Tag Archive: Tahsin Solat


Tarikh : 10 Julai 2015

Lokasi : Masjid Nurul Hidayah Kg Bangka-Bangka Likas

Peserta dari warga Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Sabah dibimbing secara teori dan praktikal untuk mendirikan solat pergerakan dan bacaan.

20150710_113839 20150710_114034 20150710_114539 IMG-20150710-WA0059 IMG-20150710-WA0060

Tarikh : 22 Februari 2013 (Jumaat)

Masa : 2.30-4.30 petang

Tempat : Jabatan Mineral & Geosains

 

Alhamdulillah dapat berkongsi sedikit ilmu berkenaan ibadah solat bersama warga jabatan ini. Walaupun selalu limpas di hadapan jabatan ini, inilah pertama kali dapat masuk dan berprogram bersama-sama mereka. Bahkan ada 4-5 orang pegawai dan warga di sini yang saya kenali rupanya.

Mereka menamakan tajuk ceramah sebagai ‘Memahami Ibadah Solat Yang Betul’, suatu tajuk yang besar dan luas skopnya sebenarnya. Kerana pelbagai aspek boleh dibahas berkenaan solat, namun masa yang terbatas saya padakan sahaja dengan pergerakan serta bacaan di dalam solat. Mana yang betul, salah atau kurang tepat.

Alhamdulillah saya sendiri mendapat ilmu dan persahabatan melalui majlis di sini. Terima kasih atas undangannya, saya sangat menghargai warga jabatan ini. Semoga kalian dirahmati oleh Allah SWT.

Tahsin Solat @ Jabatan Mineral & Geosains (1) Tahsin Solat @ Jabatan Mineral & Geosains (2) Tahsin Solat @ Jabatan Mineral & Geosains (3) Tahsin Solat @ Jabatan Mineral & Geosains (4)

 

TAHSIN SOLAT SIRI 2

Kredit : Sebahagian foto disedut dari facebook Amran Aliamat.

Jujurnya kami terpaksa bekerja keras untuk menyampaikan surat undangan dan iklan khususnya ke masjid-masjid dari Lok Kawi hingga ke Sepanggar. Bermula pada pagi rabu, sempena cuti hari pertabalan Agong yang baru sehingga pada pagi sabtu kami bergerak dan dalam serba kekurangan dapat menyelesaikan dan menampal kira-kira 80 iklan berbanding 100 keping yang sudah disediakan.

Natijahnya, alhamdulillah kehadiran program Tahsin Solat Siri 2 melonjak hampir tiga kali ganda berbanding siri sebelumnya. Kalau siri 1 kehadiran hanya sekitar 50 orang, maka kali ini kehadiran ialah seramai 130 orang. Maka kami berpendapat bahawa mengutus surat dan iklan di masjid-masjid dan surau-surau lebih memberi kesan positif daripada segi kehadiran berbanding jika iklan hanya melalui facebook dan blog.

Namun lucunya pula apabila kehadiran melonjak sedikit kelam-kabut kerana kertas kerja terpaksa ditambah dan difotokopi semula dan urusan makan minum juga terpaksa ditambah. Apa pun kehadiran yang baik sangat membahagiakan kami kerana dapat menyebarluaskan ilmu pengetahuan apatah lagi ia berkaitan dengan ibadah tiang ugama Islam ini.

Alhamdulillah seperti minggu lalu, perjalanan kursus dengan tajuk asas solat dan wirid berjalan baik dengan sebahagian peserta yang ditemui sangat teruja dan gembira dengan pendekatan dan penyampaian yang menarik oleh pembimbing Ustaz Bahtiar Hud dari Pejabat Mufti Negeri Sabah. Sesi soal jawab juga diadakan selepas solat zuhur dan berakhir pada jam 2 petang. Majlis dipengerusikan oleh Tuan Haji Pozi Awang, setiausaha Syukbah.

Kursus Tahsin Solat anjuran Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah bermula dan insya Allah akan berlangsung sepanjang ahad pada bulan April ini. Alhamdulillah, siri 1 berjalan lancar dengan bimbingan Ustaz Bahtiar Hud, pegawai dari Pejabat Mufti Negeri Sabah, Kota Kinabalu.

Mungkin atas kelemahan kami sendiri terutama hal promosi, siri 1 ini hanya dihadiri 55 orang sahaja. Maklumlah, mesyuarat diadakan pada akhir mac dan bersetuju mengadakan siri-siri tahsin solat sepanjang April. Apatah lagi kami tidak mempunyai staf tetap untuk bekerja mengendalikan urusan-urusan promosi, agak mencabar juga untuk menyebarluaskan maklumat ini kepada mereka yang berminat.

Berdasarkan pengalaman lalu, walaupun program sebegini diwar-warkan secara bersungguh-sungguh melalui blog dan facebook, tanpa iklan dan undangan ke masjid-masjid atau surau-surau, kehadiran berada di bawah garis yang disasarkan. Untuk siri 1 ini, berpuluh rakan-rakan facebook membantu mengongsikan maklumat dan poster iklan berkenaan di dinding atau status masing-masing tetapi demikianlah kehadirannya. Walaubagaimanapun, sedikit atau ramai program tetap diteruskan sebagaimana yang ditetapkan.

Ustaz Muchlish Ali Kasim selaku pengerusi Syukbah ini ada mencadangkan tempoh hari agar wajah-wajah baru diperkenalkan khususnya anak-anak tempatan bagi mengendalikan kursus seumpama ini. Alhamdulillah, malam mesyuarat yang sama Ustaz Bahtiar Hud, senior kami di Mesir dahulu sudi meluangkan masa untuk tampil membimbing siri-siri kursus tahsin solat kali ini.

Saya tidak mahu mengulas panjang tentang pengisian kuliah beliau, tetapi memadailah saya katakan ramai yang mulai selesa dan teruja dengan gaya penyampaian beliau. Beliau memimpin dengan baik berkenaan tajuk ‘bersuci’ ini. Ramai yang memandang remeh hal bersuci atau toharah ini dalam ibadah mereka. Saya setuju dengan pandangan sdr Amran Aliamat, kalau kita gagal bab toharah, ibadah utama kita seperti solat akan bermasalah.

Antara yang menarik dalam penyampaian beliau ialah ada beberapa hukum hakam yang beliau buatkan perbandingan dengan mazhab-mazhab yang lain dengan tujuan ilmu, agar masyarakat setempat tidak terkejut apabila bertemu dengan hukum atau amalan tertentu di negara lain kerana mungkin mereka mengambil pendapat mazhab lain yang masih diterima dalam ahlussunnah wal jamaah.

Insya Allah kami mengusahakan yang terbaik untuk promosi kursus tahsin solat bagi siri-siri berikutnya. Semoga Allah memudahkan urusan yang baik ini, dan memberi petunjuk untuk orang ramai menghadirinya pada siri akan datang.

“Berlindunglah kamu kepada Allah daripada berpura-pura khusyuk. Para sahabat bertanya, wahai Rasulullah! Apakah khusyuk yang berpura-pura itu? Baginda menjawab : Apabila hanya anggota zahirnya sahaja yang khusyuk, sedangkan hatinya berpura-pura (tidak khusyuk)”. (HR al-Hakim, at-Tirmizi dan al-Baihaqi)

Penganjur (Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah) menyatakan dalam iklannya kursus terbuka kepada 100 peserta. JK berbincang dan memutuskan untuk menyediakan 200 kertas kerja. Namun yang mengejutkan jumlah kehadiran yang direkodkan ialah seramai 320 orang kesemuanya.

Pada awalnya, kursus tahsin solat ini sebagaimana siri pertama diadakan di bilik kuliah aras bawah Masjid Negeri Sabah. Pada siri pertama 2 minggu lalu, kehadiran mencecah 180 orang dan bilik kuliah penuh sesak.

Jadi dengan kehadiran lebih 300 orang kali ini, penganjur terpaksa memindahkan lokasi kursus ke dewan solat utama, untuk menampung jumlah yang lebih ramai dan nyaman dengan penghawa dingin.

Hanya dengan keadaan peserta yang duduk bersila tanpa meja selama lebih 5 jam itu menyebabkan ramai kurang selesa. Sekejap bersila, sekejap bersimpuh, sekejap pula berlunjur.

Kedua, duduk tanpa meja dan kerusi menyebabkan peserta duduk bertebaran, sebahagian besar memang bersusun di hadapan, namun sebahagiannya selesa menyandar di belakang dan membentuk kumpulan-kumpulan kecil tersendiri.

Bagaimanapun sehingga ke akhir kursus menurut pemerhatian saya, hanya sedikit yang berundur pulang apatah lagi sesi soal jawab dan kuiz yang menarik perhatian itu berlanjutan selepas solat zuhur dan berakhir jam 2.30 petang.

Kasihan dengan ramainya peserta yang tidak mendapat kertas kerja memandangkan yang tersedia hanya 200. Alhamdulillah, Allah SWT telah menggerakkan saya malam tadi untuk membuat sedikit nota penting melalui powerpoint untuk dipaparkan buat peserta yang hadir.

Ternyata itu banyak membantu khusus bagi mereka yang tidak punya kertas kerja.

Siri 2 kali ini difokuskan tentang khusyuk dalam solat. Ust Hj Muchlish menerangkan tentang maksud khusyuk, pembahagian khusyuk zahir dan batin, keutamaannya, faktor yang membantu khusyuk seperti kesihatan, pemakaian, tempat dan cara menunaikan solat, masa dan suasana solat dan sebagainya.

Turut dijelaskan halangan-halangan khusyuk seperti gangguan iblis dan syaitan, lupa dan lalai dalam solat serta melakukan perkara-perkara makruh dalam solat.

Sesi soal jawab mengambil masa yang lama dengan kira-kira 30 soalan dikemukakan kepada Ustaz yang memimpin kursus ini dengan baik sekali. Meski soalan yang diberikan tidak tertumpu soal solat, namun Ustaz dapat menangani dengan cemerlang sekali.

Ada slot kuiz yang dibuat secara spontan, dan saya diminta menyediakan 6 soalan mudah untuk dijawab oleh peserta kursus di hujung kursus.

Kehadiran yang ramai dengan promosi yang sederhana sebenarnya menaikkan semangat kami untuk memperbaiki kursus ini pada siri berikutnya. Insya Allah kami merancang untuk mengedit semula kertas kerja ini sebelum dicetak dan diterbitkan dalam bentuk buku nanti. Doakan misi ini berjaya.

Tahniah buat semua peserta, juga JK yang bertungkus lumus.

Antaranya Ust Hj Muchlish sendiri selaku Pengerusi Syukbah Dakwah dan sekaligus pembimbing, sdr Ribbang Hj Ampong yang mempengerusikan kursus, Hj Pozi dan Chef Abdullah, Cikgu Zainal dan lain-lain yang mengatur pendaftaran dan masalah-masalah teknikal sehingga kursus berakhir dengan baik. 

Insya Allah bertemu lagi pada 2 Mei 2010 untuk siri ketiga nanti.

%d bloggers like this: