IMG_5918

Pagi tadi pula, saya mengisi ceramah yang sama di Sektor Pengurusan Akademik (SPA), Jabatan Pelajaran Sabah, Bangunan KUWASA.

Rasanya, ini adalah ceramah isra & mi’raj yang ke-6, selepas RTM, GiatMARA, Kg Dumpiring Atas Kundasang, Kg Pelakat Sipitang dan Kg Serigai Putatan.

Hari ini saya tumpukan ceramah tentang pengajaran menerusi ayat 1 surah al-Isra’. Masa yang terbatas, tidak mengizinkan saya bercakap lebih lama.

Tetapi, yang lebih utama di sini ialah aplikasi kita untuk menjadi hamba Allah melalui contoh yang santai dan mudah, seperti zikir harian, solat fardhu, serta pergerakan seharian.

Sebenarnya, saya seronok berceramah kerana peluang berkongsi ilmu dan pendapat serta ruang berbuat pahala yang banyak kerana kemungkinan besar ilmu yang kita kongsikan itu diamalkan sama oleh para pendengar selepas ini.

Tambahan pula, berhadapan dengan pegawai-pegawai di SPA, saya seronok melihat kebanyakan mereka tidak lekang dengan pen dan buku, mencatat apa yang patut.

Tetapi satu segi yang lain, kadang-kadang saya tertanya-tanya juga apakah dengan banyaknya jemputan ceramah itu menunjukkan kita kekurangan penceramah dan pendakwah?

Bukan hendak mengangkat diri, tetapi saya mendapati beberapa rakan-rakan ustaz seperti tidak menang tangan menerima jemputan ceramah, sehingga dalam beberapa keadaan terpaksa menolak jemputan yang diberikan. Habiskah sudah penceramah dan pendakwah kita?

Sebenarnya di luar sana, terlalu ramai ustaz dan ustazah yang mampu berceramah dengan lebih hebat dan baik, tetapi tidak disedari oleh penganjur.

Satu hal pula, mungkin ada ustaz dan ustazah yang juga tidak menyedari mereka boleh berceramah dan sangat diperlukan oleh masyarakat untuk membimbing mereka.

Di mana ada sekolah, di sana ada ustaz dan ustazah. Panggillah mereka untuk berceramah dan berkuliah. Bukan hanya untuk hari kebesaran Islam, tetapi dalam kuliah tetap yang disusun secara berkala.

Terima kasih kepada Puan Hjh Nuri Udin, Ketua SPA bersama warganya yang hadir. Dalam kita bergembira, tersengih, tersenyum dan ketawa, ambillah pengajaran dan teladan. Itulah yang lebih aulanya.

IMG_5917