Tag Archive: SMK Tambunan


SMK TAMBUNAN

 

Saya tidak mengambil masa yang lama untuk bersetuju apabila dipelawa oleh Ustazah Norliyah Shahmin untuk menyampaikan ceramah Maulidur Rasul SAW di SMK Tambunan hari ini.

Jemputan itu disampaikan kepada saya tidak salah sebulan lalu.

Saya bertolak solo tanpa teman dari rumah jam 7.15 pagi dan tiba di perkarangan sekolah berkenaan jam 8.35 pagi. Sejujurnya saya bimbang lewat tiba, lantaran tidak mengetahui jarak perjalanan secara tepat dan jadual ceramah saya bermula.

SMK Tambunan mempunyai sejumlah 1400 pelajar, namun hanya sekitar 200 sahaja beragama Islam. Jadi sudah tentu ia menjadi perjuangan yang getir buat guru-guru agama seramai 3 orang di sana.

Program didahului dengan perarakan pelajar daripada 3 buah sekolah. SMK Nambayan, Pelajar dari Rumah Anak Yatim (RAY) dan SMK Tambunan selaku tuan rumah.

Sebagaimana yang saya suarakan kepada Ustazah Norliyah pagi itu, perarakan seumpama ini sangat perlu di lokasi seperti Tambunan ini di mana umat Islam menjadi minoriti. Amat perlu umat Islam menunjukkan syiar agama ini.

Saya teringat kisah pengislaman Hj Nicholas Sylvester. Katanya, antara asbabnya ialah apabila beliau begitu teruja melihat umat Islam berarak dan bersolawat dengan bersemangat sekali. Peristiwa itu menjadi tarikan penting buatnya sebelum memeluk Islam.

Ceramah saya di hadapan kira-kira 300 hadirin berlangsung 40 minit sahaja. Saya sendiri meringkaskannya walaupun masa diberi selama sejam. Antara isi ceramah yang saya tekankan ialah penampilan diri dan akhlak luhur selaku orang Islam tambahan pelajar muslim sekolah ini sangat minoriti.

Saya bertolak pulang jam 1 tengahari setelah selesai jamuan tengahari dan solat zuhur.

Alhamdulillah, saya mendapat ramai teman dan kenalan baru di sini. Ustazah Norliyah dan suami Ust Hairulnizam Khairon, Ust Nasir Razali, Ust Mazri Khalik, Ust Hatta Rosli dan tidak ketinggalan Ust Mohd Yassin Hj Yunus Penyelia Guru Pendidikan Islam Daerah Tambunan yang rupanya kerap melayari blog Abu Nuha Corner ini.

Tadi, saya sudah menyusun secara ringkas satu program solo ke Daerah Tambunan, merangkumi program di masjid, surau, sekolah, ziarah muallaf, pendakwah, anak yatim dan hospital.

Insya Allah, saya akan hadir lagi untuk sekurang-kurangnya 10 program padat jumaat-ahad sebagaimana telah saya buat di daerah Tenom tahun lalu. Semoga ada yang sudi membantu menaja dan menyumbang.

Saat ini saya masih teruja lagi. Terima kasih pihak sekolah, khususnya buat pengetua Tuan Hj Mohammad Mohlis Yusak, tenaga pengajar dan semua peserta dan pelajar.

IMG_6233

Bermula pagi sabtu, program yang menjadi teras Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Cawangan Sabah ini berlangsung pula di Tambunan.

Kali ini SMK Tambunan menjadi tuan rumah dengan hampir 100 pelajar dari beberapa buah sekolah menengah sekitar daerah ini menjadi pesertanya.

Kunjungan kami ke Tambunan kali ini mendapat dukungan di peringkat daerah apabila institusi di sana seperti Badan Dakwah USIA Tambunan, JHEAINS Tambunan dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD memberi kerjasama yang sangat baik.

Di SMK Tambunan, buat kali pertamanya penglibatan Ust Hj Md Sayuti Abd Shukor dari SK Lok Yuk Likas. Beliau menggantikan Ust Bungsu Aziz yang berhalangan di saat akhir.

Penceramah-penceramah lain adalah Hj Nicholas, Ust Khidir, Ust Hamir dan saya sendiri.

Para peserta khususnya anak Tambunan sendiri pada pandangan kami perlu memahami hakikat kedudukan muslim yang minoriti di sini. Justeru, kefahaman yang jelas terhadap aqidah Islam sangat penting selain memahami agama Kristian menurut Islam sebagai perbandingan.

Apapun, diharap kursus ini akan memberi manfaat kepada semua khususnya apabila kita berada dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama seperti di Tambunan ini.

Terima kasih buat SMK Tambunan, khususnya guru-guru Panatia Agama Islam yang bekerja keras sebelum dan sepanjang program  ini. Tidak ketinggalan fasilitator yang didatangkan dari Persatuan Siswazah Sabah (PSS).

Semoga Allah SWT memberi ganjaran atas usaha yang dilakukan oleh setiap mereka yang terbabit.

IMG_6236

IMG_6237

IMG_6240

IMG_6242

IMG_6244

IMG_6245

IMG_6248

IMG_6251

%d bloggers like this: