Tag Archive: SK Kem Lok Kawi


MUSIM BARU PERSEKOLAHAN 2013

Sekolah 2013 (1)

Sekolah lama – SK Kem Lok Kawi

Seperti orang lain yang mempunyai anak-anak yang sudah bersekolah, kami juga tidak ketinggalan untuk mengurus dan mengatur persekolahan musim baru 2013. Permulaan musim tahun ini saya mulakan dengan mengurus pertukaran sekolah 3 orang anak kami – Nuha, Hana & Abd Hadi.

Sebelum ini Nuha dan Hana bersekolah di SK Kem Lok Kawi, sementara Abdul Hadi sudah mendapat tempat untuk darjah 1 sesi 2013 di sekolah yang sama. Justeru pada hari pertama persekolahan 2 Januari semalam saya mengurus pertukaran di sekolah lama sementara anak-anak tidak ke sekolah lagi seperti orang lain.

Pilihan sekolah kali ini ialah SK Kg Contoh. Alhamdulillah, dengan bantuan Cikgu Hajjah Nur Azalina, PK SK Petagas, pertukaran anak-anak kami tidak melalui Pejabat Pelajaran Daerah Penampang. Urusan yang pada awalnya kelihatan sulit kerana beberapa masalah teknikal dan kesilapan manusia akhirnya dimudahkan oleh Allah SWT jua.

Sementara dua anak kami memula dan meneruskan pelajaran di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) asy-Syakirin Taman Sri Kepayan yang merupakan premis PASTI terbaru. Lu’lu Badriyyah sebelum ini belajar di PASTI Nur Fathonah Taman Pasir Putih Putatan, sementara adiknya Aina’ Salsabila baru saja memasuki pra sekolah PASTI ini.

Semoga pelaburan ini menjadi aset penting kami dan ummah seluruhnya bagi melahirkan insan yang beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT.

Sekolah 2013 (2) Sekolah 2013 (3) Sekolah 2013 (4)

HARI PERTAMA

Awalnya saya menyangka hari pertama persekolahan adalah hari selasa setelah hari isnin adalah cuti ganti kepada cuti tahun baru 2012 pada ahad. Maka kelam kabutlah saya memerintahkan anak-anak yang bersekolah agar tidur awal. Ada dua orang sekolah di PASTI dan dua orang lagi di sekolah rendah. Hmm.. sudah empat orang rupanya.

Pagi selasa, anak-anak bangun awal tapi relaks saja sambil tengok tv. Rupanya sesi persekolahan hanya bermula pada hari rabu. Patutlah anak-anak relaks semacam saja. Bapanya saja yang lebih. Barangkali terlebih semangat. Kononnya sudah bersedia untuk keadaan sibuk sejak pagi apabila hari persekolahan menjelang seperti sebelum ini.

Hari rabu menjelma.

Kami berbagi tugas. Isteri bersama pak mertua menghantar Nuha dan Hana di SK Kem Lok Kawi. Nuha masuk darjah 3 dan Hana baru darjah 1. Sebelum cuti tempoh hari saya sudah melihat nama Hana ‘naik’ di papan kenyataan sekolah. Tapi pada hari pendaftaran semalam, namanya tidak disebut sehingga ke akhir majlis. Rupanya guru terlepas pandang dan tercicir, tapi akhirnya dapat diselesaikan dengan baik. Pulang sekolah anak-anak terutama Hana seronok bercerita tentang sekolah barunya.

Saya pula ke Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) al-Fathonah di Taman Pasir Putih Putatan membawa Abdul Hadi dan Lu’lu’ Badriyyah. Abdul Hadi akan berada di tahun terakhir tahun ini untuk umur 6 tahun dan Lu’lu’ baru masuk untuk kelas umur 4 tahun. Seronok melihat Lu’lu’ terutamanya yang relaks saja di PASTI dan tidak menangis langsung (bukan macam bapanya dulu-dulu, hehehe).

Alhamdulillah, saat saya mendaftarkan Abdul Hadi dan Lu’lu’ jumlah murid-murid sudah mencapai angka 29 orang dan saya menjangka ia akan bertambah nanti. Sepanjang pengetahuan saya, jumlah ini tidak pernah dicapai sejak ia bermula sebagai PASTI Nur al-Fathonah di Taman Union Putatan sejak 2007 sebelum berpindah ke Taman Pasir Putih pula. Ia bermula dengan 6 orang murid, dengan situasi yang tidak stabil dan bertahan sehingga tahun keenam tahun ini.

Dengan murid tahun ini mencapai atau lebih 30 orang, insya Allah gurunya akan bertambah kepada tiga orang untuk memberi tumpuan kepada 3 kelas, mengikut umur 4, 5 dan 6 tahun. Tahniah kepada ibu bapa yang memilih PASTI sebagai tempat anak-anak mereka mendapat ilmu asas Islam dan kehidupan.

MINGGU PERTAMA

Alhamdulillah tiga orang anak memulakan minggu pertama persekolahan dengan baik. Tahun berubah, umur meningkat dan insya Allah kualiti dan prestasi diharap semakin baik untuk anak-anak. Saya mengambil sedikit waktu sebelah pagi isnin untuk bersama mereka, menghantar dan melihat kelas-kelas mereka sebelum bergerak ke pejabat.

Nuha yang bersekolah di SK Kem Lok Kawi dalam darjah dua, mulai tahun ini berada di sesi pagi setelah pihak sekolah mengadakan sekolah satu sesi untuk semua pelajar tahun  satu hingga enam. Tahun lalu dia bersekolah agama pada sebelah pagi di Sekolah Agama Kem Lok Kawi dan SK Kem Lok Kawi pada sebelah petang.

Oleh kerana sekolah kebangsaan sudah di sebelah pagi, Nuha kembali bersekolah agama di Pusat Pendidikan Islam an-Nur Taman Austral pada sebelah petang dalam darjah tiga. Bukan sekali dia merungut dan minta pindah sekolah kerana tidak tahan perangai kawan-kawannya di sekolah agama dalam darjah dua pada tahun lalu yang selalu menyindir dan memulaukannya hanya kerana dia baru berumur 7 tahun dan dianggap budak (kononnya!).

Hana dan Hadi meneruskan pra sekolahnya di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) al-Fathonah Taman Pasir Putih Putatan. Hana dalam kelas umur 6 tahun dan Hadi dalam kelas umur 5 tahun. Mudah-mudahan prestasi Hana khususnya tahun ini melonjak sebelum meninggalkan PASTI dan melangkah ke alam persekolahan sebenar tahun hadapan. Pada sebelah petang, Hana tahun ini mula bersekolah agama darjah satu di PPI an-Nur Taman Austral juga.

Secara umum, prestasi anak-anak pada semester kedua tahun lalu di sekolah masing-masing sedikit merosot. Barangkali faktor kelalaian kami sebagai ibu bapa sedikit sebanyak turut menyumbang prestasi akademik mereka. Namun untuk pengajian agama mereka, ada sesuatu yang saya sasarkan khususnya tentang pengajian al-Quran mereka tahun ini. Saya berharap Nuha akan khatam tahun ini, Hana akan memulakan al-Quran dalam sedikit masa (sudah iqra 6) dan Hadi memulakan iqra yang tertangguh.

Semoga diberi kekuatan.


Sebelah pagi rabu semalam, saya hadir ke SK Kem Lok Kawi.

Pihak sekolah melalui Panatia Agama Islam yang diketuai Ust Azlan Abd Aziz menubuhkan Akademi al-Quran dan Tahfiz untuk 30 murid terpilih antara darjah 1-5.

Di Bilik Gerakan, para ibu bapa kepada murid yang terlibat diberi taklimat tentang penglibatan mereka. 15 murid terlibat dalam akademi al-Quran dan 15 orang lagi akademi tahfiz.

Saya perhati, daripada 30 pelajar itu hanya 10 orang murid lelaki dan bakinya perempuan. Anak sulung, Nuha terpilih dalam akademi tahfiz.

Sehingga penghujung persekolahan tahun ini, pelbagai program disusun mengikut bahagian masing-masing. Contohnya, para murid akan dibimbing pada masa-masa tertentu setiap minggu untuk memahirkan bidang yang dipilih.

Dalam bahagian tahfiz, penganjur mensasarkan juz ‘Amma untuk dihafaz. Sementara dalam bahagian al-Quran, beberapa lagu tarannum akan diajar sehingga mahir kepada para pelajarnya. Mereka juga disediakan guru angkat untuk memantau perkembangan masing-masing.

Saya lihat para ibu bapa teruja dan bersemangat dengan penglibatan anak masing-masing tambahan lagi setelah diberi taklimat dengan bersungguh-sungguh oleh pihak sekolah. Mudah-mudahan usaha ini berjaya dengan  pimpinan oleh Allah SWT.

NOMBOR DUA

Petang khamis, anak sulung kami Nuha menyampaikan satu khabar bahawa dia dipilih menyertai pertandingan hafazan surah-surah lazim peringkat SK Lok Kawi pada pagi Jumaat yang melibatkan peserta darjah 1-5. Nuha darjah 1 di sekolah berkenaan.

Tidak salah saya, di tahun 1, ada empat orang dipilih. Tiga ikut bahagian tilawah, dan Nuha sendirian wakil hafazan. Justeru, saya terus menyemak hafazannya malam itu juga.

Surah lazim mulai ad-Dhuha hingga an-Nas semuanya ada 22 surah, tidak termasuk al-Fatihah. Sehingga itu, Nuha sudah menghafaz 12 surah kesemuanya dengan tidak mengikut urutan surah. Tidak sangka juga, fasahahnya agak baik.

Saya tidak mahu memaksanya untuk menghafaz surah-surah baru malam itu juga kerana bimbang dia tertekan. Pada pendapat saya biarlah dia menghafaz mengikut kemampuannya dan bukan atas tekanan bertanding.

Tengahari selesai solat Jumaat, saya dihubungi isteri. Nuha dapat nombor dua. Surah yang disoal kepadanya ialah al-Fatihah, ad-Dhuha dan al-Insyirah. Saya tersengih sendirian. Ada dua perkara dalam kepala saya ketika itu.

Pertama, sebagai seorang bapa, saya bersyukur anak dapat menunjukkan potensi dirinya walau baru berumur 7 tahun. Khabarnya, nombor 1 murid darjah 3 dan nombor 3 pula murid tahun 5.

Keduanya, sebagai orang awam pula saya merasa sedikit pelik kerana murid yang lebih senior tidak menonjol daripadanya. Satu segi, ia menunjukkan sesuatu yang negatif sebenarnya untuk masyarakat keseluruhan.

Apapun, melihat kemampuan anakanda sulung kami ini, saya cuba merancang sesuatu agar program hafazannya berterusan secara sistematik menurut kaedah saya sendiri, dengan bantuan isteri dan guru-gurunya di sekolah.

Sasaran pertama, juzu 30 cuba diselesaikan pada tahun ini. Insya Allah.

Jadi terima kasih kepada gurunya di SK Kem Lok Kawi khususnya Ust Rizuan yang melihat dan mencungkil bakatnya. Ini satu permulaan yang baik di peringkat sekolah rendah buat dirinya.

Nuha dengan seronoknya sanggup menunggu saya pulang kerja lewat petang untuk melihat kek, piala dan hadiah yang diperolehinya dan makan bersama-sama.

SURAU AN-NUR SK KEM LOK KAWI

Sebagaimana pernah saya coretkan sebelum ini, anak sulung kami Nuha memasuki dunia barunya dalam darjah 1 di SK Kem Lok Kawi. Sabtu semalam adalah hari pendaftaran dan pembayaran yuran. Alhamdulillah, cuma RM25 sahaja.

Oleh kerana ini pengalaman pertama anak naik darjah 1, saya agak teruja. Kesempatan datang beberapa kali, saya ada juga bertanya itu dan ini kepada beberapa orang guru, melihat dan meninjau bilik demi bilik termasuk surau sekolah.

Surau an-Nur menurut yang dimaklumkan bermula sejak 1996. Lokasinya sangat strategik, di tengah-tengah kawasan sekolah. Masuk saja kawasan sekolah, suraulah yang pertama dilalui.

Saya mengambil sedikit masa untuk melihat dan meninjau surau itu dari dalam. Ramai rakan ustaz dipelbagai sekolah yang mempunyai kemudahan surau pernah bercerita, surau biasanya menjadi lokasi mengadakan program yang dipanggil pengajaran dan pembelajaran (p&p).

Dari luar, surau ini nampak biasa saja. Saya sedikit kecewa apabila menyentuh dindingnya yang kebanyakan reput dimakan anai-anai. Sedikit tekanan atau hentakan, dindingnya pasti patah. Siling bocor, cermin tingkap banyak yang lopong. Hanya lantainya saja yang lawa.

Kembali ke luar, baru saya perasan atapnya yang mulai uzur. Bangunan di kiri dan kanan surau ini, agak baik dan tersergam sementara suraunya nampak terbiar.

Ketika mula-mula hadir pada isnin lalu, saya melihat banyak anjing berkeliaran di sekeliling sekolah. Sepatutnya kawasan surau mempunyai pagar sendiri agar tidak dimasuki haiwan berkenaan.

Sudah tentu saya agak cerewet dalam hal ini, kerana mungkin saja anak saya akan terbabit dalam aktiviti surau ini nanti. Lagipun, kalau pihak sekolah dan jabatan pelajaran boleh memperuntukkan untuk bangunan lain, untuk surau sudah tentu juga boleh.

Khabarnya di sekolah ini ada 14 guru agama, harap dapat bersatu memperjuangkan masalah surau ini secara kolektif. Bahkan semua guru yang beragama Islam sepatutnya memperjuangkannya termasuk guru besarnya.

Surau ini adalah rumah Allah SWT. Sebagai seorang Islam, semua guru muslim bertanggungjawab ke atasnya. Komentar saya ini adalah berdasarkan saya sebagai bapa dan sebagai seorang muslim.

HARI PERTAMA

Tahun ini, 3 anak masuk sekolah.

Nuha darjah 1 di SK Kem Lok Kawi pada sebelah petang, sementara darjah 2 di Sek Agama Kem Lok Kawi pada sebelah pagi. Hana dan Abdul Hadi pula masuk PASTI. Hana kelas 5 tahun dan Abdul Hadi 4 tahun.

Pergerakan pagi semalam, kami mulakan dengan pendaftaran Nuha di Sekolah Agama. Bersekolah agama dalam kawasan kem tentera mengingatkan persekolahan saya sendiri pada 1989-1991 di Kem Tentera Membedai WP Labuan.

Di Sek. Agama Kem Lok Kawi, kelas bermula pada jam 7.30 pagi dan berakhir pada jam 10, isnin hingga khamis sahaja dan cuti pada hari jumaat.

Kebanyakan ibu bapa yang mendaftarkan anak, terdiri daripada warga tentera sendiri dan juga penduduk kampung di sekitar kem ini.

Hari pertama, ibu bapa dibebaskan untuk meninggalkan anak di sekolah atau sekadar meninjau kelas saja. Lagipun para guru, agak sibuk dengan sesi pendaftaran.

Dari sana, kami ke SK Kem Lok Kawi yang lebih ke dalam. Lokasi sekolah sebenarnya lebih hampir dengan Kampung Lok Kawi Baru yang terletak di belakang kem.

Yang paling seronok datang ke sini ialah isteri saya. Inilah tempat dia  menimba ilmu sejak darjah 1-6. Datang ke sini sebentar pada pagi ini hanyalah untuk memastikan nama Nuha ada dalam senarai sebelum datang sekali lagi menjelang tengahari.

Kelas di SK Kem Lok Kawi bermula pada jam 12.40 pada isnin, 12.20 pada selasa hingga khamis sementara jam 1.10 pada hari jumaat. Waktu pulang pula pada jam 5.40 petang dan 5.30 pada hari jumaat.

Kami kemudian ke PASTI mendaftarkan Hana dan Abdul Hadi. Hana masuk kelas 5 tahun sementara Abdul Hadi buat pertama kalinya masuk PASTI untuk umur 4 tahun.

Sebenarnya sejak beberapa hari, Abdul Hadilah yang begitu bersemangat sekali hendak ke sekolah. Ke hulu ke hilir sibuk dengan beg cop Upin & Ipin.

Selepas mendaftarkan mereka berdua, kami berhajat hendak meninggalkan mereka sebentar di sana sebelum mengambil pulang pada jam 11. Tapi Abdul Hadi yang bersemangat pada awalnya, tidak mahu ditinggalkan pula.

Sudahnya, pulang juga…

%d bloggers like this: