jalan Kurol Melangi Kg Likas. Timbalan Presidennya, Kak Selly sudah menempah saya sejak 3 minggu lalu untuk mengisi slot tazkirah.

Oleh kerana ketika itu ruang kosong ada, saya menerima. Beberapa hari sebelum raya, barulah saya menerima undangan lain, khususnya memeriahkan majlis penyembelihan ibadah qurban.

Sekitar 9.30 pagi majlis bermula.

Takbir raya dan bernasyid beramai-ramai, selain ucapan-ucapan tetamu. Ada Ustazah Fatimah dari JAKIM Sabah dan Ustazah Hjh Zaloha (KPP Dakwah JHEAINS). 

Majlis juga diserikan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada para penyumbang, sukarelawan, tenaga pengajar serta exco SAHABAT. Tazkirah ringkas saya pula mengambil slot terakhir.

Dalam tempoh hampir 30 minit di hadapan lebih 100 yang hadir, antara yang saya petik ialah berkaitan 4 perkara yang dibimbangi missionary kristian. Hal ini saya petik daripada sebuah buku yang saya beli ketika di Mesir dan ditulis oleh seorang mahasiswa al-Azhar.

Catatan itu tidak menamakan secara terperinci missionary yang dimaksudkan, tetapi menyatakan 4 perkara yang dibimbangi mereka ialah al-Quran, Universiti al-Azhar, himpunan Jumaat dan himpunan ibadah haji.

Jam 11.15 pagi, setelah menjamah sedikit jamuan, saya beredar untuk ke majlis berikutnya. Saya meninggalkan mereka yang akan meneruskan majlis penyembelihan.

Tahniah untuk Presiden Abu Bakar Ongkosing, bersama jenteranya yang dapat mengendalikan majlis dengan baik dan lancar.

“Ustaz, nanti ada daging untuk ustaz”. Demikian mereka memberi pesan.

“NABI DAPAT DISKAUN..”

IMG_5969

Masa Nabi turun naik mi’raj itu, Nabi dapat diskaun daripada Allah. Sembahyang diwajibkan 5 kali sehari..”

Saya tersenyum mendengar ungkapan yang dilafazkan oleh saudara Abu Bakar, Presiden Pertubuhan Kebajikan Saudara Kita Kota Kinabalu (SAHABAT) ketika beliau sendiri menyertai pertandingan pidato semalam.

Semalam, SAHABAT mengadakan sambutan Isra’ & Mi’raj di bangunan Madrasah Islamiah, Sembulan yang juga lokasi mingguan kelas Teratak Fitrah diadakan saban sabtu.

Terdapat 6 peserta pidato dengan Abu Bakar sebagai wakil tunggal lelaki manakala 3 peserta pertandingan azan. Yang hebatnya, beliau sendiri bertindak sebagai pengerusi majlis mempersilakan dirinya sendiri sebagai peserta pidato di hadapan 140 audien kalangan saudara kita.

Saya kurang maklum siapa yang menang, kerana terpaksa meninggalkan majlis berkenaan sejurus Ust Awwaluddin memulakan ceramah Isra’ & Mi’raj kerana jam 2 petang saya punya ceramah pula di Kota Belud.

IMG_5958

IMG_5965

IMG_5970

IMG_5971

IMG_5977

Malam tadi, saya berada di Rumah Kebajikan Teratak Fitrah yang menjadi markas bagi Pertubuhan Kebajikan Saudara Kita Kota Kinabalu (SAHABAT).

Ada majlis pengislaman dua individu. Seorang perempuan dan seorang lelaki.

Baitah baru berumur 20 tahun dan berasal dari Tenom. Sementara Harry pula dari Keningau berumur 22 tahun dan kini  bekerja di Luyang.

Majlis dimulakan dengan sesi penerangan oleh Ustazah Hajjah Mariah Hasibuan dari Bahagian Dakwah JHEAINS yang sememangnya banyak bertanggungjawab soal muallaf ini di pihak jabatan.

Perkara paling asas diterangkan kepada mereka berdua ialah bahawa mereka tidak dipaksa untuk memeluk Islam. Ustazah sempat menceritakan, terdapat mereka yang memeluk Islam di JHEAINS, kemudiannya datang semula untuk keluar Islam dengan pelbagai dalih dan alasan.

Kepada Baitah dan Harry, berulang kali ustazah mengingatkan bahawa mereka tidak dipaksa, dan disuruh berfikir sehabisnya. Alhamdulillah, kedua-dua mereka tetap bertegas dan konsisten dengan keputusan untuk menganut Islam.

Baitah memeluk Islam di tangan Ustazah Mariah, sementara saya pula mengislamkan Harry. Semoga mereka istiqamah dengan Islam.

Malangnya, majlis bersejarah ini saya tidak dapat berkongsi gambar kerana tidak membawa kamera yang sedia tinggal di rumah seharian.

MENCARI ILMU BERSAMA ANAK

Semalam saya ada jadual di kelas pengajian saudara kita – Teratak Fitrah. Untuk tahap 2, subjek akhlak bertajuk riya’ dan ujub. Sementara di tahap satu selepasnya, subjek fekah bertajuk tayammum.

Saya masih mengkagumi kesungguhan mereka belajar sambil membawa anak-anak kecil ke dalam kelas. Kesungguhan mereka mendapatkan ilmu dalam keadaan susah payah, mudah-mudahan mendapat ganjaran sewajarnya.

IMG_4452

IMG_4457

IMG_4460

img_0686Seperti yang dicatatkan sendiri oleh Puan Siti Maznah Muini, pelajar Teratak Fitrah..

Saya memeluk Islam pada 31.12.1981 di Kg Libang Ranau oleh Imam Hj Daud (arwah) dan disaksikan oleh ibu saya sendiri (bukan Islam masa itu).

Apa yang menyebabkan saya memeluk Islam ialah, semasa saya di alam persekolahan, tingkatan 3, saya suka mengikuti kelas agama Islam. Untuk dapat mengikuti kelas tersebut, saya mengaku telah memeluk Islam, meskipun saya sebenarnya bukanlah beragama Islam.

Dalam masa ini, dua orang abang saya sudah memeluk Islam.

Apa yang mendorong sangat dan mungkin juga dalam keterpaksaan dalam terus menganuti agama Islam ini ialah bila saya lulus dalam peperiksaan akhir 1981 (SRP) dan melangkah ke tingkatan 4.

Kerana segan dengan kawan sekolah yang beragama Islam dan takut tembelang pecah (kerana telah mengaku Islam sebelum ini), akhirnya saya dengan bertemankan emak saya sendiri pergi ke rumah imam untuk membaca dua kalimah syahadah.

Syukur ke hadrat Ilahi kerana pada tahun 1987, akhirnya kami sekeluarga daripada emak, bapa serta adik beradik telah memeluk Islam. Kini keluarga kami hidup dalam kerukunan Islam.

Pengislaman dalam keluarga kami tiada masalah dan semua saudara mara keluarga sebelah bapa dan emak menerimanya dan hubungan kekeluargaan tetap utuh hingga sekarang.

SEPERTI KAIN PUTIH

img_0650Pagi sabtu, saya hadir dalam Majlis Taaruf Pusat Bimbingan Teratak Fitrah di bangunan Madrasah Islamiyyah Masjid Negeri di Sembulan.

img_0657Pusat Bimbingan Teratak Fitrah adalah kelas mingguan bagi saudara kita @ muallaf untuk menimba ilmu pengetahuan, khususnya perkara yang berkaitan fardhu ain seperti aqidah, solat, mengaji al-Quran dan sebagainya.

Kelas yang sudah berjalan sejak tahun 2002 ini diadakan dalam tiga tahap.

Setiap tahap, mereka akan mempelajari aqidah, feqah dan akhlak selain sesi belajar iqra dan al-Quran.

Bagi mereka yang baru memasuki kelas ini khususnya baru memeluk Islam dan belum tahu selok belok solat, mereka akan didedahkan dengan amali wudhu dan solat terlebih dahulu yang akan dibimbing oleh para guru sukarelawan dan juga rakan-rakan mereka yang sudah mahir dengan praktikal agama Islam ini.

img_0706

Ust Senan Jipar, Penolong Pengarah Unit Ukhuwah, Bahagian Dakwah JHEAINS (gambar) ketika merasmikan majlis sabtu lalu menjelaskan bahawa golongan muallaf adalah masyarakat muslim yang beruntung kerana mereka adalah hamba Allah yang bersih daripada sebarang dosa.

Katanya, apabila seseorang memeluk Islam, segala kesalahan dan kejahatan yang pernah dilakukan akan terpadam dengan sendirinya.

Masyarakat muallaf adalah seperti kain putih atau seperti bayi yang baru lahir, bersih dan tidak punya kesalahan apa-apa.

Walaubagaimanapun, beliau menyeru kepada para saudara kita, agar meningkatkan ilmu pengetahuan agar selamat dalam aktiviti kehidupan mereka.

img_0667Beliau memberi contoh, bagaimana seorang isteri yang berilmu dan beramal dengan ilmunya akan selamat apabila bergaul dengan suami dan keluarganya.

Begitulah juga kepada seorang suami, atau sebagai seorang jiran, dan sebagai seorang ahli masyarakat akan selamat apabila mereka belajar dan beramal menurut adab dan akhlak Islam.

Oleh itu, proses pembelajaran sepanjang hayat mesti diteruskan walaupun sudah berumur lanjut.

Dalam majlis berkenaan juga, terdapat 42 orang disahkan mendaftar sebagai pelajar tahap 1 dan mereka diminta tampil ke hadapan memperkenalkan diri serta menceritakan babak-babak penting keislaman mereka.

Antara yang mencuri tumpuan ialah kehadiran Puan Siti Safriah yang berumur 70 tahun tetapi masih gagah untuk menceritakan detik penting beliau memeluk Islam 4 tahun lalu.

Selain diselangi senyum dan gelak ketawa kerana pelbagai peristiwa lucu dan aksi mereka bercerita, tidak kurang juga yang mengalirkan air mata kerana diberi hidayah oleh Allah SWT untuk memeluk Islam.

img_0677Lebih menarik apabila kehadiran seorang wanita yang belum memeluk Islam tetapi sudah menyertai kelas ini sejak 2 bulan lalu.

Cik Victoria dari Likas menjelaskan beliau berminat dengan Islam dan kini dalam proses memahami asas agama ini.

Beliau menjelaskan sudah mengingati sedikit demi sedikit surah al-Fatihah dan dua kalimah syahadah. Dalam masa yang terdekat, Victoria menjelaskan akan melafazkan kalimah mulia itu.

Dalam majlis yang sama, Ust Senan juga sudi menyampaikan hadiah kepada pelajar-pelajar yang mendapat tempat pertama hingga ketiga dalam peperiksaan yang baru selesai 2 minggu lalu.

img_0713

img_0716

img_0719Turut hadir dalam majlis itu ialah Ust Hj Awwaluddin Nasution dan Ustazah Hajjah Mariah Hasibuan, pegawai di Bahagian Dakwah selaku antara tenaga pengajar di kelas berkenaan, selain kehadiran pelajar-pelajar lama khususnya AJK Persatuan Kebajikan Saudara Kita Kota Kinabalu (SAHABAT) yang memberikan sokongan kepada rakan-rakan baru mereka.

img_0724Walaupun majlis taaruf dan pendaftaran selesai sabtu lalu, kelas berkenaan akan terus menerima dan mengalu-alukan kehadiran pelajar baru setiap sabtu. img_0659

img_0663

img_0661

Pelajar Teratak Fitrah yang sedang menanti hari untuk bersalin

Pelajar Teratak Fitrah yang sedang menanti hari untuk bersalin

PERISTIWA SUBUH

Sebuah lagi kisah saudara kita tentang punca dan asbab beliau memeluk Islam. Orang yang dimaksudkan bernama Mohammad Zawawi Lo Abdullah, 22 tahun.

Ketika saya berumur 18 tahun iaitu semasa berada di tingkatan 5, saya bersekolah di SMK Putatan dan tinggal di asrama. Rata-ratanya adalah pelajar beragama Islam di sana.

Tiap-tiap hari sebelum azan subuh berkumandang, saya bangun dan membuat persiapan diri untuk ke sekolah. Keadaan di asrama agak sunyi sepi masa itu.

Apabila waktu azan subuh bermula, saya begitu tertarik melihat pelajar-pelajar muslim bergegas ke surau untuk menunaikan solat subuh. Ketika itu saya berada di dewan belajar.

Selain itu, saya tertarik cara orang muslim bersembahyang yang begitu teratur dan bersih. Setiap langkah mereka lakukan mempunyai langkah yang teratur dan cantik.

Apabila mereka selesai menunaikan solat subuh, ada rakan saya datang ke dewan belajar dan terus membuat ulangkaji pelajaran. Saya melihat keadaannya begitu tenang dan relaks membuat ulangkaji pelajarannya, saya begitu tertarik.

Pada masa itu, saya pun berniat di dalam hati : “Bilalah saya boleh jadi seperti mereka yang tenang ini?”

Akhirnya pada 9 Februari 2006, saya diislamkan di Masjid Negeri Sabah.

Alhamdulillah, nikmat hidayah diberi oleh Allah. Saya betul-betul bersyukur dan bertekad ingin menjadi muslim yang beriman dan soleh di jalan Allah SWT.

Saya mengaku bahawa tiada Tuhan selain Allah, Nabi Muhamma adalah pesuruh Allah.

Kejadian subuh banyak manfaat untuk diri saya dan selamanya. Setelah masuk Islam, saya banyak mempelajari agama Islam dan keadaan saya begitu tenang dan yakin berbanding sebelumnya. 🙂

Saya mengucapkan tahniah kepada sahabat-sahabat Zawawi yang telah memberi contoh sebagai muslim yang baik sehingga Zawawi tergerak memeluk Islam. Syukur alhamdulillah yang memberikan hidayah kepadanya.

Minggu lepas, kelas pengajian untuk saudara kita – Teratak Fitrah mengadakan peperiksaan semester kedua. Saya terlibat sebagai pembuat soalan bagi subjek tauhid untuk ketiga-tiga tahap 1, 2 dan 3.

Dalam kesemua tahap, arahan terakhir dalam kertas peperiksaan mereka ialah meminta mereka menceritakan detik-detik, punca dan kisah mereka memeluk Islam.

Ramai yang menceritakan dengan baik dalam jawapan mereka. Ada jawapan yang membuat saya kagum, terharu dan ada juga yang membuatkan saya tersentak. Tak mengapa, itu adalah luahan mereka yang ditulis melalui kertas jawapan peperiksaan.

Saya catatkan semula satu jawapan yang menarik untuk kita renung semula.

Semasa saya melanjutkan pelajaran di UiTM Shah Alam, saya telah ditempatkan di asrama, di mana rakan-rakan sebilik saya semuanya beragama Islam.

Di asrama saya ini, apa yang dapat saya perhatikan setiap bilik-bilik asrama tidak ada dua orang pelajar Kristian di dalam bilik. Semuanya hanya seorang pelajar Kristian dan selebihnya adalah pelajar Islam.

Mulanya saya menyangka pihak asrama sengaja berbuat demikian. Tetapi saya salah, ianya tidak disengajakan.

Rakan-rakan sebilik saya tidak memulaukan saya, sebaliknya saya yang bersikap sedemikian.

Pada suatu hari, saya telah menghidap demam denggi dan ditempatkan di bilik kecemasan UiTM untuk pengawalan rapi. Tiap-tiap hari, rakan-rakan sebilik saya bergilir menjaga makan dan minum saya. Ini menghapuskan segala tanggapan buruk saya terhadap mereka.

Pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah, setiap kali Ramadhan tiba, saya akan sama-sama berpuasa dan berbuka puasa dengan mereka walaupun saya belum memeluk Islam.

Di situ, saya mula tergerak hati untuk memeluk Islam. Tetapi sehingga saya menamatkan pelajaran, saya tidak memeluk Islam.

Perkenalan saya dengan seorang wanita muslim mengubah segalanya. Saya memeluk agama Islam kerana berkahwin dengannya. Tetapi itu bukanlah sebab utama mendorong saya memeluk Islam.

Cara-cara hidup berlandaskan Islam cukup menarik minat hati saya, terutama apabila tangan saya disalam dan dicium oleh isteri. Terasa betul-betul dihormati. Menerima dan menjawab salam merapatkan hubungan sebagai muslimin dan muslimah biarpun baru bertemu.

Alhamdulillah, saya tenang sebagai seorang Islam dengan cara hidup seorang Islam yang cuba saya teladani, dan insya Allah saya akan teruskan untuk menjadi seorang muslim yang unggul di dalam hidup saya.

Catatan ini dibuat oleh Nazarul Geking Abdullah yang berumur 27 tahun, pelajar tahap 1. Jawapan dan catatan Nazarul membuktikan bahawa akhlak mulia umat Islam boleh mencairkan hati orang bukan Islam untuk menerima Islam sebagai anutan baru mereka.

Sahabat-sahabat Nazarul telah melakukan sesuatu yang betul dan mulia di sisi Islam apabila tidak menyisihkan Nazarul yang belum memeluk Islam ketika itu walaupun Nazarul bertindak memulaukan sahabat-sahabat muslimnya.

Insya Allah, saya akan memaparkan sebahagian lagi kisah-kisah mereka sebagaimana yang mereka jawab di dalam soalan.

USTAZ HJ ABDULLAH DIN

Ust Abdullah menerima cenderakenangan daripada Imam Besar Masjid Negeri, Hj Nahar

Petang sabtu 5 Julai, seorang sahabat, guru, abang, naqib kembali ke Kedah setelah menabur bakti di bumi Sabah lebih 10 tahun. Pernah bertugas di beaufort, penampang dan k.kinabalu.

Tapi bagi kami, dia bukan setakat guru biasa. ia meluangkan hampir seluruh masanya untuk dakwah. Dakwah kepada non muslim, kepada remaja, masyarakat umum, NGO dan bermacam-macam. Dia begitu bersemangat dan pantas apabila mengatur program. TIdak sedikit NGO dan agensi kerajaan yang dibantu dalam program dakwahnya. ABIM, JIM, PUM, PAS, Yayasan Amal, JAKIM, Teratak Fitrah.

Saya amat mengkagumi Ust Lah. Lebih lagi kepada isterinya yang begitu tabah. Dengan anak 6 orang tanpa pembantu rumah, saya memahami kesibukan Ust Lah dan kesabaran isterinya. Kami mendengar kisah rumahnya yang pernah dibaling dengan telur, kerana membuat program kuliah fardhu ain rumahnya. Selepas itu, ust Lah berpindah ke taman lain.

Di rumah baru, sebulan dua lepas, atap rumahnya dihumban dengan pasir. Bahkan isterinya sendiri pernah dimaki orang kerana kerajinan ust Lah membuat program dakwah. Lebih dari itu, Ust Lah sendiri pernah disihir. Begitulah cerita yang kami dengar.

Topik yang paling menjadi kegemarannya ialah dakwah kepada remaja, dimana remaja menjadi audiennya kerana dia bertugas sebagai guru sekolah menengah di SMK Tebobon sebelum berpindah ke Kedah.

Beberapa pelajarnya yang bukan Islam, jatuh ditangannya mengucap syahadah tunduk kepada Allah. Program usrah pelajar, perkhemahan dan banyak lagi sentiasa mencuri perhatian pelajarnya.

2-3 tahun terakhir di Sabah, dia menambah koleksi minat dakwahnya dengan mempelajari bible dan mendedahkan hakikat ajaran kristian kepada masyarakat terutama golongan pelajar.  Dalam majlis perpisahannya pada minggu lepas, saya menggelar kumpulannya yang giat mempelajari bible dengan panggilan ‘sahabat bible’.

Di LTAKK, agak saya ramai juga yang menghantar Ust Lah. Mungkin 2-3 ratus. Tidak kurang juga yang menitiskan air mata menangisi perpisahan itu. Akhir perpisahan itu, secebis doa kami panjatkan bersama-sama dan diakhiri dengan laungan takbir.

Ust Lah, terima kasih budi dan jasamu di Sabah. Selamat berjuang di laman sendiri. Kami benar-benar kehilangan.

(Artikel ringkas ini tidak mungkin dapat menceritakan seluruh jasa-jasa dakwahnya di bumi Sabah)

Firman Allah : “Siapakah yang terlebih baik kata-katanya, berbanding orang yang menyeru dakwah kepada Allah dan berbuat baik dan berkata : sesungguhnya aku termasuk orang Islam”

%d bloggers like this: