Tag Archive: SHURA


FENOMENA SESAT DAN PENYIMPANGAN

Saya memanjangkan satu tulisan yang panjang dan ilmiah sebagai perkongsian bersama dengan sedikit editan. Ia artikel berkaitan dengan isu aqidah dan fahaman moden yang berlaku dalam masyarakat. Harap tekun dan bersabar membacanya. Artikel ini saya salin dari web rasmi Sekretariat Himpunan Ulama’ Rantau Asia (SHURA) http://www.shura-asia.org/shura/

***

Fenomena Sesat dan Penyimpangan Meruntuhkan Tatanan Hidup Islam (Siri 1) Oleh : Ustaz Hj. Abdul Ghani Samsudin

Allah berfirman dalam Surah al-Waqi’ah ayat 51-56 :

ثُمَّ إِنَّكُمْ أَيُّهَا الضَّالُّونَ الْمُكَذِّبُونَ لَآكِلُونَ مِن شَجَرٍ مِّن زَقُّومٍ فَمَالِؤُونَ مِنْهَا الْبُطُونَ فَشَارِبُونَ عَلَيْهِ مِنَ الْحَمِيمِ فَشَارِبُونَ شُرْبَ الْهِيمِ هَذَا نُزُلُهُمْ يَوْمَ الدِّينِ

”Kemudian kamu kelak, wahai manusia yang sesat dan pendusta agama kamu pasti makan Pohon Zaqqum. Perutmu akan penuh tepu dengannya. Kama pasti meneguk air panas yang mendidih. Kamu meminumnya ibarat unta kehausan . Inilah hidangan untuk mereka kelak pada hari pembalasan.”

Mukaddimah

Perbahasan mengenai sesat dan ajaran sesat telah dikupas dengan berbagai pendekatan dan persepsi. Kajian tersebut banyak dicorakkan oleh sikap atau pegangan Islam pehak yang menampilkan kajian itu. Bagi institut kajian strategik di Eropah, Amerika dan Israel khasnya kesesatan ajaran Islam itu ditonjolkan dalam aspek yang menjurus kepada keganasan, jihad dan politik. Ini kerana kajian tersebut akan digunakan untuk menjustifikasi perbuatan mengganas, menjajah dan merompak negara-negara umat Islam.

Lebih jauh kajian yang pincang itu akan digunakan sebagai asas untuk melumpuhkan kebangkitan gerakan kesedaran Islam melalui usaha meyakinkan para pemimpian negara umat Islam yang sekular, liberal dan nasionalis agar menindas, menumpaskan aktivist-aktivist gerakan reformasi Islam atas dakwaan mereka adalah kumpulan sesat yang menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar.

Apabila kedudukan penguasa politik sekular semakin goyah dalam politik domestik, mereka semakin mudah menurut rentak dan arahan negara penjajah tersebut untuk menumpaskan lawan politik dari kalangan aktivis Islam dengan mensasarkan kepada mereka tuduhan sebagai ekstrimis, terroris, pengancam keamanan negara dan sebagainya. Untuk itu mereka akan mengguna pakai undang-undang ISA, undang-undang dharurat dan lain-lain.

Ketika menjajah dan memerangi tentera pembebasan Chechnya misalnya Rusia menolak tuduhan setengah pihak yang mengatakan bahawa mereka adalah anti Islam dan memerangi orang Islam di Chechnya. Rusia menyangkal tuduhan itu. Sebaliknya menegaskan bahawa yang mereka perangi adalah kumpulan pengganas dan ekstrimis wahhabi yang menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar. Seolah-olah mereka di pihak Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sedang memerangi kumpulan sesat.

Mohd Qutub dalam penulisan terbarunya menegaskan :

“Golongan Salib dan Zionis berkerjasama untuk menumpaskan Kerajaan Othmaniah satu ketika dahulu. Mereka berkongsi tenaga untuk memecahbelahkan negara dan dunia Islam. Negara-negara Islam itu akhirnya menjadi lemah dan kerdil serta mudah diperkotak-katikkan. Palestin diserahkan kepada Zionis untuk didirikan di dalamnya negara Israel. Adalah dijangka negara ini akan terus dipelihara dan berkembang menjadi negara yang dipanggil Grand Israel. Dalam masa yang sama rantau Islam yang lain turut menjadi sasaran ratahan kaum Salib dan Zionis. Setiap negara diratah menurut selera dan serta kehendak penjajah berkenaan.

Untuk merealisasi matlamat tersebut berbagai perancangan bersama yang jahat telah digagaskan; baik dalam lapangan politik, ketenteraan, ekonomi mahupun dalam bidang bidang yang lain. Barangkali untuk meneliti lebih lanjut hal ini memadalah kita menela’ah laporan Lord Camble yang terkenal yang pernah disiarkan dalam tahun 1907 yang antara lain mengatakan :

“Terdapat satu rupa bangsa yang berhubung-gabung tinggal daripada lautan ke lautan dan teluk ke teluk. Bahasa mereka satu. Agama mereka satu, tanah air mereka berkesinambungan, sejarah mereka sama, bahkan cita-cita mereka pun sama. Kini mereka ada di bawah genggaman kita. Tapi mereka mula tidak puas dan merasa tidak selesa. Apa yang berlaku kepada kita nanti kalau raksaksa ini sedar dan bangkit?!

Dia seterusnya menjawab sendiri soalan itu dan menampilkan satu penyelesaian yang patut dilakukan. Beliau menulis :

“Kita mesti menyekat dan menghalang hubungan internal antara bangsa ini dengan membentuk sebuah ”negara asing” yang bersahabat dengan kita tetapi memusuhi penduduk negara berkenaan. Negara asing ini akan menjadi lembing yang menujah raksaksa tersebut tiap kali dia mahu bangkit berdiri.”

Kesinambungan polisi seperti itulah kita lihat kini di negara Arab bahkan di negara umat Islam yang lain juga dilancarkan perang saraf dan kempen bahawa musuh para pemimpin negara dan bangsa berkenaan bukannya negara Israel tetapi adalah bahaya syiah dan orang-orang Iran. Kempen mewarwarkan bahaya Syiah secara umum ini begitu dihebohkan sedemikian rupa untuk memecahkan belahkan umat Islam dan agar kemungkinan mereka bersatupadu dan membentuk kesatuan politik dalam acuan seperti negara khilafah Islamiah semakin jauh dan mustahil. Mereka merancang berbagai kegiatan subversif, untuk tujuan berkenaan. Umat Islam perlu mewaspadai tektik jahat musuh ini dan tidak terperusuk meneruskan polisi jahat tersebut.

Kerana itulah menanggapi, menganalisa isu ini mesti bahkan wajib dari perspektif yang benar dan dari kedudukan yang memihak kepada gerakan kebangkitan Islam. Dengan demikian rumusan terakhir dan kesimpulannya tidak bersifat songsang serta merugikan umat Islam itu sendiri.

Untuk memulakan perbincangan mungkin kita perlu menyorot hakikat keimanan, sama ada iman boleh bertambah atau berkurang, samaada hakikat sebenar Islam dan iman itu sama atau berbeda serta makna dan klasifikasi kekufuran seterusnya makna kesesatan secara umum dan menurut al Quran di samping kita ungkapkan beberapa contoh berkaitan.

Hakikat Iman :

Iman bermakna : Tasdiq seperti mana yang ditegaskan al Jauhari dalam Sihahnya, Ibnu Manzur, dalam Lisan al al Arab dan al-Razi dalam Mukhtar al-Sihahnya. Ibnu Taimiyah menekankan bahawa maksudnya adalah Iqrar atau pengakuan dan sifat akur.

Ahli Sunah Wa al-Jamaah sepakat mengatakan bahawa iman mempunyai tiga hakikat utama yang mesti direalisasi untuk kehadirannya dalam realiti.

1. Hakikat pertuturan; iaitu menuturkan dua kalimah syahadah dan memaklumkannya kepada orang lain atau orang ramai;

2. Hakikat penerimaan dalam hati. Iaitu meyakini kebenaran apa yang dituturkan oleh lisan, jujur dan patuh kepada tuntutan keimanan itu.

3. Hakikat Amaliah; Iaitu transletrasi terhadap apa yang dituturkan dan yang diperakukan oleh hati melalui perlakuan lahiriah berupa tindakan dan perbuatan. Dengan itu seluruh pancaindera dan anggota tubuh seseorang itu patuh kepada apa-apa yang diperintahkan oleh Allah dan meninggalkan segala bentuk larangan-Nya.

Imam Abu Thaur merumuskan bahawa :

الايمان التصديق بالقلب والقول باللسان والعمل بالجوارح

Iman ialah pengakuan dengan hati penuturan dengan lidah dan perlaksanaan dengan amalan oleh anggota tubuh.

Al-Aajiri dalam kitab ‘al Syariah’ nya menegaskan :

باب القول بأن الايمان تصديق بالقلب واقرار باللسان وعمل الجوارح ولايكون مؤمنا الا أن تجتمع فيه هذه الخصال الثلاث

Bab menyatakan bahawa iman adalah keyakinan dalam hati, pengakuan dengan lidah dan amalan oleh anggota tubuh, bahawa seseorang itu tidak menjadi mu’min nelainkan apabila mempunyai tiga sifat atau ciri ini.

Iman Bertambah dan Berkurang

Pendapat ini merupakan pendapat Omar Ibnu al Khattab, Abdullah Bin Abbas, Abdullah Bin Mas’ud di samping kalangan Tabi’ain seperti Sufian al Thauri, Mujahid, Sa’id Bin Jubair dan lain-lain. Dari kalangan Fuqaha pula termasuk Imam Malik , Jirrir Bin Abdul hamid, Ahmad Ibnu Hanbal dan lain-lain.

Ini juga merupakan pendapat Ahli Sunnah Wal Jamah dengan dalil berikut :

1. al Taubah ayat 124 :

وَإِذَا مَا أُنزِلَتْ سُورَةٌ فَمِنْهُم مَّن يَقُولُ أَيُّكُمْ زَادَتْهُ هَذِهِ إِيمَانًا فَأَمَّا الَّذِينَ آمَنُواْ فَزَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَهُمْ يَسْتَبْشِرُونَ

Apabila turun sesuatu Surah ada di kalangan mereka yang mempersoalkan; siapa gerangan di kalangan kamu yang boleh bertambah imannya dengan ayat ini. Adapun golongan yang beriman iman mereka semakin bertambah dan mereka menyambutnya dengan ceria dan gembira.

2. al Anfal Ayat 2 :

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

Orang-orang beriman itu apabila disebut nama Allah hati mereka merasa gementar. Apabila dibacakan ayat-ayat-Nya iman mereka semakin bertambah dan semakin pasrah dan bertawakkal kepada Allah.

3. al-Muddathir ayat31 :

وَمَا جَعَلْنَا أَصْحَابَ النَّارِ إِلاَّ مَلائِكَةً وَمَا جَعَلْنَا عِدَّتَهُمْ إِلاَّ فِتْنَةً لِّلَّذِينَ كَفَرُوا لِيَسْتَيْقِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ وَيَزْدَادَ الَّذِينَ آمَنُوا إِيمَانًا وَلا يَرْتَابَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ وَالْمُؤْمِنُونَ وَلِيَقُولَ الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ وَالْكَافِرُونَ مَاذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهَذَا مَثَلا كَذَلِكَ يُضِلُّ اللَّهُ مَن يَشَاء وَيَهْدِي مَن يَشَاء وَمَا يَعْلَمُ جُنُودَ رَبِّكَ إِلاَّ هُوَ وَمَا هِيَ إِلاَّ ذِكْرَى لِلْبَشَرِ

Tidak Kami jadikan penjaga neraka itu melainkan daripada kalangan Malaikat. Bilangan malaikat itu pula Kami jadikan sebagai faktor ujian kepada orang-orang kafir. Agar Ahlul Kitab bertambah yakin manakala orang yang beriman pula bertambah keimanan mereka. Juga agar orang yang diberikan kepada mereka Kitab tidak ragu-ragu lagi dan juga orang yang beriman. Juga supaya orang yang hatinya berpenyakit dan orang kafir akan berkata : Apalah yang Allah mahu dengan penampilan perumpamaan seperti itu. Demikianlah Allah berkuasa menyesatkan siapa yang Dia mahu dan memberi petunjuk siapa yang Dia Mahu. Tentera Tuhanmu hanya Dia sahaja yang mengetahui bilangannya. Perkara ini semua adalah suatu peringatan untuk sekalian manusia.

Adakah Iman dan Islam Sama Atau Berbeda?

Ahlu Sunnah Wal Jamaah berpecah dua dalam hal ini. Segolongan mengatakan :

1) Islam dan Iman suatu yang berlainan dan berbeda. Ini pendapat setengah ulama seperti : Al Imam al-Zuhri. Beliau berpendapat :

أن الاسلام كلمة والايمان العمل

Bahawa Islam adalah ucapan manakala iman itu adalah amalan.

Imam Ahmad sepertimana yang diriwayatkan oleh Abdul Malik al Maimuni. Beliau menyebutkan bahawa Imam Ahmad ditanya : Adakah anda membedakan Iman dan Islam? Beliau menjawab : Ya.

Imam Muhammad Bin Abdul Rahman Bin Abi Za’b sepertimana yang dinukil daripada beliau oleh Imam Ahmad Bin Hanbal. Ungkapannya ialah :

” الاسلام القول والايمان العمل”

Islam itu pertuturan manakala iman pula adalah amal perbuatan.

Ini juga pendapat Imam Ibnu Abdul bar dan al Asfahani.

2) Sebenarnya tidak ada perbedaan antara Islam dan Iman. Kedua-duanya memberi makna yang setara. Ini pendapat segolongan ulama Ahlu al Sunnah seperti :

1. Imam Muhammad Bin Nasr al Merwazi apabila beliau menegaskan :

وقالت طائفة وهم الجمهور الاعظم من اهل السنة والجماعة وأصحاب الحديث: الايمان الذي دعا الله العباد اليه وافترضه عليهم هو الاسلام الذي جعله دينا وارتضاه لعباده ودعاهم اليه

Segolongan ulama dan mereka adalah himpunan terbesar ulama Ahli Sunnah Wa al-Jamaah dan Ulama Hadith mengatkan bahawa keimanan yang diperintahkan serta diwajibkan kepada para hamba-Nya ialah Islam yang dijadikan Allah agama-Nya. Agama yang direstui Allah untuk para hamba-Nya dan Allah menyeru mereka supaya mereka beriman dengan agama itu.

2. Imam Ibnu Abdul Bar; dalam tulisannya beliau menegaskan :

الذي عليه جماعة أهل الفقه والنظر أن الايمان والاسلام سواء

Menurut sekumpulan ulama Fiqh dan ilmuan ahli fikir iman dan Islam sama makna dan maksudnya.

3. Imam Ibnu Mandah. Beliau mengkhususkan satu bab dalam Kitab “al Iman karangan beliau :

ذكر الاخبار الدالة والبيان الواضح أن الايمان والاسلام اسمان لمعنى واحد

Bab mencerakinkan dalil dan bukti jelas bahawa iman dan Islam adalah dua nama untuk makna yang sama.

Menurut Ibnu Rajab untuk mentaufiq dan menyalaraskan dua pendapat ini ialah:

أن من الاسماء ما يكون شاملا لمسميات متعددة عند افراده واطلاقه فاذا قرن ذلك الاسم بغيره صار دالا على بعض ذلك المسميات والاسم المقرون به دال على باقيها وهذا كاسم الفقير والمسكين فاذا قرن أحدهما بالآخر دل أحد الاسمين على بعض أنواع ذوي الحاجات ودل الآخر على باقيها , وهكذا اسم الاسلام و الايمان اذا أفرد احدهما دخل فيه الآخر ودل بانفراده على ما يدل عليه الآخر بانفراده فاذا قرن بينهما دل أحدهما على بعض ما يدل عليه بانفراده ودل الآخر على على الباقي

Nama-nama itu ada yang diguna-pakai untuk menunjukkan kepada berbagai objek apabila nama tersebut disebut secara bersendirian tapi apabila disebutkan bersama maka yang pertama membawa maksud sebahagian makna dan yang kedua menunjukkan kepada sebahagian makna yang bakinya. Umpamanya perkataan fakir dan miskin. Kalau disebut dua-dua sekali maka perkataan fakir akan merujuk sebahagian fakir tertentu manakala perkataan miskin pula merujuk kepada sebahagian orang miskin yang lain. Demikianlah halnya dengan perkataan Islam dan iman.

Makna dan Klasifikasi Kufur :

Dari segi bahasa “Kufr” bermakna menyembunyi dan menutupi sesuatu. Ia bertentangan dengan iman. Ini kerana kufr bermakna menyembunyikan kebenaran atau tidak memperakukan nikmat Allah melesap dan menutupi hakikat berkenaan.

Dari sudut istilah Kufr ialah mengingkari dengan sengaja segala misi, risalah atau sebahagian apa yang dibawa oleh baginda. Khasnya perkara-perkara yang dianggap ” Ma’lum Mina al-Din Bi al-Dharurah.

Iman mempunyai cabang atau ranting seperti yang ditegaskan oleh hadith Rasulullah :

 

الإيمان بضع وستون أو بضع وسبعون شعبة، أعلاها: لا إله إلا الله، وأدناها: إماطة الأذى عن الطريق. والحياء شعبة من الإيمان

Iman mempunyai enam puluh lebih atau tujuh puluh lebih cabang. Puncaknya ialah sebutan Tiada Tuhan yang di sembah kecuali Allah. Manakala yang paling bawah ialah menghindarkan duri dari perjalanan orang. Manakala malu pula adalah salah satu cabang iman.

Begitu juga kufr mempunyai cabang dan ranting.

Ibnu al Qaiyim menegaskan : Kufr mempunyai pokok dan cabang atau ranting. Sebagaimana ranting dan cabang iman adalah sebahagian daripadanya begitulah juga halnya dengan kufr. Ranting kufr adalah kufr jua. Kufr boleh berlaku dengan hati hasil daripada keingkaran hati, pendustaan atau kebenciannya terhadap apa yang di bawa oleh Rasulullah daripada Allah Azza Wajalla. Ia juga boleh berlaku dengan lidah yang mencerca atau menghina Allah dan RasulNya. Kufr juga boleh berlaku dengan meninggalkan beberapa amalan yang ditegaskan syara’ bahawa meninggalkannya adalah bukti kekufuran; iaitu perbuatan seperta solat dan lain-lain.

Berlandaskan kepada beberapa dalil Quran ulama Ahlu Sunnah mengklasifikasikan kufr kepada dua bahagian :

Pertama : Kufr al Akbar. Kufr yang antagonis dengan keimanan dan mewajibkan seseorang itu keluar daripada agama Islam dan kekal dalam neraka. Kufr kategori ini terbahagi kepada lima jenis :

1. Kufr Takzib atau Pendustaan

Ia adalah sikap dan keyakinan yang mengandungi pendustaan terhadap Rasul-Rasul. Ini mungkin kurang di kalangan orang Islam kerana Allah telah menyokong risalah RasulNya dengan berbagai ayat Quran dan mukjizat yang menjelaskan kebenaran baginda. Hujah ini ditandaskan oleh Allah ketika menjelaskan kekufuran Firaun dalam Surah al-Naml ayat 14 :

وَجَحَدُوا بِهَا وَاسْتَيْقَنَتْهَا أَنفُسُهُمْ ظُلْمًا وَعُلُوًّا فَانظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُفْسِدِينَ

Mereka mengingkari misi bawaan Rasul tersebut pada hal hati mereka mempercayainya. Ini adalah kerana sifat zalim dan rasa bongkak dan bangga diri. Perhatikan apa kesudahan nasib golongan perosak tersebut.

Allah menghadapkan firmanNya kepada Rasulullah dalam Surah al-An’am ayat 33

فَإِنَّهُمْ لاَ يُكَذِّبُونَكَ وَلَكِنَّ الظَّالِمِينَ بِآيَاتِ اللَّهِ يَجْحَدُونَ

Sebenarnya mereka bukan mendustakan engkau wahai Muhammad tapi orang –orang zalim itu mendusta dan mengingkari ayat-ayat Allah.

Sebahagian orang kafir mungkin mendustakan dengan lidah mereka namun hati mereka tidak demikian.

2. Kufr al-Iiba’ Wa al-Istikbar.

Kufr ini juga dinamakan kufr Iblisi justeru dia kafir karana rasa takabbur dan rasa bangga diri. Kufr seperti ini kerap berlaku di kalangan orang kafir. Mereka dengan pongah berkata (Yasin 15 ) :

مَا أَنتُمْ إِلاَّ بَشَرٌ مِّثْلُنَا وَمَا أَنزَلَ الرَّحْمَن مِن شَيْءٍ إِنْ أَنتُمْ إِلاَّ تَكْذِبُونَ

Kamu tak lebih daripada manusia seperti kami. Tuhan al-Rahman tidak menurunkan suatu apa pun. Kamu semata-mata berdusta.

Kaum Firaun pula ketika mendustakan Nabi Musa dan Harun berkata ( al Mukminun ayat 47) :

فَقَالُوا أَنُؤْمِنُ لِبَشَرَيْنِ مِثْلِنَا وَقَوْمُهُمَا لَنَا عَابِدُونَ

Mereka mengatakan : Apakah patut kami percaya dengan dua orang manusia yang sama mertabatnya seperti kami pada hal kaum mereka berdua menyembah (raja firaun dari bangsa ) kami.

3. Kufr al-I’radh atau Kufr dengan meminggirkan diri.

Dia menjauhkan telinga dan hatinya daripada mendengar seruan Rasulullah. Dia tidak mepercayai atau mendustakan baginda. Dia tidak bersetiakawan dengan baginda dan tidak pula memusuhinya. Dia tidak berminat mendengar seruan baginda dan misi yang dibawanya.

4. Kufr al Syakk atau Kufr Ragu.

Orang kafir seperti ini dia ragu dan tidak betul-betul yakin degan kejujuran dan kebenaran baginda. Namun dia tidak pula mendustakan. Cuma dia agak meragui baginda.

5. Kufr al- Nifaq atau kufr hipokrasi.

Gejalanya ialah menyatakan keimanan dengan lidah dalam masa yang sama menyembunyikan kekafiran di samping mendustakan Rasul dengan hati. Ini adalah gejala kemunafiqan Akbar.

Kedua: Kufr Asghar : Kufr ini tidak antagonis dengan teras iman dan tidak menghakis iman keseluruhannya. Kufr ini mengurangkan kesempurnaan iman sehingga orang berkenaan tercela dari segi syara’. Hukum-hukam Islam tetap berlaku ke atasnya justeru kekalnya teras iman dalam kalbunya.

Kufur seperti ini terikat dengan janji hukuman siksa Allah. Cuma mereka mungkin tidak kekal di dalam neraka. Ini merangkum semua jenis perlakuan maksiat kerana maksiat tersebut adalah sebahagian daaripada ciri-ciri kekufuran. Umpamanya sabda Rasulullah :

سباب المسلم فسوق وقتاله كفر

Memaki orang Islam adalah perbuatan fasiq manakala memeranginya adalah kufr

Kufr yang dimaksudkan oleh hadith ini adalah kufr al-Asghar yang tidak mengeluarkan seseorang itu daripada lingkungan keimanan. Ini berlandaskan dalil firman Allah dalam Surah al Hujurat ayat : 9

وَإِن طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا

Seandainya terdapat dua kumpulan orang beriman yang saling memerangi satu sama lain maka damaikanlah mereka.

Ayat ini menamakan dua kumpulan itu orang mukmin meskipun mereka saling berbunuhan. Demikian jugalah hukumannya kepada maksiat-maksiat lain yang tidak termasuk dalam hukuman riddah.

Pengertian Sesat

Dalam kehidupan ini manusia dipandu oleh keyakinan, pemikiran, perasaan, naluri, peraturan dan lain-lain. Sebab itu untuk menghasilkan manusia yang sihat, lurus , baik , adil dan sebagainya mereka harus dididik dengan ajaran yang benar dan sihat. Pendidikan merupakan suatu yang amat menentukan samada seseorang itu akan menjadi manusia yang baik, sihat, waras, berilmu dan sebagainya.

Pendidikan manusia dan pembelajaran merangkum aspek cognitive, afektif dan psikomotor. Pendidikan mempunyai objektif yang sangat luas khasnya yang berkaitan dengan usaha bagaimana melahirkan manusia yang sempurna hatibudi dan akhlaknya. Sebab itu apabila kita menyorot perkara yang berkaitan dengan sesat atau kesesatan sudah pasti ia merangkum, penyimpangan keyakinan, pemikiran, kejiwaan, perbuatan samada yang menyangkut pengertian agama secara khusus, mahupun budaya, politik, ekonomi , sosial dan lain-lain. Perkara ini semua terangkum di dalam akhlak yang baik. Agama Islam itu sendiri tidak lain daripada pola pembangunan akhlak yang menyeluruh dan lengkap.

Akhlak adalah intipati agama manakala mengakui kebenaran dan hakikat keilmuan adalah suatu keutaman akhlak sebab sikap seperti itu akan membawa kepada perasaan cinta kepada kebenaran, maka patuh kepada tuntutan kebenaran adalah lambang kepada manusia yang sejahtera, sihat dan berada di atas landsan yang benar. Sebaliknya manusia yang sesat pula ialah manusia yang menafikan kebenaran, enggan menurut tuntutan kebenaran. Berlagak dan memerintah menurut tuntuan nafsu serta semangat dan pemikiran jahiliah.

Huraian al Quran Mengenai Iman dan Kesesatan

Barangkali tiada yang lebih tepat dalam mengupas hal ini selain daripada Quran dan hadith itu sendiri, di samping rujukan-rujukan lain.

Dalam ayat-ayat awal surah al Baqarah al Quran menjelaskan bagaimana keimanan, ketakwaan berkait dengan kepercayaan kepada al Ghaib. Hal ini tentunya berhubung dengan Tuhan yang sebenar disembah, kewajiban menunai zakat, kepercayaan kepada Quran serta kitab-kitab Nabi silam yang telah dimansukhkan di samping keyakinan kepada akhirat yang membawa kepada kejayaan.

Keimanan merujuk kepada penerimaan terhadap dasar-dasar utama syariat, seperti rukun iman, Islam, ihsan di samping hukum hakam agama yang berkategori ”Ma’lum minaddin Bi adh-dharurah ”, induk keutamaan akhlak, di samping ajaran-ajaran cabang yang amat berkaitan dengan survival agama dan penghayatan Islam. Pola keimanan -umpamanya – merangkum 69 cabang iman seperti yang ditegaskan oleh Rasulullah S.A.W.

Pecahannya seperti yang dihuraikan oleh para alim ulama ialah 24 mengenai hati 7 mengenai lidah, 15 mengenai diri, peribadi dan kewajibannya, 6 berkaitan dengan kekeluargaan 17 berhubung peranan kemasyarakatan. Jadi Islam yang perlu dianuti ialah Islam yang diikuti secara ”Kaffah” menyeluruh dan bukan sebaliknya.

Manakala kufur atau puncak kesesatan ialah penolakkan total atau sebahagian rukun dan asas agama Islam itu sendiri atau malah aspek-aspek utama yang terangkum dalam kuatkuasa hukum agama.

Sifat penolakkan total dan bulat ini ditegaskan oleh Allah dalam Surah al Baqarah ayat :6-7.

Kesesatan dalam peringkat berikutnya ialah sifat dolak dalik dalam keimanan yang Allah nafikan hakikat keimanan seseorang itu. Allah berfirman:

وَمِنَ النَّاسِ مَن يَقُولُ آمَنَّا بِاللَّهِ وَبِالْيَوْمِ الآخِرِ وَمَا هُم بِمُؤْمِنِينَ يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَالَّذِينَ آمَنُوا وَمَا يَخْدَعُونَ إِلاَّ أَنفُسَهُم وَمَا يَشْعُرُونَ

Dalam kalangan manusia ada yang mendakwa bahawa : Kami beriman dengan Allah dan dengan hari akhirat pada hal mereka bukan beriman pun. Mereka memperdaya Allah dan orang-orang yang beriman. Namun sebenarnya mereka hanya memperdaya diri mereka sendiri tapi mereka tidak sedar.

Ayat 8-20 adalah memperincikan watak menyimpang, sesat dan kemunafikan manusia dalam golongan tersebut. Ayat 26-28 dalam surah yang sama terus memperincikan sifat jahat berkenaan. Antara lain ialah :

1. Mereka mempersoalkan ungkapan Tuhan terhadap penampilan nyamuk sebagai contoh pengajaran. Mereka mepertikai pelbagai pengungkapan Allah tentang wacana agama. Janji syurga dianggap sebagai merasuah manusia. Pengharaman arak dianggap sebagai tidak bertamadun dan sebagainya.

2. Mereka memandang rendah terhadap ekspresi Tuhan mengenai makhluk sekecil itu pada hal Allah tidak sedikitpun merasa rendah diri dengan contoh berkenaan. Mereka merasa lebih bijak berbanding Allah dari segi menampilkan perlambangan dan contoh tauladan.

3. Allah menegaskan bahawa contoh yang tepat seperti itu hanya menyesatkan orang-orang yang fasiq, penderhaka yang memang penuh hati perutnya dengan kesangsian terhadap kebenaran dan ketuhanan Allah.  Allah menegaskan dalam surah al Nahli ayat 60 :

Orang yang tidak beriman kepada Hari Akhirat, mereka sarat dengan contoh sikap yang buruk. Manakala di sisi Allah terdapat contoh sifat yang serba mulia dan unggul. Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana.

4. Tanda pertama kefasiqan mereka ialah mereka mencarik-robek perjanjian mereka dengan Allah setelah perjanjian itu dimaterai. Mereka tidak memenuhi sifat sebagai seorang yang beriman seperti mana yang telah dituntut dalam syahadah dan kesaksian masuk Islam. Mereka tidak ada kepedulian tentang amanah dan suruhan Allah.

5. Mereka memutuskan hubungan persaudaraan, kekerabatan dan silaturrahim yang Allah perintahkan supaya disambung. Dalam melaksanakan budaya hidup yang tidak islamik mereka rela bersetiakawan dengan musuh Islam berbanding dengan orang Islam atau wadah Islam yang mahu menegakkan cara hidup Islam.

6. Mereka melakukan kerosakan di dunia ini meskipun mereka mendakwa sebaliknya. Mereka mempunyai ungkapan impian yang muluk tapi sebenarnya amat beracun. Hasrat yang dipaparkan untuk membina sebenarnya ialah untuk meruntuh. Apa yang disebutkan sebagai pembelaan itulah sebenarnya pengkhianatan.

7. Golongan yang benar-benar rugi adalah kumpulan ini.

Maksud Sesat atau Penyimpangan

Al-Quran menegaskan bahawa kesesatan adalah berpunca daripada syirik,  kufur dan penderhakaan kerana perbuatan maksiat kepada Allah. Dalam kesempatan lain al Quran menegaskan bahawa kezaliman itu juga membawa kepada kesesatan yang lebih jauh.

Bahkan golongan yang berdosa atau Mujrimin juga dianggap dalam kesesatan yang jauh. Terdapat lima istilah yang merujuk kepada makna kesesatan dalam al Quran :

1. Dhalal atau Dhalalah

2. al-Zaigh

3. al- ghiwayah atau Ghawa

4. al-Taih, Yatihun

5. al Zalal

1) Dhalal atau Dhalalah

Tidak kurang daripada 91 ayat yang menyebutkan tentang perkataan Dhalla, Yudhillu, Dhalal dan sebagainya. Ini menunjukkan perkataan ini sangat signifiken dan penting dalam hubungan isu ini.

Terdapat 13 ayat yang menjelaskan tentang Dhalalun Mubin atau kesesatan yang nyata daripada keseluruhan ayat berkenaan. Empat ayat menyebutkan tentang Dhalalan Ba’idan. Sebelas ayat yang memulakan sebutan : ”Wa man Yudhlil..”

2. al Zaigh atau Azagha, Zaghu

Terdapat 9 ayat yang menyebutkan perkataan di atas dalam beberapa Surah, namun yang secara langsung berkaitan dengan perbahasan kita ialah 6 ayat.

1.al Saf ayat 5 :

وَإِذْ قَالَ مُوسَى لِقَوْمِهِ يَا قَوْمِ لِمَ تُؤْذُونَنِي وَقَد تَّعْلَمُونَ أَنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُمْ فَلَمَّا زَاغُوا أَزَاغَ اللَّهُ قُلُوبَهُمْ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ

2. Surah Saba’ ayat 12

وَمَن يَزِغْ مِنْهُمْ عَنْ أَمْرِنَا نُذِقْهُ مِنْ عَذَابِ السَّعِيرِ

3. al Taubah : 117

لَقَد تَّابَ اللَّه عَلَى النَّبِيِّ وَالْمُهَاجِرِينَ وَالأَنصَارِ الَّذِينَ اتَّبَعُوهُ فِي سَاعَةِ الْعُسْرَةِ مِن بَعْدِ مَا كَادَ يَزِيغُ قُلُوبُ فَرِيقٍ مِّنْهُمْ ثُمَّ تَابَ عَلَيْهِمْ إِنَّهُ بِهِمْ رَؤُوفٌ رَّحِيمٌ

4. Ali Imran ayat 8

رَبَّنَا لاَ تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

5. Ali Imran ayat 7

فَأَمَّا الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ زَيْغٌ فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ ابْتِغَاء الْفِتْنَةِ وَابْتِغَاء تَأْوِيلِهِ..

3. Ghawa, Ghiwayah al Ghawun , Ghawin dan al Ghaiy

Daripada akar kata : Ghawa dan seterusnya terdapat 22 ayat.

Antara lain Surah Taha ayat 121 :

وَعَصَى آدَمُ رَبَّهُ فَغَوَى

Sutah al Sad :82

قَالَ فَبِعِزَّتِكَ لَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ

Surah al A’raf 175:

وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ الَّذِيَ آتَيْنَاهُ آيَاتِنَا فَانسَلَخَ مِنْهَا فَأَتْبَعَهُ الشَّيْطَانُ فَكَانَ مِنَ الْغَاوِينَ

4. al Taih atau Yatihu

Perkataan ini berulang sekali sehaja dalam al-Quran iaitu dalam Surah al-Maidah ayat 26 :

قَالَ فَإِنَّهَا مُحَرَّمَةٌ عَلَيْهِمْ أَرْبَعِينَ سَنَةً يَتِيهُونَ فِي الأَرْضِ فَلاَ تَأْسَ عَلَى الْقَوْمِ الْفَاسِقِينَ

“Allah berfirman: Kalau begitu bumi tempat destinasi mereka itu diharamkan mereka memasukinya selama empat puluh tahun. Dalam tempoh berkenaan mereka akan berkelana sesat di persada dunia ini. Oleh itu wahai Musa jangan engkau bersedih hati terhadap kaum yang fasiq itu.”

5. al- Zalal

Perkatan ini dalam sighah perbuatan berulang sekali sahaja dalam al Quran, iaitu dalam Surah al Baqarah ayat 209:

فَإِن زَلَلْتُمْ مِّن بَعْدِ مَا جَاءَتْكُمُ الْبَيِّنَاتُ فَاعْلَمُواْ أَنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“Seandainya kamu menyimpang dan sesat juga setelah sampai bukti keterangan Allah ini kepada kamu maka ketahuilah bahawa Allah Maha Perkasa dan Maha Bijaksana.”

Jadi jelaslah bahawa kesesatan adalah menyimpang daripada seluruh atau sebahagian pola keyakinan, syariah akhlak dan sistem hidup Islam. Manakala kesesatan itu sendiri mempunyai berbagai tingkat dan tahap berdasarkan kepada kesan negatif dalam kehidupan. Kekufuran, – umpamanya – mempunyai berbagai peringkat kekufuran. Kefasiqan dengan segala tingkat urutannya. Berikutnya adalah sesat dalam melakukan maksiat dan dosa besar, menganiaya dan menjadi penjahat dan petualang dalam masyarakat, seterusnya sesat dan menyimpang sehingga tidak melaksanakan akhlak Islam.

Sebab itu manusia dalam kehidupan sehari-hari boleh terjebak dalam kesesatan dalam kadar banyak atau sedikit, serius atau kurang serius, kekal atau tidak kekal di dalam neraka. Sebab itu umat Islam wajib menyebut di dalam solat lima waktu mereka beberapa kali frasa yang mengandungi ucapan doa yang bermaksud : Tunjukkan kami kepada jalan yang lurus, jalan orang yang engkau berikan kurnia terhadap mereka dan tidak pula sesat.

Contoh Kesesatan

a) Yahudi dan Bani Israel

Sebagai contoh al-Quran memaparkan betapa jauhnya kesesatan Bani Israel, Yahudi dan Zionist dalam kehidupan beragama dan tata kehidupan .. Hal ini disimpulkan dengan baik sekali oleh Dr Salah Abdul Fattah al Khalidi dalam buku beliau : Israeliyyat Mu’aasarah.

Dalam buku tersebut beliau menegaskan bahawa Bani Israel kerap melakukan perbuatan durjana seperti berikut :

1. Merangka pembohongan terhadap Allah

2. Memfitnah orang-orang baik dan soleh

3. Menaruh hasad dengki terhadap orang yang beriman atau orang Islam

4. Membenci kebenaran

5. Menyembunyikan hakikat kebenaran

6. Mendustakan kebenaran

7. Menyamarkan kebenaran dengan kebatilan

8. Memperindah kebatilan dan memperagakannya untuk tujuan menyesatkan orang ramai

9. Menyibar-luaskan kebatilan

10. Menjaja dan menabur khabar angin serta pertuduhan palsu terhadap pihak-pihak yang mereka musuhi

Huraian yang lebih terpeinci mengenai watak golongan sesat Yahudi ini diungkapkan oleh laman web Samer.

Dalam laman tersebut menegaskan bahawa : Antara sifat golongan sesat Yahudi yang dilaknat serta dikutuk Allah ialah bersikap takabbur, bangga diri dan menganggap diri mereka sebagai bangsa pilihan ciptaan Allah, (al Maidah 18) mencarik-robek perjanjian (al Maidah 12-13), khianat (al Baqarah 100), bacul, suka menyisihkan diri daripada orang lain atau hidup sebagai elitis, (al Hasyr :14) suka berdusta, (al Baqarah 9-11) korup, penuh muslihat dan tipu daya (Al-A’raf 163), sangat mencinta kehidupan di dunia hingga tidak mahu berjihad, (al Baqarah 96) mempunyai mentaliti tertutup dan sukar berubah, suka mengelirukan orang lain, cenderung mengintip dan menyelongkar rahsia peribadi dan hak privacy orang lain, (al A’raf 118) memuja dan menyembah harta (al Baqarah 247), mengamalkan sihir (al Baqarah 102) dan akhirnya keras hati tanpa belas kasihan. (al Baqarah 74)

b) Asabiah Jahiliah satu Manifestasi kesesatan

Fahaman Asabiah yang mengagungkan kaum dan bukan kebenaran Islam, berjuang atas dasar bangsa dan bukan atas dasar agama Islam adalah suatu kesesatan dan jahilah seperti mana yang ditegaskan oleh banyak hadith Rasulullah. Fahaman yang mendasarkan bangsa sebagai nilai utama, mengatasi nilai dan ajaran Islam adalah ajaran sesat dan batil. Syaikh Abdullah Bin Baz menegaskan :

الدعوة إلى القومية العربية وغيرها من القوميات ، دعوة باطلة وخطأ عظيم فادح ومنكر ظاهر وكيد سافر للإسلام وأهله

Seruan ke arah faham nasionalisma Arab dan lain-lain kaum adalah seruan yang batil, salah besar, terang-terang merupakan perkara munkar bahkan ia adalah suatu usaha memperdaya Islam dan umatnya.

Seruan ini sesat kerana :

Pertama : Seruan perkauman Arab memecahbelahkan umat Islam dan mendiskriminasi orang Islam Arab dengan orang Islam daripada bangsa lain. Bahkan seruan ini juga memecahkan perpaduan Arab sebab ada orang Arab yang menerimanya dan ada yang enggan menerima seruan ini. Sedangkan Islam mengajak kepada perpaduan atas dasar nilai kebenaran dan agama Islam itu sendiri. Allah berfirman( Ali Imran 103)

واعتصموا بحبل الله جميعاً ولاتفرقوا

Kedua : Islam melarang umatnya mengajak orang kepada fahaman jahiliah. Oleh kerana seruan kepada faham perkauman adalah merupakan ajakan jahilaih sebab dia ajakan kepada yang lain daripada Islam. Seruan ini menobatkan perkara yang bukan kebenaran dan hak. Ibnu Taimiah menegaskan : Semua ajakan yang di luar daripada ajakan Islam dan Quran; samaada ajakan berdasarkan keturunan, tanah, bangsa, ideologi dan sebagainya ia adalah cebisan daripada ajaran jahiliah itu sendiri.

Ketika terjadi pergaduhan antara seorang Muhajir dan Ansar, masing-masing menyeru kumpulannya untuk berkumpul dan berkelahi mempertahankan puak masing-masing maka perkara ini diadukan kepada Rasulululah. Baginda terus pergi meleraikan sengkita yang hampir tercetus itu dengan mencegah mereka terikut-ikut dengan faham kepuakan dan berpuak-puak ini. Baginda memarahi dua-dua kumpulan itu. Baginda menyergah mereka semua dengan mengatakan :

أبدعوى الجاهلية وأنا بين أظهركم

Apakah kalian mahu mewarwarkan fahaman jahiliah ini pada hal aku masih hidup bersama kalian?!

Seterusnya beliau menegaskan : Allah SWT telah berfirman dalam al Quran dalam rangka mencemuhkan perangai dan pembawakan orang kafir :

إِذْ جَعَلَ الَّذِينَ كَفَرُوا فِي قُلُوبِهِمُ الْحَمِيَّةَ حَمِيَّةَ الْجَاهِلِيَّةِ

Ketika Allah menyerapkan hati orang-orang kafir itu dengan semangat negatif fanatik jahiliah…

Dalam Sunan Abu Daud terdapat hadith berikut:

ليس منا من دعا إلى عصبية ، وليس منا من قاتل على عصبية ، وليس منا من مات على عصبية

Bukan kalangan kita (umat Muhammad) orang yang menyeru ke arah asabiah (perkauman). Bukan kalangan kita orang memperjuangkan asabiah. Bukan daipada kalangan kita siapa yang mati memperjuangkan fahaman asabiah.

Dalam sahih Muslim diriwayatkan bahawa Nabi S.A.W. bersabda :

( إن الله أوحى إليّ أن تواضعوا حتى لايبغي أحد على أحد ولايفخر أحد على أحد )

Sesungguhnya Allah telah menurunkan wahyu kepadaku agar menyuruh kamu supaya kamu saling merendah diri antara satu sama lain sehingga tidak ada yang menganiaya satu sama lain, tiada yang membanggakan diri sesama sendiri (kerana sesuatu yang tidak benar).

Penyebar dan penyeru faham perkauman itu adalah orang yang mengajak orang lain kepada pemikiran dan budaya asabiah. Mereka marah dan benci kerana semangat perkauman. Mereka adalah chauvinist yang berjuang kerana motif dan dorongan perkauman. Skala keutamaan mereka bertentang arus dengan skala keutamaan yang disarankan oleh Islam. Mentaliti mereka adalah mentaliti yang berbeda dengan mentaliti muslim yang sebenar.

Para nasionalis tidak syak lagi adalah orang berkempen dan menyeru ke arah kebanggaan asabiah; samaada Arab atau bukan Arab. Asabiah ini dianggap busuk oleh Rasulullah. Ini kerana mereka berbangga dengan keturunan sedangkan Islam menekankan sifat taqwa, tawadhu’ dan berkasih sayang sesama mu’min dan muslim semata-mata kerana Allah. Ini ditegaskan oleh firman Allah dalam Surah al Hujurat 13 :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Hai manusia sekalian, Kami mencipta kamu daripada jenis lelaki dan perempuan. Kami jadikan kamu berbagai bangsa dan kabilah untuk kamu saling berkenalan antara satu sama lain. Orang yang paling mulia di sisi Allah di kalangan kamu ialah orang yang paling bertaqwa kepada-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Serba Pakar.

Al-Tirmizi meriwayatkan bahawa Nabi telah bersabda :

إن الله قد أذهب عنكم عصبية الجاهلية وفخرها بالآباء، إنما هو مؤمن تقي أو فاجر شقي ، الناس بنو آدم وآدم خُلق من تراب ، ولا فضل لعربي على عجمي إلا بالتقوى

“Allah telah melepas dan membebaskan kamu daripada semangat fanatik perkauman dan budaya berbangga-bangga dengan datuk nenek. Pokoknya; samada seseorang itu mukmin yang bertaqwa atau  manusia bajingan yang celaka, status manusia itu sama-sama anak cucu Adam. Manakala Adam dicipta daripada tanah. Orang Arab tidak ada apa-apa kelebihan berbanding orang bukan Arab kecuali atas dasar taqwa.”

Dalam hadith sahih daripada al Harith al Asy’ary diriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda :

Sesungguhnya Allah memerintahkan Yahya Bin Zakaria supaya mengamalkan lima perkara dan menyuruh Bani Israel melaksanakannya. Kemudian baginda menghuraikan satu persatu. Seterusnya baginda berkata lagi :

وأنا آمركم بخمس ، الله أمرني بهن : السمع والطاعة ، والجهاد ، والهجرة ، والجماعة ، فإنه من فارق الجماعة قيد شبر فقد خلع ربقة الإسلام من عنقه إلا أن يرجع ،ومن دعا بدعوى الجاهلية فهو من جُثى جهنم ) قيل : يارسول الله وإن صلى وصام ؟ قال : ( وإن صلى وصام وزعم أنه مسلم ،فادعوا بدعوى الله سماكم المسلمين المؤمنين عباد الله )

“Aku sendiri mengarahkan kamu melakukan lima perkara yang Allah perintahkan kepadaku mengerjakannya: Mendengar (perintah Allah), Taat dan patuh (kepada perintah), berjiohad, berhijrah dan berjamaah. Sesungguhnya siapa yang memisahklan diri daripada jamaah walau sejengkal bermakna dia telah melepaskan tengkoknya daripada ikatan Islam sehinggalah dia kembali semula kepadanya. Bahawa sesiapa yang menyeru dengan seruan jahiliah maka dia akan menjadi bahan bakar di neraka. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, meskipun dia menunaikan solat dan berpuasa. Baginda menjawab: Meskipun dia menunaikan solat, berpuasa dan menyangka dirinya muslim. Oleh itu seru dan ajaklah orang ke arah seruan Allah (Islam). Dia yang telah memanggil kamu dengan panggilan muslimin, mukminan sebagai para hamba-Nya.”

Ketiga :

Golongan nasionalis mempunyai urutan atau skala keutamaan yang berbeda dengan kumpulan Islam atau islamis. Mereka lebih mengutamakan semangat dan kebanggaan bangsa berbanding penghayatan Islam dan perlaksanaan syariat. Sebab itu mereka mempunyai persepsi yang berbeda dengan kumpulan yang ingin mematuhi ajaran Islam. Mereka dengan mudah akan meluluskan banyak aktiviti yang diharamkan syara’ untuk kepentingan ekonomi dan dan kebendaan. Loteri kebajikan masyarakat, judi bola dan banyak lagi contoh lain dapat disebutkan.

Mereka menentang perlaksanaan hudud kerana kurang menghargaan kepada perintah dan firman Allah. Mereka tidak suka dan benci untuk berjuang atas landasan Islam malah memusuhi asas perjuangan sosio-politik Islam kerana menganggap perkara itu bukan dalam agenda keutamaannya. Malangnya mereka menyangka bahawa mereka adalah para pengikut Islam sederhana atau Wasatiah.

Oleh kerana masa dan ruang agak terbatas kita tamatkan perbincangan setakat ini sahaja . Insyallah dalam kesempatan lain kita akan menghuraikan perkara dan aspek-aspek lain yang belum kita sentuh dalam kertas ini.

Wallahu A’lam

Meru 26 Oktober 2010

18 Zulkaedah 1431

Advertisements

USTAZ HJ ABDUL GHANI SHAMSUDDIN

Ust Abd Ghani Shamsuddin

Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa tokoh hebat ini pernah bertugas di Sabah satu ketika dahulu, walaupun hanya seketika sahaja.

Ust Hj Abdul Ghani Shamsuddin, 63 tahun berasal dari Masjid Tanah Melaka.

Pernah mengaji di Madrasah al-Junid, Singapura antara 1957-1964. Antara rakannya ialah Datuk Hj Ahmad Alawi Hj Adnan, Mufti Kerajaan Negeri Sabah sekarang.

Menyambung pengajian selepas itu ke Mesir antara 1965-1974. Di sana, beliau mengaji di Maahad Bu’uth sebelum ke Universiti al-Azhar dalam bidang Syariah dan Perundangan.

Meneruskan dalam bidang sarjana dalam jurusan Fiqh Muqaran (Perbandingan Hukum) dan diploma pendidikan di universiti yang sama.

Kembali ke tanahair, ustaz berkhidmat sebagai guru agama di Sek Agama Syarifah Radhiah Melaka. Dalam masa yang sama, ustaz terlibat dalam ABIM sehingga diamanahkan sebagai Timbalan Presiden pada awal 80an.

Setahun mengajar di Melaka, ustaz kemudiannya beralih ke Institut Teknologi MARA, Shah Alam dan berkhidmat selama 7 tahun.

Pada awal 80an, ustaz dipindahkan ke ITM Cawangan Sabah, Kota Kinabalu. Tidak lama, sekitar 6 bulan sahaja di sana, ustaz mendapat perintah keluar dari Sabah dalam tempoh 48 jam oleh Ketua Menteri, Datuk Harris Salleh.

Kembali ke ITM Shah Alam sebentar, sebelum ustaz berpindah ke Fakulti Pendidikan Universiti Malaya pada 1981 sehingga bersara pada 2001.

Ustaz Abd Ghani juga bergiat aktif dalam Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) dan diangkat sebagai Yang Dipertuanya pada 1999-2003, ketika itu menggantikan Ustaz Hj Ahmad Awang.

Kini beliau memimpin satu lagi gerakan Islam yang dinamakan sebagai Sekretariat Himpunan Ulama’ Rantau Asia (SHURA). Program terbaru yang disertai SHURA ialah Persidangan NGO Asean di Bangkok pada 16 Oktober lalu.

Sementara itu di dalam PAS, beliau adalah AJK PAS Pusat, Ketua Lajnah IT dan Setiausaha Majlis Syura Ulama’.

IMG_9803

Geram pun ada, letih pun ada, rasa lucu pun ada, apabila perjalanan kami dari Seremban menuju ke Taman Danau Desa di KL semalam mengambil masa selama 4 setengah jam.

Alamat sudah diberi tetapi kami ditunjuk oleh orang-orang yang salah dan penipu. Setiap kali kami berhenti di stesen-stesen minyak, semua yang ditanya dengan penuh yakin memberi petunjuk kepada kami.

Rasanya tidak kurang 7-8 stesen minyak kami berhenti dan bertanya. Siap dengan gaya tangan mereka menunjuk arah, rupanya eksyen dan auta mereka saja.

Ada pula kata masuk lebuhraya sana, ada pula jangan masuk lebuhraya sana, dah masuk satu lebuhraya, suruh keluar pula. Ramai yang kami hubungi termasuk rakan-rakan di ibu negara, hampir kesemua tidak mengetahui tempat kami tuju.

Alhamdulillah, kami tiba juga di lokasi yang dimaksudkan pada 12.30 tengahari.

Keletihan itu terubat apabila melihat ramai para ulama hadir dalam Majlis Ramah Mesra & Silaturrahim Idulfitri. Lebih memeriahkan keadaan kehadiran ramai masyarakat bukan Islam yang tinggal di sekitar tempat ini bersama-sama menjamu selera.

Ribuan masyarakat berduyun-duyun hadir berganti-ganti dengan penganjur menyediakan 10 buah khemah untuk tetamu berteduh dalam majlis ini.

Penganjur bersamanya daripada Masjid al-Muhsinin, Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM), Koperasi Muslimin Berhad, Yayasan Muslimin Berhad dan Sekretariat Himpunan Ulama’ Rantau Asia (SHURA).

Saya pula hadir sebagai wakil PUM Sabah menggantikan Ust Hj Muchlish Ali Kasim dan Ust Bungsu yang tidak dapat hadir kerana terlibat dengan Kursus Haji Perdana Peringkat Negeri Sabah pada masa yang sama.

Masjid al-Muhsinin terletak dalam Parlimen Seputeh yang dimenangi oleh DAP dalam PRU lalu. Khabarnya antara yang datang awal dalam majlis semalam ialah YB Puan Nurul Izzah Anwar.

Saya berterima kasih yang tidak terhingga kepada dua orang ini – Ust Ghazali Yunus dan Cikgu Jefry Mohammad yang telah menemani dan menempuh perjalanan jauh bersama-sama.

Di hujung majlis, saya turut bertemu dengan dua siswi Sabah yang berasal dari Kg Brunei Membakut dan Beaufort yang tengah mengaji di UM. Malangnya saya terlupa bertanya nama mereka.

Harapnya setelah ini mereka dapat menghubungi saya kembali.

IMG_9763

IMG_9767

IMG_9770

IMG_9773

IMG_9777

IMG_9778

IMG_9783

IMG_9785

IMG_9788

%d bloggers like this: