Tag Archive: Subky Latif


titm

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/kesatuan-fikrah/35575-tuan-ibrahim-boleh-kecewakan-penyokong

SUBKY LATIF | 22 Mei 2015.

HANYA persepsi saya. Jika seseorang yang dicalonkan untuk menjadi calon pencabar sebagai Presiden PAS bersetuju supaya tidak menghampakan sesiapa yang mencalonkannya, maka yang mula-mula menghampakan penyokongnya dalam pemilihan sekarang ialah Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mula-mula seorang lain selain dari Presiden sekarang, TG Haji Abdul Hadi Awang, Tuan Ibrahimlah dicalonkan oleh PAS Kawasan Kota Bharu. Masa itu kira-kira orang-orang yang mahukan muka baru sedang mencari-cari siapa yang sanggup menjadi calon.

Memang Tuan Ibrahim disebut-sebut dan ditonjol-tonjolkan. Ketika pencarian itu, tiada yang jelas sebagai calon yang terbaik. Tuan Ibrahim dikira yang terbaik dalam kekosongan itu.

Jika dia menerima dan melayan golongan yang mengaku mahukan pembaharuan, maka rasanya sekian yang dicalonkan selain daripadanya tidak akan dicalonkan. Dialah calon tunggal itu.

Amat besar harapan penyokongnya di Kota Bharu mahu dia menerima. Tetapi secepat kilat Tuan Ibrahim menolak pencalonan itu hingga menyebab undi orang Kota Bharu sia-sia.

Hak Tuan Ibrahim untuk menerima atau tidak menerimanya. Hak itu diberi oleh demokrasi. Hak itu juga dibenarkan oleh Islam. Saidina Umar al-Khatab dicalonkan oleh Saidina Abu Bakar untuk menjadi khalifah Islam yang pertama. Seperti sikap Tuan Ibrahim juga 1,400 kemudian, Saidina Umar menolak selagi Saidina Abu Bakar ada.

Kiranya istilah kecewa ada dalam kamus siasah syariyah, maka Saidina Abu Bakar boleh kecewa harapannya ditolak oleh calonnya. Tetapi kekecewaan tidak berbangkit dalam proses mencari pimpinan yang terbaik, baik dalam demokrasi dan Islam. Calon mengukur baju di badannya sendiri.

Tetapi bagi setengah keadaan kekecewaan itu ada. Ada orang kecewa kerana tidak dicalonkan dan ada yang kecewa kerana calonnya tidak melayan pencalonan mereka.

Tidak dipastikan apakah keengganan TG Nik Aziz menerima cadangannya menjadi Pesuruhjaya PAS Kelantan menggantikan Datuk Asri awal 80-an dulu justeru Islam atau demokrasi atau kedua-duanya? Kemahuan awal setengah orang itu ditolaknya. Tidak difikirkannya rasa kecewa orang yang hendakkannya.

Kira-kira itulah adab yang baik. Tetapi desakan terus-menerus dari banyak pihak mahukan beliau bersedia, beliau mengalah atas tekanan ramai. Apabila kehendak popular menentukan seseorang itu diberi amanah, tidak lagi wajar seseorang lari dari amanah. Akan tetapi pantang seseorang yang dicalon itu merasa dialah yang terbaik.

Banyak wahyu al-Quran menyokong pandangan Saidina Umar. Semua sahabat tahu, tetapi Umar r.a. mendahulukan Saidina Abu Bakar.

Saya tidak mahu memihak kepada Tuan Ibrahim. Kiranya keenggannya menerima pencalonan itu mengecewakan banyak orang, ramai yang kecewa dengan penolakannya. Jika TG Haji Hadi yang dicalonkan semula oleh sebab bahagian besar Kawasan, maka lebih ramailah lagi yang kecewa. Demikian juga sesudah banyak Kawasan mencalonkan Tuan Ibahim sebagai Timbalan Presiden menolak pula pencalonan itu ramai lagilah yang kecewa dengannya.

Tetapi yang terbaik bagi siasah syariyah yang sihat, usah berpegang kepada kamus kekecewaan itu, kerana kekecewaan itu jika tidak terurus mendekatkan kepada putus asa. Orang Islam tidak boleh putus asa dan jangan dilihat sebagai orang yang berputus asa. – HARAKAHDAILY 22/5/2015

masjid brunei

Sumber : http://www.detikdaily.net/v6/modules.php?name=News&file=article&sid=29636

Oleh Sukby Latif

TIADA yang dapat mengubat kepiluan saya selepas penculikan Presiden Mesir, Mohamad Morsi melainkan permasyhuran Sultan Hassanal Bolkhiah menjadikan Brunei Darussalam sebuah negara syariah yang melaksanakan kanun Islam enam bulan dari sekarang.

Reaksi awal saya jika boleh diterima oleh Raja dan rakyatnya agar saya menjadi warga Brunei dan menetap di situ hingga mati kerana beribadat di negara seperti itu akan dilimpahi ganjaran pahala berganda berbanding beribadat di negara sekular seperti Malaysia.

Mungkin beribadat sehari di Kuala Lumpur sama seperti beribadat lima atau enam hari di Brunei dan saya tidak bimbang lagi rumah saya dirompak, harta saya dicuri atau saya ditembak di tengah jalan kerana Allah akan gerunkan sekalian sang penjenayah.

Mungkin saya akan menambah seorang lagi penganggur di Brunei yang anggarannya mencapai 20,000 sekarang, tetapi jangan bimbang apabila terlaksananya hudud dan ciri-ciri syariah yang lain, negara itu akan menuju suasana yang dekat dengan pencapaian pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz.

Jika zaman Umar Abdul Aziz tidak ada orang yang layak atau mahu menerima zakat, maka Brunei diharapkan dengan kurnia dan izin Allah akan jadi sebuah negara yang lebih makmur berbanding sekarang dengan orang miskinnya paling mi-nimum jika pun tidak sifar kemiskinan dan sifar pengangguran.

Jika saya ada makanan secukup- nya, ada rumah, ada motokar, ada duit bagi sekolah anak cucu sebagai warga Brunei, bukan kerana limpahan kekayaan minyak yang dinikmati oleh negara itu sekarang, tetapi nikmat itu adalah jaminan dan janji Allah atas limpahan berganda daripada pelaksanaan syariah.

Mungkin dunia sangka orang Brunei dikolotkan oleh tiada nikmat demokrasi, kebebasan bersuara dan nikmat lain oleh sebuah negara dan masyarkat maju, tetapi negara-negara Islam yang ada Parlimen dan ada pilihan raya terkialkial untuk melaksanakan hudud dan hendak bercakap tentang syariah pun takut.

Bahkan Brunei tiada apa yang dapat menghalang Sultan Hassanal Bolkhiah untuk mengisytiharkan negaranya menjadi negara kebajikan yang mendaulatkan syariah. Tiada Parlimen yang boleh menghalangnya, tidak majoriti dua pertiga yang boleh menolak perintahnya. Tiada panglima seperti Jeneral Abdel Fattah As-Sisi yang boleh merampas kuasa kerana tidak mahukan hudud.

Sepatutnya baginda sudah isytihar lama dulu sebaik saja British melepaskan cengkamannya atas wilayah itu, tetapi mungkin dunia ketika itu tidak kenal apa hudud dan apa syariah dan bagaimana undang-undang yang hendak dilaksanakan, tetapi sekarang telah ada contoh yang boleh dijadikan asas, kerana Kelantan dan Terengganu telah ada kanun jenayah syariahnya, Aceh sudah cuba menguatkuasakan dan Pakistan ada telah dibuatnya.

Tidak salah melihat apa yang Iran buat. Ketepikan ciri Syiahnya, mungkin ada dalam pelaksanaan undang-undangnya yang boleh dipakai oleh pengamal Assunah Wal Jamaah.

Maka dengan khazanah yang ada itu Brunei tidak akan meraba-raba untuk melaksanakannya, dan sekarang adalah ketika yang belum lambat bagi Sultan Brunei untuk mendaulatkan perundangan negara Islam.

Mungkin ada rakyat Brunei yang mempertikai tindakan itu, tetapi ia adalah kebimbangan sementara. Sesudah terbukti keadilan dan kesaksamaan pelaksanaannya nanti, masing-masing akan merasai betapa selesanya peraturan itu.

Mungkin ada rakyat yang menyoal secara berbisik apa muslihat Raja bertindak demikian? Dalam Islam baik Raja atau Presiden yang dulu-nya dipanggil Khalifah, adalah kuasa ketiga yang wajib dipatuhi selepas Allah dan Rasul- Nya iaitu ulil amri.

Apabila ulil amri itu melaksanakan perintah Allah dan Rasul, maka dia adalah ulil amri yang tidak boleh ditakwil lagi. Derhaka kepada ulil amri seperti itu adalah derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya. Walaupun kepatuhan kepada ulil amri itu tidak mutlak, bergantung kepada kepatuhannya kepada Allah dan Rasul, tetapi Sultan Brunei mengumumkan pelaksanaan itu dibuat atas nama Allah dan Rasul-Nya.

Bagi meyakinkan semua tentang ketulenan pelaksanaan nanti adalah tepat mungkin Raja Brunei boleh berqias kepada pelaksanaan perbankan Islam masing-masing ada penal penasihat syariahnya bagi menjamin ia tidak tersasul. Maka baginda boleh membentuk penal syariah terdiri daripada ulama terkenal antarabangsa seperti Sheikh Yusuf Qaradhawi dan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kepatuhan kepada ulil amri dalam Islam tidak sama dengan kepatuhan kepada seorang diktator seperti Hosni Mubarak, Muammar Gaddafi, Joseph Stalin, Firaun dan Adolf Hitler. Kepatuhan kepada mereka adalah menjadikan rakyat sebagai hamba, dan mereka dipertahankan rakyat.

Ulil amri adalah pembimbing rakyat mematuhi Allah dan Rasul.

Suara dan teguran yang dihalakan kepada pemerintahan bukan justeru menderhaka atau menentang kerajaan, tetapi setiap kritik adalah ibadat bagi memandu ulil amri sentiasa adil dan bertindak tepat. Tentangan kepada diktator adalah kebencian tetapi teguran orang beriman kepada ulil amri adalah kerana sayang dan walak.

Diktator melihat teguran sebagai ancaman kepada kekuasaannya, tetapi Khalifah Abu Bakar dan Umar al-Khatab melihat teguran sebagai keperluan. Pelaksanaan syariah bukan sekadar untuk mencegah jenayah tetapi adalah program keadilan, kebajikan dan kemakmuran. Ia mencegah penyelewengan, rasuah, ketirisan dan pembaziran.

Sayidina Abu Bakaar as-Siddiq, Sayidina Umar al-Khatab dan Umar Abdul Aziz adalah ulil amri yang takut kepada Allah dan cintakan Rasul. Iman dan takwa menghalang mereka membiarkan penyelewe-ngan, pembaziran dan ketirisan. Mereka menjaga harta negara seperti menjaga harta mereka sendiri. Jika mereka mengagihkan harta mereka kepada anak-anak, bapa yang adil membahagikan sama rata dan tidak membiarkan ada anak yang tidak dapat pembahagian.

Ulil amri yang adil melihat rakyat sebagai anaknya sendiri. Maka mereka yang tinggi iman dan takwanya tidak akan membiarkan ada rakyat tidak dapat agihan kekayaan negara.

Mungkin 20,000 pengangguran dikatakan di Brunei itu antara sindiran Allah justeru, syariah diabaikan. Maka dengan terlaksananya syariah, Raja dan rakyat dilimpahkan nikmat iman dan takwa, maka lebih banyak tindakan kebajikan diteroka.

Pintu rezeki terbuka lebih luas kepada semua kerana orang beriman malu jadi penganggur dan malu tidak bekerja. Orang beriman yang malas akan ditanya di akhirat mengapa dia tidak mahu bekerja. Semua orang daripada Raja kepada rakyat akan dibuka Allah peluang berfikir dan tahu memikirkan apa patut dibuat dan bagaimana mahu hidup senang.

Saya terbaca satu rencana, tentang orang Badawi mendapati hasil tanamannya berganda. Lalu mereka sangka ia adalah justeru pemerintah bertukar kepada orang yang adil. Mereka tidak tahu khalifah barunya Umar Abdul Aziz. Tetapi limpahan rezeki itu adalah ganjaran Allah atas pemerintahan yang adil.

Sultan Brunei moga-moga dilimpahan petunjuk dengan tindakan terbarunya, maka perlu diberi baginda sokongan supaya hala tuju negara mengikut jejak Umar Abdul Aziz dengan masyarakat tidak lagi memerlukan zakat.

Tok Guru Nik Aziz selalu berkata, jika kerajaan jadi kerajaan Islam, maka PAS tidak perlu ada. Ia boleh dibubarkan. Walaupun saya tidak setuju, tetapi ia menggambar kerajaan yang adil tidak memerlukan parti khususnya pembangkang.

Peranan parti politik di Brunei berubah apabila Sultan melaksanakan syariah. Ia tidak wujud bagi mengambil alih kerajaan, tetapi ia wujud sebagai satu satu badan tambahan selain daripada agensi kerajaan bagi membantu kerajaan menjadi lebih dinamik dan segar.

Ketika itu saya akan jadi orang yang bertuah jika dapat menjadi warga Brunei hingga akhir hayat. Bukan untuk mendapat limpahan daripada kekayaan minyak, tetapi hendakkan ganjaran pahala berganda kerana Allah daripada ibadat dalam wilayah pelaksanaan peraturan Islam.

Sumber : http://m.harakahdaily.net/index.php/columnist/subky-latif/12932-perihal-abby-abadi-dan-ulama-muda

Written by Subky Latif

Rabu, 05 Sep 2012 04:22

Adapun Abby Abadi, seorang pendatang baru dalam PAS dan ketua Ulama Muda di pejabat Umno yang bernama Fathul Bari tidak ada kena mengena dan tidak ada sebarang hubungan. Mungkin keduanya tidak kenal mengenal dan mungkin juga tidak pernah bersua jumpa. Yang menariknya ialah Cik Puan Abby Abadi ini adalah seorang seniwati yang ada kedudukan dan ada pasaran dalam industeri perfileman.

Kita tidak tahu di mana dia mengaji  dan mendapat didikan agama? Tetapi di tengah memanjat puncak kerjayanya di dunia hiburan, dia terjun ke dalam arena perjuangan PAS dan berazam memupuk dan menegakkan akidahnya dan akidah umat. Dia menerima Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Haji Abdul  Hadi Awang sebagai pemimpinnya.

Manakala Syeikh Fathul Bari, seorang yang berstatus ulama muda, sudah tentu berpendidikan agama yang tinggi, jika tidak masakan dia dikenali sebagai ulama, anak bekas Mufti Perlis. Di mana dia mengaji tidak penting lagi tetapi dia adalah seorang ulama dan seorang pendakwah. Tetapi dia terjun dalam perjuangan Umno dan menerima Datuk Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin  Yasin sebagai pemimpinnya.

Tentulah pelik.

Seorang penghibur yang statusnya dalam agamanya adalah seorang awam saja memilih parti yang memperjuangkan Islam dan dipimpin oleh para ulama. Dunia yang digelumanginya selama ini adalah amat berbeza dengan cara hidup pemimpin dan penyokong PAS. Mungkin 10 tahun dulu tidak tahu apa-apa tentang luar dan dalaman PAS selain daripada yang didengarnya PAS adalah sebuah parti pembangkang yang memperjuangkan Islam. Yang dikatakan perjuangan Islam itu mungkin dia tidak tahu.  Tetapi sekonyong-konyong dia masuk PAS dan duduk sepentas dengan pemimpin-pmimpin yang antaranya tok-tok guru yang berserban dan berjanggut. Dia berazam untuk menghabiskan dunianya di situ.

Manakala ulama muda Fathul Bari pula sebagai anak mufti tentulah terdidik dari kecil dalam suasana Islami, dan sebagai ulama muda tentulah pergaulan dan hidupnya sentiasa dalam kawalan yang baik. Imej dan gambaran luarannya pun dilihat sebagai orang beragama. Mengikut bahasa orang  dulu gayanya itu adalah lebai. Peliknya dia tidak memilih parti yang memperjuangkan Islam seperti yang disertai Abby tetapi dia menyertai Umno yang perjuangannya sejak mula adalah sekular nasionalis.

Baik di bawah Dato’ Onn Jaafar, di bawah Tunku Abdul Rahman Putra dan lain-lain tidak menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan. Semua tokoh Umno itu tidak menolak Islam sebagai agama mereka tetapi mereka tidak menerima Islam sebagai garis perjuangan politik. Kesemuanya berkata bahawa Islam tidak sesuai bagi dijadikan dasar politik dengan dalih Malaysia tidak didiami oleh orang Islam saja.

Abby Abadi yang terhad pengetahuan dan fahamannya tentang Islam tidak memilih parti seperti Umno itu tetapi ulama muda yang terididik dalam  suasana  Islami memilih Umno dan menolak PAS yang disertai oleh majoriti ulama. Ajaib. Itulah kehendak Allah. Abby tidak memiliki kitab dan tidak pandai baca kitab menyertai perjuangan politik Islam, Fathul  Bari memiliki banyak kitab dan pandai baca kitab tidak menyertai parti Islam tetapi menyertai  parti nasionalis.

Saya tidak hendak menyamakan kejadian Abby dan Fathul ini dengan zaman kelahiran Rasulullah SAW di Mekah dulu. Orang Jahililyah Quraisy tidak pernah baca kitab. Yang baca kitab ialah Yahudi Bani Israil. Orang Quraisy dengar  orang Yahudi menunggu kelahiran Nabi Akhir Zaman. Apabila Nabi lahir, yang menunggunya tidak menyambutnya, tetapi Arab yang tidak tahu tentang isi kitab menerima kenabian itu.

Itulah kebesaran Allah.

%d bloggers like this: