Sumber :http://www.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/31234-taat-vs-ampu

NASRUDIN HASSAN | 02 Oktober 2014.

1. Ketaatan dan wala’ pada jamaah dan pimpinan bukan pengampu. Justeru ia adalah didikan Nabi kita Muhammad saw. Apabila Nabi saw bersabda :

  عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ (( اسْمَعُوا وَأَطِيعُوا وَإِنْ اسْتُعْمِلَ عَلَيْكُمْ عَبْدٌ حَبَشِيٌّ كَأَنَّ رَأْسَهُ زَبِيبَةٌ رواه البخاري 7142

Maksudnya: Dengar dan taatlah olehmu sekalipun pemimpin yang dilantik ke atas kamu hanya seorang hamba abdi Habasyi dan rambutnya kerinting (hitam dan tidak smart).

2. Mengampu ialah tindakan mengipas atau mengangkat pimpinan untuk mencapai kepentingan tertentu dari pimpinan tersebut. Sementara taat dan wala’ yang diberikan kepada pimpinan adalah untuk memastikan perjalanan sebuah organisasi berjalan lancar dan setiap agenda serta gerakkerja jamaah dapat diurus dengan jaya dan terancang.

3. Perbuatan mengampu memang satu perbuatan yang keji kerana ia sekadar memuji dan memuja pimpinan sebagai batu loncatan bagi mengapai kepentingan tertentu. Sedang ia tidak membantu gerakkerja jamaah dan melunaskan amanah perjuangan.

4. Dengar, taat dan wala’ terhadap jamaah dan pimpinan adalah sikap terpuji. Ia sebahagian dari sistem Islam dalam pengurusan organisasi. Tiada kepentingan selain Islam yang diperjuangkan. Selama mana pimpinan tidak menyuruh perkara mungkar maka dengar, taat dan wala’ adalah tuntutan syara’ ke atas setiap anggota jamaah.

5. Ketaatan dan kesetiaan (wala’) yang diberikan kepada jamaah dan pimpinannya tidak menghalang untuk anggota menegur atau mengkritik kelemahan dan kesilapan pimpinan. Malah Islam menyediakan kaedah tertentu untuk melaksanakan tanggungjawab nasihat dan teguran kepada pimpinan tanpa meluntur prinsip atau nilai taat dan wala’.