Tag Archive: Solat Berjamaah


Belum ada tanda-tanda surut atau pengurangan bilangan jamaah zuhur di Masjid Negeri Sabah buat minggu ketiga. Saya kira ini satu perkembangan yang sangat baik terutamanya dalam mengaplikasikan solat berjamaah. Pengamatan saya yang turut berjamaah ialah para penjawat awam di sekitar Wisma MUIS, Rumah Persekutuan, Bangunan JKR, USIA, Bomba dan para pelajar sekolah yang kesemuanya mengelilingi lokasi Masjid Negeri Sabah ini.

Minggu ini tazkirah zuhur juga akan terus berlangsung antaranya topik al-Makkatul Mukarramah oleh Ustaz Haji Mohd Israq Ramli (UMS), Iktibar Perang Badar Kubra oleh Ustaz Mohd Annuar Ali (Sri al-Hafidz), Hak muslim ke atas muslim oleh Ustaz Arbaen Shawal (Jabatan Pelajaran), Mencari Lailatul Qadar oleh Ustaz Haji Awwaluddin Nasution (JHEAINS) dan lain-lain.

Ini pula suasana pada minggu kedua di Masjid Negeri Sabah, Kota Kinabalu ketika solat zuhur pada isnin 8 Ogos 2011 bersamaan 8 Ramadhan 1432H. Berbanding dengan suasana minggu pertama tempohari, secara keseluruhannya, kehadiran jamaah yang hadir masih belum berubah atau berkurang, iaitu sekitar 3/4 dewan utama solat (tanpa mengambil kira mereka yang masbuq dan solat di tingkat bawah). Kapasiti dalam dewan utama ini seingat saya mencapai sekitar 900 ke 1000 jamaah pada satu-satu masa.

Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah juga mengadakan tazkirah selepasnya sekitar 30 minit yang dipimpin oleh para ustaz dan ilmuan secara bergilir-gilir. Pada 3 Ramadhan tempohari, seorang doktor perubatan juga diundang menyampaikan tazkirah berkenaan topik rokok. Ustaz Abu Hurairah juga mengisi slot hari keempat dengan menyampaikan topik sejarah Bani Israil yang menarik perhatian jamaah.

Semoga berterusan. Kita tunggu pula suasana minggu ketiga.

LETAK MA’MUM

Ketika hanya berdua dalam solat berjamaah, kedudukan seorang ma’mum hendaklah berada di belakang sedikit di  kanan imam imam. Terdapat kesilapan dalam solat dua remaja ini di dalam solat mereka. Namun kesungguhan mereka mendirikan solat secara berjamaah adalah sesuatu yang sangat baik.

 

Betapa gembiranya di hati apabila diundang mengisi program di Asrama Putera SMA Toh Puan Hajjah Rahmah di Sembulan pada malam sabtu lalu.

Saya diperkenalkan sebagai alumni sekolah ini dan pernah tinggal di bilik 3 asrama berkenaan. Tersenyum juga saya mendengarnya. Terkenang kembali kenangan di bilik berkenaan pada hujung 1991-1995.

Terkenang abang Norali Ag Damit, Jurin Juharif, Asman Md Ali, Juhidin Jukilin, Shawal Moktar, Darwis Jati, Amir Arapa, Umarang Tjokke, Herwan Harun, Ridhuan Hussin dan ramai lagi yang pernah menjadi rakan sebilik.

Mengisi program di sekolah yang pernah membentuk diri saya khususnya dalam ilmu-ilmu agama ini sesuatu yang saya nanti sekian lama. Hendak meminta, terasa malu tetapi hendak sangat membantu sekolah sendiri.

Saya langsung menerima undangan Ust Hj Safri, salah seorang guru di sana yang juga rakan sekolah (junior) di sana. Program diadakan di surau yang dahulunya sebahagian daripada dewan makan. Surau lama yang penuh kenangan telah musnah dalam kebakaran tahun lalu. 

Pengisian berkaitan dengan solat berjamaah khususnya membimbing pelajar tingkatan 6 sebagai imam solat, apatah lagi mereka bakal berhadapan dengan masyarakat sesudah ini.

Ceramah sejam setengah yang dihadiri oleh semua pelajar asrama, turut menguji kesahihan bacaan surah al-Fatihah pelajar tingkatan 6. Alhamdulillah, untuk setakat itu bagi saya mereka semuanya lulus. Hanya sedikit kesalahan kecil sifat huruf yang boleh diperbaiki dan tidak menjejaskan sah solat.

Hanya masa yang terbatas, kami tidak dapat praktikal yang lebih panjang khususnya menyemakan pergerakan solat, bacaan wajib dan sunat serta wirid-wiridnya. Insya Allah, jika diundang lagi saya dengan tangan terbuka menerimanya, tambah lagi saya dimaklumkan tidak banyak pengisian harian (khusus maghrib-isyak) di surau asrama.

Sebenarnya ingin juga saya mengisi program di peringkat aspuri dan sekolah. Terima kasih Ust Hj Safri, Ust Hj Sahudin dan Cikgu Musali serta adik-adik yang memberi perhatian. Saya gembira sekali dapat membantu.

%d bloggers like this: