Tag Archive: SPANS


JAMRI & HASSA

Tarikh : 13 Disember 2014

Lokasi : Tenggilan Tuaran

Pengantin : Md Jamri Ag Damit & Hassa Matjin

Alhamdulillah, saya berbesar hati dapat datang ke majlis pernikahan dua sahabat baik saya yang selamat disatukan pada hari ini di rumah pengantin perempuan. Meski kampung yang jauh ke dalam ini tidak pernah saya lalui, saya begitu gembira akhirnya tiba di sini dan bersama-sama meraikan hari bersejarah mereka.

Persahabatan saya dengan mereka bermula sekitar pertengahan 2008 apabila saya diundang mengajar al-Quran di pejabat mereka di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (SPANS) dan kedua mereka adalah rakan sepejabat yang bersama-sama belajar al-Quran di hadapan saya. Rekod tilawah mereka sangat bagus dan mereka berdua antara yang khatam al-Quran beberapa tahun kemudian.

Kepada Jamri dan Hassa, semoga Allah SWT memberkati pernikahan kalian berdua dan Allah mengumpulkan kalian di dalam kebaikan.

Nikah Jamri&Hassa (1) Nikah Jamri&Hassa (2) Nikah Jamri&Hassa (3) Nikah Jamri&Hassa (4) Nikah Jamri&Hassa (5) Nikah Jamri&Hassa (6) Nikah Jamri&Hassa (7) Nikah Jamri&Hassa (8) Nikah Jamri&Hassa (9)

Seingat saya, saya mula mengajar mengaji iqra dan seterusnya al-Quran bermula dengan kanak-kanak dan remaja pada tahun 1997 di kampung Sembulan Tengah di rumah keluarga mertua abang sulung saya. Saya juga pernah terlibat mengajar mengaji kepada saudara kita di Masjid Bandaraya, Likas.

Gaya dan pendekatan saya  ialah mengambil jalan yang susah kepada pelajar, iaitu mengaji seorang demi seorang bagi memastikan mereka boleh membaca secara individu.  Walaupun ada kawan-kawan yang mengajar dengan cara beramai-ramai dan serentak, saya tidak berkenan untuk saya praktikkan kaedah itu dalam kaedah mengajar saya.

Saya mahu melazimi mereka dengan sikap bersabar dan istiqamah dalam pembelajaran al-Quran (bahkan dalam ilmu apa juga sebenarnya). Kaedah itu, ada orang yang suka kerana sebahagiannya merasa tercabar dan mahu ditegur secara langsung, bukannya berselindung di balik kepandaian rakan-rakan mereka jika membaca secara serentak dan bersama-sama.

Namun ramai juga yang tidak suka kaedah itu. Kebanyakan alasan yang saya ketahui, kaedah itu lambat. Bukan lambat pandai, tapi lambat habis kerana saya mahu setiap orang khatam dengan tilawah masing-masing. Tidak mengapa kerana saya merasakan itu adalah proses pemutihan dan menguji kesabaran saya dan juga mereka.

Kaedah demikian juga saya terapkan semasa kelas al-Quran di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (SPANS) sejak April 2008 setiap tengahari isnin hingga khamis. Ia bermula dengan 3-4 orang, kemudian bertambah sehingga lebih 13 orang dan kemudian susut sedikit demi sedikit. Saya berhadapan dengan pelajar yang lebih berusia berbanding saya.

Pada 29 Disember lalu, setelah melalui tempoh antara dua tahun hingga dua tahun setengah, ada enam orang kumpulan pertama menamatkan kelas talaqqi al-Quran mereka. Saya bersyukur kerana satu majlis meriah mereka adakan di ruang legar pejabat berkenaan dengan dihadiri sendiri oleh Pengerusi SPANS Datuk Haji Ismail Awang Besar dan Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim yang tampil sebagai penceramah undangan.

Wakil di kalangan mereka berenam tampil berucap. Encik Mumin Rasam yang juga ketua kampung di Cenderamata Likas sebak dan mengalirkan air mata di hadapan yang hadir. Majlis ini suatu yang istimewa bagi mereka dan bermakna bagi saya juga. Saya melihat perubahan yang sangat baik di kalangan mereka dan paling menonjol sekali ialah Encik Mumin Rasam sendiri. Bukan setakat mengajinya, tetapi saya tahu beliau semakin rajin berjamaah di masjid.

Cik Hassa Matjin yang paling saya kagumi, memiliki kelas bacaan yang tersendiri dan terbaik sejak awal sementara Sdr Jamri Awang Damit dan Metan Julan tidak kurang kelancaran mereka dan sering bersaing sesama mereka. Kak Jijah Sirom barangkali antara yang teruk ‘menderita’ dengan teguran dan sasaran kemarahan saya. Namun saya wajar tabik kepadanya yang cukup bersabar menerima teguran bermula dari iqra sehingga khatam al-Quran dalam tempoh dua tahun setengah. Tuan Haji Said sebagai antara pelopor kelas ini walaupun yang terakhir khatam tetapi tetap bersungguh apatah lagi beliau melihat satu demi satu rakannya khatam al-Quran lebih awal.

Saya menyanjung tinggi tazkirah Ustaz Haji Muchlish yang mengingatkan agar pengajian al-Quran tidak sepatutnya habis dengan hanya belajar membaca. Belajar membaca al-Quran merupakan satu permulaan, bukan suatu penamat. Beliau turut mengungkapkan bahawa majlis khatam adalah suatu majlis yang dirahmati, disertai oleh para malaikat utusan Allah SWT. Biarlah majlis khatam dan sijil khatam berkali-kali pun tidak mengapa, katanya.

Saya terus dipelawa untuk mengajar al-Quran kepada warga SPANS, namun saya terpaksa menjelaskan bahawa saya mesti memberi tumpuan terlebih dahulu kepada beberapa peminat al-Quran di beberapa buah jabatan dan syarikat swasta lain yang turut menempah saya lebih awal sebelum kembali ke sini. Bahkan sedang majlis khatam berlangsung, saya sempat dihubungi lagi oleh wakil sebuah jabatan yang lain.

Saya wajar berterima kasih tidak terhingga khususnya kepada Datuk Haji Ismail Awang Besar atas sokongan beliau dalam program ini sejak awal lagi, juga bantuannya yang tidak henti-henti kepada saya, juga Setiausaha SPANS Tuan Yunos yang juga pernah bersama-sama mengaji pada peringkat permulaan. Saya dikhabarkan beliau sedang bercuti sebelum bersara wajib dalam tempoh terdekat. Seterusnya kepada seluruh JK Badan Kebajikan Islam SPANS warga SPANS amnya. Insya Allah, saya masih mahu menyumbang di SPANS suatu hari nanti.

 

30 BULAN

Satu penamat pada hari yang mulia, apabila Kak Jijah Sirom yang menadah al-Quran dengan saja sejak lebih dua tahun lalu akhirnya khatam al-Quran pada 9 Zulhijjah, selasa lalu, sehari sebelum hari raya adha di pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (SPANS).

Sejujurnya, saya sangat menghormati dan tabik pada beliau kerana  begitu ‘tahan tukul’ dengan saya. Beliau asalnya bermula dengan mengaji al-Quran, namun kemudian saya turunkan ke Iqra 1-6 kerana tidak berpuas hati dengan prestasi beliau. Beliau akur dan bertahan, sedang rakan-rakan bersamanya sudah jauh meninggalkannya juzu’ demi juzu’.

Dalam tempoh itu ada juga beberapa rakan mereka yang lain yang menarik diri dan gugur di tengah jalan, barangkali sebahagian puncanya adalah  kerana tidak ‘tahan tukul’ tadi. Maklumlah, yang mengajar lebih muda berbanding yang belajar. Teguran apabila salah dalam bacaan, bukan semua boleh terima.

Kak Jijah saya akui puas saya tegur dan marah tapi dia masih bertahan sehingga ke hujung. Beliau mengakui pernah mengalirkan air mata dan menangis akibat teguran saya. Saat beliau menamatkan bacaan sehingga surah an-Nas, kemudian mengulang sedikit surah al-Fatihah dan lima ayat terawal  al-Baqarah, saya mengucapkan tahniah kepadanya.

Semoga pengajian dan pembelajaran akan sentiasa berterusan. Insya Allah, majlis rasminya akan diadakan pada bulan Muharram nanti.

MAJLIS QURBAN SPANS

Hampir setengah jam di Perpustakaan Awam Penampang, saya mengundur diri untuk ke Tg Aru pula.

Lokasi berikutnya ialah rumah Tuan Hj Said Osman, menziarahi lokasi program penyembelihan qurban bersama warga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (SPANS).

Saya tiba ketika acara lapah melapah dan potong memotong hampir sampai ke penghujungnya. Melihat kerjasama erat mereka, di sinilah terzahirnya antara hikmah ibadah qurban diadakan.

Tahun ini SPAN menumbangkan 2 ekor sapi atas nama warga mereka yang mempunyai sedikit kelebihan rezeki untuk berqurban diketuai oleh pengerusinya Datuk Hj Ismail Ag Besar.

Ada juga persoalan yang mereka bangkitkan ketika saya hadir sekejap.

Rumusannya, insya Allah tahun depan kita akan buat satu kursus tentang penyembelihan, sama ada sembelihan biasa, qurban atau aqiqah dan yang berkait dengannya.

EMPAT YANG KHATAM

Md Jamri Ag Damit

Saya memulakan kelas mengaji al-Quran di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (SPANS) pada 7 April 2008.

Asalnya bermula dengan permintaan salah seorang warga di sana, abang Rusdi Belun.

Anaknya Md Nazri sebelum itu pernah mengaji dengan saya di Masjid Negeri semasa saya bertugas di sana, dan ketika di Istana juga kelas berkenaan masih berjalan.

Cukup sebulan saya berpindah ke JHEAINS di Wisma MUIS, abang Rusdi terus menangkap saya menyatakan hasrat mereka.

Pelawaan itu saya sambut dengan senang hati dan tanggungjawab. Memang kegemaran saya mengajar mengaji, dan masa rehat isnin – khamis dimanfaatkan di pejabat mereka.

Kelas bermula dengan 3 orang. Hj Said Osman, Hj Matni Untong dan Rusdi sendiri. Ia kemudian berkembang dan bertambah sehingga pernah mencecah 18 orang secara keseluruhannya menurut perkiraan saya.

Sebagaimana kelas orang lain, ia ada pasang surutnya.

Ada yang bertahan sekali sahaja, ada yang sanggup beberapa bulan, setengah tahun dan sebagainya. Ada yang ‘berehat’ beberapa bulan sebelum muncul semula dan ada pula yang berehat terus.

Alhamdulillah, itu semua tidak menghalang kelas daripada terus berjalan sehingga hari ini.

Jarang sekali saya membatalkan kelas harian itu kecuali saya berada di luar kawasan atau benar-benar berhalangan. Biasanya, saya cari juga jalan untuk hadir walaupun lambat.

Minggu lepas, sudah ada 4 orang yang khatam. Saya tinggalkan coretan ikhlas tentang prestasi mereka di sini sebagai penghargaan saya kepada mereka berempat kerana ketabahan bertalaqqi bersama-sama.

Saya kurang pasti adakah akan bertemu mereka lagi setelah mengaji bersama sejak setahun setengah lalu.

Md Jamri Ag Damit memulakan kelas pada 6 Mei 2008 dan khatam pada 2 Nov lalu. Bacaannya sangat baik. Saya menjangka beliau mempunyai asas al-Quran yang baik, selain terlibat sebagai muazzin di masjid kampungnya di Takis Papar.

Hanya ada sedikit-sedikit kesilapan yang berlaku, mungkin kerana sudah terbiasa. Walaubagaimanapun, dia juga antara yang terbaik setakat ini.

Abd Mumin Rasam yang saya panggil ketua, kerana beliau seorang ketua kampung di Kg Cenderamata Likas. Beliau menyertai kelas ini pada 22 April 2008 dan khatam pada 3 November.

Saya melihat kesungguhan beliau mengaji, walaupun ada kalanya tersekat-sekat membetulkan makhraj dan sifat huruf. Walaupun ruang kesalahan itu masih boleh diperbaiki, beza antara dahulu dan kini sudah jauh berbeza.

Hassa Matjin, adalah yang paling menonjol dan terbaik daripada kalangan mereka. Jarang melakukan kesilapan bahkan bagi saya dia berada setingkat di atas berbanding yang lain. Semua mengakui kebolehannya.

Kebolehannya itu bagaimanapun tidak menghalang dia untuk terus bertalaqqi dengan saya sejak 16 April 2008 sehingga 3 November lalu. Diantara 4 yang khatam, kehadirannya sangat konsisten.

Hassa ini berumur 31 tahun dan masih bujang. Menurut khabar paling sahih, hatinya masih kosong daripada ditawan mana-mana lelaki. Yang berkenan dan serius, boleh menghubungi saya. Boleh saja jadi orang tengah.

Metan Julan, menyertai kelas sejak 17 April 2008 dan khatam bersama 3 yang lain pada 3 November lalu.

Walaupun perlahan, tetapi juga konsisten dan sering mendahului serta bersaing di hadapan berganti-ganti dengan Hassa hampir sepanjang tahun.

Masing-masing mereka berempat sudah selesai sehingga surah an-Naas, hanya menanti masa untuk mengadakan majlis khatam secara rasmi.

Jauh ketinggalan ialah Hj Said di pertengahan al-Quran, Kak Jijah pada juz 12, Puan Nurul di awal Ali Imran dan beberapa yang lain.

Sebagaimana kata Hj Said yang menyelia kelas ini, penyertaan sentiasa dibuka kepada yang berminat termasuk yang sedang berehat dan pernah mengaji sebelum ini.

Sering saya katakan kepada mereka, mengaji dan bertalaqqi memerlukan kesabaran dan istiqamah yang tinggi. Memang ada yang mahu cepat, sehingga hilang dan kurang sabar lalu mengundur diri.

Mungkin juga ada yang tidak tahan dengan gaya saya, wallahu a’lam.

Kepada yang khatam, bukanlah bermakna al-Quran terus ditutup dan tidak dibaca lagi. Proses berikut ialah memahaminya pula.

KK Abd Mumin Rasam

Hassa Matjin

Metan Julan

IMG_8276

Datuk Ismail berkopiah kelabu

Sebenarnya apabila dijemput hadir dan mengisi program dalam majlis mereka sabtu lalu di Wisma MUIS, tidak jelas adakah terdapat tazkirah untuk mereka yang hadir.

Semahunya, saya ingin mengisi program dengan sedikit santapan rohani, bukan semata-mata jasmani dengan jamuan berbuka dan moreh saja.

Saya sendiri hadir kira-kira 10 minit menjelang maghrib, sementara warga SPANS belum begitu ramai. Sesudah maghrib pula mereka merancang makan berat. Fikir saya, bilakah tazkirah akan diadakan.

Ketika makan, banyak yang dibualkan khususnya bersama Pengerusi SPANS Datuk Hj Ismail Ag Besar yang sudah saya kenali sejak zaman sekolah lagi.

Secara umumnya beliau banyak membantu saya khususnya dalam perkhidmatan awam dan juga memberi nasihat dan perangsang dalam mengadakan aktiviti dakwah dan kemasyarakatan. Beliau juga sering memberi sumbangan dalam bentuk kewangan dan material dalam program yang kami diadakan.

Beliau ada menceritakan kurang senangnya dalam satu majlis berbuka puasa di tempat lain sebelum kami bertemu malam itu, kerana di dalam majlis tersebut tiada tazkirah.

Itu satu peluang baik saya mencari ruang menyampaikan tazkirah.

Beliau juga jujur bercerita tentang keadaan masjid negeri kini serta cabaran-cabaran yang berlaku. Beliau adalah pengerusi JK masjid sejak 4-5 tahun lalu.

Saya tidak berhasrat menceritakan itu semua melainkan beliau mengharapkan pentadbiran masjid bangkit dengan aktiviti yang rancak seperti mana zaman Ust Nahar memimpin dahulu.

Beliau mengakui kesuraman itu kini.

Selesai solat isyak, tarawih dan witir, saya mengambil masa untuk menyampaikan tazkirah selama 10 minit.

Majlis berakhir dengan jamuan moreh sekitar 9.15 malam. Kami turun bersama dan beliau menceritakan beberapa harapannya terhadap saya.

Adalah.

%d bloggers like this: