Tag Archive: Surau Taman Limauan


Sejak Ramadhan banyak kuliah maghrib tertangguh. (Lihat jadual kuliah maghrib di sisi kanan).

Khusus di Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan, Masjid Mahabbah di Kg Muhibbah Petagas, Surau Riyadhus Solihin Taman Austral, Surau Nur Hidayah Taman Olivia.

Saya berjanji menyambung kuliah di Masjid Sipanggil isnin lepas tetapi tertangguh sebab berada di LTAKK menghantar Fidah ke KL-Kaherah.

Masjid Kg Muhibbah pula sudah bermula pada selasa lepas, menyambung hadith ke-25 daripada kitab Hadith 40 Imam an-Nawawi.

Surau Austral, saya nanti isyarat Ust Mad Sepanggar. Kelas Tajwid akan disambung dengan sesi talaqqi dan teka hukum tajwid. Saya bercadang membawa kitab Tuhfatul Atfal pula selepas itu nanti.

Malam ni insya Allah kuliah kitab Riyadhus Solihin akan disambung di Surau Olivia. Tajuk masih dalam bab ke-16, perintah memelihara amalan sunnah dan adab-adabnya.

Saya selesa ketika Ramadhan, kuliah maghrib di Masjid Nurul Ihsan Kg Lok Kawi Baru dan Surau an-Nur Taman Limauan berjalan dan diawalkan pada subuhnya.

Pagi ini, saya hendak menyediakan hand-out kuliah kitab al-Azkar untuk malam minggu esok dan tafsir surah baru di Surau Taman Limauan pada ahad malam isnin.

Untuk Surau Taman Limauan, kita akan mengaji surah ar-Rahman dan surah al-Waqi’ah. Hari raya kita mengecapi nikmat. Surah ar-Rahman menceritakan sebahagian nikmat-nikmat itu.

Maka, mana satu nikmat Tuhanmu yang engkau dustakan?

IMG_7072

“Apabila tiba Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga, dikunci pintu-pintu neraka, manakala syaitan-syaitan diikat”.

Demikian hadith yang menjadi pilihan Ust Ahmad Izzat Shauki dalam tazkirah beliau di Surau Taman Limauan malam isnin lalu. Beliau menamatkan pengajian di Universiti al-Azhar, Damanhur Mesir pada 2002.

Ceramahnya bersemangat, suara pula akan-akan Ust Shamsuri Ahmad. Jamaah yang hadir nampaknya gemar dan suka dengan huraian ceramah ustaz.

Semoga Ramadhan kita tahun ini lebih baik daripada Ramadhan lalu.

IMG_7071

IMG_7073

IMG_7074

IMG_7077

RUANG BERAMAL

IMG_6045

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, saya banyak dijemput berceramah dan berkuliah atas beberapa tajuk dan program.

Kesempatan itu saya gunakan untuk melakukan sedikit tayangan klip 5 minit berkenaan aktiviti dakwah Persatuan Ulama’ Malaysia di Sabah, khususnya yang diadakan di pedalaman.

Aktiviti yang berlangsung adalah seperti program pemantapan aqidah, ziarah dan sumbangan kepada muallaf, sesi kaunseling aqidah, ceramah dan bantuan ala kadar kepada yang memerlukan dan sebagainya.

Tayangan itu bukan bertujuan memohon simpati buat kami, tetapi menuntut keprihatinan masyarakat bahawa di luar sana terlalu ramai yang memerlukan bantuan.

Kepada yang punya kelebihan dana dan material, sumbangan berbentuk sedemikian dialu-alukan. Yang punya kemampuan untuk berceramah, kami juga perlukan aktivis sedemikian untuk masuk dan keluar kampung. Yang ada dan boleh bawa kenderaan terutama pancuan 4 roda, itu juga bagus.

Pokoknya, kami membuka ruang untuk beramal dan berkongsi pahala. Terima kasih.

IMG_6049

p4050068Ahad lepas, seperti biasa jadual kuliah maghrib di Surau an-Nur Taman Limauan.

Kalau ikut jadual, malam itu saya akan menghabiskan tafsir surah an-Nur yang sudah berbulan-bulan berlangsung saban minggu. Tetapi pengerusi surau, Sdr Ribbang Hj Ampong meminta saya mengalihkan tajuk malam itu berkenaan tentang tanggungjawab AJK surau.

Malam itu selepas solat isyak diadakan penyampaian secara ringkas sijil-sijil perlantikan AJK surau bagi sesi 2008-2010. Jadi sebelum penyampaian itu dilakukan, saya diminta menyentuh sedikit tentang tanggungjawab sebagai AJK surau.

Ada beberapa pesanan saya buat AJK surau berkenaan.

p4050052Pertama, mengikhlaskan niat kerana Allah SWT. Apabila menjadi AJK betulkan niat, dan kehadiran ke surau sama ada untuk solat berjamaah atau mengimarahkan aktivitinya diniatkan kerana Allah, bukan datang kerana AJK.

Orang yang datang dengan sebab dia AJK saja, nanti kalau dia tidak lagi AJK, dia tidak akan datang lagi. AJK atau tidak, surau tetap kita datang dan kunjungi.

p4050053Kedua, menambahkan ilmu. Sama ada ilmu yang berkait tentang ibadah khusus seperti solat, al-Quran, ataupun yang berkait tentang pentadbiran. Ini termasuklah ilmu menjadi setiausaha, bendahari dan sebagainya yang mesti dipelajari dari semasa ke semasa.

Apabila AJK biasa boleh membaca al-Quran dengan baik, mengetahui peraturan solat, maka ia boleh menjadi imam tanpa menanti-nanti kehadiran ustaz yang diketahui banyak program dan jemputan di sana sini.

p4050055Ketiga, memberi contoh yang baik. AJK surau adalah daie iaitu pendakwah, dan mereka mesti lebih baik daripada jamaah yang lain dan mereka yang tidak hadir ke surau. Adab adab pergaulan dengan masyarakat mesti dijaga dengan baik supaya tidak menimbulkan fitnah.

Contoh paling dekat ialah, AJK surau adalah orang yang kerap dipanggil kenduri. Jadi mereka yang hadir kena mengetahui adab ketika berkunjung ke rumah orang, sama soal menjaga mata, makan, percakapan dan sebagainya.

p4050064Keempat, semua AJK hendaklah bersatu hati dalam melaksanakan program. Berlapang dada dengan cadangan dan teguran kawan-kawan, dan membantu syukbah atau biro lain apabila aktiviti diadakan.

Bersatu hati juga dengan maksud sedia mengambil berat tentang masalah sesama AJK dan jamaah, bukan menyusahkannya lagi. Ziarahi dan berbincang dengan cara yang terbaik, bukannya bertengkar dan bermasam muka apabila tidak sependapat.

Berlainan pendapat adalah warna warni dalam kehidupan, tetapi apabila keputusan diambil secara muafakat hendaklah diterima secara redha walaupun tidak menyebelahi kita.

p4050067Kelima, kreativiti AJK untuk merancakkan aktiviti surau. Matlamat kita ialah agar umat Islam di sekeliling surau hadir mengimarahkan surau. Jadi kreativiti perlu untuk menarik perhatian mereka sama ada kanak-kanak, remaja lelaki dan perempuan, para belia beliawanis dan orang dewasa.

Selain itu kreativiti pihak yang memegang kewangan seperti bendahari dan syukbah ekonomi untuk menjadi tabung surau – yang tiada kutipan tabung solat jumaat, bagaimana hendak merancakkan tabung agar aktiviti mudah berlangsung.

Orang dewasa memang biasa dengan kuliah, kursus dan ceramah. Tetapi mungkin tidak bagi remaja. Cari idea agar mereka hadir ke surau dengan aktiviti yang menarik minat mereka selama aktiviti itu dibenar agama.

Beri mereka peranan seperti membentang sajadah oleh kanak-kanak, menjadi muazzin dan bilal tarawih kepada remaja lelaki, menghidang jamuan kepada anak-anak remaja perempuan dan sebagainya. Akhirnya, berikan penghargaan kepada mereka sama ada berbentuk pujian atau sijil penghargaan dan seumpamanya.

Surau mesti mesra kepada semua orang. Fikirkanlah.

DOA BUAT SONIA & PUAN RINDAU

1. Sonia binti Seni

Anak gadis berumur 17 tahun dan bakal menduduki SPM di MRSM Kota Kinabalu hujung tahun ini kini terlantar di ICU Hospital Queen Elizabeth.

Dua minggu lalu, saya sempat berziarah bersama sahabat-sahabat ditemani oleh kedua orang tuanya, Seni Sibun dan Ku Chin. Seni merupakan pemandu utama kepada TYT Yang DiPertua Negeri Sabah Tun Ahmadshah Abdullah sementara isterinya seorang muallaf juga bertugas sebagai pelayan Istana.

Kisahnya, Sonia tiba-tiba histeria di asrama sebulan lepas dan setelah 3 hari pihak sekolah berikhtiar, baru ibu bapanya dimaklumkan. Keadaan Sonia sangat menyedihkan. Mulutnya hanya bergerak-gerak tanpa dapat bercakap.

Kepada kedua orang tuanya, saya harap mereka bersabar dan mengingati ujian Allah SWT. Banyakkan berdoa dan bersolat hajat.

2. Puan Rindau Hj Landi

Puan Rindau adalah isteri kepada Sdr Ribbang Hj Ampong. Ribbang merupakan staf di Jabatan Pelajaran Sabah, Rumah Persekutuan, Sembulan yang juga pengerusi JK Surau an-Nur Taman Limauan Kinarut.

Sejak jumaat lepas, Puan Rindau dikhabarkan mendapat angin ahmar dan sebelah kanan badannya lemah, manakala tuturkatanya sangat perlahan.

Ahad lepas, selepas kuliah di Surau Taman Limauan saya bersama beberapa jamaah sempat berziarah ke rumah beliau.

Menurut Sdr Ribbang, ini kali kedua isterinya mendapat penyakit yang sama tetapi di sebelah kiri. Kini badan di sebelah kiri sudah sembuh, sementara kini sebelah kanan pula ditimpa penyakit yang sama.

Semoga cepat sembuh dan kepada Sdr Ribbang sekeluarga agar tabah menerima ujian Allah SWT.

Muqaddimah kepada kisah ini ada pada Ust Azam . Seorang muallaf memohon bantuan kerana hendak berkahwin tetapi tidak punya kecukupan duit.

Terkenang beliau seorang saudara baru yang belum setahun memeluk Islam, saya menyertai beberapa sahabat berkunjung ke rumah pihak perempuan.

Ketua rombongan kami ialah Sdr Ribbang Ampong, Pengerusi Surau Taman Limauan yang juga Timbalan Pengerusi PIBG SK Pekan Kinarut. Tujuan utamanya untuk merunding kembali agar tempoh wang diberikan dilanjutkan lagi selama sebulan.

Menurut empunya badan, dahulunya dia merasa yakin akan dibantu oleh orang tuanya yang bukan beragama Islam. Bapa seorang hindu dan ibu kristian dan bekerja di luar negara. Tetapi apabila dia mengesahkan sudah memeluk Islam, kedua orang tuanya sangat terguris dan memutuskan hubungan serta tidak lagi mengirimkan duit kepada anak tunggalnya ini.

Setiba kami di sana, kedua orang tua perempuan begitu terkejut dengan kehadiran kami. Dalam bahasa suku mereka, mereka melenting dan begitu marah sekali.

“Siapa yang bawa mereka ke mari?” Kata mereka.

Sebenarnya dalam rombongan kami, ada dua orang yang faham dan boleh berbahasa dengan baik bahasa sukuan bajau suluk mereka. Mereka benar-benar terkejut apabila Sdr Ribbang dan Sarjan Wahid bertutur dengan bahasa mereka.

Pendek cerita, keluarga berkenaan bersetuju untuk memberi tempoh sebulan lagi. Hujung bulan april nanti, rombongan yang sama akan datang bertemu sama ada duit yang dijanjikan cukup atau tidak.

p3290046Peribadi saya sendiri mengatakan rundingan petang itu kemungkinan besar gagal kerana sang jejaka sudah berjanji beberapa kali kepada keluarga perempuan dan gagal ditunaikan.

Tetapi tuah kami saya lihat pada diri Sdr Ribbang (bersongkok).

Kepetahannya memimpin majlis sehingga seluruh keluarga mereka lunak dan tunduk membuatkan saya tabik pada beliau.

Sembang kami diselang selikan dengan gelak ketawa dan cerita yang menggembirakan semua.

Keluarga itu yang pada asalnya kurang senang dengan kehadiran kami, akhirnya berubah gembira di hujung pertemuan. Bahkan makcik-makcik yang hadir menjelaskan, ketika Sdr Ribbang dicalonkan untuk timbalan pengerusi PIBG tempohari, mereka semua adalah penyokong dan pengundi beliau.

Patutlah ketika kereta kami masuk ke kawasan kampung itu, ramai orang angkat tangan ke arah kami. Ingatkan lambaian dan sapaan itu untuk saya, rupanya untuk Sdr Ribbang yang duduk di sebelah. Perasan betul.

Saya pancing makcik-makcik itu, kalau Sdr Ribbang jadi calon, kamu mau pangkah?

“Kami mesti undi. Ribbang orang baik. Selalu tolong orang”. Oh, fahamlah saya. Yang Berhormat Ribbang!

Sebelum berangkat pulang, bapa sang dara memeluk erat setiap kami dan berharap ada sesuatu yang baik pada pertemuan berikut nanti.

JANGAN BURUK SANGKA

Ketika kuliah maghrib tadi di Surau an-Nur, Taman Limauan, menyambung surah al-Hujurat ayat ke 12. Firman Allah :

“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka; sesungguhnya kebanyakan sangkaan itu mendatangkan dosa; dan janganlah kamu mengintai-intai, jangan mengumpat orang lain. Adakah kamu suka di kalangan kamu memakan daging saudaranya? Maka sudah tentu kamu membencinya; bertaqwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani”

 

Saya memberi contoh dalam suasana orang kampung.

Jiran sebelah membeli sofa baru. Jiran yang memerhati di sebelah buruk sangka dengan mempersoalkan kemampuannya. Misal : “Dari mana dia dapat duit tuu.. rasuah agaknya..”

Belum apa-apa timbul tuduhan dan buruk sangka, sedangkan dalam Islam kita diajar berbaik sangka didahulukan sehinggalah ada bukti yang meragukan.

Itu baru contoh yang merakyat. Belum lagi contoh yang melibatkan orang-orang politik hari ini.

Menerima berita tanpa periksa, merendahkan orang lain, mencela, memberi gelaran yang buruk, mengumpat dan sebagainya.

Sebab itulah Allah menyatakan yang membezakan antara manusia yang berbagai bangsa ini hanyalah taqwanya.

Sebenarnya, banyak akhlak Islam pada hari ini yang ditinggalkan oleh orang Islam. Sebagaimana yang diajar di dalam surah al-Hujurat.

Oleh itu, para ulama mengatakan bahawa surah al-Hujurat adalah surah akhlak. Surah yang pendek tetapi menyimpan banyak pendidikan akhlak. 

Bacalah surah al-Hujurat, kita akan dapat banyak pengajarannya.

%d bloggers like this: