Sesi undangan pada hari ahad agak lapang dengan hanya empat undangan sahaja diterima. Tidak seperti hari sebelumnya sehingga 11 jemputan namun semua itu berbaloi apabila kita dapat bertemu tuan rumah dan tetamu yang lain (apatah lagi kalau mereka dikenali dan lama tidak berjumpa), saling mengucap salam dan bercerita pelbagai hal.

Untuk anak-anak, ia mengajar mereka tentang adab dan cara bertamu, menghormati tuan rumah. Saya tersenyum juga apabila hendak pulang dari rumah terbuka Ustaz Saiful Mukharram, saya suruh 3 anak saya bersalam dengan tuan rumah suami isteri sahaja; tapi Nuha memimpin dua adiknya Hana dan Hadi untuk bersalaman dengan sejumlah tetamu yang hadir. Untuk ibu bapa seperti saya yang punya anak-anak masih kecil dan berderet, ia juga mengajar erti sabar kerana karenah anak-anak yang bermacam-macam, apatah lagi ketika berada di rumah orang.

Perjalanan kami pada ahad bermula sekitar 11.30 pagi menuju ke rumah Ustaz Saiful di Taman Indah Permai, Sepanggar. Kambing goleknya menjadi hidangan istimewa. Di rumah ini saya bertemu dengan ramai warga JAKIM Sabah, jabatan Ustaz Saiful bertugas. Beliau orang Tawau yang pernah mengaji di Universiti al-Azhar dan menjadi antara pimpinan mahasiswa Sabah di sana ketika itu. Beliau mempunyai kemahiran komunikasi yang baik seperti ceramah dan tazkirah.

Kami beredar dari rumah pertama menuju ke Taman Ujana Kingfisher Likas, rumah Tuan Haji Salman Datuk Ismail. Rumah terbuka keluarga besar Datuk Haji Ismail Abbas, mantan mufti negeri yang dikasihi. Ditakdirkan, salah seorang anak beliau (Mariah) berkahwin dengan abang isteri saya (ipar saya). Tetamu ramai, khususnya rakan-rakan dan keluarga mereka. Semua adik beradik dan ahli keluarga mereka sibuk menyediakan juadah serta melayan tetamu, maka saya hanya meluangkan masa untuk merakam foto sebahagian majlis berkenaan.

Rumah Ustaz Jumat albelurani dan isteri di Taman Pasir Putih menjadi lokasi terakhir kami pada sesi petang ini. Pertama kali berziarah di rumahnya, walaupun taman ini bukan asing buat kami. Kami tiba saat ada sahabat-sahabat tetamu lain dari Austral beralih pulang. Saya ditemani Ustaz Arifin Ali, dan kemudiannya Abu Aslam yang tiba tidak lama kemudian. Alhamdulillah, dapat berziarah ke tiga buah rumah, semuanya di taman perumahan dan bertemu sahabat-sahabat.

Petang boleh rehat sebelum bergerak pula sebelah malam undangan di Surau Taman Limauan.