Tag Archive: Temuduga Tahfiz


Tarikh : 24 April 2013 (Rabu)

Tempat : SMAN Pekan Kunak

Jumlah calon : 18 orang dari Kunak, Lahad Datu, Semporna, Tawau dan Sandakan.

Ini adalah sesi kedua temuduga selepas lokasi pertama di Maahad Tahfiz Negeri isnin lepas. Menariknya di sini ramai juga calon yang hebat-hebat dan rata-rata dalam ujian syafawi al-Quran boleh menamatkan sehingga semuka al-Quran penuh.

Temuduga @ Kunak (1) Temuduga @ Kunak (2)Temuduga @ Kunak (5) Temuduga @ Kunak (6) Temuduga @ Kunak (7) Temuduga @ Kunak (8) Temuduga @ Kunak (9) Temuduga @ Kunak (10) Temuduga @ Kunak (11) Temuduga @ Kunak (12)

Ini satu kejutan dan perkembangan yang sangat memberansangkan bagi dunia tahfiz khususnya Maahad Tahfiz Negeri Sabah apabila sebelum berangkat ke Kunak untuk melaksanakan amanah mengadakan temuduga kemasukan ke Maahad Tahfiz Sabah, saya dimaklumkan jumlah calon mencecah hampir 30 orang. Bagi saya pihak-pihak bertanggungjawab dan berkenaan wajar memikirkan secara positif, serius dan bersungguh-sungguh akan masa depan kompleks Maahad Tahfiz Sabah yang masih tertangguh-tangguh itu.

Kenapa saya katakan demikian, kerana dalam kunjungan saya ke Kunak, saya mendapati daripada 27 orang calon, hanya seorang sahaja yang mendapat markah di bawah 50, manakala selebihnya 60% ke atas. Namun apakan daya, pengurusan maahad hanya berdaya mengambil pelajar seramai sekitar 20-26 orang berdasarkan kapasiti asrama dan tenaga pengajar yang terbatas. Ini belum lagi diambil kira calon-calon yang ditemuduga lebih awal di Kota Kinabalu apatah lagi sekiranya promosi ke Maahad Tahfiz dilakukan secara optima dan bersungguh-sungguh ke seluruh Sabah.

Dalam pembahagian tugas di Maahad, tahun ini saya diamanahkan untuk melakukan kerja-kerja promosi khususnya ke sekolah-sekolah menengah agama sama ada milik kementerian pelajaran atau kerajaan negeri. Bahkan atas bantuan rakan-rakan di sektor pendidikan islam jabatan pelajaran Sabah telah memaklumkan kepada saya senarai sekolah-sekolah menengah kebangsaan (SMK) yang mempunyai kelas aliran arab (KAA) yang akan saya cuba datangi untuk mempromosi kepada sasaran khususnya tingkatan 4-6 akan peluang belajar serta kelebihannya di Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah.

Dalam konteks kunjungan dan tugasan saya ke Kunak, kami mengucapkan penghargaan yang tidak terhingga kepada Tuan Pengetua Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Pekan Kunak, Ustaz Bambang Muhamad Rafadi Yusoff yang bersungguh-sungguh mempromosi perihal maahad tahfiz kepada para pelajarnya. Saya dijemput sendiri oleh beliau dan kemudian menghantar kembali ke Lapangan Terbang Tawau dalam perjalanan sekitar 45 minit setiap satu perjalanan. Daripada sejumlah 27 orang, saya dimaklumkan hanya dua orang yang datang dari luar (bukan pelajar di sana).

Seperti temuduga di Kota Kinabalu pada rabu lepas, sistemnya juga sama hanya saya sendirian mengendalikan ujian bertulis sementara ujian lisan saya dibantu oleh Ustaz Bambang sendiri dari bahagian Bahasa Arab. Beberapa guru dan pelajar juga banyak membantu menyediakan keperluan yang berkaitan. Ujian bertulis bermula jam 10.30 pagi selama setengah jam sementara ujian lisan bermula seorang demi seorang bermula jam 12 tengahari setelah mereka dibahagi-bahagikan ayat tertentu untuk dihafaz. Sesi kedua ini hanya berakhir menjelang maghrib, di mana hajat saya untuk meronda sekolah tidak kesampaian, apatah lagi untuk melihat-lihat Pekan Kunak.

Secara langsung ketika temuduga berjalan, saya melihat bakat-bakat yang baik dan bakal-bakal calon penghafaz al-Quran untuk diterbangkan ke Kota Kinabalu. Saya melihat potensi cemerlang mereka, kerana 11 calon mendapat markah 80% ke atas, insya Allah jika mereka menerima tawaran ini nanti, saya kira kegemilangan dunia menghafaz al-Quran pada tahun 2012 akan lebih terserlah dari dunia Pantai Timur Sabah khususnya di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu.

Saya menanti mereka di Kota Kinabalu!

%d bloggers like this: