Tag Archive: SMAI Papar


Majlis berkenaan berlangsung meriah di SMAN Pantai Manis Papar sebagai tuan rumah kali ini. Sejak awal pagi, urus setia dari Bahagian Pendidikan JHEAINS, para peserta, guru-guru dan juri hakim datang berkumpul bagi menjayakan majlis berkenaan. Tujuh acara dilangsungkan serentak iaitu syarahan Bahasa Arab, pidato, khutbah, khat, kuiz, nasyid dan maharah al-kitabah wal-qiraah.

Saya tiba dengan kenderaan sendiri pada jam 8.10 pagi untuk menunaikan amanah sebagai hakim bahagian kuiz bersama-sama dengan sahabat saya Ustaz Hisyam Yayah dari Pejabat Mufti Negeri Sabah. Lima buah sekolah JHEAINS menyertai majlis ko-kurikulum ini iaitu SMAI Toh Puan Hajah Rahmah, SMAI Papar, SMAI Beaufort, SMAI Tambunan dan SMAI Kunak. Untuk bahagian kuiz ini SMAI Toh Puan muncul sebagai johannya dan sekaligus johan keseluruhan.

Pemerhatian saya dan Ustaz Hisham, soalan-soalan kuiz yang terbahagi kepada 3 kategori iaitu tauhid, fekah dan bahasa Arab ini sangat menarik. Soalan-soalan merujuk kepada standard PMR, tiga peserta bagi setiap sekolah dan mereka memilih soalan antara 1 hingga 15. Pada pusingan pertama, Papar kelihatan mendahului, disaingi pada pusingan kedua dan kemudiannya dipintas oleh Toh Puan pada pusingan ketiga dan akhirnya muncul johan. Jelas sekali, para peserta umumnya agak lemah dalam kategori bahasa Arab.

Majlis penutupan dilakukan oleh Puan Hajah Apsah Haji Kudi, KPP Bahagian Khidmat Pengurusan mewakili Pengarah JHEAINS. Hanya satu saya kelihatan ralat dalam majlis ko-kurikulum ini kerana ketiadaan acara tilawah dan hafazan  al-Quran yang sepatutnya menjadi acara penting kerana subjek ini diajar di sekolah-sekolah JHEAINS. Tahniah kepada semua yang terlibat, semoga tahun hadapan lebih baik dan berkualiti persembahan dan hasilnya kepada dakwah Islam di Sabah. Insya Allah.

Foto berikut sumbangan Ahmad Haji Yasin :

Beberapa hari sebelum ini, saya sudah dimaklumkan akan kedatangan Dr Md Arip Kasmo ke Sabah untuk program ceramah Sains Dalam al-Quran di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan pada malam sabtu anjuran siswa-siswi Sabah yang menuntut di USM.

Pada hari ketibaan beliau, baru saya tahu pula bahawa Dr Arip hanya balik pada malam isnin (malam ini) dan beliau mempunyai banyak masa yang terluang untuk mengisi program ceramah seumpama itu.

Beberapa rakan-rakan yang mengajar di sekolah-sekolah dihubungi untuk meminta laluan ceramah buat Dr Md Arip Kasmo, namun kebanyakannya berhalangan. Tidaklah mereka dipersalahkan kerana permohonan kami dibuat secara mengejut bagi mengisi ruang penceramah.

Hajat saya untuk membawa ke SMAI Papar di Pantai Manis bermula apabila pengetuanya Ust Hamdani Omar tersalah dail menghubungi saya sedangkan beliau hendak bercakap dengan orang lain. Ketika itu saya baru berkira-kira mencari sekolah dan asrama yang berkelapangan.

Alhamdulillah, Prof Dr Md Arip pula bersetuju untuk berjalan ke sebelah Papar dan Ust Hamdani saya hubungi semula untuk memohon persetujuan sekolah mengadakan ceramah yang bermanfaat ini.

Kami – Dr Md Arip, Ust Amir Hamzah dan saya, tiba di surau sekolah hampir jam 7 malam dan pihak sekolah ketika itu sedang menyediakan persiapan dan kelengkapan ceramah untuk Dr Md Arip.

Saya kira dengan kedatangan Dr Md Arip Kasmo ke sekolah ini membawa ruang dan hubungan baru khususnya dalam mengadakan pengisian untuk pelajar sekolah apatah lagi sekolah agama.

Ceramah hampir 100 minit berlangsung, saya nampak para pelajar sekitar 400 orang itu dan guru yang hadir begitu gembira dan teruja walaupun sesekali agak kebingungan kerana fakta-fakta bernombor yang dibentangkan beliau.

Sebelum pulang, Dr Arip juga ada menghadiahkan beberapa naskhah buku beliau untuk koleksi perpustakaan sekolah.

Nampaknya pihak sekolah gembira dengan kehadiran beliau, dan Dr Arip sendiri juga gembira kerana diberi ruang menyampaikan ceramah yang begitu menarik berkenaan Sains & al-Quran itu.

IMG_9378

Seramai 47 pelajar Sabah hari ini berangkat untuk menyambung pengajian masing-masing ke Mesir.

Mereka adalah rombongan bagi penerbangan pertama yang berangkat ke bumi Anbiya’ itu selain rombongan kedua yang akan berlepas petang esok seramai 16 orang.

Kesemua mereka mendapat tajaan tiket penerbangan daripada Pusat Zakat Sabah (PZS), Kota Kinabalu.

Di kalangan pelajar berkenaan, ada yang merupakan lepasan SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah, SMAI Papar, SMKA Inanam, SM Sains Kota Kinabalu dan beberapa sekolah lain.

Penerbangan hari ini akan diiringi oleh 3 pegawai Pusat Zakat Sabah – Ust Hj Ak Raimy Pg Abd Rahman, Puan Noraini Ramli dan Encik Jaludin Dolah, sementara bagi penerbangan esok akan diiringi oleh seorang pegawai JHEAINS iaitu Ust Hj Safri Bakar, guru di SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah.

Daripada 63 jumlah berkenaan, 41 akan menyambung pengajian dalam bidang perubatan dan selebihnya dalam bidang pengajian Islam.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) dipenuhi oleh ahli keluarga, sanak saudara dan para guru yang turut menghantar kepada mereka.

Turut hadir mengucapkan selamat jalan ialah Timbalan Pengarah JHEAINS Hj Rumaling Epit, Pengetua SMAI Toh Puan Hajjah Rahmah, Ust Hj Pg Omar Pg Gana; Ust Ag Juri Ag Tahir (PZS)  dan guru-guru daripada sekolah yang terlibat.

Jumlah ini adalah antara yang teramai dalam sejarah dan rekod penghantaran pelajar Sabah ke Mesir.

Abu Nuha Corner mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat berangkat dan berjuang. Perbetulkan niat, jaga akhlak dan peribadi masing-masing di bumi orang.

Semoga semuanya pergi dengan selamat dan kembali membawa kejayaan yang gemilang seterusnya berbakti kepada masyarakat bagi memenuhi tuntutan agama yang tercinta.

Tujuan dan niat belajar adalah berdasarkan ayat 122 at-Taubah :

 

“… oleh itu, hendaklah keluar sebahagian dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang yang lain itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya  apabila  mereka kembali; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)”.

IMG_9379

IMG_9383

IMG_9388

IMG_9390

IMG_9398

IMG_9404

IMG_9408

IMG_9411

IMG_9415

 

IMG_9417

IMG_9422

IMG_9425

IMG_9427

IMG_9432

%d bloggers like this: