Undangan disampaikan oleh Ustaz Arif Yusuf, salah seorang guru di sekolah berkenaan lebih seminggu sebelum majlis berlangsung. Seperti biasa, saya dengan gembira menerima undangan walaupun agak segan sebenarnya kerana di sekolah berkenaan ramai guru agama yang lebih berkelayakan. Satu lagi, saya perlu berhadapan dengan seluruh murid yang jumlahnya hampir seribu orang dan sedayanya mahu menawan hati mereka.

Ceramah memperingati keputeraan Rasulullah SAW ini bermula pada jam 9 pagi dan berakhir sejam kemudian. Saya mulakan ceramah dengan bercerita kehidupan nabi pada zaman kanak-kanak dan remaja baginda yang sangat bersih sekali. Nabi SAW adalah seorang anak yatim dan hidup dalam kesusahan tetapi tidak miskin kasih sayang daripada keluarganya yang masih ada. Justeru baginda SAW kerana ditakdirkan pernah merasai kesusahan hidup, maka baginda apabila dewasanya sangat mengasihi anak yatim dan orang yang susah.

Ketika remajanya, baginda SAW sudah dilatih sebagai pengembala kambing dan kemudian sebagai peniaga. Baginda SAW bukanlah seorang remaja yang suka membuang masa dan berfoya-foya dengan rakan-rakan sebayanya. Lihatlah bahawa Allah SWT telah mengatur kehidupan seorang manusia yang istimewa yang sempurna kehidupannya sejak kanak-kanak sehingga baginda wafat.

Dalam hidup ini, manusia sangat meminati sesuatu. Ada orang meminati pemain bola, ada yang menyukai penyanyi dan pelakon. Ada yang meminati siri-siri kartun dan sebagainya. Minatnya kepada pemain bola contohnya, sehingga mereka ada poster pemain bola di biliknya, jadual perlawanan, majalah berkaitan dan seumpamanya. Begitulah dalam hal lain manusia menzahirkan sesuatu yang diminatinya.

Kepada anak-anak murid, saya pesankan mereka beberapa perkara sebagai tanda kasih kepada Nabi SAW. Antaranya membetulkan langkah kanan atau kiri, contohnya masuk ke rumah, masjid, tandas, pasar dan sebagainya, kerana ini semua telah ditunjukan oleh Rasulullah SAW. Budayakan membaca al-Quran, menjaga solat, memberi salam kepada orang Islam, serta bersolawat kepada Rasulullah SAW.

Terima kasih kepada Tuan Guru Besar, YDP PIBG, semua guru-guru dan murid-murid SK Tg Aru 1. Saya sangat bahagia!