Tag Archive: Tahun Baru Hijrah 1437


Sumber : Web JHEAINS

Peristiwa hijrah Rasulullah SAW telah memberikan impak serta perubahan yang positif terhadap kehidupan umat Islam sama ada dari segi ibadat, muamalat, tarbiah, sahsiah, perpaduan dan sebagainya. Ia adalah hasil daripada penghayatan dan penterjemahan sepenuhnya semangat hijrah yang menyaran serta mennyeru umat Islam agar meninggalkan segala larangan Allah SWT menuju reda-Nya melalui pematuhan terhadap segala perkara yang disuruh dan diperintahkan oleh-Nya. Hal ini bertepatan dengan hadis yang bersumber daripada Abdullah bin Habsyi bahawa Rasulullah bersabda bermaksud:

“Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah.” (HR Abu Dawud).

Dalam hadith lain yang bersumber daripada Abdullah bin Amr, Rasulullah SAW bersabda:

“Seorang Muslim adalah orang yang tidak merugikan Muslim lainnya dengan lidah, mahupun dengan kedua tangannya. Dan seorang Muhajir (orang yang berhijrah) adalah orang yang meninggalkan semua larangan Allah SWT.” (HR Bukhari).

Jelas di sini, berhijrah meninggalkan larangan Allah SWT dan melaksanakan perintah-Nya menjadikan hati, perkataan dan perbuatan bersih daripada segala maksiat, dosa serta syirik.

Dengannya, akan terwujud keadaan hidup lebih baik, lebih maju, lebih mulia dan lebih bermakna serta berada dalam lingkungan rahmat dan keredaan Allah SWT. Pendek kata, semangat hijrah untuk meninggalkan segala larangan Allah SWT mampu menjana umat yang perkasa dan Negara yang aman makmur.

Dunia adalah ladang beramal untuk dituai hasilnya di akhirat. Sesiapa memanfaatkan waktu lapang dan sihat dalam rangka agenda ketaatan, maka dialah yang akan berbahagia. Sebaliknya sesiapa mempergunakan kedua-dua nikmat itu dalam kancah kemaksiatan, dialah yang benar-benar telah tertipu.

Oleh itu, marilah kita berjihad membebaskan diri daripada cengkaman hawa nafsu yang mendorong melakukan kejahatan dan kemaksiatan. Keazaman serupa ini penting bagi memastikan diri cenderung melakukan amal ibadat mengabdi diri kepada Allah SWT sekali gus terhindar daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang dan dibenci Allah SWT.

Meskipun manusia dikurniakan nafsu yang baik, iaitu Mutmainnah yang mendorong kea arah kebaikan, namun nafsu jahat akan sentiasa menguasai orang yang lemah imannya serta tidak tahu dan mahu memanfaatkan akal kurniaan Ilahi. Tambahan pula, nafsu mendorong melakukan kejahatan sebagaimana terakam di dalam al-Quran bermaksud:

“Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah dia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (S. Yusuf: 53).

Dengan hal yang demikian, seseorang yang dicengkam keinginan nafsunya akan menurut sahaja runtunan hawa nafsunya tanpa memikirkan buruk baiknya. Hakikat ini terpapar pada kisah Qabil yang membunuh saudaranya, Habil disebabkan dorongon hawa nafsunya yang amarah dan tidak berpuas hati. Al-Quran merakamkan kisah yang menyayatkan ini sebagaimana maksud berikut:

“Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga dia tergamak) membunuh saudaranya, lalu dia membunuhnya, oleh itu menjadilah dia dari golongan orang yang rugi.” (S. Al-Maidah: 30).

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/presiden/37873-semoga-1437h-janjikan-masa-depan-lebih-baik-untuk-islam

PERUTUSAN MAAL HIJRAH 1437H

Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran:

إِنَّ الَّذِينَ تَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ ظَالِمِي أَنْفُسِهِمْ قَالُوا فِيمَ كُنْتُمْ ۖ قَالُوا كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِي الْأَرْضِ ۚ قَالُوا أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ اللَّهِ وَاسِعَةً فَتُهَاجِرُوا فِيهَا ۚ فَأُولَٰئِكَ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ ۖ وَسَاءَتْ مَصِيرًا * إِلَّا الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ وَالْوِلْدَانِ لَا يَسْتَطِيعُونَ حِيلَةً وَلَا يَهْتَدُونَ سَبِيلًا * فَأُولَٰئِكَ عَسَى اللَّهُ أَنْ يَعْفُوَ عَنْهُمْ ۚ وَكَانَ اللَّهُ عَفُوًّا غَفُورًا *

“Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi”. Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah). Maka mereka (yang demikian sifatnya), mudah-mudahan Allah maafkan mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.” [Surah Al-Nisa’, ayat 97 – 99]

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) merakamkan ucapan selamat menyambut Maal Hijrah kepada seluruh Ummat Islam, khususnya di bumi Malaysia ini. Hijrah adalah suatu peristiwa besar dalam Islam yang memberikan pengajaran yang sangat bermakna kepada kita semua sebagai ummat Islam.

Hari ini umat Islam seluruh dunia sedang menghadapi suasana dan ujian yang sukar. Umat Islam di negara kita sedang diuji dengan usaha-usaha untuk menafikan kedudukan Islam seperti yang dijamin perlembagaan bahkan terdapat usaha ketara untuk menghalang umat Islam daripada hak untuk melaksanakan tuntutan Islam.

Umat Islam di rantau Arab sedang diuji dengan perpecahan dan perang saudara, manakala di Eropah umat Islam sedang diuji dengan Islamophobia yang sedang dicanang oleh musuh-musuh Islam untuk menggambarkan umat Islam sebagai pengganas  dan perlu diperangi. Lebih menyedihkan Maal Hijrah tahun ini disambut dalam suasana umat Islam sedang dibunuh di tanah air mereka seperti di Palestin, Burma, Afghanistan, Iraq dan beberapa negara lain.

Antara kunci penting peristiwa Hijrah ialah kesatuan dan perpaduan ummah, kesatuan muhajirin mendukung perjuangan Islam dan semangat perpaduan ansar menerima saudara-saudara muhajirin yang tidak mereka kenali.  Kunci penting inilah yang membawa kepada terbinanya Madinah yang menjadi model Kerajaan Islam terbaik yang dipenuhi rahmat dan penuh keadilan kepada semua penduduknya samada penganut Islam dan bukan Islam.

Oleh yang demikian, marilah bersama kita mengambil semangat dan pengajaran daripada peristiwa hijrah untuk kita bina kesatuan dan perpaduan ummah sehingga terbinanya sebuah negara yang menjamin keadilan dan rahmat untuk  semua penduduknya. Semoga tahun hijrah 1437 akan menjanjikan masa depan yang lebih baik untuk Islam di Malaysia khasnya  dan seluruh dunia amnya.

“BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

01 Muharram 1437H / 14 Oktober 2015

HARAKAHDAILY 14/10/2015

%d bloggers like this: