Tag Archive: Surah Yusuf


sunset

Sumber : http://www.eperjuangan.com/2013/07/surah-yusuf-harga-sebuah-kesabaran.html

Pengarang kitab tafsir kontemporari berjudul “Fi Zilalil Quran”, karangan Sayyid Qutb menyatakan bahawa antara surah yang Allah turunkan kepada Rasulullah s.a.w pada masa-masa sukar dalam sejarah dakwah dan kehidupannya, adalah surah Yusuf. Surah ini diturunkan antara ‘amul huzni (tahun duka cita kerana kematian Abu Talib dan isterinya Khadijah binti Khuwailid) dan antara baiah ‘Aqabah pertama yang dilanjutkan sehingga ke baiah ‘Aqabah kedua.

Pada saat itu, baginda Rasulullah selain mengalami kesedihan kerana ditinggalkan dua orang yang menjadi sandarannya, baginda turut mengalami kepedihan akibat pemulauan masyarakat jahiliyyah yang terdiri daripada kaumnya sendiri, bangsa Quraish. Maka Allah menceritakan kepada Nabi-Nya yang mulia, kisah Yusuf bin Ya’qub bin Ishaq bin Ibrahim, yang juga mengalami berbagai-bagai ujian dan cubaan yang getir.

Saudara-saudara Nabi Yusuf sendiri sanggup menghumbankannya ke dalam sumur agar menjadi umpan haiwan-haiwan liar dan buas, dengan harapan hilanglah Yusuf dari perlindungan dan perhatian orang tuanya iaitu Ya’qub a.s. Nabi Yusuf hidup dalam gelandangan, dan terus diuji dengan tipu daya isteri penguasa Mesir. Baginda selanjutnya dihumban ke dalam penjara setelah sebelumnya hidup dalam kemewahan istana sang penguasa.

Kepahitan tersebut ditempuhi dengan tabah dan sabar, di mana selepas itu Nabi Yusuf diuji pula dengan kemakmuran dan kekuasaan yang mutlak di tangannya. Nabi Yusuf ditugaskan mengatur urusan sosial dan perekonomian masyarakat. Akhirnya Nabi Yusuf kembali menghadapi saudara-saudaranya yang dahulu telah cuba memerangkap untuk membunuhnya, dalam pada masa yang sama mereka jugalah yang menjadi sebab ujian-ujian dan penderitaan dalam kehidupan Nabi Yusuf sehingga mencapai puncak kekuasaan.

Sekalipun saudara-saudaranya membenci dan mencemburuinya, apa yang mustahak di sini adalah bagaimana semua ujian itu dihadapi Yusuf dengan penuh sabar sambil terus melanjutkan peranannya menyampaikan dakwah tauhid dan menyelamatkan masyarakat dari kesengsaraan. Surah ini (surah Yusuf), kata Sayyid Qutb, bertujuan menghiburkan serta memantapkan hati orang yang diuji dengan pengusiran dan pemulauan. Bagaimana Nabi Yusuf menyelesaikan semua masalah yang menimpanya dengan satu kalimah, iaitu ‘sabar’.

Di dalam surah Yusuf mengandungi isyarat tentang berlakunya sunnatuLlah ketika para Rasul merasa putus asa menghadapi kaumnya, bahawa akan ada jalan keluar yang membawa kepada kegembiraan yang didambakan setelah sekian lama mengalami ujian dan cubaan. Penceritaan kisah Nabi Yusuf bukan hanya sekadar bertumpu kepada ketampanannya sahaja, malah seharusnya kita merasai momentum perjuangan Nabi Yusuf a.s menghadapi tekanan dan cabaran.

Surah Yusuf adalah kisah yang paling lengkap dari segi liputannya. Lantaran itu, di dalam surah Yusuf disebut oleh Allah antara ‘ahsanul qasasi’ (kisah yang terbaik), kerana di dalamnya banyak mengandungi ‘ibrah (pelajaran) bagi orang-orang yang beriman dan memanfaatkan akal dengan membawa pesan induknya iaitu; maslahah kehidupan duniawi-ukhrawi, sabar menanggung derita dan sifat pemaaf ketika berkuasa.

“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan kepadamu Al-Quran ini, padahal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu, adalah dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya.” (Yusuf:3)

“Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.” (Yusuf:111)

Secara khusus surah ini menjadi bekalan yang sangat berharga kepada pelanjut perjuangan harakah Islamiyah, untuk menyiapkan kesabaran di atas kesabaran dalam mengharungi medan perjuangan di jalan dakwah. Barangkali, masalah-masalah yang menimpa kepada harakah Islamiyah adalah petanda masih ada resepi-resepi kejayaan yang belum selesai kita capai, atau masih belum sampai tahap kepiawaiannya.

Kerana kesabaran Yusuf a.s, Allah menyiapkannya ujian untuk mencapai hikmah dan ilmu. Sayyid Qutb berkata, “Inilah Yusuf! Saudara-saudaranya menghendaki sesuatu terhadapnya, tetapi Allah menghendaki sesuatu yang lain untuknya. Kerana Allah itu berkuasa atas segala urusan-Nya. Sedangkan saudara-saudara Yusuf tidak berkuasa atas urusan mereka sehingga Yusuf dapat lepas daripada tangan mereka dan bebas dari apa yang mereka kehendaki terhadapnya.”

Jadi, makar (muslihat busuk) kaum pendengki kadangkala menjadi transisi menuju kemenangan dan kemuliaan daripada Allah. Makar yang mereka rencanakan dijadikan jalan oleh Allah untuk membina kehebatan insan yang dikasihi-Nya.

“Dan merekapun merencanakan makar dengan sungguh-sungguh dan kami merencanakan makar (pula), sedang mereka tidak menyedari.” (An-Naml:50)

Ketika saudara-saudara Yusuf datang memohon pertolongan. Disinilah Nabi Yusuf diuji, apakah ia tetap sabar atau melempiaskan kemarahannya ke atas perilaku zalim saudara-saudaranya itu? Ternyata Yusuf memilih kesabaran dan memaafkan saudara-saudaranya itu.

“Dia (Yusuf) berkata; Pada hari ini tiada cercaan terhadap kamu, mudah-mudahan Allah mengampuni (kamu), dan Dia-lah Maha Penyayang di antara para penyayang.” (Yusuf:92)

Begitulah juga luasnya samudera kemurnian hati Rasulullah s.a.w ketika baginda berkata di saat Fathu al Makkah kepada musuh-musuhnya, “Hari ini aku katakan sebagaimana saudaraku Yusuf a.s. bahawa tiada cercaan terhadap kamu, pergilah kalian kerana kalian adalah orang-orang yang bebas.” – rujuk sirah Ibnu Hisham

“Tidaklah sama kebaikan dengan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia.” 

“Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang-orang yang sabar, dan juga tidak dianugerahkan melainkan kepada orang yang mempunyai kelebihan yang besar.” (Fussilat:34-35)

Di jalan dakwah ini, seorang aktivis mesti memiliki persiapan spritual dan mental untuk menghadapi makar para pendengki atau musuh dakwah. Kerana makar itu adakalanya merosakkan reputasi kehormatan dan menjadikan kita terhina. Namun yakinlah, selama kita ikhlas dalam melangkah, Allah sentiasa membimbing dan menolong kita. Yakinlah ujian dan cubaan, hanyalah untuk sementara waktu sahaja sifatnya.

Keyakinan ini mendokong peribadi Nabi Yusuf a.s untuk meninggalkan legasi moral kemanusiaan yang cukup memberikan inspirasi kepada umat Muhammad s.a.w bahawa pada saat paling genting, masih ada rahmat Allah, ketika pada saat susah, masih ada sifat pemurah, ketika meratanya kesengsaraan, masih ada kemanusiaan. Kesusahan bukan alasan untuk meninggalkan kepedulian.

Semoga kita mendapat iktibar daripada khabar gembira (ahsanul qasas) surah Yusuf ini untuk terus bergerak menyongsong kegemilangan masa hadapan. Kesimpulan daripada artikel ini maka dapatlah kita mengambil beberapa pelajaran;

  • Sabar menghadapi makar perancangan musuh dengan memohon pertolongan Allah Taala. Sesungguhnya kesabaran itu akan mengiringi kita kepada kebangkitan. “Pahlawan bukanlah orang yang berani menetakkan pedangnya ke bahu lawan, tetapi pahlawan sebenarnya ialah orang yang sanggup menguasai dirinya dikala ia marah.”
  • Makar para pendengki kadang-kadang menjadi kesempatan bagi para pendakwah untuk menjana kekuatan. Ia menjadi wahana tarbiyah rabbaniyyah dalam rangka mematangkan persiapan mengharungi medan yang lebih luas.
  • Islam tidak mengajarkan umatnya berputus asa, sebaliknya mestilah terus berusaha mencari jalan untuk keluar daripada kesempitan.
  • Apapun bidang keahlian dan kerjaya kita, tidak pernah walau sesaat Yusuf a.s melupakan misi asasinya iaitu dakwah dan tarbiyah membina ummah.

Oleh : Mohd Azmir bin Maideen

Firman Allah :

“Dan ia dudukkan kedua ibu bapanya (bersama-samanya) di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu mereka semuanya tunduk memberi hormat kepada Yusuf. Dan (pada saat itu) berkatalah Yusuf :

“Wahai ayahku! Inilah dia tafsiran mimpiku dahulu. Sesungguhnya Allah telah menjadikan mimpiku itu benar. Dan sesungguhnya Ia telah melimpahkan kebaikan kepadaku ketika Ia mengeluarkan daku dari penjara; dan Ia membawa kamu ke mari dari dosa sesudah Syaitan (dengan hasutannya) merosakkan perhubungan antaraku dengan saudara-saudaraku. Sesungguhnya Tuhanku lemah-lembut tadbirNya bagi apa yang dikehendakiNya; sesungguhnya Dia lah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

“Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh”. (Surah Nabi Yusuf : 100-101)

Alhamdulillah, malam isnin lalu tamat jua kuliah tafsir surah Yusuf di Surau an-Nur Taman Limauan setelah berbulan-bulan bercerita tentangnya. Ia suatu kisah yang penuh dengan iktibar dan pengajaran sebagaimana disebutkan di dalamnya sebagai ‘ahsanul qasas’ – kisah yang terbaik – dipaparkan lewat al-Quran.

Segmen terakhir kisah di dalam surah ini menceritakan tentang babak pertemuan Nabi Yusuf AS dan seluruh ahli keluarganya seramai 70 orang sebagaimana yang dihuraikan oleh para mufassirin. Pertemuan itu sangat bersejarah setelah mereka berpisah selama 40 tahun.

Di dalam hidup ini, kita tidak mengetahui nasib dan rezeki masing-masing.

Siapa tahu, seorang anak kecil yang dahulunya pernah dibuang oleh abang-abangnya, kemudian diambil oleh serombongan musafir, dijual dengan harga yang murah kepada pembesar negara, kemudian sesudah dewasa digoda maruahnya oleh seorang ‘mak-datin’, difinah dan dihumban ke penjara bertahun-tahun.

Dengan takdir Allah, dia akhirnya keluar dan menjadi menteri dan setelah beberapa ketika diangkat menjadi pemerintah, duduk di singgahsana. Siapa sangka urutan takdir yang menimpa Nabi Yusuf sebegitu indah?

Dari penjara kemudian sebagai pembesar negara!

Demikianlah hidup ini. Hari ini kita boleh jadi dia hanya seorang biasa, yang tiada nama dan kedudukan. Tiada siapa peduli. Bahkan kadang-kadang dicemuh dan dihina orang.

Esok lusa, siapa tahu nasib dan rezekinya di sisi Allah SWT. Moralnya ialah, belajarlah menghormati orang lain dengan sepenuh hati dan usaha, walaupun ia hanya seorang anak kecil, atau hanya seorang tukang sapu di jalanan, walaupun hanya penghantar surat, walaupun hanya seorang peminta itu dan ini. 

***

Dengan berakhirnya surah ini, saya telah menamatkan kuliah saya di surau ini. Ia penuh dengan pengalaman dan kenangan berharga selama hampir 4 tahun. Saya mendapat nikmat persahabatan dan persaudaraan di sini.

Saya memilih untuk menghentikan kuliah di surau ini, setelah mendapati surau ini aktif dengan pelbagai kuliah, ceramah dan lain-lain. Dahulunya ketika surau ini mula beroperasi, tidak ramai guru agama sudi ke sini maka saya membantu sekadarnya atas pelawaan pengerusi Surau, Sdr Ribbang Hj Ampong.

Pelawaan itu saya terima dengan senang hati dan terbuka, kerana dalam tempoh itu saya masih baru dalam dunia kuliah di surau dan masjid. Peluang itu saya ambil untuk belajar berkuliah dan berhadapan dengan masyarakat.

Kini surau ini sudah ramai ustaz. Kuliah maghrib berlangsung hampir setiap malam. Penceramah undangan hadir hampir setiap bulan. Kiranya, dengan keadaan itu saya boleh meninggalkan surau ini dengan senang hati juga.

Misi saya seterusnya ialah meneroka surau atau masjid yang masih perlahan dengan program kuliah sebegini. Setakat ini beberapa masjid sudah ‘meminang’ saya untuk ke tempat mereka. Insya Allah saya akan meneruskan misi dakwah ini dengan sedikit pengalaman dan kenangan di Surau an-Nur

Kepada Pengerusi Surau an-Nur, Sdr Ribbang Hj Ampong; semua AJKnya serta jamaah keseluruhannya baik lelaki atau perempuan, adik-adik remaja dan kanak-kanak kecil yang sering menghiasi dan memeriahkan suasana surau, terima kasih atas semua kebaikan kalian.

Hanya Allah SWT yang mampu membalasnya. Halalkan sedikit perkongsian ilmu yang saya sampaikan. Ambillah ilmu yang baik kerana itu semua daripada Allah SWT; maafkanlah kesalahan, kesilapan dan kekasaran yang berlaku dalam tempoh itu. Terlalu banyak rasanya.

Malam terakhir di surau ini, jamaahnya lebih ramai daripada biasa. Khabarnya, sedikit gotong royong diadakan sejak pagi. Ada jamuan khas disediakan oleh kaum ibu. Saya sangat menghargainya.

Insya Allah, persaudaraan dan persahabatan itu tidak akan berakhir dengan berakhirnya kuliah ini. Saya doakan agar surau ini terus meriah dengan aktiviti yang diridhai oleh Allah SWT. Allahumma, amin!

Kami mengaji Surah Yusuf di Surau Taman Limauan, Kinarut. Jika diperhati, Surah Yusuf ini mempunyai beberapa babak :

1) Nabi Yusuf menceritakan mimpi anehnya kepada bapanya, Nabi Yaakub AS.

2) Konspirasi abang-abang kepada Nabi Yusuf AS kepadanya sehingga dia dibuang ke dalam telaga.

3) Nabi Yusuf dipungut oleh rombongan musafir yang lalu dan kemudian dijual kepada keluarga pembesar.

4) Percubaan Zulaikha, isteri al-Aziz untuk menggoda Nabi Yusuf AS gagal.

5) Fitnah tersebar di kalangan isteri-isteri pembesar berkenaan kelakuan Zulaikha terhadap Yusuf sehingga Zulaikha mengadakan jamuan kepada ‘datin-datin’, supaya mereka melihat sendiri ketampanan Nabi Yusuf AS.

6) Nabi Yusuf AS dihumban ke dalam penjara dan bertemu dengan 2 banduan lain yang bertanya tentang mimpi mereka.

7) Nabi Yusuf AS menafsir mimpi raja Mesir sehingga dia terkeluar daripada penjara.

8) Nabi Yusuf AS diangkat sebagai Menteri Perbendaharaan Negara dan menyelesaikan masalah ekonomi negara.

9) Suasana kemarau melanda Mesir, keluarga Nabi Yaakub terpaksa meminta bantuan kepada kerajaan. Berlaku pertemuan pertama Nabi Yusuf dengan abang-abangnya.

10) Nabi Yusuf membuat helah agar adiknya Bunyamin tertawan seterusnya melakukan perancangan untuk bertemu semula keluarganya.

11) Pertemuan bersejarah Nabi Yusuf dengan bapanya Nabi Yaakub AS dan keluarganya. Mereka kembali bersatu sebagai sebuah keluarga.

Buat masa ini, kami baru sampai di babak yang ke 7. Insya Allah akan bersambung pada 28hb Mac 2010 akan datang.

%d bloggers like this: