Tag Archive: SMK Tebobon


Tarikh : 3 Julai 2015 (Jumaat)

Lokasi : SMK Tebobon Kota Kinabalu

20150703_164201 20150703_164216 20150703_164244 20150703_164258 20150703_164340 20150703_164359 20150703_164641 20150703_164649 20150703_164656 20150703_165009 20150703_170249 20150703_170517

Tarikh : 26 Mei 2014

Lokasi : Dewan Terbuka SMK Tebobon

Antara sekolah yang saya gemari untuk mengisi program ialah di sekolah ini. Guru-guru yang baik hati dan para pelajar yang spoting. Kali ini mengisi ceramah sempena Israk & Mikraj, menyatakan pengajaran dan iktibar kepada para remaja seumur mereka. Mudah-mudahan ada kebaikannya. Terima kasih pihak sekolah yang mengundang dan anakanda pelajar saya Mohd Karim Jamil yang menemani dalam perjalanan.

IsrakMikraj@SMKTebobon (1) IsrakMikraj@SMKTebobon (2) IsrakMikraj@SMKTebobon (3) IsrakMikraj@SMKTebobon (4) IsrakMikraj@SMKTebobon (5) IsrakMikraj@SMKTebobon (6) IsrakMikraj@SMKTebobon (7) IsrakMikraj@SMKTebobon (8)

Tarikh : 29 Januari 2014

Lokasi : Dewan Terbuka SMK Tebobon

SMK Tebobon antara sekolah kegemaran saya untuk berprogram di sini. Selain pemandangan yang indah di atas bukit, ada kenangan tentang naqib kami – Ustaz Haji Abdullah Din yang pernah berkhidmat di sini. Beliau menjadi murabbi kepada kebanyakan pelajar yang beliau bimbing melalui persatuan pelajar Islam.

Sahabat saya – Allahyarham Ustaz Ezri pernah berkhidmat di sini sehingga dijemput Allah SWT. Seorang lagi sahabat saya Ustazah Azlinah Madisha juga pernah bertugas di sini sehingga berpindah ke Terengganu mengikut suami. Juga ada beberapa lagi mereka yang saya kenali di sini. Pokoknya sekolah ini mempunyai warga pendidik yang hebat-hebat.

Sepanjang berceramah di sini, saya mendapat sokongan pelajar yang menjadi pendengar yang baik. Respon juga agak bagus. Sudah tentu objektif dan sasaran saya tercapai dalam konteks menyampaikan ceramah dan misi ke sini. Semoga Allah SWT memberi kebaikan kepada sekolah ini.

Terima kasih kepada pihak sekolah yang mengundang, dan anakanda Fauzan pelajar maahad dan alumni sekolah ini yang sudi menemani saya.

SMKTebobon (1)SMKTebobon (2)SMKTebobon (3)SMKTebobon (4)SMKTebobon (5)SMKTebobon (6)SMKTebobon (7)SMKTebobon (8)SMKTebobon (9)

ezri

Allah SWT sudah mentakdirkan perjalanan hidup di dunia sahabat kami ini sehingga setakat ini sahaja. Seorang sahabat yang alim lagi soleh, diambil kembali oleh pemiliknya pada saat baru berumu 34 tahun disebabkan jangkitan kuman yang bermula dari kaki merebak hingga ke bahagian dalam tubuhnya.

Tidak banyak saya mengenal dengan mendalam tentang Allahyarham Ustaz Ezri Moktar selain kegigihannya berkuliah khususnya dalam bab fekah yang sangat digemarinya di sekitar kawasan Sepanggar. Kitab yang menjadi rujukan dan panduannya ialah Safinatun Naja dan Furu’ Masail.

Pada malam pemergiannya (malam tadi) baru saya ketahui bahawa beliau seorang penghafaz al-Quran di Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Melaka. Barangkali sezaman dengan kami yang mendalami dunia yang sama di Kota Kinabalu, memandangkan umur kami juga sama. Selepas itu beliau turut pernah menadah ilmu di Hadramaut Yaman dan ke Mesir pula.

Selepas mengikuti kursus perguruan, Sabah adalah negeri pertama beliau bertugas iaitu di SMK Tebobon. Saya dapat tahu ketika itu beliau satu-satunya guru agama lelaki. Suatu ketika, dalam keberatan saya mengisi satu program tahsin solat di surau sekolah berkenaan untuk para guru dan Allahyarham salah seorang urus setianya.

Beberapa tahun lepas beliau pernah menggantikan Ustaz Haji Muchlish dua kali Kursus Tahsin Solat anjuran Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah. Di situ pertama kali saya mendengar kuliah beliau yang sangat bernas sekali. Di sekitar Sepanggar antara masjid yang beliau berkuliah ialah Masjid Taman Kuala Menggatal, Masjid al-Falah Kg Tebobon, Surau Bandar Sierra dan lain-lain.

Masjid Bandaraya Kota Kinabalu juga menerima Allahyarham sebagai tenaga pengajar kuliah baru sekali sebelum pemergiannya. Ketika guru beliau dari Hadramaut datang berdakwah di Sabah beberapa bulan lepas, Allahyarham sebagai anak muridnya ketika di Yaman dahulu bertindak sebagai penterjemahnya.

Dalam kumpulan usrah kami, Allahyarham pernah hadir beberapa kali apabila usrah diadakan di rumah sahabat kami yang tinggal berdekatan dengan rumah beliau di Taman Seri Indah. Barangkali tempoh kebersamaan kami yang agak lama ialah dalam tempoh pengajian Darussyifa’ Sabah di Masjid Negeri pada hujung-hujung berselang minggu hampir setahun.

Jumaat terakhir bulan Mei, saya ada berziarah ke wad tempat beliau dirawat di Hospital Queen Elizabeth 2. Malangnya ketika itu beliau dibawa ke bilik lain untuk rawatan khas. Saya menunggu beberapa ketika dan akhirnya pulang begitu saja. Saya cuma memaklumkan kedatangan saya melalui sms, dan hanya berjawab sesudah kenderaan kami meluncur di jalan Lintas berdekatan Taman Austral.

Itulah sms peribadinya yang terakhir kepada saya. Saya dimaklumkan pada khamis atau jumaat lepas, beliau mula tidak sedarkan diri. Ada maklumat menjelaskan kesan ubat atau bius supaya beliau lebih banyak berehat. Sahabat-sahabat bersilih ganti berziarah dan meruqyah sebagaimana permintaan beliau. Kami di Darussyifa’ juga saling mengingatkan ahli-ahli berdekatan agar melakukan kunjungan.

Selepas kali pertama berziarah, saya ada datang dua kali lagi dan kali terakhirnya pada malam pemergiannya semalam. Sebenarnya saya datang untuk meruqyah dan di perjalanan itulah sms sampai memaklumkan perpisahan ini. Jam 9.30 malam saya sudah di sisi janazah bersama orang tua Allahyarham dan isterinya.

Di sisi janazah, ibunya memaklumkan bahawa mereka ridha pemergian anaknya. Sesuatu yang membuatkan saya sebak, apabila ibu memberitahu sejak hari jumaat sehingga malam itu, dahi Allahyarham sering berpeluh. Allahu akbar, saya terkenangkan hadith Nabi SAW : “Seorang mukmin mati dengan berpeluh dahinya”. (Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi, an-Nasai dan al-Hakim).

Semoga sahabat kami ini diterima amal solehnya khususnya ilmu yang dicurahkan kepada masyarakat setempat di Sabah. Dari bumi Melaka beliau datang, berakhir hayat di ICU Hospital Queen Elizabeth 2 Kota Kinabalu, disolatkan jam 2 pagi di Masjid Bandaraya, dibawa dan diterbangkan pulang ke Semenanjung dan dikebumikan petang ini di Melaka pula.

Takziah untuk isteri beliau, kedua orang tua serta keluarganya sekalian. Kita semua milik Allah kepadaNya kita kembali.

IMG_0567 IMG_2413 IMG_9267 IMG_9291

WAQAF MA’THURAT & YASIN

Hujung minggu lepas, biras saya Cikgu Maryam Awang Damit yang bertugas di SMK Tebobon memberitahu pihak sekolah akan memulakan bacaan surah yasin setiap jumaat untuk mendekatkan pelajar muslim dengan al-Quran. Justeru beliau meminta saya mencarikan penderma yang boleh menyumbangkan kitab-kitab surah Yasin.

Saya fikir selain daripada surah yasin, ma’thurat adalah salah satu wirid yang baik untuk dipraktikkan oleh orang Islam sebagai amalan harian. Ma’thurat adalah himpunan ayat al-Quran dan doa yang warid daripada Rasulullah SAW, disusun oleh Imam asy-Syahid Hassan al-Banna. Saya kemudiannya melancarkan kempen waqaf kitab surah yasin dan ma’thurat kepada rakan-rakan facebook.

Alhamdulillah, dalam tempoh beberapa hari ini saya dan kawan-kawan menerima sumbangan daripada beberapa orang secara tunai atau online. Memandangkan mulai hari ini (jumaat tadi) sudah dimulakan maka saya dan Poknik dengan persetujuan pihak sekolah berziarah ke sana petang semalam, menghantar 200 naskhah awal kitab surah yasin dan ma’thurat dengan janji akan menghantar baki sekitar 1000 naskhah lagi apabila stoknya sudah sampai.

Saya catatkan perkara ini di blog ini sebagai satu penghargaan kepada para penyumbang dan memaklumkan bahawa sebahagian wang waqaf mereka sudah disampaikan kepada pihak berkenaan. Pihak kedai pula mengusahakan baki kitab berkenaan sampai di Kota Kinabalu pada awal mac akan datang. Semoga dipermudahkan oleh Allah SWT.

Pihak yang berminat untuk berwaqaf boleh berhubung dengan saya dan kita akan sampaikan kepada pihak yang berkenaan. Jika satu-satu lokasi sudah mencukupi, kita akan alihkan ke sekolah atau institusi yang lain pula. Insya Allah.

Saya mendapat pengalaman manis apabila berkongsi sedikit ilmu dengan para guru di SMK Tebobon. Jarang sekali dapat kesempatan untuk mengisi slot bersama guru yang menjadi pesertanya. Kebiasaan yang diadakan di sekolah-sekolah ialah guru menjadi pengiring atau mengawasi para pelajarnya. Saya pun kurang maklum sebab saya yang dipilih mereka untuk mengisi slot atas tajuk ‘Mudahnya Solat’, sedangkan saya bukan aliran syariah ketika belajar dahulu. Namun undangan itu saya pandang positif sahaja untuk saya sama-sama turut menimba pengalaman.

Ada beberapa perkara saja yang sempat saya sentuh dalam ceramah sejam itu dan sesetengah perkara tidak dapat dikupas dengan lebih mendalam kerana keterbatasan masa. Hanya benar kata Ustaz Ezry, perkara berkait fardhu ain seperti solat ini memerlukan pengajian yang panjang dan tidak memadai sekadar sejam itu sahaja. Bimbang-bimbang ada yang disalahfahami kerana kurang dihuraikan akibat keterbatasan masa.

Mudahnya solat saya bentang daripada beberapa segi. Contohnya pakaian solat yang paling minima ialah suci dan menutup aurat. Tidak ada peraturan mewajibkan jenis kain tertentu, harga standard tertentu, warna tertentu, atau corak tertentu. Ini lebih mudah berbanding orang yang hendak masuk persatuan tertentu wajib mempunyai pakaian seragam tertentu, untuk masuk dalam sesuatu majlis istiadat wajib mempunyai warna pakaian tertentu.

Begitu juga daripada segi tempat, masa, kaedah solat dan sebagainya sudah ditetapkan oleh Islam dengan cara yang boleh dilakukan oleh seorang hamba-Nya. Allah SWT sudah tentu mengetahui kemampuan hamba-Nya dengan menetapkan lima waktu tertentu dengan kadar rakaat yang sedikit berbanding perintah awal solat sebanyak 50 waktu dalam peristiwa isra dan mi’raj. Demikian juga orang yang sakit boleh solat dengan cara duduk, atau berbaring menurut peraturan tertentu.

KLINIK SOLAT SMK TEBOBON


Undangan buat pertama kalinya, tidak saya lepaskan walaupun sedari awal saya menjangka akan keletihan kerana baru pulang dari Ranau pada malam sebelumnya. Saya ingin merasa aura kehebatan program keagamaan di SMK Tebobon yang banyak diasaskan oleh Ustaz Haji Abdullah Din beberapa tahun lalu sebelum beliau pulang ke Kedah.

Menurut Ustazah Haflah Hj Yusoff, anak-anak menengah atas khususnya tingkatan 5-6 mengendalikan program ini sambil dipantau oleh guru-guru panatia agama Islam. Saya yakin inilah peninggalan Ustaz Haji Abdullah Din dengan melahirkan pelapis yang boleh memimpin dan mengatur program bernilai pahala ini.

Program pada sabtu lalu (7 Ogos) ini melibatkan 100 peserta pelajar tingkatan 1 SMK Tebobon sambil abang-abang dan kakak-kakak mereka dari menengah atas sebagai fasilitator. Ia bermula pada petang jumaat lalu dan berakhir pada tengahari ahad. Membanggakan, apabila pengetua yang belum beragama Islam sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bagi terhadap program keagamaan.

Saya hadir sebagai salah satu penceramah, dengan tajuk asal ‘rukun fi’li’. Tajuk itu saya kemaskan dengan tajuk ‘Pergerakan dalam solat’ yang meliputi rukun dan sunat-sunat sekali. Ada sedikit masa terluang selepas ceramah tidak sampai sejam, saya turut memerhati dan membantu slot praktikal.

Tahniah semua yang terlibat – pengetua, guru-guru panatia agama Islam, fasilitator dan peserta tingkatan 1. Insya Allah kalau ada undangan, saya akan datang lagi.


KEMALANGAN

Ketenangan bercuti di kampung halaman terusik apabila mendengar khabar musibah yang menimpa rakan lama.

Ust Md Fauzi Hj Ghazali, 33 tahun (anak Ust Hj Ghazali Sulaiman) bersama isteri Ustazah Rozanah Abd Razak, 31 tahun; dua cahayamata Ahmad dan Miqdad beserta pembantu rumah mereka terbabit dalam kemalangan di Kalabakan Tawau pada pagi jumaat.

Fauzi dan Rozana adalah senior di SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah Kota Kinabalu.

Saya mendapat khabar awal daripada rakan di Beaufort Ust Abd Amir sekitar jam 4 petang, meminta kepastian saya tentang berita yang diterimanya. Segan menghubungi keluarga Ust Hj Ghazali di Kg Pasir Putih Putatan, saya menghubungi pula Ust Hj Muchlish Ali Kasim.

Sah, mereka kemalangan.

Kemudian, sahabat saya Ust Safruddin pula memaklumkan sejam kemudian tentang musibah itu.

Fauzi khabarnya dalam perjalanan ke Tawau untuk berpindah ke sana setelah mendapat pertukaran sekolah dari SMK Tebobon Kota Kinabalu.

Hari khamis bertolak ke Tawau melalui Keningau dan bermalam di sana sebelum meneruskan perjalanan melalui Nabawan-Tawau. Mereka sekeluarga dikatakan kemalangan dalam keadaan jalan licin akibat hujan lebat.

Dalam kemalangan itu, kereta mereka bergolek beberapa kali. Fauzi tidak mengalami kecederaan sementara Kak Janah cedera di mulut sementara Miqdad cedera di bahu.

Ujian besar mereka apabila Ahmad yang berumur 5 tahun meninggal dunia.

Kalau tidak salah saya beberapa tahun lalu mereka juga pernah terbabit dalam kemalangan di Kunak pada musim perayaan.

Terasa pilu mengingati mereka kerana umur anak yang lebih kurang sebaya. Tambahan kedua-dua mereka suami isteri sangat saya kenali. Semoga Allah SWT memberi kesabaran kepada mereka.

IMG_7324

4. Ust Zulkifli Mustafa.

Empat belas tahun berjuang dan berkhidmat, tidak sedikit budi dan jasa yang beliau hulurkan di bumi Sabah.

Keringat dan tenaganya bukan setakat di Maktab Sabah tempatnya bertugas, bahkan juga kepada surau-surau tempat beliau menyampaikan ilmu kepada masyarakat.

Petang jumaat lalu, kami bertemu di rumah ibunya yang sangat baik hati. Dahulu ketika berpindah, ibu inilah menjadi alasan Ust Zul. Benar, ibu yang berusia lebih 70 tahun kesunyian dan tinggal sendirian kini.

Ust Zul dan keluarganya hanya pulang ke rumah ibunya di Kg Chegar, Pendang hampir setiap hujung minggu. 

Ini kerana Ust Zul ditempatkan di SMK Sungai Kob Kulim, sama sekolah dengan isterinya dengan jarak 2 jam perjalanan dari Pendang.

Dalam sembang kami itu, Ust Zul berkira-kira untuk minta pindah ke Pendang pula bagi membolehkannya duduk hampir dengan ibunya yang semakin uzur itu.

Petang itu, Ust Zul juga memaklumkan bahawa isterinya tidak dapat pulang bersama kerana menjaga anak kecil yang baru berusia dua bulan. Ia melengkapkan anak kelima mereka.

Aqlina, Md Ahnaf, Aliya Yumna, Md Aufi Syahim dan Afini (30 Mei 2009).

IMG_7333

5. Ust. Mustafa Abd Majid.

Putera-putera SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah wajib dan pasti mengingati beliau khususnya dalam tempoh 6 tahun beliau berkhidmat sebagai guru dan pengawas asrama putera.

Ada peristiwa lucu, sedih, gembira dan sebagainya menjadi kenangan bersama.

Beliau balik ke negerinya di Kedah ini pada 2006 lalu dan menetap di Pendang. Sungguh nostalgia dan sentimental sekali melihat tanda nama rumahnya dinamakan dengan Nurul Sabah.

Katanya, rumah yang dibina adalah hasil pendapatan sepanjang 27 tahun berkhidmat di bumi Sabah.

Ust Mustafa yang berasal dari Sungai Jagung, Pendang memulakan khidmatnya di Sabah pada 1979 di Rancangan Klias, Beaufort selama 3 tahun sebelum berpindah ke SUI Kerukan Kuala Penyu selama 6 tahun.

Dari Kuala Penyu beliau berpindah ke Kota Kinabalu sebagai pengawas asrama dan guru di SMAI TPHR (1990-1995).

Tempoh selama 12 tahun berikutnya beliau habiskan sebagai Penolong Setiausaha 1 di Unit Peperiksaan Bahagian Pendidikan JHEAINS.

Dengan umur kini 58 tahun, Ust Mustafa menghabiskan masanya banyak di kebun beliau. Jangan terkejut, Ust Mustafa juga kini aktif dalam Biro Agama UMNO Bahagian Pendang.

Berkali-kali beliau memprovokasi saya tentang keUMNOannya. Walaubagaimanapun situasinya, bagi saya kedudukan beliau sebagai guru yang banyak berjasa tidak dapat dinafikan sama sekali.

Katanya, dia terpaksa mengakui hakikat bahawa UMNO kini teruk khususnya dengan rasuah dan penipuan. Sebelum pulang, saya pula memprovokasi beliau.

“Ust, bila mau masuk PAS?”

“Insya Allah”.

IMG_7335

6. Ust Hj Abdullah Din.

Selepas bertarawih di Surau Kg Yan Kechil, kami bersembang panjang di sebuah gerai berhadapan Hospital Yan.

Panjang cerita kami, Ustaz bersemangat melaporkan perkembangan tentang beliau sendiri sepanjang setahun kembali ke negeri sendiri. Julai tahun lalu, Ust Abdullah Din berpindah ke Kedah setelah berbudi di Sabah.

Sudah tentu ramai sekali merasa sedih dan mengalirkan air mata mengingati perpisahan itu.

Tidak keterlaluan saya catatkan di sini, orang yang paling berduka dan merasa kehilangan ialah Chegu Jamil yang menjadi rakan suka duka beliau dan melaksanakan program dakwah di mana-mana ketika itu.

Ust Abdullah pernah bertugas di Beaufort, SMK Peter Mojuntin Penampang dan SMK Tebobon, kini beliau berkhidmat di SMK Dato’ Syed Ahmad dengan pangkat guru cemerlang yang diperolehinya di Sabah lagi.

Ust Hj Abdullah Din kini banyak mengisi masa beliau dengan mengadakan kursus pemantapan aqidah sebagaimana yang beliau usaha dan asaskan di Sabah dahulu.

Selain itu, beliau juga kini aktif dalam ABIM daerah Padang Terap dan di peringkat  Negeri Kedah sendiri.

Suatu perkara yang membuatkan saya terharu apabila beliau merasakan hubungan dengan sahabat-sahabat di Sabah masih kukuh dan erat.

Seperti Ust Zulkifli Mustafa juga, secara jujur Ustaz menjelaskan bahawa kewujudan blog Abu Nuha Corner ini banyak memberi maklumat tentang aktiviti dakwah rakan-rakan di Sabah.

Khabar dan cerita di blog ini sedikit sebanyak mengubati kerinduan terhadap program dakwah dan kepada sahabat-sahabat sendiri.

Tambahan pula, saya sendiri tidak menggugurkan nama dan nombor telefon beliau setiap minggu saya mengedarkan makluman usrah sekalipun beliau sudah balik lebih setahun.

Situasi itu menyebabkan ustaz merasakan beliau hampir dengan sahabat-sahabat.

Insya Allah persahabatan itu tidak akan terurai dengan berpisah mata dan badan. Semoga beliau terus aktif dengan usaha-usaha dakwah beliau di samping isteri dan anak-anak seramai 7 orang itu.

Posting lama tentang Ust Abdullah Din baca di sini.

IMG_0206

Program ini adalah yang ke-5 pada tahun ini selepas SMK Pengiran Omar Sipitang, SMK Bongawan, SMK Timbua Ranau dan SM Sains Kota Kinabalu.

Program di SMK Tebobon Kota Kinabalu pada 11 Julai lalu dipimpin oleh Ust Khidir Ishak bersama Ust Hamir Hamzah sambil dibantu oleh beberapa ustazah dalam Panatia Agama Islam.

Lebih menceriakan peserta seramai 40 orang itu ialah dengan kehadiran penulis terkenal, Dr Danial Zainal Abidin yang sudi meluangkan masa mengisi satu slot berkenaan ‘Mukjizat al-Quran dan Sains’.

Slot bersama Ust Bungsu Aziz juga seperti biasa menarik perhatian para pelajar untuk memahami keindahan Islam dan al-Quran.

Semoga para pelajar dapat memahami agama Islam dengan lebih baik serta bersyukur dengan nikmat agama Islam yang tersemat di dalam diri masing-masing.

Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Cawangan Sabah mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak sekolah, khususnya pengetua, Panatia Agama Islam, Persatuan Siswazah Sabah (PSS), para penceramah serta adik-adik para peserta.

Insya Allah berjumpa lagi dalam program akan datang.

IMG_0003

IMG_0005

IMG_0013

IMG_0027

IMG_0196

IMG_0202

IMG_0212

IMG_0022

%d bloggers like this: