Tag Archive: SMPO


BERTEMU KELUARGA ANGKAT

“Dia ni lahir songsang ni..” demikian kata-kata ibu Hajah Amit kepada kami menunjuk kepada saya sejurus kami tiba di rumah beliau. Kami semua tertawa ketika masih belum duduk di kerusi sofanya. Ia mengimbas kenangan dan kisah lebih 31 tahun lalu.

***

Sekembali kami dari berziarah di Kg Gelapas Trusan Lawas, tiba di rumah Pakcik Haji Zainal Timbang di Kampung Buang Sayang sekitar jam 5.30 petang. Saya berunding dengan isteri berkira-kira hendak pulang ke Kota Kinabalu seusai solat jamak maghrib dan isyak di rumah berkenaan. Hampir maghrib, bapa bertanya, “Mau ziarah mama angkatmu?”

Saya terkejut dan mengingat semula nostalgia lama. Saya tidak tahu kisahnya, tapi teruja. Mesti menarik, bisik saya. Saya lahir pada 1979 di Kampung Buang Sayang Sipitang. Lebih tepatnya di rumah guru, SMK Pengiran Omar Sipitang ketika itu bapa bertugas sebagai pengetua di sana. Saya diberitahu, dalam adik beradik kami, hanya saya yang lahir di Sipitang sementara yang lain semuanya di Labuan.

Selesai maghrib, kami sebanyak tiga buah kereta bergerak ke sana. Hati saya berdebar juga sebenarnya. Saya baru tahu bahawa saya punya keluarga angkat. Bapa kata, selesai dilahirkan, saya diangkatkan kepada keluarga jururawat ini. Hajah Amit dikenali di daerah ini sebagai seorang jururawat dan sekaligus bidan selama perkhidmatannya lebih 36 tahun.

Bayi itu (saya) asalnya didapati songsang dalam perut emak, lalu atas pengalaman dan kepakarannya boleh mengurut dan memutar kedudukan bayi agar lahir secara normal. Perlu diingat zaman itu belum ada cerita scan dan doktor pakar seperti sekarang. Justeru kepakaran dan kebolehan Hajah Amit begitu diperlukan, khususnya di Sipitang ini. Barangkali terhutang budi dan jasanya, saya langsung dianak angkatkan kepada mereka.

Selain kisah saya dilahirkan songsang itu, pertemuan jejak kasih yang bersejarah ini juga menemukan bapa dengan suami Hajah Amit iaitu Cikgu Pengiran Haji Abdul Rahman, yang sudah bersara dari perkhidmatan perguruan beberapa tahun lalu. Nampaknya kami semua gembira dengan pertemuan ini. Mereka mengimbas kembali saat-saat berkhidmat dahulu tambahan lagi bapa bertugas di sini sekitar 3-4 tahun pada akhir 70an.

Ngian bersemangat menceritakan nostalgia mereka apatah lagi kisah beliau diserang angin ahmar beberapa ketika lalu. Lebih emosi mereka berdua saling bercerita detik anak sulung mereka, Pengiran Adnan yang kembali kerahmatullah ketika berumur 37 tahun empat tahun lalu setelah lemas di laut tidak jauh dari pantai SMKPO dalam cuaca yang tidak begitu mengizinkan. Allahyarham adalah rakan abang saya ketika mereka belajar bersama-sama.

Satu

Peristiwa dihambat dengan rotan pada awal tahun 1986 masih diingat.

Pagi-pagi saya bersekolah kebangsaan yang terletak hanya sebelah rumah. Dengan takdir Allah SWT juga mulai tahun itu diwujudkan sekolah agama pada waktu petang, menumpang bangunan sekolah kebangsaan.

Hairan juga mengingatkan, ke sekolah kebangsaan saya suka dan semangat sekali. Namun kembali pada waktu petang untuk sekolah agama saya begitu takut. Payah dipujuk dan diugut.

Sekali itu saya bersembunyi di balik pintu dapur kerana tidak mahu ke sekolah agama. Saya dirotan dan dibawa ke sekolah menangis-nangis.

Dua

Akhir 1991, saya diterima masuk belajar di Sekolah Menengah Ugama Islam Toh Puan Hajjah Rahmah Kota Kinabalu.

Tinggal jauh daripada kedua orang tua, itu pengalaman baru dan mendebarkan. 

Pada awal tahun itu ketika dalam darjah 6, saya pernah berpisah dengan keluarga buat beberapa hari kerana mewakili WP Labuan dalam Musabaqah Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Sabah di SMK Bingkor Keningau.

Saya serombongan dari Labuan, antaranya bersama dengan Ust Zulkarnain Ali (blogger http://mesrarakyat.wordpress.com/. Saya darjah 6 dan dia darjah 4. Saya wakil tilawah dan dia wakil hafazan.

Masuk ke sekolah TOPUHARA diiringi oleh bapa, dia bercerita tentang zaman Malaysia yang dilihatnya semakin cerah dengan sinar Islam. Asbabnya, Anwar Ibrahim yang muncul sebagai tokoh gerakan Islam dalam kerajaan Malaysia berpotensi sebagai Perdana Menteri.

“Belajar rajin-rajin, nanti jadi peguam Islam. Masa tu Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri. Islam lebih baik di Malaysia” Begitu lebih kurang nasihatnya.

Tiga

Akhir 1994, kerajaan negeri memutuskan untuk menubuhkan Maahad Tahfiz al-Quran yang beroperasi di Masjid Negeri Sabah mulai 1995. Takdirnya juga, pelajar yang dicari ialah lepasan PMR, iaitu umur kami ketika itu.

Puas diiklan, diceritakan dan dipujuk, saya tidak terfikir untuk menyertainya.

Ust Hj Muchlish yang ketika itu masih bertugas di SMUI Toh Puan Hajjah Rahmah memanggil saya :

“Bapa kamu mahu kamu masuk tahfiz”. Ust. Muchlish adalah rakan baik bapa saya ketika mereka sama-sama berkhidmat di Sipitang, daerah kelahiran saya.

Ketika itu saya buat donno saja. Akhirnya tidak lama saya masuk bersama rakan-rakan lain.

Empat

Bapa saya, Hj Othman Mahali dilahirkan pada 17 Januari 1944 di Labuan. Memulakan persekolahannya di Sekolah Rendah Kerajaan Labuan pada 1951.

Beliau pernah menjadi guru di beberapa buah sekolah seperti SMK Labuan, SMK Pengiran Omar Sipitang dan SMK Membedai Labuan dengan memegang pelbagai jawatan bermula sebagai guru biasa, guru penolong, Penolong Kanan dan Pengetua.

Tepat 11 tahun lalu beliau bersara dalam dunia pendidikan dengan jawatan terakhir sebagai Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) di Pejabat Pendidikan WP Labuan.

Kini selain dengan perniagaan HOM Enterprise di bandar Labuan, beliau dalam usia 66 tahun masih aktif dengan aktiviti sastera dan penulisan dalam Persatuan Penulis WP Labuan (PERWILA) yang beliau diantara pengasasnya.

Alhamdulillah dengan kesihatan yang Allah SWT berikan, beliau juga aktif dengan aktiviti pengimarahan sebagai pengerusi JK Masjid al-Muzakkirullah Kg Lubok Temiang dan juga dalam Pertubuhan Peladang Kawasan WP Labuan.

Sebagai anak, saya menzahirkan perasaan kasih dan sayang melalui blog ini dengan kisah-kisah suka duka dan pahit manis yang saya catatkan sebagai kenangan untuk diabadikan bersama.

Semoga Allah memberi kesihatan yang baik dan ketenangan dalam beribadah pada saat-saat usia emas sebegini bersama seluruh keluarga. Saya, isteri dan anak-anak mendoakan.

Gambar di atas dicilok daripada facebook babu Ika dalam kenduri keluarga untuk Nenek Aji dan Pacik Onn yang tarikh lahir mereka serentak pada 17 Januari. Seorang 1944, seorang lagi 1968.

Gambar Nenek Aji bersama 9 daripada 18 cucu yang berada di WP Labuan. Sembilan orang cucu lagi berada di KK.

IMG_3325Walau dalam keadaan banyak hambatan lain, seperti suara yang masih kurang baik, sakit gigi ditambah lagi ada majlis perkahwinan di Kota Kinabalu, saya meluangkan sedikit masa untuk hadir lagi ke Sipitang khususnya di Sekolah Menengah Pg Omar (SMPO).

Saya bertolak jam 7.15 pagi tadi dan tiba sejam setengah kemudian. Jadual ceramah sebenar pada jam 8.30 pagi dianjak setengah jam kemudian. Tiba di sana, saya terpaksa pula menanti 45 minit lagi sebelum dapat memulakan ceramah pada 9.30 pagi kerana masalah PA system.

IMG_3313Saya pula keberatan berceramah tanpa pembesar suara kerana keadaan suara yang belum mengizinkan. Ceramah berkenaan ibadah saya fokuskan tentang keluasan makna ibadah dalam Islam termasuk dalam soal ibadah umum dan khusus.

Terima kasih atas kepercayaan adik-adik di PSS khususnya Ustazah Feriza Berahim di SMPO dan rakan-rakannya dari PSS Kota Kinabalu pimpinan Sdr Fairuz Bend.

IMG_3317

IMG_3322Saya selalu menyedari dan mengingatkan Fairuz khususnya bahawa saya bukan penceramah yang baik dan sesuai berhadapan dengan remaja dan pemuda kerana ia memerlukan semangat dan lontaran suara yang tersendiri.

Sedangkan saya lebih selesa di hadapan orang kampung dan dewasa dengan lebih santai dan bersahaja. Tetapi itulah namanya pengalaman dan mengambil cabaran.

Maafkan saya kerana terpaksa bergegas balik. Tepat sejam berceramah, saya kembali ke Kota Kinabalu untuk kenduri kahwin di Kg Likas.   

IMG_3324

%d bloggers like this: