Tag Archive: Sukaneka PASTI Kawasan Putatan


Sukaneka tahunan berkenaan diadakan di Pantai Tanjung Aru 2, Kota Kinabalu pada ahad lalu dengan penyertaan lebih seratus peserta melalui lapan buah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI).

Sukaneka berkenaan dirasmikan oleh YB Ustaz Haji Taib Azamuddin Mohd Taib, Ahli Parlimen Baling Kedah (mantan Imam Besar Masjid Negara). Majlis yang dihadiri kira-kira 300 tetamu termasuk ibu bapa dan tetamu jemputan berakhir pada jam 1 tengahari.

Foto yang dipaparkan adalah sebahagian aksi yang dirakam oleh Ummu Nuha kerana Abu Nuha tidak dapat bersama-sama hadir di sana. 🙂 Sebenarnya banyak juga foto yang diambil, namun kebetulan kini lensa kamera mempunyai sedikit kerosakan – tidak dapat auto fokus seperti biasa – jadi banyak foto yang kabur.

Takdirnya foto yang elok kebanyakan membabitkan aksi PASTI Nur Fathonah yang menjadi tempat Hana dan Hadi belajar. Minta maaflah kepada guru-guru dan ibu bapa PASTI yang lain kerana masalah ini. Abu Nuha sedang berkira-kira dan cari duit lebih untuk beli lensa yang baru harga ribu-ribu.

Kalaulah ada orang yang mau sponsor kan bagus.. hihihi..


Hari ini saya ke Labuan. Menghadiri perkahwinan sepupu di Perumahan Rumah Murah Kg Batu Arang. Saya bertolak dengan kereta sendiri jam 8.45 pagi dan tiba di Menumbok 2 jam kemudian. Naik bot laju dan tiba di terminal 11.30 pagi. Sebelum jam 12 tengahari saya sudah berada di rumah pengantin.

Asalnya saya tidak berhajat untuk pulang. Puncanya kerana dua anak – Hana & Abdul Hadi terlibat dalam Sukaneka PASTI Putatan di Pantai Tanjung Aru Kota Kinabalu. Sukaneka tersebut dirasmikan oleh YB Ustaz Taib Azamuddin Mohd Taib, Ahli Parlimen Baling Kedah.

Namun semalam, pada sabtu hati saya tiba-tiba kuat untuk balik biarpun sebentar. Tidak lama, habis majlis perkahwinan sekitar jam 1.30 saya minta hantar balik ke terminal.

Sepanjang perjalanan, khususnya dari Beaufort ke Papar, hati saya cukup bimbang dengan hujan yang sangat lebat. Saya melihat juga dua kemalangan jalanraya, barangkali akibat jalan licin dan pemandangan yang kabur. Mata agak sulit melihat jalan kerana jarak pemandangan yang sempit. Alhamdulillah, kira-kira 4.30 petang saya sudah berada di rumah.

Setiba di rumah, anak-anak tidur ‘berkelamparan’. Mesti letih, agak saya. Hanya Hana yang sudah bangun daripada lenanya. Dia bingkas membawa dua piala yang dimenangi olehnya dan sebuah lagi diperolehi Abdul Hadi.

Bermacam-macam cerita lucu saya dengar tentang sukaneka mereka hari ini.  Melihat foto-foto yang dirakam oleh Ummu Nuha hari ini membuatkan saya ketawa melihat aksi dan gelagat anak-anak dan juga anak-anak sahabat. Sungguh nikmat mempunyai anak, justeru mereka adalah penghibur hati kami berdua.

Tidak berdaya saya untuk mengulas panjang kerana saya tidak berada di lokasi. Namun bagi saya, selain merapatkan ukhuwah sesama ibu bapa, penganjur dan anak-anak PASTI, untuk anak-anak ini ia lebih kepada memupuk bakat, keberanian dan potensi yang ada pada diri mereka melalui aktiviti sukaneka yang bersesuaian dengan jiwa mereka.

Tahniah kepada semua yang terlibat khususnya PASTI Kawasan Putatan yang berusaha bersungguh-sungguh sejak beberapa bulan kebelakangan ini untuk mengatur sukaneka berkenaan. Penghargaan juga buat semua guru-guru PASTI – PASTI al-Aqsa Taman Limauan, PASTI al-Furqan Taman Pantai Lok Kawi, PASTI Nor Fathonah Taman Pasir Putih Putatan, PASTI ar-Raihan Kg Sri Pandan, PASTI Nur Hidayah Tanjung Aru, PASTI al-Amal Kg Likas, PASTI al-Hikmah Taman Sempelang dan lain-lain.

Foto lain menyusul…

%d bloggers like this: