Tag Archive: Syria


Sumber : http://www.harakahdaily.net.my/index.php/presiden/43724-pas-alu-alukan-gencatan-senjata-di-syria

TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | 30 Disember 2016.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengalu-alukan dengan positif perkembangan terkini proses gencatan senjata yang dipersetujui di kalangan pihak yang bertempur di Syria sebagaimana yang dilaporkan agensi media antarabangsa.

Umat Islam juga mestilah cermat memahami bahawa apa yang berlaku adalah campurtangan strategik kuasa besar dunia untuk mewujudkan ketidakstabilan di bumi Syria sebagai tindakan menjaga kepentingan keselamatan Israel di rantau itu. Maklumat risikan rekacipta dan propaganda media negara kuasa besar ini diangkat sebagai fakta yang dikelirukan terhadap umat Islam. Negara-negara Arab dipergunakan sebagai proksi dengan cagaran mempertahankan takhta kerajaan masing-masing sebagai umpannya dan seterusnya ditiupkan adu domba api peperangan Sunni-Syiah. Percaturan kompleks geo-politik sebegini memerlukan kefahaman di kalangan umat Islam supaya tidak dikelirukan oleh agenda zionis dan kepentingan mereka.

Secara umumnya PAS melihat keadaan yang tegang dan berdarah di bumi Syria sememangnya perlu dihentikan segera, kesejahteraan rakyat awam dikembalikan, dan pada masa yang sama sebarang cubaan provokasi jahat untuk menggagalkan gencatan ini mestilah dihalang dari berlaku terutamanya pada masa yang sangat kritikal ini. Formula ini adalah antara syarat awal dalam memastikan gencatan ini dapat dipertahankan.

Apabila keadaan keselamatan lebih terpelihara,  maka baharulah  isu berkaitan dengan kezaliman dan pembunuhan semasa tragedi berdarah ini berlaku mestilah disiasat dan diambil langkah konstruktif seterusnya yang bersesuaian dengan protokol undang-undang yang diterima di peringkat antarabangsa.

“Inilah Penyelesaian Kita”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
30 Rabiul Awwal 1438H / 30 Disember 2016

HARAKAHDAILY 30/12/2016

Sumber  :  http://www.harakahdaily.net.my/index.php/presiden/43626-siapa-di-sebalik-krisis-syria-iraq-dan-lain-lain

TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | 20 Disember 2016.

Kita berada dalam bencana politik gelap gelita dan mengelirukan. Berita tersebar melalui media sosial dalam ruang lingkup langit terbuka, tetapi ramai yang memperkecilkan petunjuk Al-Quran supaya bertabayyun.

Apa yang membakar bumi Aleppo dan menjadi berita hangat terkini terdengar laksana pencuri memekik perkataan “pencuri” di tengah suara orang yang mengejarnya di waktu malam gelap, memudahkan pencuri sebenar melepaskan diri sambil melaungkan perkataan pencuri.

Beberapa tahun lalu, ketika berputiknya krisis yang membakar bumi Syria kini, beberapa media negara Arab termasuk Al Jazeera paling menyerlah melaporkan penglibatan pihak perisikan Negara Arab (di antara nama yang disebut ialah Putera Bandar bin Sultan, mantan Duta Saudi di Amerika dan mantan Ketua Perisikannya) terlibat menghantar kalangan pelampau ke Syria supaya tercetusnya kekacauan.

Syria adalah negara terdekat di kalangan negara Arab yang menolak perjanjian Madrid dan Oslo bagi mewujudkan perdamaian dengan negara haram Israel tanpa peduli terhadap bumi Palestin yang dirompak dan rakyatnya yang menjadi mangsa. Iran selepas Revolusi Islam walaupun dilabelkan Syiahnya, adalah kalangan negara Islam yang menentangnya setelah membatalkan pengiktirafan terhadap Israel dan terus memutuskan hubungan biarpun diikat di zaman Shah. Iran telah mengambil manfaat daripada Syria di bawah pemerintahan Parti Baath yang berkrisis dengan Parti Baath Iraq pimpinan Saddam Husain di mana Iraq dibantu negara Barat untuk menyerang Iran dengan sokongan Negara Arab khususnya negara Teluk.

Almarhum Necmettin Erbakan mantan Perdana Menteri Turki menyokong Iran membantu perjuangan Palestin dan menasihatkan kumpulan Islam Syria supaya tidak berhadapan secara keras dengan kerajaannya kerana mendahulukan perjuangan Palestin. Almarhum juga menasihatkan Iran memajukan sains dan teknologinya di mana selepas itu berlaku gerakan membunuh saintisnya, termasuk menawan saintis yang menunaikan haji di Mekah. Kini Iran sudah dapat mencabar kuasa besar dunia dari sudut teknologinya.

Akhirnya Syria memberi kemudahan pangkalan hadapan kepada perjuangan Palestin menentang Israel. Hamas dan Tanzim Jihad yang terbesar dan paling banyak mendapat manfaat dan kemudahan di Syria. Iran menjadi penyumbang paling besar kepada Hamas, Tanzim Jihad dan Hizbullah kumpulan Syiah di Lubnan juga mendapat kemudahan, sehingga menggagalkan operasi ketenteraan Israel di Gaza dan Selatan Lubnan. Semua Negara Arab yang menyokong perjanjian damai dengan Israel secara terbuka atau rahsia tidak mendukung perjuangan di Gaza dan Selatan Lubnan.

Banyak media Timur dan Barat mendedahkan betapa krisis Syria membesar dengan bantuan senjata Barat melalui Nato di Turki di sebelah utara dan di selatannya Israel. Selepas itu disokong oleh kenyataan Bush, selepasnya Obama dan mereka yang berada di bawahnya. Isu Sunni dan Syiah ditiupkan supaya membakar. Selepasnya beberapa tokoh ulama rasmi dan tidak rasmi mendukung kenyataan yang membakar itu.

Kumpulan pelampau itu akhirnya dapat menawan sebahagian kawasan minyak di Iraq dan Syria, serta laluan pasaran gelap di utara dan selatan. Tentera Bersekutu Barat yang sudah diberi tapak pangkalan di seluruh negara Teluk yang berserban itu lebih bertarik tali untuk mengekalkan keadaan yang menguntungkan mereka dan menjamin keselamatan Israel sebagai paksi utama Gerakan Zionis dengan mempengaruhi politik, ekonomi, media dan lain-lain.

Allah tidak mengizinkan keadaan terus menjadi ancaman kepada Islam walaupun secara senyap. Kadang-kadang perubahan dilakukan oleh keadaan pertembungan di kalangan bukan Islam dan pihak zalim, apabila Islam yang lemah tidak mampu melakukan perubahan. Sepertimana sejarah Parsi Majusi menghancurkan Yahudi di Palestin yang zalim membunuh para Nabi dan ulama soleh.

Keadaan kini berubah apabila Kristian Ortodok yang dibelasah komunis Yahudi. Karl Marx bertembung dengan Kristian Katholik dan Protestan di Amerika dan Eropah bergabung dengan Zionis Yahudi yang mempertahankan Israel. Apabila krisis Ukraine menjadi titik pertembungan sehingga pesawat MAS menjadi mangsa. Peristiwa pesawat kita tenggelam laksana pelanduk yang mati di tengah gajah yang bertarung. Keadaan bertukar kepada ketegangan yang memberi tempat kepada Rusia bertapak di Tarsus Syria menjadi pangkalan tentera Rusia, satu-satunya ruang ke laut lepas. Keadaan ini mengubah neraca politik dan ketenteraan yang melemahkan Barat yang melindungi ISIS dan kumpulannya. Soalannya, di mana Negara Arab yang berlindung di belakang kuasa Barat dan Zionis?

Tekanan melalui serangan Negara Teluk ke atas Yaman di laluan ke laut Merah, diisytiharkan di Washington dengan lesen PBB tidak mencapai tujuan sehinga kini. Lawatan Pengarah Kajian Strategik Arab Saudi (Anwar Asyqi) ke Israel menunjukkan “kegelabahan” Negara Arab. Lebih gelabah lagi baru dua minggu Perdana Menteri British menjadi peserta Sidang Kemuncak Negara Teluk di Bahrain dengan resolusi menghadapi ancaman Iran, sehingga Israel dianggap tidak menjadi ancaman.

Semua perkara ini sepatutnya boleh menjadi jawapan di sebalik Aleppo yang terbakar itu.

Seterusnya kenangilah sejarah kejatuhan Islam di Andalusia yang ditangguhkan beberapa abad apabila salah seorang Raja Islam di Andalusia mengejutkan semua Raja yang tidak mahu menjemput Raja Ibnu Abbad dari Morocco kerana takutkan raja itu akan merampas takhta mereka. Apabila seorang raja yang beriman itu bertitah: “Beta lebih rela menjadi gembala kambing dan unta Ibnu Abbad daripada menjadi gembala babi Raja Kristian yang datang menakluk.”

Setahu saya Iran tidak membuat kenyataan untuk mengeksport Revolusi Islam Syiahnya. Iran hanya mengajak Negara Arab yang berjiran itu bersatu menentang Israel dan membebaskan diri mereka daripada kuasa asing.

Mengapa Mazhab Syiah di dalam masyarakat Sunni yang sudah wujud lebih daripada seribu tahun itu tidak pernah menghalang kemajuan Islam di seluruh pelosok dunia, tiba-tiba kini ditiupkan api permusuhan untuk menumpahkan darah dalam umat yang satu kiblatnya? Dahulunya berkhilaf secara ilmu sahaja tanpa berpisah dalam satu umat, tiba-tiba sekarang dianggap seperti agama yang berbeza.

PAS adalah Melayu Islam yang tidak mudah lupa. Ketika berlakunya Perang Teluk yang pertama 1980, apabila Saddam Husain menyerang Iran dengan bantuan negara Barat dan Negara-Negara Arab, PAS menyokong Iran, lalu kami dituduh sudah menjadi Syiah. Selepasnya Saddam berpaling tadah menyerang Kuwait, Negara-negara Arab menjemput bala tentera Amerika dan sekutunya menyerang Iraq. PAS menentang jemputan yang haram itu dan berpihak kepada menentang campur tangan asing bersama semua Parti Islam, bukan kerana sudah masuk Parti Baath bersama Saddam.

Sebabnya ialah kami membaca politik di lapangan antarabangsa, bukan hanya membaca kitab dan media sosial di atas meja dalam bilik yang sempit.

“Inilah Penyelesaian Kita”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
20 Rabiul Awwal 1438 | 20 Disember 2016 – HARAKAHDAILY 20/12/2016

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/38452-musim-sejuk-di-khemah-pelarian-syria

DR RIDUAN MOHAMAD NOR | 15 November 2015.

KRISIS kemanusiaan pasca Arab Spring semakin memburuk di khemah pelarian Syria di sebelah Jordan terutama dengan kedatangan musim sejuk yang menggigit tulang temulang. Jutaan pengungsi warga syria yang lari daripada konflik berdarah Syria semenjak empat tahun lalu berhadapan dengan situasi yang paling getir apabila musim sejuk menyerkap mereka dengan kekurangan makanan, pakaian, selimut, alat pemanas dan ubatan.

Kemuncak musim sejuk dengan suhu mencecah minus belasan sangat mendera para pengungsi yang tidak pasti bilakah kubangan darah di tanah air mereka akan berhujung. Kemuncak musim sejuk dengan salju putih memenuhi kawasan pengungsian seolah berada di kutub Utara, timbunan salju sehingga beberapa kaki ini juga mengheret duka pelarian. Data kematian akan meningkat setiap hari terutama kanak-kanak, bayi dan warga emas, malah kelaparan luar biasa yang dialami sehingga ada yang terpaksa memakan tikus dan kucing!

Kerajaan Jordan tidak mampu menyediakan kemudahan terbaik untuk para pelarian kerana jumlah pelarian yang meningkat jutaan orang malah merasakan pengungsian sebagai liabiliti kepada negara kerana meningkatkan kos negara daripada sudut keselamatan dan lain-lain lagi.

Pelarian Syria yang berada di sempadan Turki agak bernasib baik kerana keprihatinan kerajaan Pimpinan Erdogan yang menyediakan ruang yang lebih baik untuk pelarian. NGO antarabangsa seperti IHH juga menfokuskan dengan baik untuk bantuan pelarian Syria seperti mewujudkan sekolah-sekolah untuk anak pelarian. Regim Bashar pernah melepaskan air empangan ke Antakia kerana berang dengan sikap kerajaan Turki yang dilihat seolah campurtangan dalam soal pengungsi dari Syria.

Penulis berpeluang beberapa kali mengikuti misi bantuan Muslim Care ke sempadan Turki dan juga Jordan yang merupakan jiran Syria. Kali ini rombongan Muslim Care membawa bantuan musim sejuk seperti selimut tebal, pakaian sejuk, makanan dan sebagainya.

Rombongan kali ini diketuai oleh Johari Ismail dan turut disertai oleh relawan daripada pelajar USIM, kakitangan Islam Maybank, Badan Kebajikan Islam Petronas dan selebriti tanah air seperti Afdlin Shauki, Aziz M.Osman, Ustaz Syed Abd kader, Fazli UNIC.

Dibantu oleh teman-teman relawan Muslim Care di Jordan, antara program-program yang dilaksanakan ialah seperti membeli-belah pakaian keperluan bersama anak-anak yatim pelarian, majlis serahan bantuan musim sejuk kepada 500 keluarga, program motivasi pelajar, menyantuni pelarian di khemah pelarian Dasina yang tidak mendapat bantuan daripada pihak luar.

Berada di khemah pelarian sangat menginsafkan, dengan suhu belasan darjah celcius dan dijangka suhu diparas minus apabila kemuncak musim sejuk. Khemah pelarian tanpa kemudahan yang lengkap, bahkan mereka bekerja di kebun tanaman rakyat tempatan Jordan semata-mata  untuk mendapatkan bekalan eletrik dan juga air.

Rombongan Muslim Care berjaya memberikan senyuman untuk anak-anak pelarian apabila agihan makanan ringan serta menyantuni mereka dengan bernasyid. Jelas tergambar riak gembira pada guratan wajah pelarian apabila menerima barang keperluan musim sejuk. Setiap tahun apabila musim sejuk menjelang, maka berita kematian seolah menjadi perkara rutin, terutama anak-anak kecil pelarian.

Muslim Care yang kini mempunyai lima buah sekolah pelarian Syria akan terus memberikan komitmen berterusan untuk membantu saudara akidah terutama di musim sejuk yang sangat menggigit tulang. Bantuan rakyat Malaysia sangat besar maknanya kepada mereka, luka dan sakit mereka adalah nestapa kita yang pasti dipertanggungjawabkan di hadapan Rabbul Jalil. Jom, kita membantu!  – HARAKAHDAILY 15/11/2015

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/wawancara/eksklusif-luahan-hati-ustaz-mohd-lotfi-1.278786

KONFLIK di Syria bukan sahaja mendapat perhatian dunia, malah rakyat negara ini yang prihatin terhadap penindasan umat Islam. Namun pelbagai pandangan dilemparkan apabila rakyat negara ini memilih untuk berjuang bersama penduduk tempatan memerangi kezaliman.

Ada yang melabel mereka sebagai orang berjihad, dan syuhada, sementara setengah pihak menganggap mereka pemberontak serta terpengaruh dengan perjuangan militan.

Sinar Harian menghubungi Mohd Lotfi Ariffin, yang juga dipanggil Ustaz, yang kini berada di Syria bagi berkongsi pengalaman dan mendapatkan gambaran sebenar apa yang dicari sekumpulan rakyat Malaysia yang kini menghuni bumi Syam itu.

Beliau antara yang mengambil keputusan menyaksikan sendiri pergolakan yang berlaku, dan sehingga kini berdiri teguh sebagai benteng di negara bergolak itu.

SINAR HARIAN: Nama Ustaz antara disebut sebelum ini terlibat dalam aktiviti militan, gara-gara penahanan beberapa individu dipercayai ada kaitan dengan kumpulan itu dalam beberapa serbuan berasingan di Kedah oleh polis Bukit Aman. Apa reaksi Ustaz?

MOHD LOTFI: Ternyata dakwaan itu tidak benar kerana sehingga saat ini, saya masih berada di Syria. Ketika itu, saya baru pulang dari Ribat, tiba tiba dikhabarkan rakan konon media Malaysia menuduh saya militan.

Bagi saya, mereka yang buat tuduhan itu tidak tahu bezakan siang atau malam, kemarau dikatanya hujan, pagi dikatanya petang. Saya serah kepada saudara untuk menentukan.

SINAR HARIAN: Apa tujuan sebenar dan perancangan Ustaz ke Syria?

MOHD LOTFI: Saya mahu berjihad ke jalan ALLAH SWT. Ada kepelbagaian jihad; antaranya

(1) membantu menyediakan ratusan ribu khemah untuk pelarian Syria yang berada di penempatan selamat di sempadan Turki, Jordan dan lain lain.

(2) Mengagihkan pakaian musim sejuk, selimut, bantal, tilam untuk mereka.

(3) Juga sediakan peralatan memasak di perkhemahan pelarian dan agih bantuan makanan dan minuman, termasuk barangan asas seperti tepung, minyak, gula dan sebagainya.

(4) Ada pihak mengagihkan ubat-ubatan bantu para doktor dan pembantu perubatan dengan menyediakan hospital untuk ribuan rakyat Syria yang parah akibat bom tentera Assad.

Kesemuanya adalah Jihad Fisabilillah membantu mereka yang ditindas. Persoalannya, adakah orang yang datang untuk menghalang tentera Assad dari terus meratah, menyeksa dan membunuh kalangan warga tua, wanita dan kanak kanak dikatakan militan dan pemberontak?

Kenapa hanya empat jihad yang disebut itu disepakati sebagai Jihad Fisabilillah, tetapi yang terakhir itu bukan jihad?

SINAR HARIAN: Apakah takrif Ustaz terhadap aktiviti jihad? 

MOHD LOTFI: Jihad sebenarnya merujuk kepada mengorbankan harta atau nyawa agar orang lain beroleh kesenangan atau tenang dalam kehidupan.

Maka ALLAH kurniakan kepada orang yang mati kerana jihad sebagai syuhada, dengan darjat tinggi itu mendapat syafaat 73 orang keluarga terdekat untuk dibawa ke syurga dan kepada sesiapa yang tidak dapat berjihad dengan nyawanya, maka bahagiakan orang-orang susah dengan kebajikan. Sebenarnya hidup pejuang untuk kebahagiaan manusia sejagat.

SINAR HARIAN: Apa reaksi Ustaz mengenai pandangan yang mengatakan individu yang pergi ke Syria dan Mesir untuk berjihad dikatakan mereka salah anggap bahawa itu jihad, sebenarnya ia ditakrif sebagai pemberontakan. Bermakna jika menyertai pemberontakan, salah di sisi agama walaupun menentang pemimpin fasik. 

MOHD LOTFI: Sebenarnya kita perlu fahami bahawa, pemimpin yang wajib ikut ulama, bukan ulama ikut pemimpin. Berapa banyak ulama terdahulu dipenjara, dizalimi dan dibuang daerah manakala ulama hari ini mendapat kedudukan di sisi kerajaan.

Ada yang mengatakan mereka yang berjihad ke negara-negara bergolak tidak boleh diisytihar sebagai jihad, sebaliknya dikatakan terpengaruh dengan perjuangan pemberontak yang mahu guling kerajaan?

Saya andaikan kebanyakan ulama negara ini terlalu mengikut telunjuk pemimpin. Jika pemimpin itu kata wajib laksana hudud, maka para ulama akan hurai bab hudud. Begitulah seterusnya.

SINAR HARIAN: Anggaran berapa ramai rakyat Malaysia kini berada di Syria?

MOHD LOTFI: Saya difahamkan terdapat puluhan rakyat Malaysia di merata tempat di bumi Syria.

SINAR HARIAN: Ustaz meninggalkan keluarga dan tanah air tercinta demi jihad? 

MOHD LOTFI: Ya, saya tinggalkan isteri dan enam anak demi mempertahankan golongan ditindas, selain mahu membantu masyarakat di sana menyekat kemaraan tentera Assad dari terus menyeksa dan membunuh manusia yang tidak berdosa.

SINAR HARIAN: Adakah Ustaz tidak ingin kembali ke pangkuan keluarga di Malaysia setelah membuat keputusan ini?

MOHD LOTFI: Mengenai kepulangan saya ke Malaysia… belum pasti kerana kerajaan anggap orang seperti kami sebagai musuh mereka. Di Syria, kami tidak dipenjara, tetapi jika kembali ke Malaysia, belum pasti dapat bebas dan bertemu anak isteri. Mungkin nasib kami berakhir di penjara.

SINAR HARIAN: Apa yang Ustaz harapkan daripada perjuangan ini?

MOHD LOTFI: Dalam perjuangan ini jangan harapkan pujian, sambutan atau taburan bunga rampai, sebaliknya tunggulah saat diberi hukuman. Akan ada dalam kalangan saudara-saudara dipilih ALLAH SWT untuk berjihad fisabilillah di bumi Syam.

Ya! Orang seperti kami sanggup siapkan dada sebagai benteng kepada mereka yang lemah dan ditindas.

SINAR HARIAN: Pengorbanan yang Ustaz lakukan ini untuk siapa sebenarnya?

MOHD LOTFI: Kami berperang untuk pertahankan insan-insan yang kini menjadi pelarian di bumi sendiri. Rakyat Syria tidak ada tempat tinggal lagi selepas dimusnahkan, sebahagian besar masih di tempat persinggahan.

Bak kata pepatah Arab, ‘Ahli Makkah lebih memahami lorong-lorongnya’, bermaksud orang Syria dan ulama lebih mengetahui apa yang berlaku di sini. Saya tidak mahu berbalah tentang ini.

SINAR HARIAN: Boleh Ustaz kongsi gambaran sebenar yang berlaku di sana?

MOHD LOTFI: Kami berjuang menentang tentera Assad dari terus menzalimi umat Islam di Syria. Jika konflik di Mesir kita tunjuk perasaan, di Syria kenapa senyap?

Air mata kanak-kanak ini menjadi air mata kami semua. Hati dan perasaankami seakan berhubung, yang ada anak kecil, pasti terasa hibanya jika ia berlaku kepada anak sendiri. Semoga mereka kuat menempuh ujian ini dan jadi pejuang di jalan ALLAH SWT.

Bedilan jet pejuang Assad ke arah Mujahidin yang sedang mengepung benteng pertahanan adalah lumrah, juga sangat hampir dengan kediaman kami. Saya sudah lali melihat bom barmil jatuh berhampiran dengan kami sehingga rakan-rakan gugur syahid atau parah.

SINAR HARIAN: Ustaz sanggup hilang nyawa demi pertahan bumi Syria dan adakah ini yang dikatakan jihad?

MOHD LOTFI: Kami akan hadapi tentera Assad, biar berkecai tubuh kami, biar nyawamelayang demi agama Islam. Islam tidak sunyi daripada pejuang dan penegak keadilan sehingga hari kiamat. Biar mereka menyusun agenda namun ingatlah kepada jaminan Nabi Muhammad SAW, sehingga di akhir zaman, ‘Yahudi terpaksa bersembunyi di sebalik pokok-pokok dan batu-batu’. Itu janji nabi kita, seperti tersebut dalam al-Quran dan hadis.

SINAR HARIAN: Difahamkan semakin ramai ingin berjihad ke Syria dan mengikutjejak seperti yang Ustaz lakukan? Adakah berlaku proses merekrut ahli dari Malaysia?

MOHD LOTFI: Kami hanya menegakkan dan memartabatkan Islam, sebagaimana yang disebut dalam al-Quran dan hadis.

Saya juga ingin menegaskan tidak bertanggungjawab terhadap manamanapihak yang menyalahguna nama saya bagi mengutip dana untuk ke sini. Mereka datang secara sukarela, tiada paksaan atau janjijanji manis.

Semua memburu jihad dan syahid, itu sahaja. Sebenarnya jemaah jihad ada di setiap penjuru bumi Syam. Ada pelbagai kumpulan bergabung menentang tentera Assad.

Kami difitnah…

SINAR HARIAN: Nasihat Ustaz terhadap pihak yang memandang serong terhadap perjuangan yang didokong pejuang di Syria?

MOHD LOTFI: Kita jangan salahkan mana-mana pihak (jemaah) yang berusaha menegakkan Islam dengan apa jua cara yang difikirkan sesuai di tempat masing-masing.

Bagi saya kalau mereka tidak sempurna kitalah orang yang berusahamenyempurnakan. Bukankah Nabi Muhammad melihat nabi-nabi terdahulu, bagaikan bangunan hebat cuma masih tertinggal seketul bata, maka Nabi Muhammad bersabda: akulah bata itu.

nazmi karim

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/wawancara/konflik-syria-petanda-akhir-zaman-1.213326

KEMATIAN rakyat Syria mencecah 200,000 orang dalam tempoh lebih dua tahun kebangkitan rakyat ketika pemerintahan Presiden Bashar al-Assad dikatakan lebih dahsyat berbanding kematian yang dicatat di Palestin ketika negara itu ditawan Israel.

Kekejaman itu membuka mata banyak pihak sehinggakan tragedi Syria bermandi darah mendapat perhatian ramai termasuk negara berkuasa besar, Amerika Syarikat (AS) yang mengumumkan akan menyerang Syria berikutan dakwaan penggunaan senjata kimia.

Walaupun AS masih berdolak-dalik dengan serangan itu, pelbagai andaian mula timbul kerana terdapat dakwaan menyatakan Perang Dunia Ketiga akan meletus daripada apa yang sedang berlaku di bumi anbiya itu. Tidak kurang juga yang mengaitkan keadaan itu dengan petanda akhir zaman. Ikuti temu bual wartawan Sinar Harian, NURULFATIHA MUAH dan jurufoto, AZMI ARYANTO bersama pendakwah yang juga pengkaji isu Syria, Ustaz Nazmi Karim.

Kejadian yang berlaku di Syria dikatakan antara petanda akhir zaman. Ada atau tidak nas yang boleh dikaitkan dengan andaian itu?

Petanda akhir zaman memang disebut dalam hadis Nabi Muhammad SAW. Baginda berulang dua kali mengatakan bahawa akan berlaku peperangan besar yang  apabila peperangan ini terjadi, perkhemahan orang Islam paling ramai adalah di sebuah tempat bernama Ghouta Dimashq yang bermaksud kebun besar yang mengelilingi bandar Damsyik di Syria.

Nabi kata, di kebun besar ini ada sebuah bandar dikatakan namanya Damsyik, sebaik-baik tempat tinggal umat Islam ketika itu. Ini tanda-tanda akhir zaman. Kalau kita lihat di Syria sekarang ini, kawasan ini jadi tempat paling ramai mujahidin berhimpun. Tempat lain ada ramai juga, tetapi tempat ini yang disebut Rasulullah SAW.

Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah bersabda; “Tidak akan terjadi hari Kiamat sehingga kaum Rom turun di kota Amaq (Lembah Antioch, Selatan Turki) dan di Dabiq (dekat Aleppo, Syria).

Kemudian datanglah suatu pasukan yang menghadang mereka dari Madinah, yang berasal dari penduduk pilihan bumi. Dan ketika mereka sudah berbaris-baris, maka berkatalah orang Rom, biarkanlah (jangan kalian halang) antara kami dengan orang-orang yang memisahkan diri dari kami (yang masuk Islam) untuk kami perangi. Maka kaum Muslimin berkata, Demi ALLAH, kami tidak akan membiarkan kamu memerangi saudara-saudara kami. Dan ketika mereka (Al-Mahdi serta para pengikutnya) telah sampai di Syam, keluarlah Dajjal.

Dan ketika mereka sudah bersiap-siap untuk berperang, mereka berbaris dengan rapi. Tiba-tiba, ketika waktu solat sudah masuk, turunlah Nabi Isa Ibn Maryam a.s.” (Riwayat Muslim dari Sayidina Abu Hurairah RA).

Wallahua’lam, berdasarkan hadis itu, jika benar Amerika Syarikat serang Syria, mereka akan masuk kawasan itu iaitu di pesisiran laut. Kalau betullah ia berlaku,  maknanya tentera Perjanjian Pakatan Atlantik Utara (Nato) dan Rom ini akan masuk ikut ke pantai menyerang seluruh Syria.

Nabi kata, ALLAH akan menghantar tentera mujahidin dari bandar Damsyik akan bergerak menuju ke Dabiq dan berlaku peperangan nanti di sana. Jadi kebanyakan peperangan akhir zaman itu akan berlaku belah-belah negara Syria dan Syam.

Kenapa tumpuan diberikan kepada negara di sebelah Syria?

Mungkin ada beberapa faktor. Dari segi kawasan, ia strategik dan kedudukan geografi Syria menyambung hubungan darat antara Syria dengan Eropah, Afrika dan Asia. Kedua, Nabi Isa AS akan turun di Syria berdasarkan hadis Rasulullah SAW.

Baginda bersabda Nabi Isa AS akan turun di Menara Putih sebelah timur Kota Damsyik. Jika dilihat pada gambarnya, ia bukan menara masjid, tetapi sebuah pasar lama di dalam sebuah kota lama. Di sini ramai orang Kristian. Mereka juga sudah tahu perkara ini dan bersiap-siap untuk sambut Nabi Isa AS.

Sebab itu bumi Syria jadi tumpuan ramai termasuk orang berfahaman Syiah, Kristian, Yahudi, selain orang Islam sendiri. Turut menjadi tumpuan kerana Imam Mahdi akan menyambut turunnya Nabi Isa AS di Damsyik seperti yang pernah disebut dalam hadis Rasulullah bahawa Nabi Isa akan turun di Menara Putih itu ketika solat Subuh dan disambut oleh Imam Mahdi.

Apa yang berlaku sebelum Imam Mahdi muncul?

Sebelum turun Imam Mahdi, Nabi Muhammad SAW kata, akan berlaku pembunuhan tiga orang anak khalifah yang mana mereka berebut harta karun di Kaabah, Mekah. Saya tidak pasti apa yang direbutkan itu, tetapi ketiga-tiga mereka tidak berjaya. Maka berlakulah fitnah yang besar antara orang Islam sendiri, sehingga muncullah Imam Mahdi.

Imam Mahdi adalah keturunan Nabi Muhammad SAW dan namanya sama seperti nama nabi, Muhammad bin Abdullah. Beliau akan muncul di Makkah apabila fitnah kuat melanda dan dibai’ah antara bucu Kaabah dengan makam Nabi Ibrahim AS. Kemudian. Imam Mahdi akan mengetuai mujahidin bergerak ke Syria. Apabila sampai di Syria, masa itu Dajjal sudah keluar dan memang tujuan utamanya hendak melawan Dajjal. Apabila Nabi Isa AS turun, tugas utama baginda ialah untuk membunuh Dajjal.

Pada masa itu, Dajjal sudah mengelilingi dunia untuk merosakkan orang Islam dan mengkafirkan orang sehingga akhirnya Nabi Isa AS kejar Dajal sampai di satu tempat bernama Bab Luddin di Palestin. Di situlah akan dibunuhnya Dajjal. Dajjal apabila tengok Nabi Isa AS itu, dia jadi cair macam batu garam yang disirami air.

Keadaan yang berlaku di Syria ketika ini, seolah-olah mengikut skrip iaitu hadis Nabi?

Ya, memang betul mengikut skrip. Nabi sebut akan berlaku peperangan besar, sekarang ini berlaku perang di Syria. Ramai orang tak tahu sebabnya. Kebangkitan di Syria berlaku pada Mac 2011. Puncanya sekumpulan kanak-kanak sekolah rendah di sebuah bandar bernama Dar’a. Kanak-kanak ini conteng dinding sekolah dengan perkataan ‘Ash-sha’ab yurid isqaat an-nizam’ bermaksud ‘rakyat hendak jatuhkan kerajaan’.

Mereka tulis perkataan itu bukan sebab diajar, tetapi masa itu berlakunya Arab Spring iaitu kebangkitan negara Arab di Tunisia, Yaman dan Mesir. Apabila kebangkitan itu, semua negara ini tulis slogan yang sama iaitu “Ash-sha’ab yurid isqaat an-nizam” ketika berdemonstrasi. Kanak-kanak ini tidak tahu apa-apa.

Polis datang ke sekolah dan mengarahkan sekolah ditutup. Kanak-kanak yang terlibat ditangkap, dipenjarakan dan diseksa. Antara seksaan yang dikenakan ialah dicabut kuku mereka. Keluarga kanak-kanak ini datang ke balai minta anak-anak mereka dibebaskan, tetapi polis kata: “Lupakan anak engkau dan engkau buat yang lain. Ataupun engkau hantar bini engkau di balai polis, kami akan buat bini engkau mengandung lagi sekali”.

Ayat ini yang saya dengar sendiri daripada orang Syria bercerita ketika kes itu berlaku. Rentetan itu, orang kampung mula keluar berdemonstrasi aman dan itu merupakan kali pertama rakyat Syria buat demonstrasi aman minta anak dibebaskan. Sebelum ini, mereka memang tidak berani lawan kerajaan langsung kerana kerajaan memang amat zalim.

Entah bagaimana, mereka yang berdemonstrasi aman ini pula akhirnya ditembak anggota keselamatan. Ramai yang mati. Peristiwa ini tersebar ke seluruh Syria. Kebetulan, masa itu di negara Arab yang lain sudah berlaku kebangkitan. Rakyat Syria memang tidak fikir untuk lawan kerajaan, tetapi mereka hanya hendak kanak-kanak yang ditahan itu dibebaskan. Itu saja.

Apabila sudah jadi begitu, mereka pun tidak tahan, maka muncullah Tentera Pembebasan Syria (FSA) setelah enam bulan rakyat Syria ditangkap, diseksa dan dibunuh. FSA merupakan sukarelawan rakyat Syria yang hendak pertahankan maruah dan akidah mereka. Mereka yang mula pertahankan keluarga sendiri daripada kerajaan pimpinan Bashar al-Assad.

Persengketaan di Syria ada kaitan dengan Syiah – Sunni. Dan sebagaimana penerangan Ustaz tadi, ia juga dikaitkan dengan kemunculan Dajjal. Difahamkan, ada hadis menyebut bahawa Dajjal nanti akan diiringi oleh orang Yahudi dari Isfahan, Iran. Apa maksud hadis itu?

Nabi bersabda,  “Dajjal akan diikuti oleh 70,000 orang Yahudi dari kota Isfahan, mereka memakai al-Tayalisah”. ini hadis riwayat Muslim. Al-Tayalisah ialah sejenis selendang yang dipakai orang Iran atau Parsi semasa hendak perang dan sembahyang.

Persoalannya kenapa Nabi kata Dajjal keluar di sebuah bandar di Iran, tidak di Israel atau  Amerika, Rusia atau China?

Saya tidak pasti, tetapi jika kita lihat di Iran, ada Syiah di sana. Apabila berlaku kebangkitan rakyat di Syria, negara luar yang mula-mula campur tangan ialah Iran. Masa campur tangan itu, mereka bukan hendak sokong rakyat Syria, tetapi Iran hantar 10,000 tentera dengan penembak hendap.

Pada Mei 2012, saya bersama NGO Muslim Care hantar bantuan kali pertama ke Syria dan kami bertemu dengan seorang ulama Syria di Turki, Sheikh Muhammad Ali As-Sobuni. Beliau berkata; “Kami dulu menyangka Syiah ini saudara kita,  rupa-rupanya mereka adalah sebaliknya.

Bahkan, Syiah ini lebih ‘najis’ dan lebih dilaknat daripada Yahudi. Sebab bilangan orang Islam yang dibunuh di Palestin pun tak sama (masih kurang) banding dengan orang Islam yang dibunuh di Syria”.  Di Syria yang mendapat sokongan Syiah Iraq, Iran dan Hizbullah dari Lubnan, lebih 200,000 rakyat Syria sudah dibunuh sejak kebangkitan itu.

Berbanding di Palestin, hanya berpuluh ribu sahaja yang terbunuh sejak Israel tawan negara itu. Melihat kepada perkara ini, kita pelik kenapa Syiah begini dan benarlah Nabi kata Dajal akan keluar dari Isfahan, Iran.

Bashar; Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dikatakan berasal daripada keturunan Yahudi Isfahan yang dikaitkan sebagai tempat asal pengikut Dajjal. Bekas Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad juga berasal dari tempat itu. Bagaimana Ustaz melihat perkara ini?

Saya kurang pasti, tetapi datuk nenek Bashar memang dari Iran. Jadi hubungannya memang kuat. Satu lagi, di Syria, Bashar berfahaman Syiah Alawi atau Nusairi. Bercerita pasal Syiah, Syiah Alawi atau Nusairi sudah terkeluar daripada Syiah Imamiah yang diamalkan di Iran.

Jadi Syiah yang dipegang oleh Bashar ini, tidak diterima oleh Syiah pun, tetapi kenapa mereka yang menyokong Bashar pada masa ini? Mereka (Iran) kata benci dan tiada kena mengena dengan Syiah Alawi atau Nusairi, tetapi mereka tetap sokong Bashar bunuh rakyat Syria. Ini bermakna, mereka sebenarnya bersatu menentang Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Pembebasan Masjidil al-Aqsa di Palestin akan bermula daripada pembebasan Masjid Umawi di Damsyik. Benarkah begitu?

Yang saya dengar daripada ulama Palestin, Syeikh Raed Solah bahawa pembebasan Masjid al-Aqsa pada zaman Sultan Salahuddin al-Ayyubi adalah bersama tentera yang datang dari Syam iaitu Syria. Insya-ALLAH dikatakan tentera juga dari tempat yang sama akan datang untuk membebaskan Masjid al-Aqsa. Cuma, kali ini bawah pimpinan Imam Mahdi.

Kubur Salahuddin di Syria, betul-betul di tepi Masjid Umawi. Puak Syiah paling benci dengan Salahuddin, antara sebabnya Salahuddin yang menjatuhkan kerajaan Syiah di Mesir, iaitu kerajaan Fatimiyyah.

Ada dakwaan mengatakan, sekiranya Amerika menyerang Syria, maka akan jadi Perang Dunia Ketiga. Apa pandangan ustaz?

Wallahua’lam. Saya rasa memang sudah dekat-dekat, tetapi saya tiada pengalaman dalam sejarah bab perang. Namun, tidak mustahillah (akan berlaku Perang Dunia Ketiga) kerana melihat contoh apabila Amerika kata hendak serang Syria, sekutu Syria, Russia kata; “Kalau engkau nak serang Syria, aku serang Arab Saudi”.

Arab Saudi pula sekutu Amerika. Sekutu Syria, iaitu Iraq, Iran, Russia dan semua sekutu dengan Russia ialah geng komunis, manakala Eropah dan Amerika pula sekutu dengan Arab Saudi. Jadi bila berlaku peperangan nanti, Wallahua’lam…tak mustahil berlaku.

Apa istimewanya Syria sebagai sebuah negara Syam?

Nabi pernah sebut dalam hadis; “Ya ALLAH, berkatkan pada Syam kami. Ya ALLAH, berkatkan kepada Syam kami. Ya ALLAH, berkatilah negeri Yaman kami”. Dalam hadis lain; Nabi Muhammad SAW bersabda; “Beruntunglah bagi penduduk Syam. Beruntunglah Syam. Beruntunglah Syam kerana Malaikat ar-Rahman yang sentiasa menghamparkan sayapnya ke atas ahli Syam.” (Riwayat Ahmad).

Nabi sebut lagi; “Sesungguhnya kota (perlindungan) kaum Muslimin ketika berlakunya al-malhamah (perang besar) ialah di suatu lembah subur di sudut kota yang dipanggil Dimasq (Damsyik). Dan ia adalah sebaik-baik kota di negara Syam”. (Riwayat Abu Daud).

Syam terdiri daripada empat negara iaitu Syria, Jordan, Palestin dan Lubnan. Para sahabat nabi pun ramai di negara itu. Di Syria, ada lebih 10,000 pusara sahabat Nabi. Antara sahabat Nabi yang meninggal di Syria ialah Bilal bin Rabah, Khalid al-Walid, Muawiyah bin Abu Sufyan, Abdullah bin Ummi Maktum dan Abu Darda.

Dari Abdullah bin Hawalah, dari Nabi SAW, baginda bersabda; Pada malam aku diisra’kan, aku melihat tiang-tiang putih seperti permata yang dibawa oleh para malaikat. Aku bertanya: “Apa yang kalian bawa?” Mereka menjawab: “Tiang-tiang al-Kitab.

Tugas kami untuk meletakkannya di Syam.” Dan ketika aku tidur, aku (bermimpi) melihat tiang-tiang al-Kitab muncul dari bawah. Kemudian aku mengira bahwasanya ALLAH yang Maha Perkasa lagi Maha Tinggi menjelma bagi penduduk bumi. Maka penglihatanku mengikutinya.

Ketika itu Dia adalah cahaya yang menerangi hadapanku hingga sampai ke Syam.” Kemudian Ibnu Hawalah berkata: “Wahai Rasulullah, wasiatilah aku!” Baginda bersabda: “Tinggallah di Syam.” (Riwayat at-Tabrani).

Dalam sebuah hadis lain, daripada Ibnu Hawalah, daripada Nabi SAW, baginda bersabda bahawa ada tiga tentera di akhir zaman nanti iaitu tentera Iraq, Yaman dan Syam. Lalu sahabat bertanya; “Pilih yang mana?”. Nabi berkata, hendaklah engkau bersama dengan tentera yang berada di Syam. Hadis ini diriwayatkan oleh at-Tabrani.

Apa yang berlaku di Syria, ada kaitan dengan tanda-tanda akhir zaman. Apa nasihat Ustaz?

Nasihat saya, jangan kata yang lawan Bashar ini adalah pemberontak, tetapi mereka adalah rakyat yang hendak mempertahankan hak dan akidah mereka. Banyak media kata rakyat Syria pemberontak. Kita wajib mempertahankan Syria. Isu Syria adalah isu umat Islam sedunia. Kadang kala, kita hanya mengambil berat isu Mesir tetapi kita ketepikan penyembelihan yang setiap hari berlaku di Syria.

Pesanan Ulama Palestin, Syeikh Raed Solah, selagi Damsyik tidak dibebaskan, jangan kamu mimpi Al-Aqsa akan dibebaskan. Bantulah mereka dengan dgn apa yang termampu dan jangan lupa doakan kemenangan untuk Islam.

Tarikh : 10 Sept 2013

Tempat : Surau KUIZM

Panel : Ustaz Muhammad Abdul Malik Abdul Karim (Penasihat PMRAM) & Sdr Kamaruzaman Mohamad (Ketua Pemuda PAS WP)

Anjuran: Lajnah Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Kawasan Batu

 

 

Buku yang baru dibaca :

syeikh albuti

Penulis : Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri

Penerbit : Pustaka Cahaya Kasturi

Harga : RM16.00/RM18.00

Apabila berada di Syam dalam meneruskan tradisi ilmu, penulis kerap kali menghadiri majlis syeikh kerana ketika itu beliau dianggap di antara tokoh yang paling menonjol dan terbilang di bumi Syam.

Rakan-rakan penulis dari jauh seperti Halab, Salqin dan lain-lain apabila mengunjungi Kota Damsyiq biasanya tidak melepaskan peluang untuk mendengar buah fikiran syeikh dan mengikuti pelajarannya. Begitu juga penulis mendapati ramai pelajar dari dunia Arab yang menetap di kota Damsyiq seperti Algeria, Sudan, Mesir dan lain-lain juga menghadiri majlis ilmu Syeikh al-Buti.

Antara keistimewaan syeikh ialah bahasanya yang indah dan mudah difahami di samping ketinggian adab sasteranya yang begitu menyerlah.  Biasanya, dalam ceramah yang disertai oleh ramai ulama khususnya Ihtifal Maulidur Rasul maka Syeikh al-Buti akan menjadi penceramah terakhir dan menggulung perbincangan bahkan menambahkan fakta ilmiah yang baru berdasarkan pengamatannya yang mendalam.

syria

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/presiden/20288-rakyat-syria-mangsa-kezaliman-dan-kesilapan-negara-umat-islam

Ketika ini seluruh dunia bersepakat untuk wajib mempertahan dan membela hak asasi manusia yang juga menyentuh hak majoriti dan hak minoriti seperti mana dalam Universal Declaration of Human Rights (United Nations) di Paris pada tahun 1948 dan Cairo Declaration on Human Rights in Islam (OIC) pada tahun 1990.

Walaupun kedua-dua deklarasi ini ada perbezaaan teras tertentu, tetapi semua negara-negara yang menandatanganinya telah bersetuju bahawa tiada lagi mana-mana pihak yang boleh dizalimi, tidak boleh dinafikan haknya sebagai manusia, bahkan ada yang berfikir lebih melampau sehingga mempertahankan hak binatang lebih daripada hak manusia.

Tetapi semuanya ini tidak diambil peduli apabila menangani isu besar dan mendesak yang menyentuh hak rakyat Syria, kerana pihak yang menjuarai hak asasi ini sibuk menjaga kepentingan negara masing-masing dan mempertahankan hak keselamatan negara haram Israel, samada secara sedar atau tidak sedar.

Begitulah rupanya apabila pengaruh Zionis dan agendanya masuk ke dalam kepala para pemimpin  dunia, negara kuasa besar dan lebih malang lagi termasuklah pemimpin negara Arab dan pemimpin negara umat Islam.

Perlulah kita ingat bahawa para pemimpin kanan Israel, sama ada pimpinan politik atau tentera, tlahpun membuat kenyataan terbuka bahawa Israel akan campur tangan menyerang secara lansung ke dalam Syria sekiranya senjata jatuh ke tangan kumpulan Islam, sama ada Ikhwan Muslimin, al-Qaeda atau Hizbullah.

Nampaknya Israel tetap menjaga kepentingannya tanpa mengira apakah mazhab yang dianut oleh kumpulan yang bernama Islam. Inilah sikap sebenar negara haram Zionis ini yang menunjukkan sikapnya yang paling bermusuh terhadap Islam.

Aspek yang lain pula, jangan dilupai bahawa semua negara kuasa besar terlibat mewujudkan negara haram Israel sejak tahun 1948 menerusi British Mandate for Palestine. Sejak saat inilah semuanya terpengaruh dengan agenda Zionis yang menjadi guru mencipta ideologi kepada semua negara kuasa besar dan sekutunya yang berbeza ideologi  itu. Seterusnya rangkaian Zionis mempengaruhi  politik dalaman dan antarabangsa, ekonomi dunia dan medianya.

Sejarah membuktikan, bahawa Zionis ini tidak akan mengizinkan mana-mana kumpulan Islam, samada kumpulan itu dari mazhab Sunni, Salafi  atau tidak. Mereka juga tidak mengira samada kumpulan itu adalah Syiah muktabar atau tidak, dan tanpa mengira pendekatan  sederhana atau melampau, Ikhwan atau al-Qaeda atau Hizbullah, semuanya diletakkan dalam satu bakul.

Semuanya tidak diizinkan sekiranya  yang mengambil alih kuasa di Syria bagi mengganti Basyar Asad dan Parti Ba’athnya. Israel dan semua kuasa besar itu  boleh menerima siapa sahaja yang tidak berjenama  Islam tanpa mengira ideologinya.

Pendirian mereka ialah bahawa Basyar Asad tetap lebih baik daripada semua kumpulan Islam tanpa mengira mazhab, kerana sebarang perubahan kepada Islam dikira paling membahayakan keselamatan Israel dan menjejaskan kepentingan  negara barat  dan sekutunya dan juga Russia, China  dan sekutunya.

Bacalah kenyataan Ketua Turus Pasukan Pertahanan Israel (IDF Chief of Staff) Benny Gantz pada Januari 2012 lalu bahawa Israel boleh menerima puak Alawi dari kumpulan Basyar Asad sebagai pelarian akibat dari Revolusi yang berlaku di Syria, kerana kumpulan ini tidak membahayakan Zionis Israel.

Maka akhirnya Kerajaan kumpulan minoriti Alawi  yang sesat dan Parti Ba’ath berideologi kiri pimpinan Basyar Asad adalah paling diterima oleh semua kuasa besar itu demi kedudukan masing-masing.

Maka akhirnya rakyat Syrialah yang menjadi mangsa pertembungan bersenjata yang melibatkan  kuasa besar timur dan barat yang melibatkan  Amerika, Kesatuan  Eropah dan sekutunya, dan juga Russia, China dan sekutunya.

Terheret sama dalam konflik berdarah ini ialah negara serantau, Turki, negara Arab dan Iran  di atas nama strategi masing-masing. Akhirnya Basyar Asad juga yang dilihat lebih berpeluang  mengikat  semua pihak kerana tidak ada pengganti yang lebih baik daripadanya demi menjaga kepentingan masing-masing.

Kezaliman dan kekejaman keluarga Asad menerusi Hafeez al-Asad terhadap rakyatnya sendiri telah berlaku sejak dari tahun 1970an lagi. Walaupun kumpulan Alawinya yang terlalu kecil (10%)  tidak muktabar dalam mazhab Sunni dan Syiah yang muktabar, parti Ba’athnya dapat terus memerintah secara diktator sejak sekelian lama.

Adapun negara serantau pula bertegas dengan strategi masing-masing. Iran dan Hizbullah menjadikan alasan bahawa Basyar Asad adalah rakan strategi jalinan pembekal senjata menentang Israel  dan membantu garisan hadapan Palestin dan Selatan Lubnan; dan dalam masa yang sama Syria di bawah kerajaan Alawi dan parti Ba’ath tidak menjadi ancaman besar terhadap Israel.  Akhirnya  Basyar Asad juga dipertahankan di atas alasan strategi, dengan berlarutan, walau pun membunuh rakyatnya sendiri.

Adapun setengah negara Arab Teluk dan bukan Teluk  menganggap Iran dan Hizbullah bersama  mazhab syiahnya adalah ancaman kepada mereka setaraf dengan Israel, maka Iran dan Hizbullah perlu dihapuskan. Akhirnya mereka meletakkan Israel dan Basyar Asad sebagai bukan ancaman sebenar, maka Basyar Asad dan parti Ba’athnya tidak penting, maka selamatlah dia.

Dalam masa yang sama Amerika dan sekutunya mengira  Iran dan Hizbullah adalah ancaman terbesar, menyebabkan negara-negara barat itu meletakkan semua kumpulan yang berjenama Islam dalam satu bakul bahaya, tanpa mengira mazhab Sunni atau Syiah, Salafi atau Khalafi, Syiah Muqtada al-Sadr atau Sistani, Konservatif atau Reformasi,  tanpa perbezaan di antara kumpulan sederhana  yang mememilh Demokrasi atau pelampau yang mengharamkan Demokrasi.

Semua yang berjenama Islam adalah pelampau dan mengancam keamanan dunia, khususnya kedudukan keselamatan Israel lebih penting  bagi mereka. Rusia dan China juga masing-masing ada saham  mewujudkan negara haram Israel, dalam masa yang  sama ikut berlumba dalam persaingnan mendapat pengaruh dan pasaran di Asia Barat yang berisikan sumber tenaga  yang menjadi rebutan.

Ada pun sebahagian lagi negara Arab pula sangat bergantung dengan kuasa besar, sehingga menjadikannya pelindung lebih daripada Allah SWT. Manakala kumpulan Islam Sunni juga dianggap sebagai ancaman kepada sebahagian negara Arab ini, bukan hanya Syiah, sehingga mengizinkan buminya menjadi pengkalan tentera asing yang diambil kesempatan bukannya menjaga kawan, tetapi lebih utama menjaga Israel dan telaga minyak di rantau itu.

Hakikatnya ada negara Arab dan negara umat Islam sekitarnya yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

Akhirnya tindakan mengekalkan Basyar Asad di Syria adalah boleh mengekalkan pasaran dan menambah nilai semua pihak, kerana daripada pihak lain khususnya kumpulan Islam, adalah lebih baik dibiarkan sahaja Basyar Asad dan parti Ba’athnya yang tidak berpegang dengan agama dan mana-mana mazhab yang muktabar.

Sepatutnya umat Islam tidak celaru dalam menentukan sikap. Umat Islam sepatutnya jelas bahawa negara haram Israel diwujudkan secara haram dan dipaksakan ke atas umat Islam, dan dalam masa yang sama negara kuasa besar tidak boleh diberi kepercayaan dalam menyelesaikan konflik yang berlaku.

Kuasa besar Barat ini hanyalah melihat dua perkara yang paling penting iaitu (1) survival negara haram Israel dan (2) kekuasaan mereka kepada sumber petroleum sebagai asas tenaga negara Barat; bukannya kepentingan rakyat negara-negara Arab yang berdepan dengan konflik berdarah ini, ataupun keselamatan negara-negara Arab rantau teluk itu sendiri.

Bagi penyelesaiannya,  semua  negara serantau, Arab, Turki dan Iran bersama seluruh negara umat Islam sepatutnya bebas daripada pengaruh negara pengacau yang datang dari timur dan barat dan bersatu strategi  kembali kepada Islam.

Selesaikan masalah umat dengan Islam, khusus Palestin dan ancaman Zionis negara haram Israel, sebagai perkara paling mudah untuk difahami dan sepatutnya menyentuh hati sanubari setiap umat Islam.

Ada pun  perbezaan mazhab yang masih berpegang dengan rukun-rukun Islam yang asasi, boleh dibincang secara ilmu oleh kalangan ilmuan  yang bebas daripada pengaruh kerajaan yang menolak Islam, jangan serah  kepada yang jahil, sama ada individu  atau media.

Perbezaan kebangsaan dan sempadan negeri di kalangan umat Islam boleh disatukan oleh ajaran Islam sekiranya kita benar-benar berpegang kepadanya. Tolonglah diri sendiri, jangan  bersekongkol dengan kuasa besar Timur dan Barat. Kembalilah kepada Islam.

PRESIDEN PAS

25 Jun 2013

dr-mahdi-aked-ikhwanul-muslimun-mesir

Sumber : http://www.tarbawi.my/

Sehingga ke hari ini, isu yang sering menjadi persoalan setiap kali lawatan saya ke mana-mana negara ialah mengenai pasca revolusi di Mesir. Ingatan saya, jangan hanya kita melihat revolusi rakyat yang berlaku di Mesir sahaja, tetapi lihatlah revolusi ini menerusi kaca mata yang lebih luas, bahawa semarak umat manusia sedang bangkit menentang kezaliman dan kekejaman rejim pemerintah di seluruh dunia.

Allah Taala berfirman : “Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (utusan Allah).”

“(Al Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.”

“Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman”. Surah Ali Imran:137-139, Al Quranul Karim

Berdasarkan firman Allah tadi menunjukkan bahawa apa yang telah berlaku pasti ada ulangannya. Allah Taala menunduk dan meruntuhkan mereka yang memerintah dengan zalim dan menderhakai-Nya supaya menjadi pengiktibaran kepada seluruh umat manusia sama ada di Timur mahupun Barat.

Revolusi yang berlaku di Mesir adalah milik dan ketentuan Allah Taala, di mana tiada siapapun yang boleh mendakwa bahawa dia-lah pelopor dan pencetus kepada revolusi ini. Kesabaran rakyat Mesir bertahan di hadapan aparat yang turun sepenuh kelengkapan untuk mematahkan gelombang kebangkitan ini, akhirnya berjaya menumbangkan rejim Hosni Mubarak bermula di Medan Tahrir.

Rejim Hosni Mubarak berjaya ditumbangkan dalam tempoh relatif iaitu dalam waktu tidak sampai dua bulan sebaik gelombang kebangkitan rakyat meletus. Siapa pun tidak dapat menduga, anak-anak muda yang membesar dalam ledakan dunia maklumat, dikongkong dan dikurung oleh budaya takut rejim kerajaan, berjaya dijatuhkan melalui gerakan kebangkitan tidak bersenjata.

Kebangkitan rakyat Mesir berbeza dengan perjuangan yang saban hela dialami oleh saudara kami di Palestin. Di Palestin, rejim Zionis Israel menjajah sebuah negara yang bukan miliknya, membunuh golongan mustadh’afin, memperkosa anak-anak gadis, meruntuhkan perumahan dan mengebom rakyat Palestin.

Palestin Milik Kita

Isu Palestin adalah isu yang wajib diperjuangkan walau sesaat, biarpun ada sahaja usaha-usaha yang cuba dilakukan oleh musuh untuk mengaburi isu ini. Justeru, perbuatan mereka tidak akan berhasil kerana isu Palestin adalah isu yang sentiasa hidup dalam jiwa raga bangsa Arab dan juga seluruh umat Islam. Palestin tidak akan dapat dibebaskan kecuali dari tangan pemimpin Islam yang bertaqwa, bukannya Obama atau pemimpin-pemimpin fasiq lain dan seumpamanya.

Saya pernah menerima soalan daripada seorang wartawan berita dari agensi media Amerika Syarikat pada tahun 2008, “Apa pendapat anda tentang negara Israel?”

Saya menjawab, “Pada saya di sana tidak ada negara Israel, tetapi yang ada ialah penjajahan rejim Zionis, perampas negara yang tiada hakpun mereka ke atas penduduk Palestin. Mereka membunuh para pemuda, wanita dan kanak-kanak, menjahanamkan harta milik penduduk asal dan membinasakan kompleks-kompleks perumahan mereka. Perjuangan rakyat Palestin memerdekakan tanah air dan melenyapkan penjajahan Israel adalah tanda perjuangan yang sebenar.”

Kebangkitan yang berlaku di Timur Tengah merupakan titik permulaan yang mesti dimanfaatkan oleh kita semua untuk menyahut perjuangan yang lebih global.

Selama bertahun-tahun politik di negara Arab menafikan ruang demokrasi yang adil, manakala setiap pilihanraya ia diadakan penuh penipuan. Di mana-mana negara Islam, di situlah berlaku penyelewengan kuasa, rasuah dan korupsi. Ketirisan moral yang saban hari saban waktu ini merupakan penghinaan yang Allah timpakan kepada mereka yang sanggup bersekongkol dengan pemerintahan yang zalim dan mendiamkan perbuatan mereka.

Hal ini termasuklah undang-undang zalim yang dilakukan oleh kerajaan Mesir terhadap rakyat Palestin satu ketika dahulu di bawah pemerintahan Hosni Mubarak. Saya sendiri melawan dan bangun menyatakan penentangan terhadap apa yang dilakukan kerajaan pimpinan Mubarak apabila hak-hak saudara kita di Palestin dinafikan.

Bangsa Arab di Palestin memilih pimpinan HAMAS untuk memperjuangkan tanahair mereka. Mereka inilah yang sebenarnya orang-orang Muslim yang layak kita teladani. Merekalah bangsa yang mengusir dan memulaukan penjajahan yang berlaku dalam negara mereka sendiri dalam rekod kurun ini. Di hadapan mereka adalah musuh utama umat Islam yang didalangi kuasa-kuasa besar dunia. Di kalangan mereka adalah para pejuang yang terdiri dari kaum lelaki dan kaum wanita yang bersungguh-sungguh mempertahankan kedaulatan negaranya.

Masalah Utama Kita

Perkara lain yang ingin saya sentuh ialah peristiwa yang mengecewakan berlaku di Afghanistan, apabila orang Islam berbunuhan sesama sendiri sewaktu “musuh utama” datang menyerbu. Tragedi yang sama juga menimpa di Iraq, Somalia, dan juga di Darfur, Sudan. Terakhir yang berlaku di Libya, Yaman dan Syria. Situasi yang berlaku sangat menyedihkan, apabila hal yang boleh ditangani secara tolak ansur menjadi barah api perkauman, permusuhan etnik dan pertikaian mazhab. Sepatutnya kita memastikan darah-darah umat Islam terpelihara dan tidak tumpah dengan sewenangnya.

Saya menuturkan permasalahan ini kepada Dr.Yusuf Al Qaradawi (rujuk di sini), dan saya juga berbincang dengan ulama-ulama di Al Azhar. Saya turut mengutarakan permasalahan ini kepada Recip Toyyib Erdogan, Presiden Turki termasuklah Essam Basyir, mantan perdana menteri sementara di Mesir supaya menunaikan tanggungjawab sebaiknya agar hak-hak rakyat tidak dicabuli dan dipermainkan.

Oleh itu, saya menyeru kepada masyarakat di Malaysia supaya para ulama dan cendekiawan-cendekiawan mereka menjunjung satu usaha yang jitu bagi memastikan anak bangsa mereka menjadi masyarakat bermartabat dan bermaruah, bukannya masyarakat yang boleh dibuli dengan isu-isu ciptaan musuh.

Isu Di Syria

Permasalahan akhir saya ingin sebutkan ialah perkara yang sensitif kepada sesetengah pihak, malah saya yakin ramai orang memperkatakan tentangnya. Iaitu pendirian kami (Ikhwanul Muslimun) terhadap mazhab Syiah dan kerajaan Iran.

Mazhab Syiah memiliki 36 aliran, dan di antara aliran tersebut ada yang meyakini bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh-Nya, Al Quran itu benar, dan segala yang kewajiban yang diperintahkan itu benar. Secara dasarnya, Syiah yang seperti meyakini hal seperti ini adalah orang Islam.

Saya tidak bercadang untuk membicarakan secara panjang lebar mengenai sudut-sudut praktikal yang lebih dalam. Persoalan yang berangkai permasalahan mazhab seeloknya kita serahkan kepada pihak-pihak yang berautoriti. Namun, secara jelas perihal politik dan negara Iran yang kita ketahui ia dipimpin oleh presidennya yang bermazhab Syiah.

Saya ingin nyatakan kepada kamu semua bahawa apa yang dilakukan oleh kerajaan Iran, jika hal itu baik, maka saya katakan ia baik. Begitu juga jika kerajaan Iran melakukan perkara yang salah, maka saya juga akan katakan bahawa hal itu salah tanpa sebarang prejudis. Oleh itu, dalam isu penentangan Iran terhadap hegemoni kuasa besar Barat, saya katakan ia baik dan saya menyokongnya. Tetapi dalam isu hubungan kerajaan Iran dengan kerajaan Basyar Al Assad, saya dengan tegas mengatakan bahawa polisi Iran adalah bertentangan dengan semangat kebangkitan Islam.

Iran mesti melakukan tekanan terhadap kerajaan pimpinan Basyar Al Assad yang telah menggasak rakyatnya. Disebabkan sikap pasif kerajaan Iran terhadap kebiadaban kerajaan Syria itu, saya membangkang sikap Iran dengan sekeras-kerasnya.

Sebelum ini saya pernah dijemput oleh wakil-wakil kedutaan Iran untuk menghadiri wacana pembentangan mengenai “Kebangkitan Islam” di Tehran. Tetapi saya menyatakan kepada delegasi kerajaan Iran tersebut dengan suara yang lantang, “Saya tidak akan datang ke Iran, sehinggalah kamu berpegang dengan prinsip Islam yang nyata dan terang. Kebisuan kerajaan Iran terhadap Basyar Al Assad adalah bersalahan dengan prinsip kebangkitan Islam!”. 

Keengganan saya menghadiri pertemuan seminar ini sebagai tanda protes terhadap sokongan kerajaan Iran terhadap kerajaan Syria saat ini. Sepatutnya kerajaan Iran bersama-sama dengan rakyat Syria yang ditindas oleh Bashar, bukannya bersekongkol dengan kezaliman Bashar.

Saya menyebut dengan niat yang tulus mengharapkan redha Allah Taala. Saya mengharapkan mudah-mudahan Allah memberikan pertolongan kepada umat Islam di dalam perjuangan menegakkan kalimah yang benar.

(Terjemahan dan olahan ucapan beliau di dalam Wacana Asia Barat, Shah Alam 2012)

syria

Dar’a, Syria : Dinding sekolah inilah yang diconteng oleh sekumpulan kanak-kanak sekolah di Dar’a yang telah menjadi titik mula mencetuskan revolusi rakyat Syria dua tahun lalu. Tindakan ini adalah luahan mereka terhadap kezaliman yang dilakukan oleh keluarga Asad berpuluh-puluh tahun lamanya.

Dinding sekolah ini menjadi saksi permulaan revolusi rakyat Syria apabila sekumpulan kanak-kanak sekolah di bawah umur 15 tahun menconteng dengan slogan tersohor ‘Arab Spring’ “Rakyat mahu sistem pemerintah digulingkan”..

Sumber : FB Ustaz Abdul Malik

%d bloggers like this: