Tag Archive: Tabung Haji


MASIRIN DI TABUNG HAJI

Operasi merawat kali ini di Hotel Tabung Haji atau kini dikenali sebagai TaHa d’Bayu. Sedikit maklumat, kompleks Tabung Haji Kota Kinabalu Jalan Sembulan ini sedang dalam proses pembaikpulihan secara besar-besaran. Khabarnya ia akan menjadi hotel bertaraf 3 bintang.

Pesakit kali ini dari Beaufort. Sebenarnya ada hubungan kekeluargaan juga. Saya dihubungi ketika sedang berkuliah di Surau Austral. Saya kemudiannya terlupa untuk menghubungi semula sehingga saya mendapat panggilan mereka sekitar jam 9.30 malam. Saya bersama sahabat-sahabat perawat berziarah sekitar jam 10 malam di bilik yang dijanjikan.

Rawatan dijalankan beberapa pusingan.

Antara yang berperanan ialah Saudara Amran, Abdul Hamid dan Ustaz Nazri. Saya hanya hadir untuk memberi sokongan kepada keluarga dan sahabat-sahabat perawat memandangkan saya sebenarnya kurang sihat hari itu. Sebenarnya saya sudah menjadualkan diri untuk ke klinik swasta malam itu selepas kuliah dan minum-minum di surau, tetapi saya tangguhkan selepas sesi rawatan untuk meraikan keluarga yang datang dari Beaufort.

Pakcik yang sakit berumur sekitar 50an. Sebenarnya pernah kami rawat ketika beliau ditahan di Hospital Queen pada bulan September lepas, kalau tidak salah. Ketika itu tangan dan kaki beliau diikat di katil kerana mengamuk tidak tentu fasal. Jururawat ditendang dan beliau bercakap tanpa henti selama 2 hari. Ketika itu apabila kami datang tengah-tengah malam, ada situasi menarik berlaku.

Kami bergilir-gilir meruqyah beliau.

Apabila giliran saya yang terakhir, saya baru perasan apabila dimaklumkan oleh sahabat-sahabat agar ketika meruqyah, melihat juga mesin jantung yang ada di belakang sebelah atas pesakit. Ketika pesakit dibiarkan tidak diruqyah, pergerakan degupan jantung lewat mesin itu agak stabil. Tetapi apabila diruqyah, nadi jantung menjadi tidak stabil, tidak keruan atau nampak seperti gelisah. Pergerakan nadi melalui mesin itu menjadi lintang pukang, atau saya istilahkan sebagai ‘berkulut’. Sesekali ia bergulung-gulung seperti terkena ribut.

Kami dimaklumkan beliau stabil dan boleh solat seperti biasa, balik ke kampung tanpa ada cerita apa-apa. Ia tenang sehingga 3 malam lepas.

Beberapa pusingan rawatan, jin berkenaan agak degil juga. Sebenarnya jin berkenaan psiko juga dengan kami. Dia buat tidak kisah dengan ruqyah berkenaan. Dia buat-buat tidur dan kata tidak respon apa-apa. Sehingga satu ketika barangkali dia pun sudah tertekan, akhirnya mahu memeluk Islam. Jin berkenaan bernama Masirin dari Beaufort juga. Dia mahu keluar dari arah dubur, akhirnya mereka berbincang antara pesakit dan jin di dalam tandas. Perbualan dalam bahasa bisaya, saya difahamkan mereka saling bermaafan.

Alhamdulillah, saya merasa bersyukur dan teruja sekali apabila dapat menyertai program kelas intensif tafaqquh haji dan umrah di Kompleks Tabung Haji Kota Kinabalu sejak malam tadi dan berakhir petang tadi.

Kursus ini disertai oleh kira-kira 70 peserta dari Sabah, Sarawak dan WP Labuan yang terdiri daripada pengkursus ibadah haji dan juga muka-muka baru seperti saya sendiri dan ramai rakan-rakan lain.

Kitab rujukan utama ialah sebuah kitab jawi lama bernama al-Bahrul Wafi wan Nahrus Shafi karangan Syheikh Muhammad bin Ismail Daudy al-Fathani.

Semua peserta dibahagi kepada tujuh kumpulan dan masing-masing ditugaskan untuk membaca bab yang sudah ditetapkan. Kumpulan kami ditugaskan membaca bab berkenaan ziarah ke Masjid Nabawi SAW, Raudhah, Maqam Rasulullah dan tempat-tempat utama di sekitar Madinah.

Memang bagi yang tidak biasa seperti saya membaca buku dengan tulisan dan bahasa jawi lama, agak sukar memahaminya khususnya buat kali pertama. Ada kalimah dan ayat yang sukar difahami kerana bentuk dan struktur ayat yang berbeza berbanding kini.

Walaubagaimanapun kami mendapat bimbingan berharga oleh dua orang pakar iaitu Ustaz Tengku Aziz selaku Pengurus Besar Bimbingan dan Dato’ Fadhil dari Kedah yang merupakan antara pakar rujuk Tabung Haji.

Pada sesi akhir, semua kumpulan diminta membentangkan nota-nota penting bagi kumpulan masing-masing sebagaimana yang diminta. Pembentangan bagi kumpulan kami disampaikan oleh Ust Hj Sipri Abd Razak.

Antara rakan-rakan yang turut sama ialah Ust Hj Sahudin Ajamain, Ust Hj Zulkarnain Ali, Ust Hj Md Hilham Md Noor, Ustazah Hjh Salmah Hassan, Ustazah Hjh Hafizah Ag Basir dan lain-lain. Antara guru-guru yang turut sama ialah Ust Hj Muchlish Ali Kasim, Ustazah Hjh Zubaidah Jamadi, Ust Hj Sipri Abd Razak, Ust Hj Saidin Musi dan lain-lain.

Oh ya, saya dimaklumkan semua peserta pengkursus haji mestilah sudah menunaikan fardhu haji.

TETAMU ALLAH

Kesempatan menunaikan fardhu haji adalah satu nikmat kurnia Allah SWT. Bakal haji dipanggil dhuyuf ar-Rahman iaitu tetamu Allah SWT.

Kalau kita memahami makna dan falsafah ‘tetamu Allah’, hakikatnya mereka yang hadir ke tanah suci adalah atas jemputan dan undangan Allah SWT. Mereka termasuk dalam senarai yang tercatat di sisiNya.

Ada orang yang begitu marah sekali apabila bertahun-tahun menanti giliran. Membuat tuduhan bermacam-macam dan seumpamanya. Mereka terlupa ini tetamu Allah.

Ust Muchlish bercerita, pada 2002 mereka menunaikan haji suami isteri. Padahal mereka hanya mendaftar pada september sebelumnya.

Cikgu Ben yang pernah saya ceritakan sebelum ini, namanya pada awal tidak tersenarai dalam bakal haji tahun ini. Surat sudah diterima. Dia hanya berserah dan tidak merayu kerana memahami giliran hanya tiba beberapa tahun lagi.

Tiba-tiba saja dia dihubungi bahawa namanya tersenarai. Alhamdulillah, Cikgu Ben sudah di tanah suci pada saat ini.

Abang Jef, 56 tahun di pejabat kami bergelut, sama ada boleh menunaikan haji pada tahun ini atau tidak. Giliran asal pada 2024. Melalui muassasah, namanya sudah ditolak. Menerusi pakej, dia merayu. Rayuannya ditolak. 

Bagaimanapun, dia masih merayu dan merayu. Dua hari lepas, tabung haji meminta beliau menghantar pasport. Namanya sudah dalam senarai.

Teringat pesanan Dr Kamil ketika mereka bertemu di Masjid Negeri Sabah beberapa bulan lalu : “Berdoa”.

%d bloggers like this: