Tag Archive: Syiah


Sumber : http://www.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/32630-tuduhan-dr-maza-ada-agenda-tersirat

MUHAMMAD SYAFIQ JAMADUDIN | 11 Disember 2014.

1. Setelah membaca pandangan peribadi Dr Asri Zainal Abidin (Dr. Maza) baru-baru ini mengenai PAS yang digambarkan seolah-olah tidak boleh ditegur dan dikaitkan pula dengan “Wilayatul Faqeh” dari Syiah. Maka izinkan untuk saya menjawab beberapa salah faham yang ditimbulkan oleh Dr Maza kepada pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

2. Digambarkan seolah-olah jika PAS memerintah Malaysia maka demokrasi di Malaysia akan hancur – kerana digambarkan PAS seolah-olah tidak boleh ditegur. Namun, hakikat yang berlaku jauh daripada tuduhan yang dilemparkan. Sejarah tidak menipu, ketika PAS menjadi kerajaan di Terengganu sebelum ini, telah ditubuhkan badan Hisbah yang bertindak sebagai saluran rakyat menegur kerajaan negeri.

3. Malah PAS ketika itu juga telah mengadakan majlis muhasabah terbuka bersama rakyat di negeri terbabit. Kerajaan negeri memberi kebebasan kepada rakyat untuk memberi pandangan dan kritikan kepada pemerintahan kerajaan negeri ketika itu. Justeru, di manakah yang dikatakan demokrasi akan hancur sepertimana yang digembar-gemburkan seolah-olah PAS ini ekstrem. Yang dikatakan PAS tidak boleh ditegur sangat berlawanan dengan fakta sejarah.

4. PAS sangat menerima konsep perbezaan pendapat namun perbezaan pendapat yang dituntut dalam Islam mestilah tidak bercanggah dengan prinsip Islam. Apabila prinsip dan dasar Islam dijulang, maka perbezaan pendapat dalam perkara cabang dan kaedah pada suasana politik di Malaysia juga mampu diraikan.

5. Namun jika kritikan dan perbezaan pendapat itu tidak menghormati prinsip dan dasar Islam yang menjadi teras perjuangan parti maka disinilah titik had suatu kritikan dan perbezaan pendapat itu boleh dibincangkan secara bersama. Tambahan pula, mengatakan PAS menerima konsep “Wilayatul Faqeh” dalam Syiah. Buat pengetahuan, Syiah pada peringkat awal tidak mewujudkan “Wilayatul Faqeh” sebaliknya mereka menggunakan sistem imamah yakni imam adalah berkuasa mutlak dalam menentukan segala polisi dalam pemerintahan.

6. Namun, bagi mendepani cabaran rencah politik pada zaman sekarang, mereka mengadaptasi sistem syura yang lebih awal lagi diamalkan oleh ahli sunnah wal jamaah sejak turun temurun lagi malah ia juga merupakan salah satu sunnah yang diamalkan sendiri oleh para sahabat ketika pemerintahan Khulafa Ar-Rashidin yang mewarisi sunnah Nabi Muhammad SAW, iaitu berbincang sebelum menentukan polisi dan strategi.

7. Berbeza dengan konsep imamah yang memberi kuasa mutlak kepada imam dan “Wilayatul Faqeh”, versi syiah yang menuntut penganut syiah untuk mentaati Ulama Syiah secara membabi buta, malangnya ia dikaitkan dengan PAS tanpa asas yang kukuh.

8. Majlis Syura Ulamak PAS dikendalikan oleh Ulama yang pakar dalam hukum-hakam agama Islam dan dalam masa yang sama juga mahir dalam selok-belok politik. Sebagai satu-satunya parti Islam di Malaysia, Majlis Syura Ulamak PAS menjadi panduan rasmi dan arah pandu kepada ahli PAS dalam mendepani pelbagai isu di Malaysia supaya prinsip dan dasar Islam dapat ditegakkan.

9. Dr. Maza juga menambah, konsep yang dibawa oleh PAS ini mengulangi kesilapan Pope di Vatican yang mencetuskan perang saudara antara Katolik dan Protestan. Sekali lagi Dr. Maza gagal dalam memahami konteks kedua-dua perkara. Amalan teokrasi mendewakan Pendeta seolah-olah segala kata-kata Pendeta adalah kata-kata tuhan yang tidak boleh disangkal langsung.

10. Kesilapan yang sama diulangi oleh golongan syiah yang mengangkat imam mereka ke darjat maksum dan tidak boleh dibantah dalam menentukan polisi pemerintahan. PAS sebuah parti yang matang dan sentiasa peka mengambil iktibar daripada kesilapan kaum terdahulu. PAS menolak konsep teokrasi yang enggan memberikan ruang kritikan dan perbezaan pendapat kepada semua ahli selagi mana ia tidak melanggar prinsip dan dasar Islam.

11. Tanpa segan dan silu Dr. Maza juga menyatakan bahawa beliau tidak mampu untuk mengundi PAS dalam pilihan raya kelak. Adakah Dr. Maza ingin membawa mesej secara diam kepada umat Islam supaya mengundi Parti Sekular yang lain?

12. Kenyataan beliau secara diam membawa mesej bahawa Parti Islam sudah tidak relevan dan perlu meninggalkan dasar Islam di mana PAS hanya akan menjadi relevan jika mengikut kaedah Parti Sekular seperti di negara-negara Eropah dan Amerika iaitu masyarakat bebas mengkritik dan berbeza pendapat sekalipun dalam hal dasar Islam.

13. Dan jika terhapusnya Majlis Syura Ulamak, maka PAS tidak ada beza dengan parti-parti sekular lain yang bergerak hanya atas dasar kepentingan (interest) umum semata-mata dan bukannya untuk menjunjung perintah Allah. Oleh sebab Dr. Maza adalah seorang yang mempunyai reputasi dan dipandang tinggi oleh sesetengah masyarakat di Malaysia, maka segala kata-kata beliau akan senang diterima oleh awam tanpa berfikir panjang.

14. Adatnya memang begitu, suatu perkara yang asalnya tiada nilai tetapi jika ia diberi label akademik maka awam senang untuk menerimanya. Tidak hairanlah kenapa kenyataan beliau berkenaan Majlis Syura dan Ulamak sering digunakan oleh golongan Sekular dan Modernis bagi menggambarkan bahawa PAS ketinggalan zaman dan ekstrem di mata orang awam terutamanya golongan mahasiswa.

HARAKAHDAILY 11/12/2014

hadi-awang

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/24221-kenapa-masalah-sunni-dan-syiah-ditimbulkan-sekarang

PAS tetap teguh dengan Ahli Al-Sunnah Wal Jama’ah, kenapa masalah sunni dan syiah ditimbulkan sekarang?

Fasal 7(1) Perlembagaan PAS menetapkan bahawa hukum tertinggi kepada PAS ialah Al Quran, Hadis, Ijma’ Ulama dan Qiyas yang nyata. Inilah sumber hukum para Ahli Sunnah wal Jama’ah.

Ini dengan sendirinya memberi makna bahawa setiap ahli PAS wajib menganut mazhab Ahli Sunnah wal Jama’ah, dan tidak diizinkan mazhab yang lain di luar dari Ahlus Sunnah wal Jama’ah dalam PAS.

Perkara ini tidak ada dalam perlembagaan parti lain, termasuk UMNO sendiri yang berdegar Ahli al Sunnah wal Jama’ah. Oleh kerana berprinsipkan Ahli al Sunnah wal Jama’ah inilah maka Jawatankuasa Disiplin PAS boleh bertindak terhadap aliran mazhab yang lain dalam PAS, bukan sahaja dalam kes disiplin salah laku terhadap pentadbiran PAS.

Namun PAS yang teguh berpegang dengan Islam dan mazhab Ahli al Sunnah wal Jama’ah ini mengadakan hubungan dengan semua pihak lain, termasuklah di kalangan bukan Islam. PAS lebih ke depan dalam mengadakan hubungan dengan semua kumpulan Islam NGO yang berbeza pendekatan dan berbagai mazhab.

PAS dapat membezakan dengan ilmu Islam, berdasarkan batas-batas yang diizinkan oleh syara’. Begitulah PAS menyokong kerajaan Malaysia mengadakan hubungan diplomatik dengan Iran, Oman, termasuklah negara barat dan komunis.

Saya telah menulis satu kajian terperinci khusus kepada ahli-ahli PAS dan semua pihak yang ingin tahu. Kajian itu bertajuk: “Mazhab-Mazhab dan Firqah dalam Islam” (edisi tulisan jawi ) dan “Ensaiklopedia Mazhab dan Ideologi” (edisi rumi), dengan merujuk kepada sumber-sember ulama terdahulu dan terkini.

Para ulama telah menyenaraikan mazhab-mazhab yang keluar daripada agama Islam dan mazhab yang masih dianggap penganut Islam, kerana masih berpegang dengan rukun-rukun asas dalam perkara iman dan Islam walau pun salah ijtihadnya.

Mereka membilangkan dua mazhab dalam Syiah, iaitu Imamiyyah dan Zaidiyyah, dan satu mazhab dalam Khawarij iaitu ‘Ibadiyyah dimasukkan dalam kategori umat Islam. Para ulama zaman dahulu dan kini meletakkan mazhab-mazhab ini dalam kajian feqah muqaran (perbandingan) dan disebut juga dalam kitab-kitab tafsir dan hadis.

Sehingga kini penganut mazhab ini diizinkan menunaikan ibadat haji di Makkah bersama seluruh umat Islam yang datang daripada seluruh pelosok dunia, walaupun mengikut cara mazhabnya, seperti mencabut bumbung bas dan kereta ketika berihram.

Kejatuhan kerajaan Uthmaniyah

Persidangan Kemuncak Negara-negara Umat Islam (OIC) dua tahun yang lalu mengambil kira perkara ini dan menjadikan resolusinya. Perkara ini sebenarnya sudah difahami oleh umat Islam sejak lebih seribu tahun yang lalu, sehingga tidak menghalang kemaraan perkembangan Islam di seluruh pelosok dunia dan kerajaan Islam Ahli Sunnah menjadi kuasa besar tunggal yang paling hebat.

Mazhab Ahli Sunnah terus berkembang tanpa takut kepada mazhab Syiah, Khawarij, Mu’tazilah dan lain-lain yang ada dalam masyarakat Islam sendiri, sehingga mampu juga menghadapi perang salib yang bertalu-talu sehingga beberapa abad.

Kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah di abad yang lalu berlaku, setelah umat Islam meninggalkan ilmu Islam, dan ilmu Islam juga dilemahkan. Umat Islam dipecahkan dengan fahaman sekularisme yang memisahkan politik dan urusan duniawi daripada agama Islam, menyebabkan mereka menganut berbagai-bagai ideologi yang asing daripada Islam, khususnya nasionalisme (semangat kebangsaan dijadikan akidah) yang boleh menganut apa sahaja ideologi yang berikutnya.

Akidah nasionalisme menyebabkan umat Islam dipecahkan dengan semangat kebangsaan masing-masing, sehingga bangsa Arab menganggap kerajaan Uthmaniyah Turki adalah penjajah asing.

Iran yang dikuasai oleh majoriti Syiah Imamiyyah dan Yaman yang dikuasai oleh raja syiah Zaidiyyah dan mazhab ‘Ibadhiyyah yang menjadi mazhab majoriti penduduk Oman dipisahkan daripada umat Islam.

Dalam masa yang sama perkara berbeza mazhab di dalam Sunni dan di dalam sama-sama Syi’ah dijadikan bahan untuk melagakan umat, sehingga boleh dilagakan oleh penjajah dan mendapat khidmat dan bantuan penjajah untuk menentang di antara satu sama lain.

Berakhir dengan jatuhnya kerajaan Uthmaniyyah dan seluruh tanah air umat Islam dibahagikan di kalangan negara penjajah Timur (komunis) di Asia Tengah dan penjajah Barat (kapitalis) di Asia dan Afrika.

Dahulunya para ulama yang mendalami ilmu Islam dapat menangani secara budaya ilmu yang tinggi yang disalin dalam kitab-kitab yang dikarang, walaupun pendapat yang paling lemah dan dikira salah dimasukkan juga di dalam kitab dan dihujah secara ilmu, bahkan ada pendapat mazhab lain yang diambil kira sekiranya ada hujah yang kuat.

Era kebangkitan Islam

Kini kita berada dalam era kebangkitan Islam yang sangat mengembirakan pendukung Islam dan menakutkan musuhnya yang dengki. Umat Islam wajib kembali semula kepada budaya ilmu yang tinggi dengan menggunakan teknologi maklumat terkini bagi menolak mazhab yang lemah secara hujah, dalam masa yang sama menyedari adanya agenda penjajah baru yang mengulang tayang senario lama dengan solekan baru yang disesuaikan dengan situasi terkini.

Perlu difahami betapa kuasa besar timur dan barat mewujudkan negara haram Israel secara sepakat, sebagai strategi pengacau dalam dunia Islam, khususnya rantau Asia Barat. Semua negara kuasa besar juga berlumba menanam pengaruh di rantau yang mempunyai sumber tenaga minyak, gas dan uranium, paling besarnya ialah rantau Asia Barat dan Asia Tengah.

Mereka memejam mata terhadap Israel yang telah mempunyai teknologi persenjataan yang diharamkan oleh masyarakat antara bangsa, seperti teknologi nuklear sejak tahun enam puluhan dengan bantuan negara barat dan zionis bekas Soviet, bahkan senjata haram itu telah digunakan secara kecilan dalam peperangan di Gaza dan Selatan Lubnan.

Dalam masa yang sama tindakan diambil terhadap mana-mana negara Arab yang memajukan teknologi sumber nuklear, walaupun bertujuan keamanan seperti sumber tenaga elektrik. Loji di Iraq dan Libya pernah dimusnahkan dengan serangan udara di atas nama keamanan dunia dan keselamatan Israel.

Umat Islam sepatutnya melakukan muhasabah terhadap sikap ‘double standard’ kuasa besar barat dalam tindakan ke atas menjatuhkan regim Mu’ammar Gaddafi di Libya dengan lebih keras, dibandingkan kedinginan dan tidak konsisten tindakan ke atas regim Basyar Asad di Syria yang sama zalimnya. Tidakkah kerana kedudukan yang berbeza bagi keselamatan Israel dan kepentingan barat?

Sebelumnya barat membantu Taliban menjatuhkan Mujahidin di Afghanistan, kemudiannya menyapu Taliban habis-habisan, bagi menempatkan regim yang lebih baik kepada mereka. Adakah drama berdarah ini akan ditayangkan di Asia Barat? Menteri Pertahanan Israel membuat kenyataan terbaru, bahawa Basyar perlu dikekalkan kerana lebih baik daripada kumpulan pengganas yang menentangnya sekarang.

Mengapa perlunya kewujudan pengkalan tentera kuasa besar barat di rantau Teluk? Adakah kerana keselamatan negara yang diwujudkan pengkalan itu, atau kerana menjaga telaga minyak dan keselamatan Israel? Umat Islam pula perlu membaca dan memahami percaturan politik antara bangsa.

Mengapa sekarang dicetuskan peperangan terhadap mazhab Syiah yang telah wujud sejak lebih seribu tahun. Adakah kerana mazhab Syiahnya atau kemajuan teknologi Iran yang mencabar barat dan Israel? Maka negara serantau menjadi wakil kepada barat dan Israel untuk menyelamatkan mereka dengan mengulangi strategi pecah dan perintah.

Akhirnya ini menyebabkan peperangan secara proksi bagi menguji senjata Rusia dan China dan senjata Amerika dan Eropah dengan duit Arab dan Iran, di mana mangsanya ialah rakyat yang dibunuh dan menjadi pelarian di tanahair sendiri.

Mengapa perlunya umat Islam mendengar fatwa Amerika dan sekutunya dalam masalah mazhab? Sedangkan para ulama boleh bermuzakarah dengan kitab-kitab yang telah sedia ada dan sumber ilmu Islam yang tidak mati bersama mukjizat Al-Quran.

Adakah masih tidak faham betapa Islam tidak diizinkan menang secara demokrasi yang adil di Mesir, sehingga kerajaan yang dipilih melalui pilihanraya digulingkan oleh rampasan kuasa tentera yang disokong oleh kebanyakan Negara Arab.

Bekas jajahan komunis

Sedang diganggu di Sudan, Libya dan Tunisia? Fahamlah betapa negara umat Islam bekas jajahan komunis diizinkan berkiblat ke barat Amerika dan Eropah dan negara bekas tanah jajahan barat diizinkan berkiblat ke Timur Komunis.

Apabila majoriti negara Arab memilih negara Barat menjadi rakan sejawat yang dipercayai dan bersikap negatif terhadap Iran, tiba-tiba Iran pula memilih strategi mendekati Barat, bermula dengan pintu belakang dibuka sedikit di zaman Ahmadinejad dan membuka lebih luas selepas kemenangan Presiden Rouhani, berakhir dengan persefahaman negara Barat yang lebih berlunak dengan Iran demi kepentingan mereka.

Maka negara Arab akan tinggal tersengeh mengekorinya. Oman memulakan langkah meninggalkan sikap bersama dengan Kesatuan Negara-negara Teluk. Terkini persidangan negara teluk mengalu-ngalukan persefahaman Iran dan Barat. Apakah mazhabnya negara Arab itu? Di mana pergi sunninya lagi?

PAS pernah dituduh Syiah apabila menyokong Iran dalam perang teluk yang pertama, ketika Saddam Husain menyerang Iran dengan senjata barat, dan PAS pula menentang campur tangan Amerika menyerang Iraq, sikap yang berbeza dengan Iran. Bukan kerana menganut ideologi Parti Ba’ath, tetapi dapat membaca permainan politik serantau.

PAS sudah mengerti betapa jahilnya masyarakat rantau ini dengan ajaran Islam, sehingga pengaruh Syi’ah telah pun mempengaruhi masyarakat serantau alam Melayu secara bebal dengan menamakan herba tempatan yang dipercayai paling berkhasiat dengan panggilan ‘Tongkat Ali’ dan ‘Kacip Fatimah’.

PAS juga memahami betapa Revolusi Islam Syi’ah di Iran tidak sesuai bagi masyarakat Malaysia dan PAS dapat menangani ahlinya yang terpengaruh dengan perkembangan yang tidak setimpal dengan masyarakat setempat. PAS tetap mendukung demokrasi dan bersedia menghadapi penipuannya dan ahlinya yang didapati terkeluar daripada landasannya.

Sama ada terkeluar dengan sendirinya daripada PAS atau diambil tindakan setelah terbukti dengan adil tanpa menjejaskan dasar dan konsep perjuangan Islam Mazhab Ahli Sunnah yang didukung oleh PAS secara istiqamah dan muhasabah.

PAS menjadikan politik sebahagian amal soleh dan menolak kemungkarannya. PAS meletakkan langkah politik termasuk dalam amalan berpahala dan berdosa dan tidak menjadikan politik hanya permainan untuk mendapat kuasa tanpa mengira dosa dan pahala.

Saya ulangi supaya pembaca mengambil iktibar daripada sebab nuzulnya surah al-Rom, petunjuk Allah kepada Rasulullah s.a.w. dan sahabatnya dalam menilai politik antarabangsa di zamannya.

Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Presiden PAS

Muslim_distribution

Taburan Muslim Sunni dan Syiah di Seluruh Dunia – sumber: Wikipedia

Sumber : http://saifulislam.com/2013/06/mencari-sokongan-sejarah-terhadap-kesudahan-sunni-syiah/

Adalah sukar untuk dicari kesepakatan terhadap penentuan tarikh mula munculnya gerakan Syiah. Ia berpunca daripada perbezaan pandangan pelbagai pihak di dalam menentukan pengasas atau pencetus kepada gerakan itu sendiri. Kontroversi yang membabitkan Syiah terus diperbaharui zaman berzaman dan ia berlanjutan hingga kepada era pasca Revolusi Iran yang menjadi suatu lagi batu tanda di sepanjang lebuh perjalanan sejarah Syiah.

Apakah sebenarnya status hubungan masyarakat dunia dengan Syiah? Persoalan ini tidak hanya membabitkan keperluan semasa, malah penting untuk menjadi asas kepada ramalan terhadap masa depan tamadun insan, khususnya di persekitaran Timur Tengah sebagai ‘pusat dunia’.

Justeru itu, wajarlah persoalan ini digarap dengan bekalan sejarah kerana di situlah akan terserlah skrip sebenar kepada realiti pertembungan di antara Syiah dan Ahli Sunnah wa al-Jamaah.

ERA ABDULLAH BIN SABA’

Abdullah bin Saba’ atau juga dikenali sebagai Ibn Sawda’  adalah seorang Yahudi dari San’a di Yaman yang telah menzahirkan keislamannya di zaman Uthman bin Affan RA. Beliau adalah watak yang paling utama memainkan peranan menimbulkan kehuru-haraan di Madinah, Iraq, Syam dan Mesir secara khusus.

Dakyah yang berlaku di dalam bentuk penyebaran pendapat siasah bahkan aqidah yang menyimpang, telah mencetuskan fitnah yang membawa kepada pembunuhan Saidina Uthman RA pada 18 Dzulhijjah 35H. Ibn Sawda’ telah menyebarkan pelbagai idea yang kontroversi di kalangan umat Islam khususnya yang berkaitan dengan penyelewengan-penyelewengan yang dinisbahkan kepada Uthman bin Affan.

Gerakannya telah mencetuskan pemberontakan di empat penjuru tanah air umat Islam. Beliau juga telah mempopularkan idea kelayakan Saidina Ali RA sebagai pengisi jawatan Khalifah selepas kewafatan Rasulullah SAW dengan apa yang diistilahkan sebagai wasiat Rasulullah SAW.

Abdullah bin Saba’  juga menjadi orang pertama yang secara terang-terangan mencela Abu Bakr, Umar, Uthman dan sekalian sahabat. Hal ini diakui sendiri oleh ilmuan Syiah seperti Saad bin Abdullah al-Qummi di dalam al-Maqalaat wa al-Firaq.

Tidak terhenti setakat itu, kepercayaan karut tentang kebangkitan semula Rasulullah SAW dan pelbagai fahaman yang kemudiannya menjadi usul teras golongan Syiah, telah dipelopori oleh Abdullah bin Saba’.

Inilah puncanya mengapa ramai pihak yang sudah tidak lagi mampu untuk menyembunyikan kecelaan sejarah Abdullah bin Saba’, cuba untuk menanamkan prasangka bahawa beliau tidak wujud secara pasti di dalam sejarah. Idea yang tidak berasas ini didokong oleh sekumpulan Orientalis dan pengkaji Arab serta ramai dari kalangan Syiah semasa [Dr. Muhammad Amahzun, Tahqiq Mawaqif as-Sahabah fi al-Fitnah min Riwaayaat al-Imam at-Thabari wa al-Muhadditheen, Maktabah al-Kauthar, Riyadh, 1994].

Hal ini mustahil dapat diterima akal kerana penyebutan kisah Abdullah bin Saba’  bukan hanya terdapat di dalam satu atau dua karangan ilmuan Ahli Sunnah wa al-Jamaah seperti Tarikh al-Imam at-Thabari malah ia turut disebut secara meluas di dalam sejumlah besar tulisan ulama pelbagai zaman, sama ada oleh Ahli Sunnah mahu pun Syiah sendiri.

Tegasnya, Abdullah bin Saba’ adalah merupakan pelopor dan pengasas kepada timbulnya krisis di antara pengikut ajaran Islam sebenar dengan kumpulan Syiah yang berlarutan hingga ke hari ini. Kerugian yang menimpa umat Islam di dalam Peperangan Jamal dan Siffin, pembunuhan Ali RA, anakandanya Husain RA dan pelbagai lagi siri perang dalaman yang tercetus semenjak kematian Uthman bin Affan RA, adalah hasil suntikan fitnah yang dimulakan oleh seorang penjenayah bernama Abdullah bin Saba’.

ERA KHILAFAH BANI UMAYYAH

Muawiyah bin Abi Sufyan RA telah mengambil alih kepimpinan Islam selepas pembunuhan Ali RA dan berundurnya Hasan RA dari memangku jawatan yang ditinggalkan oleh ayahandanya. Kesatuan umat Islam telah dapat dihasilkan, namun kewujudan kelompok yang mendukung idea Ibn Saba’ terus wujud dan sentiasa menjadi api di dalam sekam.

Sikap keras lagi tegas Muawiyah dan para Khalifah Bani Umayyah terhadap golongan Syiah ini menjadikan mereka terpinggir dari arus perdana untuk beberapa ketika. Analisa terhadap punca yang membawa kepada kejatuhan pemerintahan Bani Umayyah memperlihatkan sekurang-kurang empat kelompok musuh.

Mereka adalah penduduk Arab berketurunan Yaman yang tinggal di Khurasan, golongan Mawali (bukan Arab) yang juga berpusat di sekitar Khurasan, kelompok Syiah yang sentiasa berdendam dengan Bani Umayyah, dan golongan keempat adalah terdiri daripada mereka yang menzahirkan diri sebagai Muslim tetapi masih berdendam terhadap Islam serta terus berpegang dengan fahaman pra Islam seperti Rawandiyyah dan sebagainya.

Namun, penglibatan Syiah di dalam propaganda Revolusi Abbasiyyah adalah faktor terpenting ke arah tumbangnya Khilafah Bani Umayyah. Muhammad bin Ali telah mewarisi gerakan Revolusi Abbasiyyah yang diasaskan oleh Ali bin Abdullah bin Abbas bin Abd al-Muttalib. Muhammad bin Ali menyokong perjuangan Abu Hasyim bin Muhammad bin Ali al-Hanafiah yang merupakan seorang Imam Syiah.

Ketika Abu Hasyim di ambang kematiannya, beliau telah mewasiatkan supaya Muhammad bin Ali mengambil alih tempatnya sebagai Imam dan semenjak itulah beliau mengepalai gerakan Hasyimiah atau Abbasiyyah. Selepas kematian Imam Muhammad bin Ali pada tahun 125H, berlaku peralihan kepimpinan Revolusi Abbasiyyah hinggalah ke tangan Abu Muslim al-Khurasani yang melancarkan Revolusi Abbasiyyah secara terbuka.

Pada masa itu nama Imam Ibrahim yang menggantikan tempat ayahandanya Imam Muhammad bin Ali masih dirahsiakan. Apabila rahsia ini terdedah, Imam Ibrahim telah ditangkap dan dibunuh di Harran (132H) dan beliau telah mewasiatkan supaya saudaranya Abu al-Abbas as-Saffah menggantikan tempatnya sebagai Imam.

Walaupun mendapat tentangan daripada Abu Salamah al-Khallal, akhirnya calon yang disokong oleh keluarga Abbas dan Syiah iaitu Abu al-Abbas as-Saffah telah terpilih. Berhasillah kehendak Syiah di masa itu dan akhirnya kepimpinan ummah beralih daripada Bani Umayyah kepada Abu al-Abbas as-Saffah yang mengasaskan Kerajaan Abbasiyyah (132H).

ERA KERAJAAN ABBASIYYAH

Walaupun kerajaan Abbasiyyah itu tertegak atas kehendak dan maslahah golongan Syiah, mereka masih mengekalkan sikap oportunis dan hanya berpihak kepada kuasa yang boleh memenuhi kemahuan mereka semata-mata. Perpecahan yang serius di antara bangsa-bangsa Muslim mengundang kelemahan yang membunuh kerajaan Abbasiyyah.

Namun, kemunculan Hulagu, cucu kepada Genghiz Khan ke Baghdad adalah peristiwa yang paling bersejarah. Di zaman Bani Buwaih, mazhab Khilafah Abbasiyyah adalah Syiah. Namun selepas berpindah kepada Seljuk, mazhab kerajaan kembali kepada Sunni. Akan tetapi, para khalifah di era penghabisan kerajaan Abbasiyyah masih terus percaya kepada tokoh-tokoh Syiah, seperti Mu’ayyid ad-Deen bin al-Alqami.

Atas perbalahan yang berlaku di antara Sunni dan Syiah, Mu’ayyid telah menjemput Hulagu mengisi cita-citanya menawan Baghdad. Beliau yang sepatutnya menjalankan tugas mewakili Khalifah untuk berbincang dengan Hulagu, telah berpaling tadah dan seterusnya membuka laluan kepada Hulagu menyerang Baghdad hingga ke akar umbi pada tahun 656H.

Ibn Kathir meriwayatkan bahawa, 1,800,000 penduduk Baghdad telah terbunuh di tangan Hulagu dan tenteranya. Suatu insiden yang hitam di dalam sejarah kemanusiaan.

ERA PRA FATIMIYYAH DAN AYYUBIYYAH

Kerajaan Fatimiyyah yang bermazhab Syiah merupakan kerajaan kecil pertama yang mengisytiharkan ketuanya sebagai Khalifah yang bebas merdeka daripada pemerintahan Abbasiyyah.

Walaupun kerajaan Fatimiyyah mempunyai sumbangannya yang banyak terutamanya kepada aspek pembangunan tamadun material Islam, namun era tersebutlah yang menyaksikan berleluasanya penyebaran fahaman dan amalan syiah yang khurafat, sehinggalah ia ditamatkan dengan kejayaan Salahuddin al-Ayyubi memimpin Mesir dan membawanya kembali kepada mazhab Sunni di bawah kepimpinan Kerajaan Abbasiyyah (567H).

ERA OTHMANIYYAH

Selepas kejatuhan Baghdad pada tahun 656H / 1258M, kepimpinan umat Islam telah diambil alih oleh Khilafah Turki Othmaniyyah yang diasaskan pada tahun 1299M. Ketika pemerintahan Othmaniyyah berada di kemuncak kegemilangan mereka, wilayah Parsi telah menyaksikan kemunculan kerajaan Syiah Safavid yang diasaskan oleh Shah Ismail I pada tahun 1500.

Buat kali pertamanya, tanah air Parsi telah diisytiharkan secara rasmi menganut fahaman Syiah sebagai mazhab rasmi. Sejarah telah memperlihatkan sekali lagi sikap Syiah yang sentiasa memusuhi Ahli Sunnah. Kerajaan Safavid telah melancarkan propaganda menghasut penduduk wilayah Othmaniyyah di timur supaya bangkit memberontak. Malah mereka juga bekerjasama dengan Hapsburgs dari Austria untuk menentang Kerajaan Othmaniyyah.

Dalam pada itu, Mesir yang ditadbir oleh kerajaan kecil Mamluki yang mengambil alih pemerintahan dari Ayyubiyyin, turut bekerjasama dengan Safavid menentang Othmaniyyah. Sesungguhnya krisis ratusan tahun di antara Safavid Syiah di Iran terhadap Kerajaan Othmaniyyah telah banyak memberikan implikasi negatif kepada perkembangan kuasa Othmaniyyah yang mewakili Ahli Sunnah itu.

Sultan Abdul Hamid II (Khalifah Daulah Othmaniyyah 1876 – 1908) pernah berkata, “Sesungguhnya permusuhan di antara Kerajaan Safavid (Syiah) dan Othmaniyyah (Sunni) tidaklah untuk kepentingan umat Islam bahkan untuk kemaslahatan kufur dan kaumnya”

ERA PASCA OTHMANIYYAH

Di ambang kejatuhan kerajaan Othmaniyyah, perjuangan Imam Syamil di Daghistan menentang Russia turut menghadapi konspirasi golongan Syiah yang sentiasa menjadi gunting di dalam lipatan. Mereka akan sentiasa berpihak kepada kuasa yang dirasakan boleh menang dan menjamin kepentingan Syiah.

Hal ini menjadi lebih kronik selepas perjanjian Sykes-Picot ditandatangani pada 16 Mei 1916. Tanah air umat Islam yang dirampas dari Khilafah Othmaniyyah telah di’faraidh’kan oleh Britain dan Perancis mengikut kehendak mereka. Peta-peta sempadan negara baru dilukis dengan mengambil kira strategi yang diyakini boleh mengekalkan kelemahan umat Islam.

Bangsa Kurdi sinonim dengan Salahuddin al-Ayyubi berserta rekod bersih mereka terus setia bersama kerajaan Othmaniyyah, telah ditempatkan sebagai kaum minoriti di semua negara. Sykes-Picot telah melukis peta secara bengkang bengkok supaya bangsa Kurdi menjadi kaum minoriti di Turki, Syria, Iraq, Iran dan Armenia.

Ini akan melemahkan mereka dan membolehkan pengaruh mereka dibunuh. Malah sejumlah besar penganut Syiah menjadi penduduk Iraq yang Sunni dan begitu juga, Ahli Sunnah menjadi warga Iran yang didominasi oleh Syiah. Semuanya bertujuan untuk melemahkan umat Islam sedunia.

Namun Syiah terus berkembang dengan sikap pragmatik mereka, turut memainkan peranan yang penting sehingga tercetusnya peperangan Pakistan Barat dan Pakistan Timur pada tahun 1971.

ERA REVOLUSI IRAN

Tahun 1978 / 1979 telah menyaksikan kebangkitan besar-besaran pengaruh Syiah di bawah kepimpinan Ayatullah Khomeini menjatuhkan kepimpinan diktator Shah Iran, Muhammad Reza Pahlavi.

Pengisytiharan Khomeini terhadap penubuhan Republik Islam Iran bagi menggantikan kerajaan Shah Iran, dilihat oleh dunia sebagai pencetusan suatu momentum besar terhadap kebangkitan semula kuasa Islam di dunia.

Namun, penelitian yang dibuat terhadap Republik Islam Iran telah memperlihatkan realiti yang berbeza. Ia adalah sebuah kebangkitan yang amat khusus mewakili kelompok Syiah Imamiah semata-mata tanpa sebarang perkongsian visi dan misi dengan Sunni.

Sa’id Hawwa Al-Marhum Sa’id Hawwa yang memimpin gerakan Islam di Syria telah berkunjung ke Iran untuk bertemu sendiri dengan Khomeini dan meneliti sejauh mana Khomeini serius di dalam usahanya membebaskan bumi Palestin yang terjajah. Akan tetapi, hakikatnya adalah sangat mengejutkan.

Bagi Sa’id Hawwa, Khomeini dan Revolusinya itu, hanyalah lanjutan kepada makar Syiah yang dusta. Sekembalinya beliau dari Iran, Sa’id Hawwa telah menulis sebuah makalah bertajuk al-Khomeiniyyah : Syudzuz fi Al-’Aqaid wa Al-Mawaqif (Khomeinisma: Keganjilan Pada Aqidah dan Pendirian Politik).

Khomeini telah melanjutkan celaan Syiah terhadap para Sahabat malah peminggiran secara berpelembagaan terhadap ajaran Ahli Sunnah dan identiti selain Syiah telah dilakukan secara terang-terangan. Sa’id Hawwa telah menghuraikan dengan terpeinci segala perkembangan semasa golongan Syiah pasca Revolusi Iran di tanah air umat Islam.

Hakikat Hizbullah dan Harakah Al-Amal, perkembangan di Lubnan, Syria, Turki, Pakistan dan India, pemisahan Pakistan Timur (Bangladesh), bahkan mengunjur hingga ke Afrika, semuanya menggambarkan siapakah sebenarnya pendukung Khomeinisma dan apakah hakikat mereka.

Catatan paling hitam peperangan Iran- Iraq telah meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada kekuatan umat di rantau berkenaan. Beliau juga menjelaskan tentang kerjasama-kerjasama sulit Iran dengan negara-negara seperti Libya, Lubnan, bahkan dengan Israel dan Soviet Union.

Sa’id Hawwa menekankan tentang lawatan berterusan wakil-wakil kerajaan Soviet Union ke Iran yang mana semua itu bercanggah sama sekali dengan laungan-laungan Khomeini di era Revolusi Iran yang diperjuangkannya. Kekayaan umat Islam terbuang semata-mata untuk menghadapi gejala ini, bahkan kebangkitan Umat Islam juga mengalami kerugian akibat penglibatan Syiah di dalam gelanggang kebangkitan umat.

Anasir-anasir kekuatan umat Islam banyak dipengaruhi Syiah lantas kelebihan itu tersalur ke arah yang bukan membawa kepada matlamat sebenar perjuangan umat, bahkan ke arah kepentingan Syiah semata-mata. Penampilan proses perlaksanaan Islam yang salah berlaku di Iran, apabila perlembagaan Iran mengaktakan mazhab sebagai dasar negara.

Jika sebahagian Syiah bersikap melampau di dalam prinsip taqiyyah (berpura-pura) mereka, kini di era Khomeini dan Revolusi Iran, taqiyyah itu menjangkau kepada penglibatan senjata api. Di suatu masa, Khomeini melaungkan penentangannya terhadap penguasaan Yahudi di Palestin tetapi di dalam masa yang sama, mengadakan kerjasama sulit dengan pihak musuh itu dan memberikan kemaslahatan kepada mereka.

PERTEMBUNGAN DI MASA HADAPAN

Sikap luar biasa Syiah yang memperlihatkan kecurigaan di sepanjang zaman tidak memungkinkan kita untuk meletakkan sebarang harapan dan simpati. Malah perkembangan di Iraq pasca serangan Bush dan penggantungan Saddam, mendedahkan kepada kita betapa lunaknya Syiah dengan sebarang peluang yang membolehkan mereka berkuasa, walaupun di atas kebinasaan orang lain.

Hal ini bakal menyulitkan lagi usaha untuk tidak mengaitkan Iran dengan fitnah umat Islam di akhir zaman kerana hadith ke 2944 di dalam Sahih Muslim menjelaskan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Dajjal itu akan keluar dengan diikuti bersamanya Yahudi dari Esfahan (sebuah wilayah di Iran) seramai 70 ribu, mereka itu memakai Tayalisah (jubah-jubah yang besar)”.

Apakah kesudahan pengkhianatan Syiah terhadap Ahli Sunnah? Semuanya di dalam pengetahuan Allah. Namun, untuk melihat mereka sebagai sandaran harap, tiada catatan sejarah yang menyokong, malah apa yang berlaku adalah sentiasa sebaliknya. Semoga Allah menyelamatkan kita semua daripada kekeliruan di zaman yang serba mencabar ini.

ABU SAIF 28 Februari 2007

BERITA DARI SYRIA

9 Januari 2013

11 Januari 2013

11 Januari 2013

13 Januari 2013

14 Januari 2013

14 Januari 2013

14 Januari 2013

15 Januari 2013

15 Januari 2013

16 Januari 2013

18 Januari 2013

18 Januari 2013

18 Januari 2013

19 Januari 2013

20 Januari 2013

21 Januari 2013

22 Januari 2013

DIALOG SUNNI VS SYIAH

Sumber : http://mufakkir-islami.blogspot.com/2011/12/dialog-sunni-vs-syiah.html

Dalam tempoh sebulan ini, penulis berkesempatan untuk berdialog dengan beberapa penganut tegar Syiah di Malaysia. Satu di Melaka anjuran Jabatan Mufti Melaka dan satu lagi di Perak anjuran Jabatan Agama Islam Perak (sepatutnya satu lagi di Johor tetapi dibatalkan tanpa diketahui sebabnya, wallahu a’lam). Apa yang mengujakan apabila ketua Syiah Malaysia, “Hujjatul Islam” Kamil Zuhairi Abdul Aziz sanggup turun sebagai panel utama Syiah dalam dialog di Perak. Apa pun, berdasarkan pemerhatian dan penelitian penulis dalam siri-siri dialog tersebut, golongan Syiah dapat disimpulkan seperti berikut:

Sindrom taqlid buta di kalangan pengikut Syiah jadian (bekas Sunni). Pengikut Syiah jadian sering mendakwa memeluk Syiah setelah mengkaji tentang Syiah, lalu memutuskan untuk meninggalkan Ahli Sunnah. Sedangkan ketika menjadi Sunni mereka tidak pernah mendalami Ahli Sunnah berdasarkan disiplin dan sumber Ahli Sunnah sendiri. Akhirnya mereka hanya akan mengenali Ahli Sunnah menerusi persepsi Syiah yang menyeleweng.

Mereka mendakwa Syiah itu lebih logik berbanding Ahli Sunnah. Tetapi apabila disoalkan kepada mereka mana logiknya Syiah dalam hal ghaibnya imam mereka selama 1173 tahun hingga sekarang dan nikah mut’ah yang tak ubah seperti zina berakad. Mereka buntu dan tidak tahu menjawab kecuali mengatakan itu perlu disoal kepada ulama mereka atau kerana mereka di Malaysia, maka tidak akan buat perkara yang melanggar undang-undang di Malaysia (seperti nikah mut’ah). Bermakna banyak perkara yang penganut Syiah tahu bahawa itu tidak logik (belum lagi bahas dari sudut keberadaan dan kesahihan nas), tetapi kerana kejahilan dan ketaksuban ia menutup hati-hati mereka untuk terus mengkaji dan menilai kebenaran.

Denial syndrome yang berterusan. Sukar untuk diajak berdialog dengan Syiah kerana mereka tidak yakin dengan kebenaran anutan sendiri. Apabila diajukan soalan beserta hujah dan bukti menerusi sumber-sumber mereka sendiri, semuanya dinafikan. Mereka sendiri yang mengatakan ‘imamah’ itu rukun utama dalam Syiah, tetapi apabila ditanya apakah hukumnya Ahli Sunnah yang menolak rukun utama itu secara iktikad, tiada jawapan konkrit diberikan, tetapi terus menafikan bahawa Syiah mengkafirkan Ahli Sunnah yang menolak ‘imamah’ padahal mereka sendiri mengakui itu rukun yang tak boleh ditolak. Sedangkan bagi Ahli Sunnah, tanpa kompromi dan berselindung, barangsiapa yang menolak salah satu daripada rukun Islam maka jawapannya adalah kafir, terkeluar daripada Islam.

Escapism syndrome dalam berhujjah. Bila dihujjahkan bahawa Syiah itu boleh membawa kepada perpecahan ummah, maka dijawab kononnya di dalam Ahli Sunnah juga terdapat perpecahan. Padahal yang dibincangkan adalah perpecahan dalam soal prinsip (usul) yang tidak dibenarkan oleh agama. Bila ditanya kedudukan Ahli Sunnah menurut Syiah, bukan dijawab secara ilmu berdasarkan nas-nas dan sumber Syiah, tetapi dialihkan perbincangan kononnya mereka juga memakan sembelihan Sunni, menghadiri kenduri Sunni dan lain-lain yang menunjukkan pada zahirnya mereka tidak mengkafirkan Sunni. Tetapi persoalan utama iaitu kedudukan aqidah golongan Sunni di sisi Syiah langsung tidak dijawab.

Sindrom taqiyyah yang melampau. Dalam dialog tersebut, langsung tidak kedengaran pihak Syiah berhujjah dengan sumber-sumber mereka sendiri. Mereka mengaku bermazhab Alul Bayt dan ikutan mereka adalah para imam Alul Bayt, tetapi di mana sandaran mereka terhadap Alul Bayt itu? Adakah ia bersanad atau sekadar dakwaan semata-mata ataukah sebenarnya mereka lebih percaya kepada dalil-dalil daripada kitab Sunni sehinggakan tiada suatupun dalil dibawakan daripada kitab-kitab mereka sendiri seperti al-Kafi, Man La Yahdhuruh al-Faqih, Tahzib al-Ahkam, al-Istibsar dan lain-lain. Bila pihak Sunni membawakan dalil daripada kitab mereka, dikatakan pula bahawa kitab itu tidak sahih atau tidak muktamad di sisi Syiah, bermakna apa sumber yang sahih dan muktamad dalam mazhab Syiah? Ada atau tidak? Atau sebenarnya Syiah bertaqiyyah sehingga tidak berani mengakui kitab-kitab rujukan mereka sendiri.

Disiplin ilmu yang rapuh. Dua bukti jelas akan kerapuhan disiplin ilmu di sisi Syiah; pertama, apabila “Hujjatul Islam” Kamil Zuhairi tidak mampu meyakinkan Ahli Sunnah bahawa hadith Ghadir Khum adalah hujjah paling ampuh berkenaan imamah Sayyidini Ali bahkan beliau menokok tambah kononnya hadith Ghadir Khum berlaku ketika khutbah al-Wada’. Ini adalah kekeliruan kerana ia bukan disebut oleh Nabi SAW ketika khutbah al-Wada’ tetapi ketika Baginda SAW berada di Ghadir Khum yang jaraknya 250 km daripada Makkah, dan ia tiada kena mengena dengan Khutbah al-Wada’. Soalnya mengapa di Ghadir Khum dan tidak di Arafah? Ini bermakna dalil Ghadir Khum tertolak untuk menjadi hujjah dalam soal aqidah kerana ia tidak jelas dan mengandungi banyak andaian, tidak seperti dalil-dalil rukun Islam lain yang disepakati seperti solat, zakat, haji dan lain-lain. Kamil tidak menjawab persoalan ini.

Kedua, Kamil mengakui bahawa kitab al-Kafi karangan al-Kulaini itu bukan kitab sahih seperti Sahih al-Bukhari, tetapi Kamil tidak pula menyatakan apakah kitab yang paling sahih di sisi Syiah atau sekurang-kurangnya riwayat-riwayat Syiah yang sahih yang boleh menjadi rujukan orang Syiah sendiri dan pengkaji Sunni. Apakah Syiah tidak mementingkan soal sanad dalam menerima ilmu? Bagi Sunni, sanad teramat penting, seperti kata Imam Muhammad bin Sirin, “Sesungguhnya ilmu (sanad) ini adalah agama, maka lihatlah daripada siapa kamu mengambil agama kamu!” Soalnya, adakah pegangan Syiah pada hari ini punya sanad yang sahih daripada imam-imam Alul Bayt atau rekaan mereka sendiri.

Banyak lagi konklusi penulis berkenaan dialog dengan Syiah, tidak termasuk bagaimana jahil dan emosinya para pengikut mereka yang hadir. Termasuk salah seorang pengikut Syiah yang membuat kenyataan, “oleh kerana Ahli Sunnah bukan Syiah, maka Ahli Sunnah tidak kafir kerana menolak imamah yang merupakan rukun menurut Syiah”. Kenyataan ini jelas menunjukkan kejahilan dan kekeliruan aqidah Syiah, sebenarnya kenyataan ini sama seperti kita mengatakan “oleh kerana Islam bukan Kristian, maka orang Islam tidak kafir kerana menolak Isa sebagai anak tuhan”. Ini kekeliruan dan kepincangan terbesar dalam Syiah, mana mungkin dalam satu agama yang sama terdapat dua rukun yang berbeza?

Wallahu a’lam.

%d bloggers like this: