IMG_9160

Saya pernah bercerita tentang sekolah agama saya ketika darjah 4-6 di Sek Ugama Islam (SUI) Membedai WP Labuan pada 89-91. Sekolah yang terletak dalam kawasan kem tentera.

Kenapa saya di situ kerana bapa bertugas sebagai pengetua sekolah menengah di sana, berdekatan dengan sekolah agama, tempat saya belajar selama 3 tahun.

Sudah tentu majoriti murid sekolah agama itu adalah anak-anak tentera yang berasal dari Semenanjung, dan sedikit sekali anak-anak tempatan.

Baru-baru ini, saya beraya ke rumah salah seorang rakan sekolah ketika di sana. Rumahnya di Kepayan Ridge yang mereka diami sejak 3 tahun lalu.

Kerana tidak biasa di kawasan itu, saya tersesat beberapa kali. Sudahlah ketika itu waktu sekitar 10.30 malam, hujan lebat pula menyukarkan pergerakan. Namun kerana memenuhi jemputan rakan lama, saya gagahi juga.

Amirul Salamat, adalah salah seorang anak tempatan yang bersekolah di sekolah agama yang sama. Jadi oleh kerana saya sendiri buntu kerana tidak pandai bercakap semenanjung, Amirul menjadi rakan sembang dan bual saya.

Rakan-rakan yang berasal dari semenanjung semuanya baik-baik belaka, cuma pada awal perkenalan hanya angguk dan geleng yang saya tahu. Sebab patah-patah perkataan mereka tidak saya fahami.

Maklumlah sebelum ini saya sekolah di kampung, yang berlatar belakangkan bahasa brunei sebagai bahasa pertuturan.

Amirul kini bertugas di Jabatan Imigresen Kota Kinabalu, khususnya di kaunter LTAKK Terminal 2. Awal tahun ini kami terserempak di sana, ketika saya hendak ke Jakarta.

Manakan tidak, Amirul yang saya kenali liat hendak bekerja sebagai penjawat awam dan lebih suka berniaga dan memperoleh pendapatan dengan cara bukan makan gaji.

Bersama isterinya yang dikahwini pada Mei 2002, mereka hidup merata tempat di Kota Kinabalu, dan saya tahu mereka dalam keadaan susah.

Beberapa percubaan dalam perniagaannya gagal dan sering ditimpa masalah.

Pada 2007, Amirul memulakan kerjaya di jabatan imigresen dengan perasaan berbelah bagi. Isterinya bercerita, dialah yang mengisi semua borang-borang permohonan kerja untuk suaminya.

Kini Amirul bersama isterinya Juliana Eping yang berasal dari Kudat, mereka dikurniakan sepasang putera puteri, Balqis Zulaikha (3 tahun) dan Ahmad Nur Rahim (1 tahun). Ketika gambar diambil, salah seorang anaknya sudah tertidur di bilik.

Nampaknya kehidupan mereka kini zahirnya lebih stabil sehingga isterinya sendiri tidak dibenarkannya bekerja. Insya Allah, okeylah tu. Mudah-mudahan dimurahkan rezeki.