Tag Archive: Tabung Haji Sabah


Tarikh : 15 Mei 2015

Lokasi : Perkarangan Masjid Negeri Sabah menuju ke Hotel Tabung Haji Sembulan Kota Kinabalu

Aktiviti : Himpunan aman, perarakan dan penyerahan memorundum kepada pengurusan Lembaga Tabung Haji Sabah

20150515_131249 20150515_133922 20150515_134207 20150515_134219

Sumber foto : Facebook Amran Aliamat

Kursus Asas Haji bagi musim 1433H sudah pun bermula pada 3 Mac lepas di Masjid Negeri Sabah. antara jam 8 pagi hingga 12 tengahari dan berlangsung setiap sabtu sehingga 28 April 2012 akan datang. Tidak ramai yang tahu bahawa kursus asas haji ini sebenarnya boleh disertai secara terbuka oleh orang ramai, sama ada mereka yang sudah pernah menunaikan fardhu haji atau belum mendapat panggilan daripada pengurusan tabung haji langsung, atau juga yang langsung tidak membuat penabungan di tabung haji, kesemuanya boleh menyertai kursus asas haji ini.

Sengaja saya masukkan entri ini kerana ramai menyangka bahawa kursus ini hanya terbuka kepada bakal haji yang sudah dipanggil oleh pengurusan Tabung Haji sahaja. Bahkan sinis juga sesetengahnya saya membaca atau melihat apabila ada yang enggan menyertai kursus asas haji kerana ‘bimbang’ disangka hendak pergi haji. Sebenarnya mereka yang mencintai majlis ilmu seumpama ini boleh hadir menikmati kuliah yang disampaikan oleh para pembimbing.

Sepanjang yang saya ketahui berkenaan kursus asas haji ini, ia bukan hanya melibatkan ibadah haji sahaja bahkan juga antara kandungan silibusnya ialah berkenaan solat. Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim yang juga antara tenaga pengajar utama di sini pernah menjelaskan kepada saya bahawa dalam sesi soal jawab, tidak sedikit soalan berkenaan solat dikemukakan oleh peserta kursus. Sebab itu hukum hakam asas tentang solat dimasukkan juga dalam kandungan kursus ini.

Selain itu, sudah tentu kandungan utamanya adalah berkaitan dengan ibadah haji itu sendiri, sehinggalah nanti pada akhir kursus akan diadakan secara praktikal ibadah melontar, tawaf dan saie di ruang terbuka perkarangan Masjid Negeri Sabah dengan kesemuanya dikehendaki memakai pakaian ihram sebagai suatu latihan kepada bakal-bakal haji. Kepada semua yang hadir, saya doakan semuanya mendapat ilmu yang bermanfaat dan dikurniakan rezeki untuk sampai ke tanah suci sama ada kali pertama atau kali yang berikutnya. Insya Allah.

SEMOGA HAJINYA MABRUR

Menurut bacaan saya di web rasmi Tabung Haji Malaysia, penerbangan haji pertama setiap tahun kebiasaannya bermula pada 1 Zulkaedah. Khabarnya tahun ini kira-kira 26 ribu umat Islam dari Malaysia akan menunaikan rukun Islam kelima itu di tanah suci. Biasanya, penerbangan awal ini akan membawa jamaah haji ke Madinah terlebih dahulu sebelum ke Makkah al-Mukarramah.

Syukur dan teruja juga melihat sahabat atau orang yang dikenali terpilih sebagai tetamu Allah kali ini. Mudah-mudahan segala urusan mereka dipermudahkan oleh Allah SWT sepanjang perjalanan pergi dan balik serta ibadah mereka diterima oleh-Nya sebagai haji yang mabrur. Doakan kami juga agar sampai ke sana satu hari nanti.

***

Malam ini baru menghadiri kenduri mendoakan keselamatan Cikgu Burhanuddin Abdul Wahab dan isteri, juga Dr Zulkifli Salleh dan isteri di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral yang akan berangkat menunaikan fardhu haji tahun ini. Ada dua penerbangan dari Sabah, menurut Haji Norber Kasim (Pengarah Tabung Haji Sabah) jamaah haji Sabah berlepas pada 16 dan 22 Oktober akan datang.

Setulus doa juga saya panjatkan agar mereka semua mendapat kebaikan sepanjang menunaikan ibadah ini. Antara yang menunaikan fardhu haji kali ini ialah Ustaz Haji Zaheruddin Mokhtar (Masjid Negeri, Negeri Sembilan), Cikgu Adiah Mustapha (SK Mantob Kiulu), Cikgu Abu Bakar Madiasin (SMAN Toh Puan Hajah Rahmah KK), Cikgu Zulkarnain (Tamparuli), Ustaz Ahadien (Tambunan), Abang Hakimi (WP Labuan), Dr Awang Setia (Jabatan Kesihatan Sabah), Haji Suwito (Taman Olivia), Imam Kifli Burut (Kuala Penyu) dan ramai lagi yang tidak dapat disebut nama mereka satu persatu.

Seramai 537 bakal jamaah haji terlibat dalam Kursus Haji Perdana 1431H Peringkat Pantai Barat Sabah selama dua hari iaitu 18 dan 19 Sept 2010 (semalam dan hari ini) di Masjid Negeri Sabah, Kota Kinabalu yang dirasmikan oleh Menteri Di Jabatan Ketua Menteri YB Datuk Haji Nasir Tun Sakaran.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau antara lain mengucapkan tahniah kepada  semua pihak yang terlibat khususnya kepada Tabung Haji yang sedaya upaya memimpin dan membimbing para bakal jamaah haji saban tahun. Dalam masa yang sama beliau turut menasihatkan para bakal jamaah haji agar mematuhi peraturan haji dan undang-undang negara berkenaan.

Turut hadir dalam majlis perasmian itu ialah Pengurus Besar Bimbingan YM Tengku Aziz Raja Abdullah; Pengarah Tabung Haji Negeri Sabah Haji Norber Kassim serta pegawai dan kakitangan Tabung Haji Sabah bersama-sama bakal haji dari Kudat sehingga ke Sipitang, termasuk 56 orang dari Wilayah Persekutuan Labuan.

Sepanjang kursus dua hari berkenaan, para peserta dihidangi dengan ceramah bertajuk ‘Falsafah dan Haji Mabrur’ oleh Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim; ‘Taklimat dan Praktikal Ibadah Haji’ (wukuf, mabit di Muzdalifah, Mina dan melontar serta tahallul awal) juga oleh Ustaz Haji Muchlish; ‘Taklimat Tawaf, Saie dan Tahallul’ oleh Ustazah Hajah Zubaidah Jamadi.

Menariknya para peserta juga dilatih dengan sesi praktikal seperti tawaf dan saie dengan berpakaian ihram di perkarangan Masjid Negeri Sabah dalam suasana hujan renyai-renyai mengikut nombor maktab masing-masing. Turut serta membimbing kumpulan masing-masing ialah Tuan Imam Haji Madli Mansur, Ustazah Hajah Zubaidah Jamadi selain Ustaz Haji Muchlish sendiri selaku ketua pembimbing.

Pada pagi ahad, para peserta dibimbing dengan ibadah qiyamullail bimbingan Ustaz Haji Nor Azamuddin Umar dan Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim. Qiyamullail adalah ibadah yang sewajarnya tidak diabaikan oleh jamaah haji baik sama ada di Makkah atau di Madinah. Justeru bimbingan yang diberikan oleh para ustaz sebenarnya amat berguna kepada semua.

Dalam taklimat akhir, Pengarah Tabung Haji Negeri Sabah Haji Norber Kassim menjelaskan, sehingga saat ini seramai 1035 bakal jamaah haji dari Negeri Sabah dijangka menunaikan fardhu haji tahun ini dalam dua penerbangan iaitu 16 dan 22 Oktober 2010. Para jamaah haji katanya dinasihatkan agar selalu merujuk pejabat tabung haji berdekatan untuk mendapatkan maklumat terkini.

***

Abu Nuha Corner mendoakan agar semua bakal haji dikurniakan kesihatan dan ilmu yang barakah sehingga dapat menunaikan fardhu haji dan kembali  ke tanahair memperolehi haji yang mabrur. Saya lihat ramai bakal jamaah haji mengalirkan air mata saat Ustaz Haji Muchlish merafa’kan doa memohon  kepada Allah SWT agar mengurniakan mereka kesempatan beribadah di tanah suci. Allahumma amin!

%d bloggers like this: