Tag Archive: Tazkirah Zuhur


Umat Islam Dijemput Hadir

 

Alhamdulillah, melalui pandangan dan cadangan pelbagai pihak termasuk para jamaah Masjid Negeri Sabah dan rakan-rakan dalam Facebook Syukbah Dakwah, Syukbah Dakwah dengan sokongan erat seluruh JK Induk Masjid Negeri bersetuju menganjurkan ‘Tazkirah Zuhur’ mingguan setiap hari rabu selepas solat fardhu zuhur di dewan solat.

JK Syukbah terutamanya pengerusi kami Ustaz Haji Muchlish  Ali Kasim bersikap optimis dengan jumlah jamaah zuhur yang semakin ramai dengan kehadiran tidak kurang 200-300 orang pada satu-satu masa. Ia belum lagi mengambil kira mereka yang datang kemudian @ masbuq atau yang solat di dewan bawah dan berehat seketika sebelum kembali ke lokasi masing-masing. Sasaran kami buat permulaan seandaikan kehadiran sekitar 50 orang pun sudah memadai.

Tazkirah ini bermula pada rabu minggu lalu, 2 Februari 2011 dengan pembukaannya disampaikan oleh Ustaz Haji Muchlish sendiri dengan tajuk ‘Rasulullah SAW sebagai pemimpin perubahan terulung sepanjang zaman’. Dalam tazkirah sekitar 40 minit itu, ustaz menceritakan bahawa Islam adalah cara hidup yang sesuai pada setiap masa dan zaman malahan Islam melalui contoh yang diberikan oleh Rasulullah SAW membawa perubahan kearah yang lebih baik daripada masa ke masa.

Rasulullah SAW telah membawa perubahan sikap masyarakat jahiliyyah kepada umat yang bertamadun, masyarakat yang mundur kepada umat yang maju, masyarakat yang menghina wanita kepada umat yang mengangkat martabat wanita ke tempat yang sewajarnya, dan bermacam-macam perkara dan bidang lagi.

Esok, tazkirah akan disampaikan oleh Ustaz Muhammad Sayuti Abd Shukor dengan tajuk ‘Rasulullah SAW sebagai pemimpin keluarga’. Insya Allah sepanjang Februari ini, semua tajuk akan ditumpukan kepada keperibadian Rasulullah SAW. Mudah-mudahan usaha baik ini menjadi salah satu jalan mendapatkan kebaikan di sisi Allah SWT. Ikuti maklumat daripada masa ke masa di facebook ‘Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah’.

%d bloggers like this: