Tag Archive: SMK Tambun


SMK TAMBUN

Saya dibawa Che’gu Jamil Dayan ke sekolah tempat beliau mengajar sejak awal tahun ini. Sekolah ini baru saja berusia tujuh tahun, dibuka buat sesi pertamanya pada awal tahun 2004 dan dirasmikan oleh Sultan Perak pada 2005. Sekolah ini tidak jauh letaknya dari kawasan Taman Tema Lost World of Tambun. Juga berhampiran dengan rumah baru Che’gu Jamil yang sedang dalam pembinaan.

Khabarnya jumlah guru di sekolah ini seramai 94 orang majoritinya guru perempuan, jadi guru lelaki seramai 18 orang mesti lebih aktif terutamanya memimpin program seperti sukan dan seumpamanya. Saya gembira juga beberapa cadangan Che’gu Jamil di sekolah berkenaan diambil kira oleh pihak pengetua.  Lihat saja foto di bawah. Di persisiran jalan masuk itu ada papan tanda bertulis wirid-wirid utama, sementara satu lagi pemakluman zon menutup aurat.

Masa kami suntuk dan saya tidak dapat meneroka lebih jauh suasana di dalam sekolah ini. Mungkin satu masa nanti saya boleh datang lagi. SMK Tambun, semoga maju jaya.

CHE’GU JAMIL


Perjalanan di bumi semenanjung semakin indah apabila bertemu dengan sahabat seusrah dan seperjuangan dalam Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah, Che’gu Jamil Dayan sekeluarga.

Saya merasakan kemanisan bersahabat dengan beliau, bahkan kedua-dua keluarga kami bersama ketika mereka masih berada di Sabah dahulu.

Maka kerana perpindahan mereka akhir tahun lalu itu begitu menyedihkan saya sendiri, maka saya tidak sanggup menyambut panggilan dan mendengar suaranya. Sehingga sehari dua lalu beliau ada menghantar sms dan kami berjanji bertemu di satu tempat.

Saat sama-sama mencari untuk bertemu dan beliau membuat panggilan, barulah saya menyambut dan mendengar suaranya.

Kami bertemu di gerai makan, bercerita tentang banyak hal. Kisah-kisah PUM Sabah, CONCERN Sabah, aktiviti dakwah di Sabah, tentang dunia barunya di SMK Tambun, aktiviti dakwah di sekitar Ipoh, hal keluarga dan anak masing-masing.

Namun yang jelas, beliau masih mencari rentak dan stand untuk bergerak dalam misi dakwah yang tidak pernah selesai.

Meski tidak lama kami bercerita, pertemuan itu jelas mengubati kerinduan setelah perpisahan. Mudah-mudahan  terubat rindu rakan-rakan aktivis dakwah di Sabah apabila membaca entri ini. Betul kata orang, biar hilang di mata; di hati jangan.


%d bloggers like this: