Tag Archive: SK Pekan 2 WP Labuan


Sekadar beberapa nama guru kelas yang sangat berjasa.

1) Cikgu Salina (Tadika Kg Lubok Temiang 1984-85)

2) Cikgu Norsiah Saman (Darjah 1), Cikgu Sidek Hj Said (Darjah 2), Cikgu Abindi Samat (Darjah 3). Darjah 1 – 3 di SK Lubok Temiang WP Labuan.

3) Cikgu Rosnah (Darjah 4), Cikgu Rafiah Ismail (Darjah 5), Cikgu Othman Md Noor (Darjah 6). Darjah 4 – 6 di SK Pekan 2, WP Labuan.

4) Ustaz Adam Abdul Hai (Tingkatan 1), Cikgu Maimunah Matlan (Tingkatan 2), Cikgu Hashimah Jamangin (Tingkatan 3),  Ustazah Hjh Ngaisyah Darmat (Tingkatan 4), Cikgu Jonisah Harimin (Tingkatan 5). Tingkatan 1-5 di SMUI Toh Puan Hajjah Rahmah, Kota Kinabalu.

5) Pensyarah di Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat Negeri Sabah (1995 – 1999) – Datuk Hj Asmali Bachi, Ust Pajudin Nordin, Ust Zaidi Edward, Ust Hj Abu Bakar Omar, Ust Hj Muchlish Ali Kasim dan Ust Hj Ghazali Sulaiman.

6) Pensyarah di Maahad Qiraat al-Azhar, Shoubra (sebahagian) (2000 – 2003) – Shaikh Abd Rahim al-Banna, Shaikh Muhammad Abdun Nabiy, Shaikh Hassan, Shaikh Judah, Shaikh Isa dan lain-lain.

Sesungguhnya tiada istilah bekas kepada guru walaupun mereka sudah pencen atau dipencenkan oleh Allah SWT. Namun yang penting, ilmu mereka berbekas dalam diri dan kehidupan kita.

Walaupun tidak semua namanya tercatat di sini, sesungguhnya nama dan budi baik mereka dicatat oleh Allah SWT. Jika ada umur dan kesempatan, ingin sekali saya bertemu dengan mereka semua sekali lagi.

Semoga Allah SWT memberikan pahala yang berlipat kali ganda kepada mereka, memberi kebahagiaan, keampunan, rahmat dan kasih sayangNya. Allahumma, amin!


CIKGU HAJI SALAMAT DALIMAN

Sejak kepulangan jamaah haji tahun ini, saya belum menemui sesiapa di kalangan mereka termasuk ahli keluarga yang baru bergelar haji dan hajjah itu kecuali Ustazah Hjh Zubaidah Jamadi, pegawai JHEAINS yang menjadi pembimbing haji.

Saya belum bertemu Hj Pozi, Ust Hj Bungsu, Hj Shah, Hj Idzam, Hj Zawawi, Datuk Hj Ibrahim, Cikgu Hjh Ben dan lain-lain. Walaubagaimanapun, isnin lepas saya berkesempatan berkunjung ke rumah rakan lama Amirul yang menyambut kepulangan kedua orang tuanya dari tanah suci.

Cikgu Haji Salamat adalah guru saya di SK Pekan 2 WP Labuan. Beliau anak jati Labuan dan kini berumur 54 tahun. Sejak tamat sekolah rendah pada hujung 1991, saya tidak bertemu beliau sehingga 2 malam lalu.

Tidak banyak berubah wajah beliau sejak 17 tahun lalu, hanya sedikit kedutan wajah dan uban yang mula menghiasi rambut dan misai di wajahnya.

Khidmat beliau dalam dunia pendidikan sama lama dengan usia saya. Bermula 1979, beliau berkhidmat di SMK Panglima Abdullah Semporna; pernah juga di SMK Mempagar (1980-82) – kini dikenali SMK Beaufort; kemudian kembali ke WP Labuan di SMK Membedai mulai 1982-88; dan kemudiannya di SK Pekan 2 sehingga 1998.

Saya mula mengenali beliau ketika beliau bertugas di SMK Membedai kerana ketika itu bapa saya adalah pengetuanya, sementara apabila saya pindah sekolah dari kampung ke SK Pekan 2, beliau juga salah seorang tenaga pendidik di sana.

Sejak 1998, Cikgu Salamat naik ke Pejabat Pelajaran Bahagian (PPB) Labuan sebagai penyelia. Apabila PPB naik taraf sebagai jabatan, beliau naik juga sebagai penyelia kanan.

Kata beliau, kini bertugas sebagai Penolong Pengarah (Unit Hal Ehwal Murid).

Sebelum doa selamat dirafa’kan, saya sampaikan sedikit tazkirah tidak sampai 5 minit kepada ahli keluarga dan tetamu yang hadir.

Selain bertemu mengubat rindu, pengajaran paling besar ialah kita mesti menyimpan cita-cita dan azam untuk sampai ke sana menyahut panggilan haji yang difardhukan itu.

Kepada Cikgu Haji dan Hajjah, semoga mendapat haji mabrur dan mudah-mudahan dimurahkan rezeki, dipanjangkan umur. Ilmu yang dicurah selama menjadi pendidik, hanya Allah yang mampu membalas.

%d bloggers like this: