Tag Archive: Surau Taman Limauan


Surau Taman Limauan

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Surau an-Nur Taman Limauan, Kinarut Papar

Firman Allah SWT yang menceritakan antara cabaran yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW, iaitu berlakunya wabak cintakan kebendaan dan kepimpinan berasaskan harta dan wang :

Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (Wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan mata air dari bumi (bekalan air) bagi kami. Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar terus-menerus. Atau (sehingga) engkau gugurkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana yang engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan Allah dan malaikat untuk kami menyaksikannya.

Atau (sehingga) Engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari hiasan paling mahal (menunjukkan harta kekayaan ); atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah Kitab yang dapat kami membacanya”. Katakanlah (Wahai Muhammad):” Maha suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul ? (Al-Israk)

Para ulama merakamkan kisah Rasulullah S.A.W. ketika baginda menegaskan kepada Adi bin Hatim R.A. seorang pemimpin Arab terkenal sebelum Islamnya, sabda Rasulullah SAW :

“Wahai Adi ! Aku tahu mengapa kamu tidak mahu menerima Islam, kerana  Islam dilihat bersama-sama dengan  orang-orang yang lemah dan tidak ada kekuatan. Akan tetapi akan tiba masanya Islam mencapai kemenangan sehingga harta melimpah ruah, sehingga tidak ada lagi orang mahu menerimanya”.

Demikianlah politik wang atau matlamat kebendaan menjadi wabak yang merosakkan manusia sejak dahulu sehingga sekarang, hilangnya harga diri manusia yang dijadikan Allah berakal dan fikiran supaya dapat menilai benar dan salah serta menggunakan harta menjadi alat, bukan diperalatkan oleh harta  yang tidak berakal.

Apabila harta menjadi matlamat, maka hilanglah nilai kemanusiaan yang mulia serta martabatnya yang tinggi jatuh lantas menjadi hina. Akhirnya menjerumuskan diri sendiri lebih hina dan menghinakan bangsa serta umat. Kerana pada masa itu segala pertimbangan akal dan petunjuk Allah ditolak apabila harta menjadi ukuran benar dan salah.

Ini entri pertama pada tahun 2012.

Alhamdulillah, sudah 2 tahun rasanya tidak mengisi program di sini sejak saya diamanahkan kuliah tafsir setiap ahad malam isnin di Surau an-Nur Taman Limauan, Kinarut. Kiranya beberapa minggu sudah, timbalan pengerusi JK Surau, Ribbang Haji Ampong sudah menempah saya awal-awal dan saya bersetuju kerana terkenangkan jasa jamaah surau di sana.

Sebenarnya ada kesilapan di backdrop berkenaan. Ketiga-tiga kami yang tercatat adalah ahli panel forum manakala Sdr Ribbang bertindak sebagai moderator forum berkenaan. Ia berlegar tentang hijrah, azam, niat yang betul, cara menyambut tahun baru, dan masa depan umat Islam. Forum bermula lambat, iaitu sekitar jam 9 malam kerana didahului oleh ucapan Ketua Anak Negeri dan forum hanya berakhir jam 11 malam.

Saya terpaksa meninggalkan majlis sejurus forum berakhir walaupun ada acara lain yang diadakan penganjur. Majlis yang sangat baik khususnya untuk menjelaskan kepada masyarakat setempat tentang sambutan tahun baru. Cuma saya kira perlu ada lebih perbincangan di kalangan pimpinan surau, rukun tetangga dan lain-lain kerana, sejurus saya pulang, saya melalui gelanggang futsal kira-kira 100 meter dari surau berkenaan. Kehadiran di sana terutama anak-anak muda lebih ramai berbanding di surau, walaupun kehadiran di surau tidaklah terlalu mengecewakan.

Alhamdulillah, malam isnin lalu saya berkesempatan hadir dalam majlis sambutan hari raya anjuran Surau an-Nur Taman Limauan Kinarut. Majlis berkenaan dimulakan seawal maghrib dengan solat maghrib dan isyak secara berjamaah. Selesai solat isyak, hadirin sekitar 200 orang yang terdiri daripada penduduk taman berkenaan dihidangkan dengan tazkirah oleh Ustaz Razali dari SMKA Tun Datu Mustapha.

Dalam tazkirahnya beliau mengimbau kembali tentang penghayatan Ramadhan yang sepatutnya sudah menampakkan kesannya selepas bulan Ramadhan. Dalam sibuk menjamu selera dan menghadiri undangan hari raya, beliau turut mengingatkan agar hadirin tidak mengabaikan puasa enam hari dalam bulan Syawal yang ternyata banyak kelebihannya.

Majlis berkenaan juga diserikan dengan persembahan nasyid oleh anak-anak penduduk taman berkenaan yang berumur 12 tahun ke bawah, yang merupakan gabungan murid-murid PASTI al-Aqsa Taman Limauan dan juga pelajar Sekolah Agama Rakyat an-Nur. Selain itu, cabutan pengunjung bertuah juga memeriahkan majlis yang berakhir sehingga jam 9.30 malam.

Tahniah kepada penganjur dan seluruh penduduk taman yang terlibat. Sewajarnya perkara baik seperti ini wajar diteruskan dan dikembangkan lagi.

Firman Allah :

“Dan ia dudukkan kedua ibu bapanya (bersama-samanya) di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu mereka semuanya tunduk memberi hormat kepada Yusuf. Dan (pada saat itu) berkatalah Yusuf :

“Wahai ayahku! Inilah dia tafsiran mimpiku dahulu. Sesungguhnya Allah telah menjadikan mimpiku itu benar. Dan sesungguhnya Ia telah melimpahkan kebaikan kepadaku ketika Ia mengeluarkan daku dari penjara; dan Ia membawa kamu ke mari dari dosa sesudah Syaitan (dengan hasutannya) merosakkan perhubungan antaraku dengan saudara-saudaraku. Sesungguhnya Tuhanku lemah-lembut tadbirNya bagi apa yang dikehendakiNya; sesungguhnya Dia lah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

“Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh”. (Surah Nabi Yusuf : 100-101)

Alhamdulillah, malam isnin lalu tamat jua kuliah tafsir surah Yusuf di Surau an-Nur Taman Limauan setelah berbulan-bulan bercerita tentangnya. Ia suatu kisah yang penuh dengan iktibar dan pengajaran sebagaimana disebutkan di dalamnya sebagai ‘ahsanul qasas’ – kisah yang terbaik – dipaparkan lewat al-Quran.

Segmen terakhir kisah di dalam surah ini menceritakan tentang babak pertemuan Nabi Yusuf AS dan seluruh ahli keluarganya seramai 70 orang sebagaimana yang dihuraikan oleh para mufassirin. Pertemuan itu sangat bersejarah setelah mereka berpisah selama 40 tahun.

Di dalam hidup ini, kita tidak mengetahui nasib dan rezeki masing-masing.

Siapa tahu, seorang anak kecil yang dahulunya pernah dibuang oleh abang-abangnya, kemudian diambil oleh serombongan musafir, dijual dengan harga yang murah kepada pembesar negara, kemudian sesudah dewasa digoda maruahnya oleh seorang ‘mak-datin’, difinah dan dihumban ke penjara bertahun-tahun.

Dengan takdir Allah, dia akhirnya keluar dan menjadi menteri dan setelah beberapa ketika diangkat menjadi pemerintah, duduk di singgahsana. Siapa sangka urutan takdir yang menimpa Nabi Yusuf sebegitu indah?

Dari penjara kemudian sebagai pembesar negara!

Demikianlah hidup ini. Hari ini kita boleh jadi dia hanya seorang biasa, yang tiada nama dan kedudukan. Tiada siapa peduli. Bahkan kadang-kadang dicemuh dan dihina orang.

Esok lusa, siapa tahu nasib dan rezekinya di sisi Allah SWT. Moralnya ialah, belajarlah menghormati orang lain dengan sepenuh hati dan usaha, walaupun ia hanya seorang anak kecil, atau hanya seorang tukang sapu di jalanan, walaupun hanya penghantar surat, walaupun hanya seorang peminta itu dan ini. 

***

Dengan berakhirnya surah ini, saya telah menamatkan kuliah saya di surau ini. Ia penuh dengan pengalaman dan kenangan berharga selama hampir 4 tahun. Saya mendapat nikmat persahabatan dan persaudaraan di sini.

Saya memilih untuk menghentikan kuliah di surau ini, setelah mendapati surau ini aktif dengan pelbagai kuliah, ceramah dan lain-lain. Dahulunya ketika surau ini mula beroperasi, tidak ramai guru agama sudi ke sini maka saya membantu sekadarnya atas pelawaan pengerusi Surau, Sdr Ribbang Hj Ampong.

Pelawaan itu saya terima dengan senang hati dan terbuka, kerana dalam tempoh itu saya masih baru dalam dunia kuliah di surau dan masjid. Peluang itu saya ambil untuk belajar berkuliah dan berhadapan dengan masyarakat.

Kini surau ini sudah ramai ustaz. Kuliah maghrib berlangsung hampir setiap malam. Penceramah undangan hadir hampir setiap bulan. Kiranya, dengan keadaan itu saya boleh meninggalkan surau ini dengan senang hati juga.

Misi saya seterusnya ialah meneroka surau atau masjid yang masih perlahan dengan program kuliah sebegini. Setakat ini beberapa masjid sudah ‘meminang’ saya untuk ke tempat mereka. Insya Allah saya akan meneruskan misi dakwah ini dengan sedikit pengalaman dan kenangan di Surau an-Nur

Kepada Pengerusi Surau an-Nur, Sdr Ribbang Hj Ampong; semua AJKnya serta jamaah keseluruhannya baik lelaki atau perempuan, adik-adik remaja dan kanak-kanak kecil yang sering menghiasi dan memeriahkan suasana surau, terima kasih atas semua kebaikan kalian.

Hanya Allah SWT yang mampu membalasnya. Halalkan sedikit perkongsian ilmu yang saya sampaikan. Ambillah ilmu yang baik kerana itu semua daripada Allah SWT; maafkanlah kesalahan, kesilapan dan kekasaran yang berlaku dalam tempoh itu. Terlalu banyak rasanya.

Malam terakhir di surau ini, jamaahnya lebih ramai daripada biasa. Khabarnya, sedikit gotong royong diadakan sejak pagi. Ada jamuan khas disediakan oleh kaum ibu. Saya sangat menghargainya.

Insya Allah, persaudaraan dan persahabatan itu tidak akan berakhir dengan berakhirnya kuliah ini. Saya doakan agar surau ini terus meriah dengan aktiviti yang diridhai oleh Allah SWT. Allahumma, amin!

TANGGUH KULIAH

Mulai malam ini, semua kuliah maghrib di masjid dan surau; kelas pengajian al-Quran di pejabat-pejabat (tengahari) ditangguhkan sementara kerana saya berangkat ke luar negara.

Tengahari ini, saya dijadualkan bertolak dari KKIA ke KLIA dan kembali semula ke Kota Kinabalu pada petang 23 Mac 2010.

Kuliah yang terlibat :

1) Surau Nur Hidayah Taman Olivia Kepayan. (Jumaat malam sabtu) – Kitab Riyadhus Solihin.

2) Masjid Nurul Kg Lok Kawi Baru, Putatan. (Sabtu malam ahad) – Kitab al-Azkar.

3) Surau an-Nur Taman Limauan, Kinarut. (Ahad malam isnin) – Tafsir al-Quran.

4) Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil, Putatan. (Isnin malam selasa) – Hadith Syamail Muhammadiyyah SAW.

5) Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah, Petagas. (Selasa malam rabu) – Kitab Indahnya Hidup Bersyariat.

6) Surau Riyadhus Solihin Taman Austral, Kepayan. (Rabu malam khamis) – Al-Quran, Tajwid & Tafsir.

7) Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah [SPAN], Wisma MUIS. (Isnin-Rabu) – Kelas Mengaji al-Quran.

8) Sektor Pengurusan Akademik [SPA] KUWASA. (Khamis & Sabtu) – Kelas Mengaji al-Quran.

9) GiatMARA, Inanam (Petang Jumaat 2 kali sebulan) – Huraian buku Maza Ya’ni.

Jika tiada aral, kuliah akan bersambung pada maghrib 23 Mac 2010 (selasa) di Masjid al-Mahabbah Kg Muhibbah. Doakan keselamatan kami semua.

Kalau tidak salah, saya memulakan kuliah maghrib subjek tafsir al-Quran di Surau an-Nur Taman Limauan Kinarut seminggu sebelum dipindahkan ke Istana Negeri, iaitu penghujung oktober 2006.

Dengan serba kekurangan dan kelemahan, saya mencuba sedikit demi sedikit. Kami memulakan kuliah itu dengan mengupas sedikit kepentingan belajar terjemahan dan tafsir al-Quran kepada masyarakat Islam, khususnya kita yang bukan Arab ini.

Huraian surah al-Fatihah, pada minggu kedua dimulakan dan dihabiskan selama 3 kali kuliah maghrib setiap ahad malam isnin. Kemudian surah-surah lazim, beberapa surah terpilih seperti Yasin, as-Sajadah, Luqman, ad-Dukhan, al-Hujurat, an-Nur dan ar-Rahman.

Minggu lalu, kami memulakan surah baru iaitu surah Yusuf pula.

Lebih 3 tahun lalu, ketika memulakan kuliah ini, saya ada berpesan kepada mereka agar memiliki senaskhah terjemahan al-Quran, paling baik ialah Tafsir Pimpinan ar-Rahman terbitan JAKIM.

Setiap kali memulakan surah baru, saya menyediakan nota sebanyak 20 set yang mengandungi surah berkenaan – ayat dan terjemahannya.

Nota yang saya sediakan itu biasanya mereka kumpul dan simpan di rak surau. Tiada catatan tulisan tangan masing-masing kerana menganggap itu milik surau. Maka jamaah akan pulang berlenggang tanpa buku di tangan.

Mulai minggu lalu, spontan saya mengingatkan mereka. Saya tidak lagi menyediakan salinan nota.

Saya sangat berharap masing-masing menginfaqkan sedikit harta untuk membeli tafsir lengkap 30 juz yang berharga sekitar RM50-60 itu, untuk dipelajari bersama-sama demi kebahagiaan dunia hingga akhirat.

Buku milik sendiri boleh catatan sisi, dan dirujuk semula apabila berada di rumah. Itu hasrat saya.

Harapnya, seruan saya lebih 3 tahun lalu akan dipenuhi minggu ini.

“Para pendidik serta ibu bapa hendaklah menitikberatkan pendidikan agama secara praktikal, bukan semata-mata berteraskan teori sahaja”.

“Berdasarkan sirah Nabawi, baginda SAW telah menunjukkan satu contoh dan teladan mulia yang wajar dijadikan ikutan umat Islam sepanjang zaman”.

Demikian antara intipati ucapan Ust Sabudin Dolah, Penyelia bagi Unit Sekolah Agama Rakyat (SAR), Jabatan Pelajaran Sabah ketika merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang Pusat Pendidikan Islam (PPI) an-Nur kali ke-2 di Bangunan Perkumpulan Perempuan Sabah (PPS) ahad lalu.

Ust Zulhazmi Osman, selaku Mudir dalam ucapannya sebelum itu pula menjelaskan bahawa PPI an-Nur adalah sebuah Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) sejak 5 tahun lalu.

Sehingga kini, PPI an-Nur beroperasi di dua lokasi iaitu di Taman Austral Kepayan dan di Taman Limauan Kinarut dengan jumlah keseluruhan pelajar sekitar 100 orang.

Katanya, pihak sekolah juga mula membuka pendaftaran untuk kemasukan darjah satu bagi sesi tahun 2010 akan datang.

Majlis berkenaan diadakan bagi menghargai para pelajar yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam pelajaran di sekolah tersebut. Seramai 25 pelajar menerima anugerah kecemerlangan dan 7 pelajar darjah 6 menerima sijil tamat sekolah.

Dalam majlis berkenaan juga, para pelajar menunjukkan bakat bernasyid, pidato dan syair bahasa Arab di hadapan kira-kira 100 ibu bapa yang hadir.

IMG_0365

Saya tidak dapat menyertai keseluruhan ceramah beliau yang nampaknya begitu bersemangat pada malam itu.

Beberapa kali mendengar ceramah beliau berkait dengan tajuk kegemarannya iaitu mukjizat al-Quran dan sains, rasanya malam itu cukup bersemangat.

Mungkin kerana beliau berceramah dalam keadaan berdiri, ditambah lagi ruang surau yang padat dengan jamaah.

Saya hadir pada pertengahan majlis, kerana program yang padat sejak awal pagi. Kundasang, kemudian kelas  al-Quran selama 3 jam di UMS, kenduri haji di Penampang sebelum maghrib dan terus ke surau ini.

Selesai mengambil gambar, saya pohon izin pulang kerana keletihan memandu beberapa jam dan bersambung dengan kuliah.

Untuk majlis ini, tahniah kepada seluruh JK Surau khususnya yang bekerja keras dalam memastikan kehadiran ramai malam itu. Semoga Allah SWT membalas usaha semuanya.

Pesan saya, segala kelemahan dan kekurangan sama-samalah ditampung dan berlapang dada. Yang sempurna hanyalah Allah SWT jua.

IMG_0355

IMG_0359

IMG_0361

IMG_0367

IMG_0368

Penceramah : Prof. Dr. Mohd Arip Kasmo – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Akademik : BSc (Univ. Of Wales, UK), SPLI (Maktab Perguruan P. Pinang), Sarjana Pendidikan (UKM), Ph.D (UKM)

Tajuk Ceramah : Mukjizat al-Quran Dari Perspektif Sains

 

Tarikh : 23 Oktober 2009 (Jumaat)

Tempat : SMKA Tun Said, Kota Belud.

Masa : Selepas Solat Fardhu Maghrib

 

Tarikh : 24 Oktober 2009 (Sabtu)

Tempat : Masjid Negeri Sabah, Kota Kinabalu.

Masa : Selepas solat Fardhu Maghrib.

 

Tarikh : 25 Oktober 2009 (Ahad)

Tempat : Surau an-Nur, Taman Limauan, Kinarut Papar.

Masa : Selepas Solat Fardhu Maghrib.

 

Anjuran : Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Urusetia Sabah dengan kerjasama tuan rumah lokasi masing-masing.

IMG_9832

Maghrib ahad saya ke Taman Limauan Kinarut, memenuhi jadual rutin kuliah maghrib. Tajuk tafsir dipinda sebentar kepada tajuk berkenaan hari raya.

Isi pentingnya berkenaan taqwa yang dihuraikan oleh Sayyidina Ali RA.

الخوف من الجليل

والعمل بالتنزيل

والرضا بالقليل

واستعداد إلى يوم الرحيل

Nyaman hati melihat seorang anak pelajar PASTI al-Aqsa mengumandangkan surah al-Insan sehingga ke hujungnya. Juga menyaksikan sekumpulan anak PASTI yang sama mendendangkan lagu PASTI mereka.

Tidak ketinggalan anak-anak dari Sekolah Agama Negeri (SAN) Pekan Kinarut dengan nasyid mereka.

Tetamu daripada luar taman hadir sama. Antaranya Cikgu Hameed, Hj Lamsin (KAN) dan lain-lain.

Tahniah kepada pengerusi, YB Ribbang dan seluruh jenteranya yang bersungguh-sungguh dan bersatu dalam melaksanakan program ukhuwwah ini.

P/S : Khusus YB Ribbang, kopiah putih itu jangan disimpan di dalam almari.

IMG_9834

IMG_9836

IMG_9837

IMG_9841

IMG_9853

%d bloggers like this: