Tag Archive: SMAN TPHR


Ada sedikit ruang masa selepas kami selesai menemuduga di SAN Islamiah Tawau lebih 20 orang calon-calon bagi kemasukan sesi 2014 ke Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Sabah, tiba masa untuk berziarah ke SABK Islamiah Tawau yang terletak bersebelahan sahaja.

Ada beberapa sahabat-sahabat kami kalangan ustazah yang merupakan lepasan MTQQNS zaman awal dulu. Ustazah Sunarti Anuar, Ustazah Siti Samsiar Mohd Amin dan Ustazah Norhayati Iskandar. Alhamdulillah, masing-masing sudah berkeluarga kecuali Ustazah Sunarti, semoga Allah SWT temukan jodoh untuknya.

Ada dua lagi sahabat kami bertugas di sekolah ini, iaitu Ustaz Haji Asman Mohd Ali – senior di Toh Puan Hajah Rahmah dan Ustaz Haji Syukri Amboala – junior di sekolah yang sama.

SABKIT (1)

SABKIT (2) SABKIT (3)

SABKIT (4)

Seperti tahun lalu, sekali lagi tahun ini saya singgah ke Sekolah Menengah Agama Toh Puan Hajah Rahmah Kota Kinabalu untuk membuat liputan ringkas dan memberi sokongan kepada kawan-kawan yang menghantar anak masing-masing ke sekolah ini, juga mengambil kesempatan bertemu sebahagian para guru yang mencurah bakti di sini.

Saya dimaklumkan pihak sekolah setakat ini telah menerima seramai 105 pelajar baru tingkatan satu pada tahun ini walaupun senarai yang dikeluarkan oleh JHEAINS adalah seramai 120 orang. Pihak sekolah juga pada awalnya hanya bersedia menerima 80 orang sahaja, namun berdasarkan desakan dan kesungguhan masyarakat khususnya ibu bapa, maka kouta asal dinaikkan kepada 120 orang.

Kemasukan ke sekolah ini selalu menjadi tumpuan ibu bapa khususnya yang sangat berminat menghantar anak mereka mendalami ilmu agama di peringkat menengah, apatah lagi jumlah mata pelajaran yang meningkat sekali ganda berbanding sekolah menengah biasa kerana subjek agama berbahasa Arab tidak kurang daripada 10 mata pelajaran keseluruhannya, menjadikan kesemua subjek sekitar 20 mata pelajaran.

Pelbagai suasana dapat disaksikan ketika sesi pendaftaran pada pagi selasa lalu. Ada ibu bapa yang barangkali baru pertama kali berkunjung ke sekolah ini begitu teruja dan bersemangat. Tidak kurang juga anak-anak yang muram kerana bakal berpisah dengan keluarga apabila mula tinggal di asrama selepas ini. Kemasukan ke tingkatan 1 sekolah ini mengambil kira keputusan peperiksaan Sijil Rendah Ugama (SRU) darjah enam yang dikendalikan oleh JHEAINS.

Antara yang kelihatan sibuk mendaftar dan menghantar anak masing-masing ialah Ustazah Dayang Masni Datu Seribu, Kak Fatmawati Wahid, Ustaz Muhashibi Razali, Puan Noor Azah Abd Rahman, Abang Jamiun Osman dan ramai lagi. Turut menarik perhatian ialah seorang pelajar lelaki berbangsa Arab dari negara Iraq bernama Zaid bin Jaafar yang turut mendaftar di sini ditemani oleh ibunya.

Blog Abu Nuha Corner mengucapkan tahniah kepada ibu bapa dan anak masing-masing yang mendapat tawaran di sekolah ini. Kesempatan peluang berada di sekolah berprestij ini merupakan satu nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Semoga para pelajar akan mendapat ilmu yang bermanfaat dan menimba ilmu daripada para guru di sini, seterusnya berbakti kepada masyarakat masing-masing suatu hari nanti.

 

DALAM PEMBINAAN

Khabarnya sudah sekitar 80% berjalan pembinaan kompleks baru bagi Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Toh Puan Hajah Rahmah di Kinarut. Baru-baru ini datang hajat saya untuk berziarah sebentar ke lokasi berkenaan yang berjiran dengan kompleks ibu pejabat briged dan batalion 16 PGA.

SMAN Toh Puan Hajah Rahmah adalah sekolah agama (arab) milik kerajaan negeri Sabah yang terulung dan namanya sebaris dengan sekolah-sekolah agama terkenal di seluruh negara seperti Maktab Mahmud, Maahad Muhammadi dan lain-lain.

Ketika singgah sebentar, saya menyaksikan buruh pembinaan sedang sibuk bekerja. Saya dimaklumkan, sekolah baru ini dijangka mula digunakan pertengahan tahun hadapan. Mudah-mudahan semuanya berjalan lancar dengan semangat dan kesungguhan yang baru.

ANITH FATIHAH FAKHRURAZI

Adik ini dalam peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU) bagi 2009 di bawah kelolaan Lembaga Peperiksaan Bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) mendapat anugerah tertinggi.

Anith yang berumur 16 tahun mendapat keputusan 7 aggregat. Daripada 12 subjek yang didudukinya, 1o subjek dia mendapat gred 1. Hanya subjek Bahasa Melayu dan tafsir dia mendapat gred 2.

Bagi yang menduduki SMU ini subjek yang diambil ialah al-Quran, tauhid, fekah, hadith, tafsir, mutholaah & insya’, balaghah & nusus, qawaidh, nahu & saraf, bahasa inggeris, bahasa melayu, akhlak, tarikh Islam dan lisan bahasa arab.

Ketika ditemui beberapa wartawan selepas  menerima anugerah kecemerlangan ini daripada Pengarah JHEAINS, sambil mengucap syukur, Anith memberitahu dia tidak menyangka akan memperolehi keputusan sebaik ini.

Katanya, orang yang paling banyak mendorongnya sudah tentu kedua ibu bapa dan para guru yang bersusah payah mengajar dan mendidik sehingga mendapat keputusan memberansangkan ini.

Begitu juga kepada rakan-rakan sekelas yang banyak membantu daripada segi kefahaman dan nota-nota.

Ditanya kaedah pembelajaran yang diamalkannya, Anith yang bercita-cita hendak menjadi doktor menceritakan dia akan memberi tumpuan untuk memahami pelajaran yang disampaikan oleh para guru sebelum menghafaznya.

“Sebelum menjawab kertas peperiksaan, saya akan pasti berdoa terlebih dahulu, membaca surah al-Insyirah dan bersolawat”.

Anith berasal dari Kuala Lumpur, mengikuti keluarganya yang berpindah ke Sabah sejak awal tahun ini. Ayahnya bertugas di bahagian sumber manusia di Menara Petronas Kota Kinabalu.

Pengumuman menggembirakan itu turut dihadiri oleh kedua-dua ibubapa dan adik-adiknya. Anith adalah anak sulung daripada 4 adik beradik.

Sementara itu, Cikgu Dayang Jaudah Amit salah seorang guru di SMAN Toh Puan Hajjah Rahmah yang mengiringi pelajarnya itu memberitahu, pihak sekolah dan guru-guru sudah mengesan kepintaran Anith itu sejak ia mula masuk pada awal tahun ini.

Selain Anith, seorang lagi yang mendapat 7 agregat ialah rakannya Masnih Mustapa.

%d bloggers like this: