Tag Archive: SMKA Kota Kinabalu


Tarikh : 27 Okt 2013

Lokasi : Surau ar-Rahman, SMKA Kota Kinabalu

Terima kasih atas insiatif Ustaz Haji Nik Anwar Zakaria yang mengusahakan ceramah promosi ini diadakan di sekolah ini. Saya dimaklumkan ia atas kehendak dan keinginan pihak pengetua sendiri yang mahukan ada kalangan pelajar di sini menyambung pengajian di maahad tahfiz.

Kali terakhir lepasan sekolah ini menyertai maahad ialah 3 tahun lalu iaitu seorang pelajar perempuan yang baru sahaja menamatkan pengajian di maahad dan kini bakal menyambung pengajian ke Mansoura Mesir.

Sementara dalam pengambilan lepas, ada seorang calon mereka yang sebenarnya lulus markah temuduga tetapi kerana persaingan sengit, markahnya sedikit di bawah. Kami berharap pihak sekolah terus menghantar wakil mereka khususnya pelajar-pelajar terbaiknya ke maahad pada tahun hadapan.

SMKA KK (1) SMKA KK (2) SMKA KK (3) SMKA KK (4) SMKA KK (5) SMKA KK (6) SMKA KK (7) SMKA KK (8) SMKA KK (9) SMKA KK (10)

Tarikh : 30 Julai 2013 (Selasa)

Lokasi : Surau SMKA Kota Kinabalu

Tiga tahun lalu saya pernah datang ke sini berceramah atas sambutan nuzul al-Quran juga. Kali ini atas misi yang sama saya diundang sekali lagi. Berceramah di sini sangat mengundang perasaan serba salah kerana saya di hadapan dan kiri saya ramai para ustaz ustazah yang saya kenali bahkan menadah ilmu daripada mereka.

Justeru saya bagai tidak boleh berceramah melainkan bercerita sahaja kepada anak-anak di sini. Menceritakan tentang niat, tilawah, hifzul Quran dan sebagainya. Lebih mudahnya mereka adalah pelajar sekolah agama yang mempunyai asas yang baik. Semoga perkongsian ilmu diberkati oleh Allah SWT dan terima kasih atas kesudian pihak sekolah mengundang sekali lagi.

SMKA KK (1) SMKA KK (2) SMKA KK (3) SMKA KK (4) SMKA KK (5)

Kami – rombongan dari Maahad Tahfiz al-Quran – berasa berbesar hati kerana turut sama meraikan jamuan akhir tahun Kelab Kemahiran al-Quran, SMKA Kota Kinabalu sempena akhir tahun sebelum cuti persekolahan. Undangan spontan disampaikan sejurus kami selesai mengadakan ceramah promosi Maahad Tahfiz di surau sekolah berkenaan.

Sahabat saya Ustaz Amir turut menceritakan sedikit sebanyak tentang perkembangan KKQ mereka, dan saya menyimpulkan bahawa di kalangan ahli KKQ sekolah ini ada yang berpotensi untuk diketengahkan bakat-bakat bertilawah, hafazan dan sebagainya. Saya doakan mereka semua menjadi ahli-ahli al-Quran dunia dan akhirat, menjadi generasi al-Quran yang menegakkan Islam di dalam tanah air. Insya Allah.

Saya dan Ustaz Suhaidi Kuanting diberikan amanah oleh pihak maahad untuk melakukan kerja-kerja mempromosi Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat Negeri Sabah kepada umum dengan sasaran khusus ke sekolah-sekolah menengah agama kendalian JHEAINS, SMKA-SMKA dan SMK biasa yang mempunyai Kelas Aliran Arab (KAA) yang terpilih.

Ada beberapa alasan program ini tertangguh lama terutama kesibukan menyiapkan majalah maahad buat kali pertama. Ketika maahad bercuti 3 minggu sebelum ini, pihak sekolah yang menjadi sasaran kami pula kebanyakannya sedang menjalani peperiksaan semester atau persediaan peperiksaan. Namun begitu hubungan yang baik dengan beberapa sekolah sehingga ceramah promosi maahad dapat dianjurkan.

Membuka tirai tugasan kami kali ini ialah ceramah di SMKA Kota Kinabalu yang diadakan di surau sekolah mereka. Lebih 200 pelajar putera dan puteri hadir dan mendengar taklimat yang saya sampaikan di Surau ar-Rahman. Taklimat sekitar sejam sahaja merangkumi tentang sejarah maahad, program akademik dan ko-kurikulum, subjek pengajian, yuran dan kemudahan yang disediakan, syarat kemasukan serta peluang-peluang melanjutkan pengajian selepas maahad.

Terima kasih atas peluang yang diberikan khususnya buat Ustaz Amir Hussin Baadul dan semua warga SMKAKK yang hadir. Saya dan rombongan – 4 orang siswa maahad yang menemani perjalanan gembira dapat berziarah dan bertemu mata. Insya Allah kami menanti wakil SMKAKK menjadi sebahagian warga maahad pula pada tahun hadapan.

%d bloggers like this: