Saya tidak menyedari bahawa web PDRM Sabah baru dilancarkan pada hari ini. Kebetulan saya ada sedikit tugasan rasmi dan secara kebetulannya melayari web berkenaan.

Statistik trafik di dalam web berkenaan menunjukkan 15, 798 kemalangan sepanjang 2009 dengan 346 kematian. Rekod ini meningkat berbanding 14,588 kemalangan pada tahun 2008 dengan 333 kematian.

Sementara dalam statistik narkotik (tangkapan memiliki dadah) terdapat 7223 kes dengan 7628 tangkapan dibuat atas pelbagai seksyen dalam Akta Dadah Berbahaya sepanjang 2009. Berbanding 5078 kes dengan 5471 tangkapan pada tahun sebelumnya.

Sebanyak 5104.68 gram dadah jenis syabu dirampas pada 2009 berbanding dadah jenis lain seperti ganja (3033.97 gram), ketamine (699.37 gram), eramin (438 biji) dan ecstasy (250 biji).

Sementara statistik tangkapan penagih menunjukkan penurunan ketara sejak 2005 hingga 2009. Seramai 35 orang ditangkap pada 2009 berbanding 450 pada 2008, 1490 pada 2007, 2010 pada 2006 dan 3666 pada 2005. Kesemua mereka positif dadah.

Dalam statistik jenayah keganasan seperti bunuh, samun berkawan tanpa senjata api, rogol, mencederakan manusia dan lain-lain, terdapat sedikit peningkatan iaitu 2013 kes pada 2009 berbanding 2000 kes pada 2008.

Dalam statistik jenayah harta benda seperti curi, ragut dan seumpamanya, 6744 kes direkodkan pada 2009 berbanding 7048 kes pada tahun sebelumnya, iaitu penurunan sebanyak 304 kes.

Statistik berkenaan dan juga maklumat lain boleh diikuti melalui laman web : http://www.sabahrmp.gov.my/

Saya berpandangan, para ustaz, ustazah, guru, imam, pensyarah dan seumpamanya perlu mengambil maklum statistik ini sebagai bahan ceramah atau kuliah di medan masing-masing, menyedarkan audien masing-masing bagi membantu pihak keselamatan mengurang dan menyelesaikan kadar jenayah yang berlaku.