Tag Archive: SMAI TPHR


Malaysian%20Army_2307251143_17fe4391d6_o(1)

Tarikh 16 September setiap tahun, bukan sekadar hari Malaysia dan hari jadi rasmi TYT Sabah. Tarikh itu jugalah negara meraikan ulangtahun Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tahun ini yang ke-76.

Ketika darjah 4-6 (1989-1991) saya bersekolah agama di kawasan tentera. Namanya Sekolah Rendah Agama Islam Membedai, WP Labuan.

Saya di situ kerana letaknya berhampiran dengan sekolah tempat bapa saya bertugas sebagai pengetua di SMK Membedai. Sementara di SK pula saya di SK Pekan 2, juga ketika darjah 4-6.

Ketika bersekolah agama di situ, pertama kali dalam hidup saya mengenali rakan-rakan yang berasal dari semenanjung. Ketika itu hairan bukan main mendengar dialek percakapan mereka, khususnya mereka yang akhirnya saya kenali dari Kelantan.

Sangat sedikit murid yang berasal dari Labuan atau Sabah. Mungkin saya antara yang terawal anak tempatan bersekolah agama di situ. Mungkin 99 peratus adalah anak-anak tentera.

Saya masih mengingati sebahagian ustaz dan ustazah yang merupakan anggota Kor Agama Tentera (KAGAT) seperti Ustaz Arifin Mat, isterinya Ustazah Norazwa Malek, Ust Sayuti Isman dan Ustazah Terani Dunik.

Kesemuanya sangat berperanan dalam mendidik saya.

Ust Arifin Mat misalnya ketika saya dalam darjah enam, mengambil peperiksaan sijil rendah ugama (SRU) pernah berjanji di dalam kelas untuk memberi hadiah kepada mereka yang berjaya dalam peperiksaan itu.

Saya mendapat 79%, dan kemudiannya menyambung pengajian di SMAI TPHR KK. Sesuatu yang tidak saya jangka, Ust Arifin mengirim sedikit duit pos sebagai hadiah.

Tidak banyak, cuma RM20, tetapi itu cukup mengesankan saya yang bergelar murid khususnya mengingati guru yang saya kasihi seperti beliau.

Kepada nama-nama guru yang saya catatkan di atas, saya tidak tahu mereka kini bertugas di kem mana, kalau ada rezeki ingin benar saya menghubungi mereka.

Kini saya tinggal di Kg Meruntum Putatan, sebuah perkampungan yang berhadapan dengan Kem Lok Kawi.

Hari-hari melewati kawasan ini. Jika ada umur, insya Allah anak saya dijangka akan bersekolah rendah pada tahun hadapan di dalam kawasan kem seperti saya juga.

Semalam saya solat jumaat di Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan. Dalam khutbah kedua, khatib ada mendoakan keselamatan dan keampunan kepada para pejuang dan prajurit agama ini.

Di dalam hati, saya teringat guru-guru KAGAT dahulu.

Sebelum berangkat untuk solat jumaat pula, kereta saya tidak dapat keluar rumah kerana dihalang sebuah kereta lain, kata mereka milik seorang tentera.

Saya menanti sehingga terlambat sedikit tiba di masjid. Saya menyuruh anak memanggil dan memesankan agar mengalihkan kereta mereka.

Lima minit menanti, anak saya kembali.

“Dia orang bilang tunggu sekejap. Bapa dia tengah makan”.

Almaklumlah, pejuang negara. Mungkin letih berperang.  Kepada para prajurit negara, selamat berjuang.

………..

Terima kasih SMS ucapan selamat hari raya :

Hj Hassan Wahap (JHEAINS KK), Ust Muhasibi Razali (S/U PASTI Kawasan Putatan), Hj Mustafa Salleh (AJK Dewan Ulama Negeri) dan Firdaus Faizal Karim (PPTA JHEAINS Kuala Penyu).

Pengirim SMS yang diterima akan disiarkan dalam blog ini.

IMG_8240

Alhamdulillah, selepas solat fadhu jumaat semalam kami dapat menyerahkan sumbangan pelbagai pihak kepada pengurusan Asrama Putera SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah di Sembulan.

Setelah berita kebakaran blok surau asrama berkenaan diketahui ramai, saya bersama beberapa rakan mengutarakan inisiatif melalui blog ini agar sedikit kutipan segera dibuat untuk membantu sekadar yang termampu.

Saya tidak menyangka sambutan yang diberikan khususnya pengikut dan pembaca blog ini, mungkin keberkatan Ramadhan dan kesedaran masyarakat untuk bersedekah dan menyumbang menjadi faktor utama.

Sumbangan yang diterima hampir mencecah RM1500.

Antara penyumbang utama ialah Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Negeri Sabah, Yayasan Amal Malaysia Negeri Sabah, staf Petronas Kota Kinabalu, Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, PAS Kawasan Putatan, jamaah Surau Austral, serta beberapa hamba Allah yang tidak ingin nama mereka disebut di sini.

Bahkan ketika kami membeli barang yang dimaksudkan di Wisma MUIS, terdapat beberapa orang yang turut menderma sama di sana secara spontan.

Gelagat kami memborong sajadah gulung, kitab suci al-Quran dan buku ma’thurat rupanya diperhati dan disedari orang.

Dalam acara ringkas semalam, Sdr Khairul Yusri daripada Yayasan Amal Malaysia bagi pihak semua menyampaikan sumbangan 5 buah sajadah gulung, 74 buah naskhah al-Quran serta 84 buah buku ma’thurat.

Sumbangan diterima oleh Ust Hj Safri Bakar dan Ust Hj Auzani Daud selaku pengawas asrama putera.

Berdasarkan maklumat, ada pihak-pihak lain bercadang turut menyumbang sama dalam masa yang terdekat ini.

Bagi pihak asrama pula, saya mengucapkan penghargaan kepada kepada para penyumbang. Mudah-mudahan pahala yang berlipat kali ganda khususnya di dalam bulan Ramadhan ini.

Dalam kejadian petang isnin lalu, satu blok bangunan menempatkan surau, pejabat asrama, bilik belajar serta stor musnah dalam satu kebakaran. Tiada kemalangan jiwa, sementara jumlah kerugian masih disiasat.

Bangunan blok yang terbakar merupakan salah satu bangunan asrama yang berusia lebih 40 tahun.

Nama SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah mengambil nama sempena salah seorang isteri bapa kemerdekaan Sabah, Tun Datu Mustapha Datu Harun.

Sekolah milik kerajaan negeri dibawah kelolaan JHEAINS ini merupakan sekolah menengah agama terulung di Sabah, yang telah melahirkan ribuan pelajar dan berkhidmat dalam pelbagai bidang di negeri ini.

CUMA SEGULUNG SAJADAH

 IMG_8102

Ramai sudah dan baru maklum akan kebakaran yang memusnahkan satu blok surau asrama putera isnin lepas.

Bagi pihak alumni SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah, saya pohonkan sumbangan segulung sajadah untuk disedekahkan kepada pihak surau.

Untuk makluman, kesemua peralatan di surau musnah sama sekali termasuk sajadah, karpet, PA system, kitab al-Quran sebagainya.

Menurut kefahaman saya, para pelajar buat masa ini diarahkan ke Masjid Negeri yang terletak kira-kira 400 meter dari asrama untuk menunaikan solat 5 waktu. Terdapat juga yang solat di bilik masing-masing.

Khabar yang saya terima sebentar tadi juga menjelaskan bahawa surau baru akan didirikan dengan kadar segera di blok c, berdekatan rumah warden.

Jadi antara keperluan penting sekarang ialah sajadah untuk alas solat mereka.  Kalau ada yang berminat untuk menyumbangkan kitab suci al-Quran juga dialu-alukan.

Hasil saranan ini, setakat ini sudah ada 5 pihak – kumpulan dan individu – yang bersetuju untuk menyumbangkan sajadah gulung seperti yang diharapkan.

Tinjauan ringkas sebentar tadi di Wisma MUIS, harga sajadah gulung selepas diskaun ialah RM160 sahaja.

Surau yang berjasa mentarbiyah pelajar sekolah ini sejak pertengahan 1970an sehingga kini sudah menjadi kenangan. Kenangan solat berjamaah, usrah bersama, ceramah agama, tadarrus al-Quran dan sebagainya akan diingati sebagai kemanisan zaman belajar.

Semoga Allah membalas jasa mereka yang melakukan sumbangan walaupun sedikit, khususnya dalam bulan Ramadhan ini.

“Jika mati seorang manusia, terputuslah amalannya kecuali 3 perkara : Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat serta anak soleh yang mendoakan untuknya”.

IMG_8127

Sudah lama saya menanti peluang berceramah di sebuah sekolah agama yang terkenal ini.

Pada zaman persekolahan dahulu, pasukan bola tampar SMAI TPHR sering bertembung dengan pasukan SMKAKK ini. Walaubagaimanapun pertemuan itu biasanya didasari ukhuwah yang tinggi kerana sama-sama berstatus sekolah agama.

Bahkan ketika itu kedua-dua sekolah ini antara kuasa bola tampar terkuat di KK. Pemain-pemainnya juga pernah bergabung mewakili KK menentang sekolah dari daerah lain.

Saya sangat menghormati sekolah ini. Di sinilah abang saya menimba ilmu. Bahkan keluarga kami pernah tinggal di flat guru sekolah ini pada 93-94 kerana bapa bertugas di Jabatan Pelajaran Negeri di Sembulan.

Oleh itu setiap hujung bulan saya balik ke mari dari asrama. Biasa bersolat di surau lama sekolah ini dan makan di kantin sekolah.

Jemputan berceramah yang disampaikan oleh Ust Amir Ba’dul saya terima dengan gembira sekali. Kebetulan sepanjang beberapa hari kebelakangan, saya asyik bertemu dengan pelajar sekolah agama.

Jumaat dan sabtu saya bersama rakan-rakan di SMKA Mohammad Ali Ranau, sementara petang semalam saya di asrama putera SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah, menziarahi blok surau yang terbakar.

Kesempatan di SMKA KK selain diberi peluang mengimamkan solat tarawih, sesi tazkirah juga saya isi dengan memperkenalkan Maahad Tahfiz al-Quran dan mempromosi tentang kepentingan menghafaz al-Quran kepada mereka khususnya pelajar tingkatan 5.

Saya dedahkan juga sedikit petua menghafaz al-Quran kepada adik-adik di sana, kerana mereka juga punya tanggungjawab menghafaz beberapa surah tertentu.

Doa saya SMKA KK akan kembali bangkit sebagaimana zaman kegemilangan mereka. Saya mendengar daripada beberapa orang tentang masalah sekolah yang tidak perlu saya sebutkan di sini. Khabarnya prestasi bahasa arab di dalam peperiksaan besar juga jatuh menjunam.

Turut hadir dalam tazkirah sejam itu ialah Ust Sakaria Samela selaku Pengerusi PIBG sekolah dan Cikgu Hj Samin Ongki sebagai timbalannya, bersama guru-guru di sana.

Alhamdulillah, saya mendapat beberapa sahabat baru juga. Terima kasih Ust Amir, Ust Nik Anwar, Ust Zulkifli dan beberapa ustaz lain.

IMG_8133

IMG_8135

IMG_8136

IMG_8138

IMG_8145

IMG_8086

Petang semalam, dalam tempoh setahun kebakaran buat kali kedua berlaku lagi di asrama putera SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah, Sembulan.

Kebakaran kali ini memusnahkan blok yang menempatkan surau, pejabat asrama, bilik belajar dan stor.

Jabatan Bomba & Penyelamat yang berada bersebelahan lokasi menerima panggilan pada 3.10 petang dan mereka menghantar 3 buah jentera.

Walaubagaimanapun, pihak bomba hanya dapat mengawal kebakaran daripada merebak ke bangunan berdekatan sementara bangunan yang terbakar musnah sama sekali kerana bangunan berkenaan dibina daripada kayu.

Saksi daripada kalangan pelajar memberitahu, kebakaran akibat litar pintas itu bermula dari bilik hujung  yang menempatkan stor asrama dan ia bergerak pantas dalam masa singkat.

Kebakaran ini mengulangi episod febuari lalu, apabila rumah warden di asrama yang sama musnah akibat litar pintas.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, sementara kerugian masih disiasat.

IMG_8091

IMG_8094 

IMG_8104 

NUHA JUMPA NUHA

IMG_7718

Gambar ini direkodkan di rumah sahabat kami, Sdr Zulfikar Khomeni dan Ustazah Pg Siti Umi Kalsum Pg Abdullah di Taman Lok Kawi Height setelah selesai majlis kenduri masuk rumah dan berbuka puasa semalam.

Zul bertugas di Kementerian Kewangan, Bahagian Audit sementara Umi mengajar di SK Mesapol Sipitang. Umi adalah rakan sekelas di SMAI TPHR.

Zul dan Umi ada dua puteri. Yang sulungnya bernama Dg Nuha Sofiyyah dan yang kedua Dg Alya Nazeeha.

Hadir sama dalam majlis berkenaan Hj Sapawi Thussin, Pengerusi Surau Taman Austral yang merupakan keluarga tuan rumah, serta sahabat sekelas kami Ust Rahim Yahya Abd Rahman dan isteri Ustazah Inun Mamit.

Terima kasih atas undangan.

IMG_7717

 IMG_7346

7) Ustaz Hj Abd Aziz Samad

Bagi para pelajar lepasan SMAI TPHR, sudah tentu tidak dapat melupakan jasa guru ini khususnya dalam ilmu seni khat.

Sehingga hari ini, hasil tangan dan didikan beliaulah SMAI TPHR sentiasa berada di hadapan dalam pertandingan sepanduk dalam perhimpunan Maulidur Rasul, dimana ukiran khat menjadi ukuran utamanya.

Bukan setakat sepanduk SMAI TPHR, mana-mana sepanduk yang mendapat nombor dalam mana-mana kategori sama ada jabatan, swasta, IPT, sekolah, kampung dan seumpamanya, pasti orang belakang tabirnya ialah anak-anak lepasan SMAI TPHR.

Ust Abd Aziz adalah orang Kg Bijal Jitra Kedah. Beliau berkhidmat selama 36 tahun di bumi Sabah.

Dahulu ketika datang pada 1973, beliau memulakan khidmatnya di SK Bundutuhan Ranau. Ketika itu sekolah-sekolah berada di bawah pentadbiran kerajaan negeri.

Tiga tahun di sana, beliau berpindah pula ke SUI Ranau selama 7 tahun pula sehingga 1982. Ketika di daerah Ranau inilah anak kedua hingga keempatnya dilahirkan.

Dari Ranau, beliau sekeluarga berhijrah pula ke Tuaran sehingga 1990. Di Tuaran ini ustaz bertugas di beberapa tempat. Antaranya SUI Tuaran, SUI Tembalang, SUI Mengkabong dan SUI Giling.

Pada 1990, barulah ustaz ke SMAI TPHR. Saya teringat lagi, suara lantang beliau mengajar sehingga menerobos ke bilik darjah yang lain.

Pada 2006, ustaz menamatkan tugasnya di Sabah dan kembali ke Kedah, khususnya di Kg Tanjung Musang, Jalan Telok Jamat, Mukim Langgar Alor Star. Di sinilah kampung isteri beliau, Ustazah Hjh Che Jam yang kami kenali sebagai ustazah yang peramah.

Rumahnya kini sebenarnya telah dibina sejak 1975 lagi, ditambah dan dibesarkan sedikit demi sedikit sehinggalah apa yang ada pada hari ini.

Ustaz ada mengusahakan kebun duku, rambutan, pisang dan sebagainya yang terletak di sebelah rumahnya seluas 3 ekar. Ustaz juga ada kebun getah tidak jauh dari rumahnya.

Di rumah ini, ustaz dan ustazah tinggal berdua saja. Anak pertama berada di daerah lain di Kedah ini, sementara yang kedua dan ketiga berada di Sabah (Ust Azlan dan Ustazah Norazlinda)

Sementara yang bungsu, Nor Azmawati kini bertugas sebagai pensyarah di UiTM Segamat, dimana Prof Dr Hj Md Kamil Ibrahim menjadi pengarahnya.

Azma juga khabarnya sedang meneruskan pengajian ke peringkat PhD dan bakal menamatkan zaman daranya pada 12 Disember ini atas pilihan keluarganya.

IMG_7368

8) Hj Ali Sibramulisi Hj Abd Rahman @ Pak Ali

Secara jujur, saya tidak pernah bertemu dengannya tetapi namanya cukup harum dan terkenal khususnya ketika beliau mengasas dan mengimarahkan Surau Bernas di Kolombong.

Pak Ali berada di Sabah lebih 20 tahun dan tugasan terakhir beliau adalah sebagai Pengurus Pemasaran Bernas Negeri. Banyak cerita suka duka beliau khususnya penglibatan beliau dalam PAS.

Di Surau Bernas itu, antara tokoh yang pernah mengisi ceramah adalah Ust Hj Abd Ghani Samsuddin, Tuan Guru Hj Yahya Joned, Ust Yusuf Embong, Ust Wan Azhar dan ramai lagi.

Apabila beliau meninggalkan Sabah pada 2003, surau Bernas terus malap dan terbiar. Baik oleh orang Bernas mahupun penduduk taman sekitar.

Semenjak sebulan dua ini, barulah ia dimeriahkan semula atas inisiatif penduduk berhampiran khususnya mereka yang cintakan surau dan program keagamaan.

Pak Ali beristerikan orang Weston Beaufort – Puan Rosni Sulai yang kini menghidapi penyakit kencing manis. Kaki beliau menjadi kaku, tidak dapat bergerak dan berjalan sendiri.

Pak Ali tinggal di sebuah kedai runcit miliknya di Kg Gelam, Langgar. Kedai itu telah diusahakannya sejak 3 tahun lalu. Di sinilah beliau tinggal bersama isteri dan seorang anaknya daripada sejumlah 8 cahayamata.

Sementara yang lain berada daerah dan negeri lain. Ada seorang di sabah, 3 orang di KL, seorang di Norway, seorang di Pahang, seorang di Kedah.

Sambil mengusahakan kedai, Pak Ali juga dilantik sebagai ketua kampung di sini.

IMG_7443

9) Cikgu Md Nasirin Abd Ghani.

Cikgu Nasirin orang Terengganu. Beberapa ketika, beliau pernah bertugas di Sabah khususnya di SMK Teknik Likas sehingga mendirikan rumahtangga dengan orang Sabah dan beroleh seorang putera bernama Muhammad Wafiy. 

Secara jujurnya, saya lambat merapati beliau.

Saya merasakan waktu paling dekat ialah ketika kami pulang bersama dari Tamparuli setelah bermesyuarat bersama perihal seorang remaja yang hendak dimurtadkan keluarganya. Peristiwa itu berlaku setahun lalu.

Di kereta itulah kami banyak berbual tentang peribadinya.

Ketika beliau menghadapi masalah rumahtangga sehingga berakhir dengan perceraian, saya juga salah seorang yang mengetahuinya daripada peringkat awal.

Apabila bertemu di Permatang Pasir malam minggu lalu, setelah 2 bulan beliau berpindah ke mari, saya mendapat tahu beliau menjalinkan hubungan dengan seseorang pula. Jangan salah sangka, menurut penilaian saya hubungan itu masih bersih sehingga kini.

Tiada lain nasihat dan pandangan saya selain agar Cikgu Nasirin cepat-cepat berumahtangga. Bila bertemu orang yang baik agamanya, apa lagi hendak ditunggu. Sementara umur masih muda..

IMG_7324

4. Ust Zulkifli Mustafa.

Empat belas tahun berjuang dan berkhidmat, tidak sedikit budi dan jasa yang beliau hulurkan di bumi Sabah.

Keringat dan tenaganya bukan setakat di Maktab Sabah tempatnya bertugas, bahkan juga kepada surau-surau tempat beliau menyampaikan ilmu kepada masyarakat.

Petang jumaat lalu, kami bertemu di rumah ibunya yang sangat baik hati. Dahulu ketika berpindah, ibu inilah menjadi alasan Ust Zul. Benar, ibu yang berusia lebih 70 tahun kesunyian dan tinggal sendirian kini.

Ust Zul dan keluarganya hanya pulang ke rumah ibunya di Kg Chegar, Pendang hampir setiap hujung minggu. 

Ini kerana Ust Zul ditempatkan di SMK Sungai Kob Kulim, sama sekolah dengan isterinya dengan jarak 2 jam perjalanan dari Pendang.

Dalam sembang kami itu, Ust Zul berkira-kira untuk minta pindah ke Pendang pula bagi membolehkannya duduk hampir dengan ibunya yang semakin uzur itu.

Petang itu, Ust Zul juga memaklumkan bahawa isterinya tidak dapat pulang bersama kerana menjaga anak kecil yang baru berusia dua bulan. Ia melengkapkan anak kelima mereka.

Aqlina, Md Ahnaf, Aliya Yumna, Md Aufi Syahim dan Afini (30 Mei 2009).

IMG_7333

5. Ust. Mustafa Abd Majid.

Putera-putera SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah wajib dan pasti mengingati beliau khususnya dalam tempoh 6 tahun beliau berkhidmat sebagai guru dan pengawas asrama putera.

Ada peristiwa lucu, sedih, gembira dan sebagainya menjadi kenangan bersama.

Beliau balik ke negerinya di Kedah ini pada 2006 lalu dan menetap di Pendang. Sungguh nostalgia dan sentimental sekali melihat tanda nama rumahnya dinamakan dengan Nurul Sabah.

Katanya, rumah yang dibina adalah hasil pendapatan sepanjang 27 tahun berkhidmat di bumi Sabah.

Ust Mustafa yang berasal dari Sungai Jagung, Pendang memulakan khidmatnya di Sabah pada 1979 di Rancangan Klias, Beaufort selama 3 tahun sebelum berpindah ke SUI Kerukan Kuala Penyu selama 6 tahun.

Dari Kuala Penyu beliau berpindah ke Kota Kinabalu sebagai pengawas asrama dan guru di SMAI TPHR (1990-1995).

Tempoh selama 12 tahun berikutnya beliau habiskan sebagai Penolong Setiausaha 1 di Unit Peperiksaan Bahagian Pendidikan JHEAINS.

Dengan umur kini 58 tahun, Ust Mustafa menghabiskan masanya banyak di kebun beliau. Jangan terkejut, Ust Mustafa juga kini aktif dalam Biro Agama UMNO Bahagian Pendang.

Berkali-kali beliau memprovokasi saya tentang keUMNOannya. Walaubagaimanapun situasinya, bagi saya kedudukan beliau sebagai guru yang banyak berjasa tidak dapat dinafikan sama sekali.

Katanya, dia terpaksa mengakui hakikat bahawa UMNO kini teruk khususnya dengan rasuah dan penipuan. Sebelum pulang, saya pula memprovokasi beliau.

“Ust, bila mau masuk PAS?”

“Insya Allah”.

IMG_7335

6. Ust Hj Abdullah Din.

Selepas bertarawih di Surau Kg Yan Kechil, kami bersembang panjang di sebuah gerai berhadapan Hospital Yan.

Panjang cerita kami, Ustaz bersemangat melaporkan perkembangan tentang beliau sendiri sepanjang setahun kembali ke negeri sendiri. Julai tahun lalu, Ust Abdullah Din berpindah ke Kedah setelah berbudi di Sabah.

Sudah tentu ramai sekali merasa sedih dan mengalirkan air mata mengingati perpisahan itu.

Tidak keterlaluan saya catatkan di sini, orang yang paling berduka dan merasa kehilangan ialah Chegu Jamil yang menjadi rakan suka duka beliau dan melaksanakan program dakwah di mana-mana ketika itu.

Ust Abdullah pernah bertugas di Beaufort, SMK Peter Mojuntin Penampang dan SMK Tebobon, kini beliau berkhidmat di SMK Dato’ Syed Ahmad dengan pangkat guru cemerlang yang diperolehinya di Sabah lagi.

Ust Hj Abdullah Din kini banyak mengisi masa beliau dengan mengadakan kursus pemantapan aqidah sebagaimana yang beliau usaha dan asaskan di Sabah dahulu.

Selain itu, beliau juga kini aktif dalam ABIM daerah Padang Terap dan di peringkat  Negeri Kedah sendiri.

Suatu perkara yang membuatkan saya terharu apabila beliau merasakan hubungan dengan sahabat-sahabat di Sabah masih kukuh dan erat.

Seperti Ust Zulkifli Mustafa juga, secara jujur Ustaz menjelaskan bahawa kewujudan blog Abu Nuha Corner ini banyak memberi maklumat tentang aktiviti dakwah rakan-rakan di Sabah.

Khabar dan cerita di blog ini sedikit sebanyak mengubati kerinduan terhadap program dakwah dan kepada sahabat-sahabat sendiri.

Tambahan pula, saya sendiri tidak menggugurkan nama dan nombor telefon beliau setiap minggu saya mengedarkan makluman usrah sekalipun beliau sudah balik lebih setahun.

Situasi itu menyebabkan ustaz merasakan beliau hampir dengan sahabat-sahabat.

Insya Allah persahabatan itu tidak akan terurai dengan berpisah mata dan badan. Semoga beliau terus aktif dengan usaha-usaha dakwah beliau di samping isteri dan anak-anak seramai 7 orang itu.

Posting lama tentang Ust Abdullah Din baca di sini.

Sejak tiba di KL mulai rabu sehingga berada di Kedah saat ini, saya telah berjumpa dengan beberapa individu yang lama tidak saya temui.

IMG_7136

1) Ust Najib Abd Ghaffar.

Ust Najib adalah rakan sepersekolahan ketika tingkatan 2 di SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah. Walaupun tempohnya di Sabah singkat saja -1992, tetapi persahabatan tetap kekal sehingga hari ini.

Selepas kami berpisah pada  kerana Najib balik ke Kedah mengikut keluarganya, kami tidak lagi bertemu sehingga pada 1999 di Darul Quran (DQ) JAKIM, Kuala Kubu Baru.

Mengingat kenakalan zaman sekolah, saya sendiri tidak menyangka Najib masuk dan menyambung pengajian di DQ (1998-2001) dan menjadi junior kami pula.

Selepas DQ, Najib sambung ke Maahad Qiraat al-Azhar di Mesir pada 2002-2005, dan di sana kami bertemu pula. Kemudian Najib kembali ke DQ pada 2006 sebagai pensyarah pula, mengajar subjek-subjek al-Quran seperti tasmik, qiraat dan lain-lain.

Kali terakhir kami bertemu ialah pada 2007 lalu, apabila kami terserempak selepas solat jumaat di Masjid India, KL.

Kami bertemu pula beberapa hari lalu dalam Seminar Pemurnian Aqidah anjuran Pejabat Mufti WP dan JAWI di Masjid Wilayah.

Najib sudah berkeluarga dan kini mempunyai 2 cahayamata. Isterinya seorang guru JQAF mengajar di sebuah sekolah berhadapan DQ.

IMG_7139

2) Ust Hj Abd Malik Salleh.

Tidak banyak cerita dan kenangan saya dengan beliau, kerana zaman itu saya masih di bangku sekolah.

Ust Malik – orang Kelantan, yang kini bertugas selaku imam besar Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta, pernah bertugas di Jabatan Agama Islam WP (JAWI) Labuan, antara 1994 hingga 1998 sebagai Ketua Penolong Pengarah (KPP).

Jawatan KPP adalah jawatan tertinggi JAWI di Labuan, yang bermakna penjawat berkenaan mengetuai operasi pentadbiran JAWI di WP Labuan.

Seingat saya, nama beliau cukup baik dan harum ketika berkhidmat di sana, lantaran hubungan beliau yang sangat mesra dengan ramai orang khususnya penduduk kampung dan ahli qaryah masjid.

Ust Malik dalam sembang singkat kami tempohari juga menyebut beberapa nama yang menjadi keluarga angkatnya di WP Labuan. Beliau juga masih mengenali dan mengingati bapa saya selaku rakannya ketika itu.

IMG_7309

3) Ust Shahrizal Ghazali.

Saya bersahabat dengan beliau sejak 2003 sehingga kini. Ketika saya dan isteri mendirikan rumahtangga pada 2002, kami kemudiannya tinggal di Mansoura sehingga pulang ke tanahair pada pertengahan 2004.

Ketika di Mansoura itulah kami bersahabat baik dengan rakan-rakan yang sudah berumahtangga.

Kami berusrah bersama – usrah bait muslim, saling ziarah menziarahi, melancong bersama dengan keluarga masing-masing, tambahan pula kami masing-masing mempunyai seorang anak yang sebaya umur dan baru lahir pada 2003.

Ust Shah mengaji di Universiti al-Azhar Cawangan Tanta dalam kuliah Syariah Islamiyyah tetapi tinggal di Mansoura sejak 2002.

Sementara kami kembali pada julai 2004, Ust Shah dan keluarganya pula kembali pada oktober tahun yang sama.

Sejak 5 tahun lalu, Ust Shah bertugas di SMA al-Islah Pendang. Pertemuan terakhir kami pula ialah pada akhir 2007, ketika saya berkunjung ke negeri ini atas urusan rasmi.

Kini Ust Shah tinggal di Taman Teratai Pendang bersama isterinya Ustazah Suzana Md Nordin @ Kak Zana yang juga menjadi rakan baik isteri saya serta 3 cahayamata mereka. Md Afifi (6 tahun) – seumur dengan Nuha, Afifah Izzati (3 tahun) dan Anis Afifah (2 tahun).

Insya Allah persahabatan dan kenangan manis di Mesir khususnya bersama rakan-rakan bait muslim Mansoura lain tidak akan dilupakan.

IMG_4432Pagi semalam saya berada di Ibu Pejabat Penjara Sabah di Kepayan. Programnya ialah mengisi satu slot Kursus Nilai-Nilai Murni & Budaya Kerja Cemerlang.

Tajuk yang diberikan ialah ‘Penghayatan Nilai-Nilai Murni Dalam Perkhidmatan’.

Sebenarnya, terlalu banyak sudah dinyatakan kepada penjawat awam berkenaan tajuk seumpama ini. Ia sering diulang dan disebut dalam mana-mana kursus, induksi dan sebagainya.

IMG_4430Dalam slot ini, saya menghuraikan 4 sifat wajib bagi Rasul yang wajib juga diteladani. Dalam masa yang sama, kefahaman yang sahih terhadap aqidah khususnya kewujudan Allah SWT dan hari pembalasan, menjadi teras agar semua penjawat awam dapat menghayati semua nilai-nilai murni.

Apabila mereka memahami dan mempunyai iktikad yang benar, maka tiada lagi yang berani rasuah, ponteng, menipu dan sebagainya. Ini kerana mereka meyakini adanya malaikat yang mencatat di kiri dan kanan, dan semuanya akan diperlihatkan di dataran mahsyar.

Akhirnya mereka akan menjadi manusia yang mempunyai jati diri, walau di mana berada dan apa saja situasinya.

IMG_4431Dalam program ini, ada 30 peserta kesemuanya, terdiri daripada pegawai-pegawai penjara terpilih seluruh negeri termasuk beberapa pegawai bukan Islam. Alhamdulillah, dalam ceramah dan soal jawab hampir 2 jam itu, saya bertemu dengan beberapa sahabat lama yang kini bertugas di jabatan penjara.

Antaranya Ustaz Md Fuad Ahmad, senior di SMAI TPHR dahulu dan Md Fazley Sahat, junior dan pelajar saya di Maahad Tahfiz dan kini bertugas di Jabatan Penjara Sandakan.

IMG_4427

IMG_4428

IMG_4429

%d bloggers like this: